Tukul Cermin, ‘Dashcam’ serta Aksesori Kereta Lain Yang Perlu Ada dalam Kereta

Kita tidak boleh menjangkakan situasi kecemasan yang akan berlaku semasa berada di jalan raya. Namun begitu, kita boleh melakukan persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang tidak dapat dielakkan. Percaya atau tidak, kebanyakan situasi kerosakan kereta berlaku di kawasan yang gelap, semasa berkeseorangan dengan penerimaan signal telefon yang teruk! Sekiranya anda memandu atau memiliki kenderaan, anda disarankan untuk menyediakan aksesori kereta dan peralatan keselamatan penting ini dalam kereta anda sebelum bergerak ke mana-mana destinasi sebagai langkah pencegahan sekiranya berlaku insiden kecemasan.

9 Aksesori Kereta dan Peralatan Keselamatan Wajib Ada dalam Kenderaan

Kegagalan anda menyediakan aksesori kereta ini dalam kereta anda mungkin menyukarkan anda sekiranya berlaku sebarang situasi kecemasan. Oleh sebab itu, CARSOME menyenaraikan 9 aksesori kereta yang perlu ada di dalam kenderaan anda sebelum anda memulakan perjalanan untuk membantu memberi sedikit kelegaan jika berlaku situasi sebegini kepada anda.

item penting kenderaan - tukul cermin pelbagai guna

1. Tukul Cermin Pelbagai Fungsi

Alat keselamatan seperti tukul cermin perlu ada dan disimpan dalam kenderaan anda. Alatan ini mampu menyelamatkan nyawa sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini seperti kereta anda terhumban ke dalam laut atau sungai. Kebiasaannya, jika kenderaan anda terjunam ke dalam sungai, pintu tidak boleh dibuka disebabkan oleh tekanan air yang sangat kuat. Oleh itu, tukul cermin diperlukan untuk memecahkan cermin supaya anda dapat segera keluar dan menyelamatkan diri.

Kebanyakan tukul cermin yang dijual di pasaran pada ketika ini boleh didapati secara ‘tiga dalam satu’ atau ‘enam dalam satu’ bergantung pada keperluan anda. Ia turut dilengkapi dengan pemotong tali pinggang keledar dan lampu suluh kecil. Elakkan diri anda daripada terpedaya dengan hero filem yang mampu memecahkan cermin tanpa menggunakan sebarang objek. Ia mungkin berkesan, namun tidaklah sepantas dan semudah yang digambarkan.

2. Alat Pemadam Api

Alat pemadam api merupakan salah satu komponen penting yang perlu ada dalam semua kenderaan. Ia bukan sahaja boleh digunakan untuk memadamkan kebakaran yang melibatkan kereta anda, malah ia juga boleh digunakan untuk membantu mereka yang memerlukannya. Banyak kebakaran yang berlaku melibatkan kenderaan moden hari ini adalah disebabkan masalah litar pintas. Alat pemadam api 1 kg jenis serbuk kering (dry powder) sesuai digunakan untuk kenderaan persendirian. Alat ini sesuai diletakkan di bawah tempat duduk penumpang hadapan kerana ia senang dicapai jika berlaku kecemasan.

Elakkan daripada meletakkan pemadam api di dalam but atau di bawah tempat duduk pemandu. Ia boleh bergolek ke bahagian pedal yang mungkin boleh membahayakan anda. Alat pemadam api 1 kg dijual di pasaran pada harga bermula RM70, manakala alat pemadam api 2 kg (sesuai untuk kenderaan besar seperti lori tiga tan) dijual di pasaran pada harga bermula RM85.

3. Peti Pertolongan Cemas

Kebanyakan orang tidak mengendahkan kepentingan peti pertolongan cemas di dalam kenderaan terutamanya melibatkan perjalanan jarak jauh yang memakan masa. Peti pertolongan cemas memainkan peranan yang penting terutama bagi mereka yang berkeluarga dan mempunyai anak kecil. Alat bantuan kecemasan ini bukan sahaja dapat mengelakkan risiko kecederaan yang lebih teruk, malah dalam kes-kes tertentu boleh menyelamatkan nyawa. Berikut merupakan antara barangan yang perlu ada dalam peti bantuan kecemasan:

Kandungan dalam Peti Pertolongan Cemas

Berikut merupakan kandungan yang perlu ada dalam kit pertolongan cemas dalam kereta anda:

        1. Pembersih antiseptik ringan
        2. Kain kasa pengelap
        3. Kapas
        4. Gunting
        5. Pita pelekat
        6. Kain anduh tiga segi
        7. Pek penyejuk segera
        8. Sarung tangan
        9. Plaster
        10. Termometer
        11. Minyak/Minyak angin
        12. Ubat-ubatan ringan seperti panadol, ubat tahan sakit

Peti pertolongan cemas boleh didapati di mana-mana farmasi berdekatan anda dengan harga serendah RM30 hingga RM200 bergantung pada kualiti atau jenama. Namun begitu, anda disarankan untuk membeli peti pertolongan cemas bersaiz kecil supaya mudah disimpan di dalam kereta anda.

car jumper, kabel jumper kereta

4. Kabel ‘Jumper’ Kereta

Bateri kereta boleh mati tanpa mengira tempat dan masa. Oleh itu, untuk elakkan anda daripada tersadai di satu-satu lokasi dalam masa yang lama, anda boleh menggunakan kabel ‘jumper’ kereta sebagai alternatif untuk menghidupkan kembali kereta anda. Namun begitu, jika anda tidak pasti cara penggunaannya, anda boleh semak panduan pengendalian kabel ‘jumper’ kereta yang disertakan dalam buku panduan manual kenderaan anda. Kabel ini boleh dibeli di mana-mana kedai aksesori kereta atau mana-mana platform dalam talian dengan harga sekitar RM50. Malah, ada juga kabel ‘jumper’ kereta jenis mudah alih di pasaran yang hanya menggunakan ‘powerbank’  khas tanpa perlu menggunakan kuasa daripada kenderaan lain.

Artikel Berkaitan: Cara Jumper Bateri Kereta yang Betul, Senang dan Selamat

5. Kamera ‘Dashboard’ atau ‘Dashcam’ Kereta

Kamera ‘dashboard’ atau ‘dashcam’ kereta merupakan salah satu komponen penting yang perlu ada dalam setiap kenderaan. Ia berfungsi untuk merakamkan perjalanan anda dan kejadian-kejadian yang berlaku terutamanya jika anda terlibat dalam kemalangan jalan raya. Adakalanya, pemandu lain tidak mengakui kesalahan yang mereka lakukan dan meletakkan kesalahan tersebut di bahu anda. Faktor ini juga didorong oleh ketiadaan kamera jalan raya atau saksi yang sudi tampil membantu. Oleh itu, untuk mengelakkan perkara ini daripada berlaku, anda disarankan untuk memasang kamera ‘dashcam’ pada kereta anda supaya jika situasi seperti ini berlaku, anda ada bukti yang boleh mengukuhkan hujah anda.

6. Air Minuman Botol

Selain itu, air minuman botol juga perlu disimpan di dalam kereta untuk digunakan semasa kecemasan seperti menambahkan air ke dalam radiator atau sebagainya. Ia penting terutamanya melibatkan perjalanan jauh yang memakan masa. Bukan itu sahaja, anda juga disarankan untuk menyimpan botol kosong di dalam kenderaan anda. Botol kosong ini boleh digunakan untuk mengisi minyak jika kenderaan anda kehabisan minyak secara tiba-tiba.

Namun begitu, anda disarankan untuk menyimpan botol air di tempat yang selamat dan terlindung daripada cahaya matahari. Botol air boleh menghasilkan haba daripada cahaya matahari yang boleh menyebabkan kebakaran. Kita tidak mahu botol air yang ingin digunakan semasa kecemasan menjadi punca situasi kecemasan yang lain. Elakkan juga daripada meminum air daripada botol minuman ini kerana botol minuman yang terdedah kepada cahaya matahari boleh menghasilkan bahan kimia berbahaya yang boleh membahayakan kesihatan anda.

segi tiga amaran atau warning triangle

7. Segi Tiga Amaran

Segi tiga amaran (warning triangle kit) biasanya digunakan dalam situasi kecemasan atau kerosakan. Papan tanda dengan bahan pantulan merah ini biasanya diletakkan di sisi jalan (kira-kira 45 meter dari arah belakang kenderaan yang rosak atau kemalangan) sebagai tanda amaran kepada pengguna jalan raya yang lain. Negara-negara di Eropah seperti Austria, Sepanyol, Perancis, Belgium dan Itali mewajibkan penggunaan segi tiga amaran dalam situasi kecemasan atau kemalangan. Malah, pemandu boleh dikenakan kompaun jika tidak menggunakan alatan ini semasa kecemasan atau kemalangan.

8. Tayar Ganti dan ‘Jack & Lug Wrench’

Kerosakan tayar semasa dalam perjalanan disebabkan oleh tayar yang tidak diselenggara dan dijaga dengan baik boleh membantutkan perjalanan. Malah, ia turut menjejaskan dan merosakan mood percutian anda. Oleh sebab itu, penting untuk anda sediakan payung sebelum hujan. Tayar ganti atau ‘spare tyre’ merupakan komponen penting sekiranya anda ingin memulakan perjalanan jarak jauh. Lakukan pemeriksaan secara berkala untuk memastikan tayar ganti anda berada dalam keadaan baik dan boleh digunakan.

Periksa tekanan angin dan tahap kehausan bunga tayar anda. Tukar tayar ganti anda jika ia berada dalam keadaan yang tidak memuaskan. Selain itu, pastikan kelengkapan untuk menukar tayar ganti seperti ‘jack & lug wrench’ tersedia dalam kenderaan anda. Pastikan alatan-alatan ini berada dalam keadaan baik dan boleh digunakan. Jika anda menggunakan rim sport, pastikan nut khas untuk membuka rim ada bersama anda.

Artikel Berkaitan: Punca Kerosakan Tayar Kereta Yang Patut Anda Tahu

9. Alat Pengecas atau ‘Powerbank’

Sentiasa bawa ‘powerbank’ bersama-sama anda sebelum memulakan perjalanan jarak jauh. Adakalanya semasa kecemasan, telefon bimbit akan kehabisan bateri dan kita memerlukan sumber kuasa untuk mengecasnya. Oleh itu, penting untuk anda pastikan yang anda bawa bersama ‘powerbank’ yang telah dicas penuh sebelum memulakan perjalanan. Ini sekali gus membantu memudahkan anda untuk mendapatkan bantuan daripada pihak berkenaan, jika perlu.

Walaupun sesetengah model kereta mempunyai ‘built-in charger’ sebagai ciri standard, anda perlu juga memikirkan kebarangkalian lain yang boleh menghalang anda daripada menggunakannya. Oleh itu, penggunaan ‘powerbank’ merupakan alternatif terbaik untuk anda. Kami mengharapkan tip ini dapat membantu memudahkan perjalanan anda dan mengelakkan perkara-perkara luar jangka menjejaskan pengalaman pemanduan anda.

aksesori kereta yang perlu ada

Semoga perkongsian senarai aksesori penting kereta ini diharap dapat membantu anda sekiranya anda menghadapi masalah semasa berada di jalan raya. Sentiasa beringat dan berwaspada sepanjang pemanduan untuk mengelakkan sebarang insiden atau kejadian yang tidak diingini. Apa yang penting, pandu dengan cermat dan sentiasa berhati-hati di jalan raya.

Selain itu, jika anda sedang mempertimbangkan untuk menjual kereta lama dan berminat untuk mendapatkan kereta terpakai baharu, layari laman web CARSOME untuk info lanjut. CARSOME merupakan platform jual beli kereta terpakai yang menawarkan tawaran harga terbaik dengan perkhidmatan yang mudah, cekap dan pantas.