Kebanyakan kenderaan moden hari ini dilengkapi dengan pelbagai jenis lampu amaran kereta. Lampu amaran ini berfungsi memberi amaran dan biasanya akan menyala sekiranya sistem mengesan sebarang masalah pada mana-mana komponen penting kenderaan. Secara amnya, terdapat beberapa jenis lampu amaran kereta yang biasa ditemui, dan biasanya setiap jenis lampu amaran ini dibezakan mengikut kategori warna bergantung pada tahap keseriusan masalah – merah, amber, hijau dan biru.
Secara amnya, lampu amaran bertindak sebagai orang tengah antara kereta dan pemilik kenderaan. Ia berfungsi menyampaikan mesej tertentu kepada pemilik sekiranya berlaku sesuatu yang tidak kena pada mana-mana komponen kereta. Biasanya, lampu amaran akan menyala buat beberapa saat setelah enjin kereta dihidupkan dan akan terpadam setelah beberapa ketika. Namun sekiranya ia masih menyala setelah beberapa ketika, ia mungkin menandakan masalah tertentu pada mana-mana komponen kereta anda.
Apa Tanda Lampu Amaran Kereta Menyala dan Apa Tindakan yang Perlu Saya Lakukan?
Secara amnya, lampu amaran pada dashboard kereta terdiri daripada setiap warna yang berbeza yang menandakan tahap keseriusan masalah. Lampu amaran berwarna hijau dan biru menandakan ada fungsi tertentu kereta yang sedang digunakan seperti lampu depan atau fungsi cruise control. Lampu amaran berwarna amber pula menandakan risiko bahaya atau amaran tahap rendah – anda masih lagi boleh meneruskan pemanduan seperti biasa. Namun begitu, anda disarankan untuk memeriksa dan menyelenggara kereta anda secepat mungkin untuk kepastian.
Lampu dashboard menyala berwarna merah pula menandakan tahap keseriusan masalah dan risiko bahaya tahap tinggi. Dalam erti kata lain, ia menandakan terdapat masalah atau kerosakan serius pada komponen utama kereta. Ini bermaksud anda tidak boleh boleh mengambil mudah dan mengabaikannya – berhentikan kereta anda di lokasi yang selamat. Jika kereta masih boleh dipandu, segera bawa kereta anda ke bengkel berdekatan untuk pemeriksaan lanjut. Lampu amaran kereta seperti lampu amaran suhu enjin, lampu amaran minyak enjin, lampu amaran brek tangan merupakan antara lampu amaran kereta (tahap serius) yang sering ditemui.
Oleh sebab itu, penting untuk anda memahami punca lampu minyak enjin menyala (termasuk lampu amaran brek tangan dan lampu amaran suhu enjin) serta langkah pencegahan yang boleh anda lakukan. Jika diabaikan, masalah kecil ini boleh menjadi lebih besar dan menyebabkan kos pembaikan dan penyelenggaraan yang lebih tinggi.
Cepat Berhenti! Jangan Drive Kereta Anda Sekiranya 3 Lampu Dashboard Menyala
Lampu amaran yang menyala pada dashboard kereta boleh membantu anda mengenal pasti sebarang masalah atau punca kerosakan kereta yang mungkin boleh menjejaskan keselamatan anda. Lampu amaran berwarna merah misalnya, menandakan kereta anda menghadapi masalah atau kerosakan pada mana-mana komponen utama yang memerlukan pemeriksaan dan pemerhatian segera. Panduan berikut boleh membantu anda memahami tiga simbol penunjuk amaran berwarna merah yang biasa anda temui pada dashboard kereta anda:
1. Lampu Amaran Suhu Enjin
Jika anda mendapati lampu amaran suhu enjin menyala (atau lampu overheat menyala) pada dashboard kereta anda, anda disarankan untuk segera memeriksa kereta anda meskipun anda tidak mengesan sebarang permasalahan semasa memandu. Ini kerana, penunjuk amaran ini biasanya menyala sebagai amaran terhadap masalah atau kerosakan yang mungkin berlaku pada bahagian enjin kenderaan. Ia mungkin menyala disebabkan oleh kerosakan pada sensor amaran atau permasalahan lain yang memerlukan pemerhatian serius.
Punca Lampu Amaran Suhu Enjin Menyala: Enjin kereta overheat atau terlalu panas.
Apa Yang Perlu Dilakukan: Berhentikan kereta di lokasi selamat. Matikan enjin dan biarkan enjin kereta sejuk buat seketika untuk mengelakkan kerosakan enjin yang lebih serius.
Punca Enjin Kereta Overheat
Enjin kereta overheat biasanya berlaku disebabkan oleh beberapa faktor. Oleh sebab itu, pemeriksaan segera perlu dilakukan untuk mengesan punca kerosakan dan mengelakkan kerosakan yang lebih serius. Berikut merupakan antara punca biasa yang menyebabkan enjin kereta overheat:
-
- Cecair penyejuk kereta yang rendah. Kebanyakan kereta moden hari ini dilengkapi dengan sistem penyejukan bagi menghalang kereta daripada mengalami kepanasan lampau. Kandungan cecair penyejuk yang rendah boleh menyebabkan enjin kereta overheat.
- Sistem penyejukan bocor. Kebocoran cecair penyejuk boleh berlaku disebabkan oleh penutup radiator yang longgar atau kebocoran pada bahagian dalaman atau luaran sistem.
- Thermostat tidak berfungsi. Fungsi thermostat kereta adalah untuk mengawal suhu kereta. Jika komponen ini rosak, ia biasanya akan memaparkan bacaan salah (false reading) dan jika dibiarkan boleh menyebabkan enjin kereta berasap.
2. Lampu Amaran Brek Tangan
Selain tanda seru (!), ada sesetengah model kereta memaparkan huruf ‘P’ pada dashboard kereta sebagai tanda oenunjuk amaran brek tangan menyala. Lampu amaran brek tangan biasanya akan menyala sekiranya anda tidak melepaskan brek tangan kereta anda dengan sempurna. Ia biasanya akan terpadam setelah brek tangan dilepaskan sepenuhnya. Namun sekiranya lampu ini masih lagi menyala setelah brek tangan kereta anda dijatuhkan atau menyala secara tiba-tiba semasa memandu, berhentikan kereta anda dan minta bantuan dengan segera.
Jika lampu amaran ini menyala semasa anda memandu, ia mungkin berlaku disebabkan oleh paras cecair minyak brek yang terlalu rendah atau disebabkan oleh sensor pad brek yang telah rosak. Dalam sesetengah keadaan, ia mungkin juga berlaku disebabkan oleh permasalahan pada sistem brek kereta anda. Jika pedal brek terasa spongy atau tenggelam sepenuhnya ketika ditekan – ia menandakan masalah kritikal pada sistem brek yang memerlukan pembaikan segera.
Punca Lampu Amaran Brek Tangan Menyala: Brek tangan tidak dilepaskan sepenuhnya atau paras cecair minyak brek terlalu rendah.
Apa Yang Perlu Dilakukan: Jika lampu amaran ini berkelip-kelip atau menyala kemudian terpadam setelah beberapa ketika, bawa kereta anda ke bengkel secepat mungkin untuk pemeriksaan.
3. Lampu Amaran Tekanan Minyak Enjin
Lampu amaran minyak enjin merupakan salah satu lampu amaran yang memerlukan pemerhatian serius anda. Kenapa lampu minyak enjin menyala? Biasanya, lampu amaran tekanan enjin ini akan menyala sekiranya sistem mengesan sebarang permasalahan pada sistem tekanan minyak enjin. Secara amnya, tekanan minyak enjin yang dijana oleh pam minyak (fuel pump kereta) memastikan minyak enjin diedarkan ke seluruh bahagian enjin mengikut kuantiti yang diperlukan. Masalah seperti kebocoran, fuel pump kereta rosak atau kuantiti minyak enjin yang terlalu sedikit boleh menyebabkan lampu minyak enjin menyala.
Punca Lampu Minyak Enjin Menyala: Paras minyak enjin terlalu rendah atau permasalahan pada sistem tekanan minyak enjin.
Apa Yang Perlu Dilakukan: Berhentikan kereta di lokasi selamat, matikan enjin dengan segera dan hubungi mekanik kereta anda untuk pemeriksaan lanjut bagi mengelakkan kerosakan yang lebih serius.
Artikel Berkaitan: Lampu ABS Menyala? 5 Punca, Perkara Yang Perlu Anda Tahu Mengenai Lampu ABS
Secara amnya, anda disarankan untuk memberi perhatian yang serius terhadap lampu warning kereta anda. Selain dapat mengelakkan kos pembaikan yang lebih tinggi dan kerosakan kereta yang lebih teruk, ia juga dapat menjamin keselamatan anda sepanjang pemanduan. Selain itu, sekiranya anda merancang untuk membeli kereta terpakai atau menjual kereta terpakai lama, layari laman web Carsome untuk info lanjut. Carsome merupakan platform jual beli kereta terpakai yang menawarkan rangkaian pilihan kereta terpakai yang berkualiti, terbaik dan selamat dengan harga yang berpatutan.