Anda mungkin pernah berdepan situasi enjin kereta mati secara tiba-tiba semasa memandu di lebuh raya. Anda cuba untuk menghidupkan enjin kereta berkali-kali namun ia tidak memberi kerjasama dan masih tidak mahu hidup. Semasa berdepan dengan situasi sebegini, ramai pemilik kenderaan beranggapan ia berlaku disebabkan oleh bateri kereta kong. Namun sebenarnya, situasi sebegini boleh berpunca daripada alternator rosak lebih-lebih lagi jika bateri kereta masih baru atau baru sahaja ditukar.
Apa itu alternator? Apa fungsi alternator kereta? Alternator merupakan penjana kuasa elektrik dalam kenderaan dan merupakan komponen utama dalam sistem pengecasan kenderaan. Secara amnya, alternator berfungsi menjana tenaga elektrik untuk digunakan oleh aksesori-aksesori kenderaan seperti lampu, aircond kereta dan lain-lain lagi. Selain itu, alternator juga berfungsi memastikan pengecasan bateri berjalan lancar bagi membantu menghidupkan kenderaan.
6 Tanda Alternator Kereta Rosak
Secara amnya, kereta berinteraksi dengan pemilik dalam pelbagai cara. Lampu amaran pada dashboard kereta merupakan salah satu cara kereta berkomunikasi menandakan ada sesuatu yang tidak kena pada mana-mana komponen penting kereta. Selain lampu amaran, berikut merupakan antara tanda alternator rosak untuk panduan dan rujukan anda:
1. Lampu Amaran Bateri Menyala
Kebanyakan kereta moden hari ini dilengkapi dengan pelbagai jenis lampu amaran pada dashboard kereta – lampu amaran ini akan menyala sekiranya sistem mengesan sebarang masalah atau isu tertentu yang sedang dihadapi. Dalam kes alternator rosak misalnya, lampu amaran bateri akan menyala sekiranya sistem mengesan masalah pada alternator. Lampu amaran bateri pada dashboard kereta biasanya berbentuk seperti bateri – ada sesetengah model kenderaan memaparkan abjad ALT (alternator) atau GEN (generator).
Ramai pemilik kenderaan beranggapan lampu amaran bateri menyala disebabkan oleh masalah berkaitan bateri semata-mata. Namun sebenarnya, ia boleh menyala disebabkan oleh beberapa faktor lain antaranya kabel bateri yang longgar atau kerosakan alternator. Lampu amaran ini dihubungkan dengan sistem komputer kenderaan untuk mengesan kapasiti keluaran voltan dari alternator. Secara teknikal, alternator menjalankan fungsi optimum pada kapasiti keluaran voltan tertentu – biasanya sekitar 13-14.5 voltan. Ia akan menyala sekiranya kapasiti voltan yang dihasilkan melebihi had voltan standard atau kurang daripada kapasiti voltan sepatutnya.
Artikel Berkaitan: Jangan Teruskan Pemanduan Jika 3 Lampu Amaran Kereta Ini Menyala!
2. Lampu Kereta Malap, Berkelip-kelip
Selain lampu amaran, salah satu tanda alternator rosak ialah lampu kereta menjadi malap atau kurang cerah. Seperti sedia maklum, alternator berfungsi menghasilkan dan membekalkan sumber tenaga eletrik kepada kenderaan. Jika prestasi alternator merosot, ia memberi impak yang ketara terhadap kecerahan lampu kereta. Oleh sebab itu, jika anda mendapati cahaya lampu kereta menjadi lebih terang semasa memecut atau lebih malap semasa memperlahankan kelajuan, ia merupakan petanda serius kerosakan alternator. Alternator yang berfungsi dengan baik tidak akan menjejaskan kecerahan lampu kereta dalam keadaan standard.
Lampu yang berkelip-kelip juga menunjukkan masalah pada alternator kereta anda. Ia berlaku disebabkan oleh kapasiti voltan dalam alternator yang lemah, tidak sekata dan turun naik. Meskipun isu sebegini kelihatan seperti gangguan kecil, anda disarankan untuk bawa kereta ke bengkel untuk pemeriksaan lanjut. Lampu berkelip-kelip atau malap merupakan petunjuk penting alternator sedia ada tidak lagi mampu menjana kuasa elektrik yang mencukupi.
3. Enjin Kereta Bunyi Kasar, Pelik
Secara asasnya, kereta menghasilkan pelbagai jenis bunyi – sesetengah bunyi yang dihasilkan oleh enjin kereta adalah normal, manakala sesetengah bunyi yang lain menunjukkan masalah serius pada kereta anda. Alternator rosak atau tidak berada dalam keadaan baik akan menghasilkan bunyi menderam (growling) atau berkeriut (grinding). Seperti sedia maklum, alternator merupakan komponen kompleks dengan beberapa bahagian yang berputar untuk menghasilkan arus elektrik. Jika salah satu bahagian ini haus atau rosak, ia akan menghasilkan bunyi-bunyi tertentu. Jika anda mendengar bunyi berkeriut misalnya, ia mungkin petanda anda perlu menggantikan alternator sedia ada. Bawa kereta anda ke bengkel untuk pemeriksaan lanjut. Bunyi berkeriut biasanya terhasil disebabkan oleh crankshaft pulley atau tali sawat yang telah haus.
Artikel Berkaitan: Kereta Bunyi Berdengung, Bersiul? Masalah Bunyi Kereta Biasa Berlaku yang Perlu Anda Tahu
4. Kereta Bau Getah Terbakar, Kereta Bau Hangit
Selain mengesan kerosakan alternator melalui bunyi, anda juga boleh mengesan masalah alternator rosak melalui bau. Bau getah terbakar atau wayar yang terlalu panas merupakan antara dua situasi yang sering berlaku yang menandakan kerosakan alternator. Secara asasnya, alternator bekerja bersama-sama dengan sistem tali sawat yang kompleks — jika tali sawat tidak boleh berputar dengan bebas, bau seakan-akan getah terbakar atau hangit akan terhasil disebabkan oleh haba yang berlebihan. Malah, kedudukan tali sawat yang terletak berdekatan enjin dan terdedah kepada bebanan berterusan secara tidak langsung meningkatkan risiko haus dan menghasilkan bau getah terbakar yang tidak menyenangkan.
Sekiranya anda mengesan bau pelik seperti getah terbakar semasa enjin dihidupkan, ia mungkin menandakan alternator sedang overheat atau tidak berada dalam keadaan baik. Pulley yang sudah rosak akan mengganggu kelancaran pergerakan tali sawat dan menyebabkannya menjadi semakin panas. Ia sekali gus menyebabkan kereta bau getah terbakar atau kereta bau hangit.
5. Kereta Tak Boleh Start
Masalah kereta tak boleh start boleh berlaku disebabkan oleh beberapa faktor antaranya bateri kereta kong atau alternator kereta rosak. Sekiranya anda telah cuba menghidupkan enjin kereta berkali-kali namun ia masih tidak boleh dihidupkan meskipun anda baru sahaja menggantikan bateri atau bateri masih lagi berada dalam keadaan baik, besar kemungkinan kereta tak boleh start berpunca daripada alternator kereta yang sudah rosak. Alternator rosak tidak dapat membekalkan arus elektrik yang mencukupi untuk membantu mengecas bateri kereta. Ia sekali gus menyebabkan kereta tak boleh start disebabkan kekurangan kuasa.
Bateri Kong atau Alternator Rosak?
Sekiranya berdepan situasi kereta tak boleh start, kebanyakan pemilik kenderaan tidak pasti sama ada bateri kong atau alternator yang perlu digantikan. Jika anda berdepan situasi sebegini, hidupkan kereta anda. Jika enjin berjaya dihidupkan namun mati serta-merta selepas itu, ia menandakan kereta anda menghadapi masalah elektrik — alternator mungkin tidak membekalkan arus mencukupi untuk mengecas bateri. Namun sekiranya enjin kereta berjaya dihidupkan, tetapi kemudian tidak boleh dihidupkan semula menggunakan kuasanya sendiri, besar kemungkinan bateri kereta anda rosak dan perlu digantikan.
Anda juga boleh mempertimbangkan voltmeter untuk mengetahui sama ada bateri kereta atau alternator yang bermasalah. Voltmeter merupakan alat yang digunakan untuk mengukur perbezaan elektrik antara dua titik pada litar. Ia juga merupakan cara terpantas untuk mengesan kerosakan alternator kereta.
Artikel Berkaitan: Tanda Bateri Kereta Kong, Tip Penjagaan Bateri Kereta Anda Perlu Tahu
6. Komponen Elektrik Tidak Berfungsi Seperti Biasa
Memandangkan alternator merupakan sumber utama kuasa elektrik di dalam kereta, kegagalan komponen elektrik berfungsi seperti biasa merupakan antara petanda lain kerosakan alternator. Jika anda mendapati komponen elektrik kenderaan seperti power seats atau power windows tidak beroperasi seperti biasa atau beroperasi dengan lebih perlahan, besar kemungkinan ia disebabkan oleh alternator kereta. Komponen elektrik lain yang mungkin terjejas disebabkan oleh alternator antaranya power locks, wiper kereta dan heated seats. Tanpa sumber kuasa yang mencukupi, komponen elektrik ini biasanya tidak akan berfungsi seperti kebiasaan atau berhenti berfungsi secara tiba-tiba.
Punca Alternator Rosak, Bermasalah
Jangka hayat alternator biasanya tidak menentu – ada alternator kereta tidak memberikan sebarang masalah kepada pemilik sepanjang hayat kereta. Namun secara umumnya, jangka hayat alternator biasanya bergantung pada bebanan alternator, pulley serta tali sawat. Ada sesetengah alternator rosak selepas 50,000 km, manakala ada sesetengah alternator yang lain berfungsi seperti biasa sejauh 150,000 km tanpa sebarang masalah. Jika kereta anda sudah berusia, anda disarankan untuk memeriksa kapasiti voltan pengecasan – memadai sekitar 13.5 voltan dan beroperasi dengan lancar tanpa sebarang bunyi bising.
Carsome menyenaraikan faktor-faktor lain yang boleh mempengaruhi kerosakan alternator kereta rosak dengan lebih cepat seperti berikut:
- Kebocoran cecair pada alternator biasanya boleh menjejaskan prestasi keseluruhan alternator kereta. Biasanya, minyak enjin kereta atau cecair stereng kuasa atau power steering boleh masuk ke dalam alternator sekali gus menyebabkan kegagalan dan menjejaskan fungsinya.
- Tabiat pemanduan juga berpotensi menjejaskan dan memendekkan jangka hayat alternator. Sebagai contoh, jika enjin dibiarkan melahu (idling) dan dalam masa yang sama pelbagai aksesori kereta seperti radio digunakan, ia boleh meningkatkan bebanan alternator sekali gus meningkatkan risiko haus dan lusuh dengan lebih cepat.
- Kereta moden yang dilengkapi dengan pelbagai aksesori kereta seperti unit GPS, heated seats, power windows dan lain-lain terdedah kepada risiko alternator rosak yang lebih tinggi. Kesemua item elektrik ini perlu dikuasakan oleh alternator sekali gus meningkatkan bebanan yang perlu ditanggung.
- Alternator kereta terletak di bahagian bawah enjin – lokasi ini terdedah kepada risiko kerosakan disebabkan oleh air dan garam. Kedua-dua elemen ini boleh masuk ke dalam alternator dan menyebabkan kerosakan alternator.
Harga Alternator Kereta
Dari segi harga, kos penggantian dan pembaikan adalah berbeza bergantung pada tahun, model dan konfigurasi enjin kereta anda. Namun biasanya, harga alternator kereta adalah sekitar RM100 hingga RM300 dengan kos buruh sekitar RM50 hingga RM100 bergantung pada lokasi. Untuk Perodua Myvi misalnya, harga alternator Myvi adalah sekitar RM165 (varian Myvi 1.0), RM185 (varian Myvi 1.3) dan RM210 untuk varian Myvi 1.5. Namun begitu, harga ini mungkin berubah bergantung pada jenis alternator – alternator OEM, recon atau ori (harga alternator ori lebih mahal berbanding produk OEM).
Semoga perkongsian mengenai alternator ini boleh membantu anda mengenal pasti masalah yang berkaitan dengan sistem elektrik kenderaan anda. Sekiranya anda mengesan sebarang tanda alternator rosak, lakukan pemeriksaan dan penyelenggaraan segera untuk mengelakkan belanja dan kos pembaikan yang lebih besar. Selain itu, sekiranya anda merancang untuk beli kereta second hand atau jual kereta lama anda, layari laman web Carsome untuk info lanjut. Carsome merupakan platform jual beli kereta terpakai yang menawarkan rangkaian pilihan kereta terpakai yang berkualiti, terbaik dan selamat dengan harga yang berpatutan.