HomeBMFuel Pump Rosak? Ini Tanda Fuel Pump Rosak yang Perlu Anda Tahu

Fuel Pump Rosak? Ini Tanda Fuel Pump Rosak yang Perlu Anda Tahu

Fuel pump atau pam minyak memainkan peranan penting dalam sistem pembakaran bahan api. Pam minyak bertanggungjawab membekalkan amaun bahan api yang mencukupi dari tangki minyak ke silinder enjin pada tekanan yang tetap. Ia sekali gus memastikan enjin kereta dapat beroperasi dan berfungsi dengan baik. Pam minyak atau fuel pump rosak bukanlah suatu masalah yang boleh dipandang ringan. Secara umumnya, pam minyak kereta anda boleh haus atau lusuh dan boleh menyebabkan kerosakan yang serius pada kereta anda selari dengan kekerapan penggunaan. Oleh sebab itu, penting untuk anda membiasakan diri dengan fungsi, simptom dan tanda fuel pump rosak.

tanda fuel pump rosak

Fungsi Fuel Pump

Fuel pump atau pam minyak merupakan salah satu komponen penting kenderaan yang berfungsi menolak dan membekal amaun bahan api yang diperlukan oleh enjin pada tekanan yang tetap. Ia secara tidak langsung memastikan enjin kereta berada dalam keadaan baik dan dapat beroperasi dengan lancar. Bagi model kenderaan lama, fuel pump mekanikal akan digunakan, manakala kenderaan moden menggunakan fuel pump elektrikal.

Meskipun menggunakan mekanisme yang berbeza, fuel pump menjalankan fungsi yang sama iaitu menghantar bahan api seperti petrol atau diesel dari tangki minyak melalui penapis bahan api ke rel sistem bahan api. Ia kemudiannya akan diagihkan ke injector atau penyuntik sebelum dipindahkan ke setiap ruang pembakaran silinder enjin. Bagi model kenderaan lama, pam akan menghantar bahan api ke karburator untuk proses selanjutnya.

Jenis Fuel Pump

Secara amnya, terdapat dua jenis fuel pump yang biasa digunakan oleh kenderaan–fuel pump mekanikal dan elektrikal. Pam minyak mekanikal biasanya digunakan oleh kenderaan lama, manakala pam minyak elektrikal biasanya digunakan oleh kenderaan yang lebih moden.

i. Fuel pump mekanikal

Komponen ini biasanya ditemui pada blok enjin kereta lama–ia beroperasi menggunakan tenaga yang dihasilkan oleh gerakan enjin. Pam jenis ini mempunyai diafragma yang berada pada bahagian luar tangki minyak dan membekalkan enjin dengan bahan api pada tekanan rendah. Secara amnya, kebanyakan masalah yang berlaku pada pam jenis ini disebabkan oleh kerosakan pada bahagian diafragma. Oleh sebab itu, kebanyakan masalah kerosakan pam mekanikal mudah dikenal pasti dan dibaiki.

ii. Fuel pump elektrikal

Komponen ini terletak di bahagian dalam tangki minyak untuk membekalkan bahan api ke bahagian enjin pada tekanan tinggi menggunakan motor elektromagnetik. Pam elektronik secara amnya lebih kompleks–kebanyakan masalah kerosakan pada pam jenis ini sukar untuk dikenal pasti dan dibaiki. Ini kerana, pam elektrikal terdiri daripada beberapa komponen tertentu, jika salah satu daripada komponen ini bermasalah, ia menyukarkan proses mengenal pasti punca kerosakan. Berikut merupakan antara jenis pam elektrikal yang biasa digunakan:

  1. In-tank – Kebanyakan kenderaan moden hari ini menggunakan fuel pump yang terletak di bahagian dalam tangki minyak. Ia secara tidak langsung membantu melindungi modul dan membantu memastikannya berada pada suhu yang ideal.
  2. Inline – Komponen ini lebih mudah untuk digantikan berbanding in-tank. Pam jenis ini terletak di antara tangki minyak dan enjin sama ada di bahagian bawah kereta atau ruang enjin pada rel sistem bahan api.
  3. Rotary vane – Sama seperti pam mekanikal, rotary vane menggunakan sesar positif atau positive displacement untuk menggerakkan bahan api. Rotor dengan dayung beroperasi di luar pusat di dalam rongga (cavity).
  4. Gerotor – Pam gerotor juga turut menggunakan sesar positif tetapi menggunakan bahagian yang berbeza. Ia mengandungi dua gear memanca (interlocking gear)–gear dalaman bergigi dan gear gelang luar dengan cuping melengkung halus.

Tanda Fuel Pump Rosak atau Bermasalah

Secara amnya, kedua-dua jenis fuel pump boleh rosak disebabkan oleh masalah atau punca yang berbeza. Namun begitu, kedua-dua jenis fuel pump ini menunjukkan simptom atau tanda fuel pump rosak bagi yang sama. Jika anda mengesan sebarang tanda fuel pump rosak semasa memandu, anda disarankan untuk memeriksa dan menggantikan fuel pump kereta anda dengan segera:

Kereta Anda Tersentak pada Kelajuan Tinggi

Sekiranya anda sedang memandu dan mendapati enjin kereta anda sputter atau jerk terutamanya pada kelajuan tinggi, kereta anda mungkin mengalami masalah kerosakan pam minyak. Masalah ini berlaku disebabkan pam minyak tidak dapat mengalirkan bahan api yang secukupnya ke bahagian bahagian enjin. Namun sebaliknya, enjin yang sepatutnya menerima bahan api hanya menerima udara.

Gangguan aliran bahan api ini secara tidak langsung menyebabkan enjin melangkau beberapa stroke kuasa lalu menyebabkan enjin tersedak atau tersentak. Biasanya, masalah enjin tersentak atau tersedak ini berlaku selama seminit atau lebih pada peringkat awal kerosakan sebelum kembali beroperasi seperti biasa.

Kereta Hilang Kuasa Semasa Memecut

Sekiranya anda menyedari bahawa kereta anda sering kehilangan kuasa ketika cuba memecut dari 0 km/j, ia menandakan fuel pump kereta anda mungkin menghadapi masalah. Secara amnya, proses memecut memerlukan lebih banyak bahan api sekali gus memaksa pam minyak kereta anda berkerja dengan lebih keras. Sekiranya pam kereta anda rosak, ia mungkin tidak dapat memenuhi permintaan operasi ini sekali gus menyebabkan enjin kehilangan kuasa semasa memecut. Jika situasi ini berlaku, anda mungkin perlu memeriksa fuel pump kereta anda dengan segera.

Enjin Kereta Kehilangan Kuasa Semasa Menaiki Bukit atau Membawa Bebanan

Situasi pemanduan tertentu seperti memandu di kawasan berbukit atau membawa bebanan yang berlebihan boleh memberi tekanan kepada bahagian enjin kereta anda. Ia secara tidak langsung memaksa enjin menggunakan lebih banyak bahan api untuk menghasilkan prestasi pemanduan yang sama seperti pemanduan biasa. Sekiranya fuel pump atau pam minyak kereta anda rosak atau tidak berada dalam keadaan baik, ia semestinya tidak dapat memenuhi peningkatan permintaan bahan api ini.

Malah, ia juga meningkatkan tekanan pada pam minyak yang sekali gus mengakibatkan enjin kehilangan kuasa kerana tidak dapat membekalkan aliran bahan api yang stabil ke bahagian enjin.

Kereta Anda Tidak Dapat Dihidupkan

Sekiranya tanda fuel pump rosak diabaikan, ia boleh menyebabkan kos pembaikan yang lebih tinggi dan kerosakan yang lebih serius. Fuel pump yang rosak tidak dapat mengepam bahan api yang mencukupi ke bahagian enjin anda sekali gus menyebabkan enjin kereta sukar untuk dihidupkan. Anda mungkin hanya mendengar spark plug atau palam pencucuh anda menyala, namun oleh sebab tiada bahan api berjaya dipam masuk, enjin tidak dapat dihidupkan.

Untuk mengesahkan masalah enjin kereta tidak boleh dihidupkan berpunca daripada fuel pump yang rosak, periksa tekanan dalam saluran bahan api dengan menggunakan alat pengukur tekanan bahan api. Jika bacaan sifar, besar kemungkinan fuel pump kereta anda telah rosak. Selain itu, anda juga boleh memeriksa kotak fius kereta anda; ia mungkin salah satu sebab enjin kereta anda tidak boleh dihidupkan.

Artikel Berkaitan: Kereta Tak Boleh Start Bunyi Tik Tik? 7 Punca Kereta Tak Boleh Start yang Perlu Anda Tahu

Kuasa Enjin Kereta Naik Turun Secara Mengejut

Selain itu, jika anda mendapati kereta anda memecut secara tiba-tiba meskipun anda tidak menekan pedal minyak, ia mungkin menandakan fuel pump kereta anda rosak. Keadaan ini yang juga turut dikenali sebagai surging berlaku disebabkan tekanan dalam saluran bahan api yang tidak konsisten. Ini kerana, motor pam minyak berusaha menolak permintaan berterusan untuk bekalan bahan api oleh enjin kereta.

tanda relay fuel pump rosak

Tanda Relay Fuel Pump Rosak atau Bermasalah

Relay fuel pump merupakan komponen elektronik yang terdapat pada hampir semua kenderaan yang dilengkapi dengan enjin pembakaran dalaman. Ia biasanya terletak pada bahagian kotak fius dalam ruang enjin dan berfungsi sebagai suis elektronik utama yang mengawal kuasa ke pam minyak. Apabila relay dihidupkan, ia akan membekalkan arus kepada fuel pump supaya ia dapat menjalankan fungsinya.

Oleh sebab itu, jika komponen relay fuel pump rosak, ia boleh menyebabkan masalah pada pam minyak kereta anda. Biasanya, relay fuel pump rosak akan menunjukkan beberapa simptom atau tanda-tanda kerosakan seperti berikut:

Enjin Pegun atau Stall

Sekiranya relay fuel pump mengalami masalah semasa kenderaan beroperasi, ia akan memutuskan aliran kuasa ke pam minyak sekali gus menyebabkan enjin berhenti. Kereta mungkin boleh dihidupkan semula selepas beberapa ketika, namun begitu ia bergantung sepenuhnya pada tahap kerosakan relay.

Enjin Kereta Tidak Hidup

Sekiranya relay fuel pump rosak, enjin kereta tidak dapat dihidupkan kerana kekurangan bahan api. Namun begitu, masalah ini mungkin juga berpunca daripada masalah komponen yang lain. Anda disarankan untuk lakukan pemeriksaan segera untuk mengenal pasti punca sebenar.

Tiada Bunyi Dihasilkan

Kebanyakan fuel pump akan menghasilkan bunyi hum atau whine yang dapat didengari dari dalam ruang kabin atau dari bahagian luar berhampiran tangki minyak jika diamati. Sekiranya relay fuel pump rosak, ia akan memutuskan kuasa ke pam minyak sekali gus menyebabkannya tidak menghasilkan sebarang bunyi kerana tidak beroperasi.

Apa yang Perlu Dilakukan Jika Fuel Pump Rosak?

Fuel pump atau pam minyak merupakan antara elemen penting komponen dalaman kereta anda. Ia berfungsi membekalkan bahan api yang diperlukan oleh enjin dengan konsisten bagi membolehkan enjin kereta beroperasi dengan baik. Sekiranya kereta anda menghadapi masalah kuasa yang lemah dan tidak konsisten, ia mungkin menandakan anda perlu menggantikan fuel pump kereta anda dengan segera.

Bila Pam Minyak Perlu Digantikan?

Fuel pump mengalami kehausan dan kerosakan bergantung pada tempoh masa dan cara penggunaan. Secara amnya, komponen ini bukan sebahagian daripada komponen yang perlu digantikan mengikut jadual penyelenggaraan biasa. Fuel pump hanya perlu digantikan apabila ia menunjukkan tanda-tanda kerosakan. Secara purata, jangka hayat penggunaan fuel pump boleh bertahan sehingga lebih 150,000 km.

Berapa Kos Penggantian Pam Minyak?

Kos penggantian fuel pump boleh menelan belanja antara RM180 hingga RM300 (atau mungkin lebih) bergantung pada jenis dan model serta usia kereta.

Bagaimana Pastikan Pam Minyak Berada dalam Keadaan Baik?

Langkah-langkah ini mungkin boleh membantu memanjangkan jangka hayat fuel pump kereta anda:

    • Tukar penapis bahan bakar mengikut garis masa yang disyorkan oleh pengeluar. Penapis yang tersumbat memberi tekanan yang tidak diperlukan dalam sistem pembakaran bahan api.
    • Pastikan minyak berada pada tahap yang ideal dalam tangki kereta anda. Bagi fuel pump in-tank misalnya, petrol berfungsi sebagai penyejuk. Sekiranya minyak berada pada tahan yang rendah, ia secara tidak langsung menyebabkan fuel pump menahan haba tambahan yang boleh merosakkannya.

Elemen paling penting dalam mengenal pasti masalah kereta adalah dengan mendengar dan memahami cara setiap satu komponen kereta berfungsi dan beroperas dalam penggunaan biasa. Dengan pengetahuan asas ini, anda secara tidak langsung dapat mengesan simptom-simptom yang lain daripada kebiasaan. Selain itu, sekiranya anda merancang untuk beli kereta terpakai atau jual kereta terpakai lama anda, layari laman web Carsome untuk info lanjut. Carsome merupakan platform jual beli kereta terpakai yang menawarkan pelbagai pilihan kereta terpakai yang berkualiti pada harga yang berpatutan.

Haziq Asyraf
Haziq Asyraf
A self-proclaimed foodie and gamer whose passion for food and games has recently extended to cars.
RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular