HomeBMJangan Ambil Mudah! Tanda Water Pump Kereta Rosak yang Perlu Diberi Perhatian

Jangan Ambil Mudah! Tanda Water Pump Kereta Rosak yang Perlu Diberi Perhatian

Umum mengetahui bahawa kenderaan perlu diselenggara dan diperiksa secara berkala bagi mengelakkan risiko kereta rosak tepi jalan atau kereta mati tiba-tiba. Pemeriksaan paras minyak enjin, tukar minyak hitam atau tukar brek pad kereta secara berjadual dan sebagainya penting bagi memastikan prestasi kereta kekal berada pada tahap optimum dan dalam keadaan baik. Selain komponen-komponen ini, water pump kereta juga turut memainkan peranan penting dalam memastikan prestasi enjin kereta kekal berada dalam keadaan yang terbaik dan selamat.

water pump kereta

Water pump kereta atau pam air berfungsi memastikan air coolant diagihkan secara konsisten melalui blok enjin, hos dan radiator kereta supaya suhu enjin kekal stabil dan selamat. Sekiranya water pump rosak atau tidak berfungsi dengan baik, ia boleh menyebabkan temperature kereta naik dan enjin menjadi terlalu panas, sekali gus meningkatkan risiko kerosakan gasket kereta dan kepala silinder. Lebih teruk lagi, ia berpotensi merosakkan keseluruhan sistem enjin sehingga memerlukan anda overhaul enjin kereta.

Water Pump Kereta: 5 Tanda Water Pump Rosak yang Perlu Anda Tahu

Secara amnya, anda disarankan untuk menyelenggara water pump sama seperti anda menyelenggara komponen penting lain dalam kereta. Jika aspek penyelenggaraan diabaikan, ia boleh menyebabkan kerosakan enjin kereta yang serius dan menelan belanja yang lebih tinggi. Oleh sebab itu, penting untuk anda membiasakan diri dengan tanda water pump rosak bagi membolehkan anda mengenal pasti simptom kerosakan yang berlaku pada kereta anda dengan cepat. CARSOME menyenaraikan lima (5) tanda water pump rosak untuk panduan anda seperti berikut:

1. Air Radiator Bocor

Umumnya, water pump terdiri daripada beberapa komponen penting seperti gasket dan pengedap (seal) yang menyimpan air coolant atau cecair penyejuk. Ia memainkan peranan penting dalam memastikan aliran air coolant yang konsisten dari radiator ke enjin kereta. Meskipun begitu, water pump kereta terdedah kepada risiko kering, retak, haus atau pecah. Apabila kerosakan sebegini berlaku, air coolant berpotensi untuk bocor (biasanya bocor di bahagian hadapan, tengah enjin kereta).

Sekiranya anda mendapati anda kebocoran cecair (biasanya berwarna oren, hijau, merah jambu atau biru), hubungi mekanik anda dengan segera. Jika selamat, bawa kereta anda ke bengkel kereta terdekat untuk pemeriksaan lanjut. Apabila berlaku isu kebocoran air coolant, mekanik biasanya akan menggantikan gasket atau pengedap.

2. Water Pump Berkarat, Ada Mendapan dan Kakisan

Kebocoran kecil pada water pump jika dibiarkan lama-kelamaan akan menyebabkan mendapan dan kakisan terjadi di sekeliling pam air. Malah, kebocoran kecil ini juga boleh menyebabkan water pump berkarat dan rosak. Periksa bonet depan kereta anda – jika ada karat pada permukaan, ia biasanya berpunca daripada dua (2) situasi berikut:

    1. Campuran air coolant yang tidak sesuai atau sudah tercemar; atau
    2. Penutup tekanan sudah rosak sehingga membolehkan udara berlebihan masuk ke dalam sistem.

Penggunaan air coolant yang tidak sesuai juga boleh menyebabkan pengumpulan deposit dalam water pump. Selain itu, ia juga boleh mengurangkan kecekapan aliran air coolant dan melambatkan proses penyejukan enjin. Oleh sebab itu, anda disarankan untuk memeriksa ruang enjin secara berkala untuk pastikan tiada karat atau mendapan deposit muncul. Segera tukar water pump kereta jika anda mengesan simptom-simptom sebegini.

3. Tali Sawat Water Pump Longgar, Ada Bunyi Pelik

Sekiranya semasa memandu anda mendengar sebarang bunyi nyaring atau pelik daripada ruang enjin kereta anda, ia mungkin berpunca daripada water pump kereta anda. Bunyi nyaring yang kedengaran dan semakin kuat semasa anda memecut mungkin berpunca daripada tali sawat aksesori yang longgar. Biasanya, masalah ini dikaitkan dengan takal atau pulley yang sudah longgar, atau bearing yang mengoperasikan water pump haus atau rosak.

Tali sawat aksesori digunakan untuk memicu kompresor aircond kereta, power steering pump, water pump dan alternator kereta.

Jika anda mendengar sebarang bunyi pelik pada bahagian enjin, lakukan pemeriksaan dengan segera untuk mengenal pasti punca kerosakan. Ia boleh mengelakkan risiko kerosakan water pump yang lebih serius dan kos penggantian yang lebih mahal.

4. Temperature Kereta Naik, Enjin Kereta Overheat

Apabila water pump kereta rosak, ia tidak dapat mengalirkan air coolant dengan baik ke seluruh blok enjin dan menyebabkan enjin kereta overheat. Kereta overheat bukan sahaja boleh membahayakan nyawa, ia juga boleh memberi impak yang serius terhadap prestasi enjin kereta anda. Jika water pump tidak dibaiki atau ditukar dengan segera, ia boleh menyebabkan kerosakan komponen lain dalam enjin kepala silinder, gasket kepala atau piston.

Sekiranya temperature kereta meningkat atau lampu amaran enjin menyala dengan kerap, besar kemungkinan berlaku kerosakan water pump kereta. Jangan bahayakan diri anda – segera berhentikan kereta di bahu jalan dan tunggu sehingga enjin kembali sejuk sebelum meneruskan perjalanan. Anda juga boleh hubungi peronda lebuh raya atau trak tunda untuk bawa kereta anda ke bengkel untuk pemeriksaan lanjut dengan segera.

5. Kereta Berasap, Wap Keluar dari Radiator

Selain itu, jika anda mendapati ada kepulan wap putih keluar dari bahagian enjin kereta anda, segera berhentikan kereta anda ke kawasan selamat dan hubungi mekanik secepat mungkin. Jika perlu, hubungi trak tunda untuk menghantar kereta anda ke bengkel terdekat. Memandu semasa enjin berasap atau semasa enjin terlalu panas bukanlah suatu idea yang baik. Ia berpotensi boleh merosakkan enjin dan komponen lain, dan boleh menelan belanja yang lebih mahal sekiranya melibatkan kerosakan komponen lain dalam enjin.

Enjin kereta secara asasnya berupaya untuk mengekalkan suhu yang konsisten sekiranya water pump berfungsi dan berada dalam keadaan baik. Sekiranya rosak, ia tidak lagi dapat mengalirkan air coolant ke radiator dengan baik sekali gus menyebabkan enjin kereta menjadi terlalu panas.

Servis Kereta: 5 Punca Water Pump Kereta Rosak

Seperti semua sedia maklum, water pump atau pam air merupakan salah satu komponen penting dalam sistem penyejukan kenderaan anda. Ia mengeluarkan air coolant daripada radiator, mengepamnya melalui enjin dan menarik haba panas daripada enjin untuk memastikan enjin kereta kekal sejuk dan stabil. Secara purata, jangka hayat water pump kereta adalah sekitar 100,000 hingga 150,000 kilometer, dan terdedah kepada risiko kerosakan tertentu selari dengan penggunaan. CARSOME menyenaraikan punca water pump kereta rosak seperti berikut:

  • Pengedap lama atau telah usang terdedah kepada risiko kebocoran air coolant;
  • Tali sawat kereta yang terlalu tegang memberikan tekanan tambahan pada shaft dan bearing, sekali gus meningkatkan risiko kerosakan seperti bocor dan patah;
  • Bearing atau impeler yang haus, rosak boleh menjejaskan fungsi water pump dan menyebabkan enjin menjadi terlalu panas;
  • Bahan penyejuk yang tidak sesuai, pembentukan karat pada pam air boleh menyebabkannya rosak;
  • Pemasangan pengedap yang tidak sempurna, longgar boleh menjejaskan fungsi water pump;
  • Tekanan sistem yang rendah (penutup radiator rosak, paras bendalir rendah, hos bocor, radiator tersumbat) boleh menyebabkan kegagalan pam air.

tanda water pump rosak

Berapa Kos Tukar Water Pump? Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Ia Rosak?

Sekiranya kereta anda menunjukkan simptom-simptom yang dinyatakan di atas, segera bawa kereta anda ke bengkel terdekat untuk pemeriksaan lanjut. Langkah proaktif perlu diambil bagi mengelakkan kos pembaikan yang lebih tinggi atau komplikasi lain yang boleh menjejaskan enjin. Bagi penggantian water pump kereta, kos penggantian adalah berbeza bergantung pada saiz, model dan usia kenderaan.

Kos tukar water pump Myvi misalnya adalah pada harga sekitar RM65 hingga RM100 untuk jenis OEM. Manakala, harga water pump ori Myvi pula dijual pada harga bermula RM150 dan ke atas termasuk upah buruh. Meskipun begitu, ada sesetengah bengkel yang menawarkan harga water pump sahaja tidak termasuk upah pemasangan. Dapatkan maklumat lanjut daripada bengkel sebelum memulakan servis penukaran ini untuk mengelakkan anda daripada terasa tertipu.

Selain itu, sekiranya anda ingin beli kereta terpakai yang berbaloi, selamat dan berkualiti, layari laman web CARSOME untuk info lanjut. CARSOME merupakan platform jual beli kereta terpakai online yang menawarkan pelbagai pilihan kereta terpakai yang berkualiti, terbaik dan selamat dengan tawaran harga yang berpatutan.

Haziq Asyraf
Haziq Asyraf
A self-proclaimed foodie and gamer whose passion for food and games has recently extended to cars.
RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular