HomeBMKereta Tak Boleh Start? Jangan Panik, 5 Punca Kereta Tak Boleh Start...

Kereta Tak Boleh Start? Jangan Panik, 5 Punca Kereta Tak Boleh Start Yang Perlu Anda Tahu

Pernah tak anda berada dalam situasi kereta tak boleh start atau sukar untuk dihidupkan sebelum ke tempat kerja, menghantar anak ke sekolah atau ketika ada urusan penting lain? 

Biasanya, masalah kereta tak boleh hidup atau start disebabkan oleh servis kereta yang tidak dibuat mengikut jadual. Memandu kereta tanpa penggantian bahagian atau komponen tertentu dalam kereta yang bermasalah turut menyebabkan permasalah ini. Masalah sebegini biasanya terjadi secara tiba-tiba. 

Senarai Kandungan


Start Kereta Tak Hidup:
Kenapa Kereta Tak Boleh Start?

Situasi kereta tak boleh start atau kereta sukar dihidupkan merupakan antara masalah yang biasa berlaku. Secara amnya, banyak punca yang boleh menyebabkan masalah kereta tak boleh start berlaku. 

Dalam kes-kes tertentu, situasi ini disebabkan oleh masalah biasa yang boleh dibaiki dengan sendiri. Namun dalam situasi permasalah yang sedikit complicated, anda perlu menghantar kereta ke bengkel untuk diperiksa. 

Punca kereta tak boleh start boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu– boleh dibaiki sendiri di rumah atau perlu diperiksa di bengkel.

Kereta Tak Boleh Start – Baiki Sendiri Kereta

Jika kereta anda tidak boleh dihidupkan, anda boleh periksa sendiri kereta anda untuk mengetahui punca-puncanya. Berikut merupakan antara punca kereta sukar untuk dihidupkan yang boleh dilakukan sendiri secara DIY di rumah:

1. Gear Pada Kedudukan ‘D’

Walaupun kedengaran agak kelakar, kes sebegini biasa berlaku dalam kalangan pengguna kereta. Mereka beranggapan bahawa kereta mereka sukar untuk dihidupkan disebabkan oleh masalah bateri ‘kong’, tetapi sebenarnya disebabkan oleh kedudukan gear yang salah.

Artikel berkaitan: Masalah Gearbox Kereta: Tanda Gearbox Kereta Auto Rosak yang Perlu Anda Tahu

Situasi sebegini biasa berlaku kerana pemandu tergesa-gesa atau ingin cepat sehingga terlupa meletakkan gear pada kedudukan ‘P’ semasa parkir kereta. Jika anda menggunakan kereta dengan transmisi automatik dan kereta anda tiba-tiba tidak boleh dihidupkan, perkara pertama yang boleh anda lakukan ialah periksa kedudukan gear kereta anda terlebih dahulu untuk kepastian.

2. Bateri Kereta Habis atau Lemah

Bateri kereta berfungsi membekalkan kuasa elektrik untuk menghidupkan enjin kereta. Kebanyakan kereta moden hari ini dilengkapi dengan pelbagai peralatan elektronik seperti sensor, radio, skrin LCD dan sebagainya yang meningkatkan penggunaan bateri kereta. 

Masalah kereta tak boleh start biasanya berpunca daripada bateri kereta telah habis atau sudah lemah. Biasanya, bateri kereta akan menunjukkan tanda bateri kereta semakin melemah selepas 12 hingga 15 bulan penggunaan.

Anda boleh tahu punca kereta tak boleh start melalui bunyi yang dihasilkan – kereta tak boleh dihidupkan bunyi ‘tik…tik…’ atau ‘tak…tak…’. Masalah bateri ini berlaku mungkin disebabkan oleh pemilik kenderaan terlupa untuk mematikan lampu kereta atau kereta telah tersadai lama. 

Walau bagaimanapun, sekiranya bateri masih lagi baharu tapi kereta tetap tak boleh dihidupkan (kurang daripada setahun), anda mungkin boleh cuba untuk jump start bateri kereta. Pastikan anda mengamalkan cara jumper bateri kereta yang betul untuk mengelakkan litar pintas.

3. Bateri Rosak

Ada kemungkinan situasi ini berlaku disebabkan oleh bateri rosak . Biasanya, bateri kereta diberikan waranti minimum selama setahun atau 25,000 km. Sekiranya penggunaan bateri kurang daripada setahun dan jarak pemanduan kurang daripada 25,000 km, anda boleh menuntut waranti bateri daripada bengkel atau pusat servis. Anda disarankan untuk menyimpan resit pembelian sebagai bukti untuk proses tuntutan waranti.

Tetapi sekiranya bateri kereta sudah lama (lebih daripada setahun), besar kemungkinan bateri kereta anda perlu digantikan kerana sudah habis. Anda boleh mencabut bateri kereta dan mengecas bateri kereta tersebut di bengkel berdekatan. 

Walaupun telah dicas, bateri yang sudah berusia akan menjadi lemah semula selepas beberapa hari. Dapatkan nasihat mekanik anda. Mekanik akan memeriksa sama ada bateri kereta perlu digantikan atau tidak dengan menggunakan alatan khas.

Artikel Berkaitan: Panduan Beli Bateri Untuk Kereta Axia

Kereta Tak Boleh Start – Bawa Kereta ke Bengkel untuk Pemeriksaan

Namun begitu, jika kerosakan yang ada terlalu serius, anda disarankan untuk membawa kereta anda ke bengkel berdekatan untuk pemeriksaan lanjut. Cara ini juga dapat mengelakkan anda daripada mengeluarkan belanja yang lebih besar sekiranya kerosakan yang lebih serius berlaku.

1. Alternator Rosak

Jika bateri kereta anda telah ‘habis’ walaupun anda baru sahaja menggantikan bateri baharu, besar kemungkinan alternator kereta anda sudah rosak. Secara amnya, alternator memainkan peranan yang penting dalam sistem operasi kenderaan, ia berfungsi membekalkan cas elektrik kepada komponen kereta seperti radio, lampu, wiper dan sebagainya selain mengecas semula bateri dan menukarkan tenaga mekanikal kepada tenaga elektrik. 

Tanda Alternator Rosak

Berikut merupakan antara tanda-tanda yang boleh membantu anda mengesan alternator kereta yang rosak:

  1. Lampu amaran simbol bateri menyala.
  2. Lampu utama atau lampu hadapan kereta menjadi malap.
  3. Bateri kereta kong.
  4. Bunyi pelik tidak seperti kebiasaan di bahagian enjin atau terdapat bau getah terbakar.
  5. Tiada masalah kerosakan atau sambungan terminal bateri yang longgar, tetapi bateri masih kehilangan kuasa.

Alternator yang rosak boleh menyebabkan kereta tidak boleh dihidupkan. Bawa kereta anda ke bengkel atau kedai bateri berhampiran untuk pemeriksaan. Bacaan voltan dan arus elektrik akan dilakukan untuk mengetahui sama ada alternator kereta berada dalam keadaan baik atau tidak – undervoltage atau overvoltage menandakan tahap kerosakan alternator kereta anda.

2. Palam Pencucuh atau Spark Plug Rosak

Palam pencucuh atau spark plug boleh dianggap sebagai unsung hero dalam komponen kereta. Ia merupakan komponen penting dalam sistem pembakaran kereta yang berfungsi menyalakan campuran udara dan bahan bakar dalam silinder enjin kereta anda sekali gus membolehkan kereta anda boleh dihidupkan dan bergerak. 

Jika kereta anda tidak boleh dihidupkan, ini bermakna palam pencucuh mungkin mengalami masalah. Pemeriksaan spark plug secara berkala penting untuk mengelakkan kerosakan yang lebih serius. Harga untuk penggantian spark plug kereta bergantung pada jenis dan model kereta.

Artikel berkaitan: Nikel Atau Iridium: Palam Pencucuh Yang Mana Sesuai Untuk Kereta Anda

Berikut merupakan antara tanda-tanda yang boleh membantu anda mengesan kerosakan spark plug kereta anda:

  1. Pembakaran enjin tidak stabil terutama semasa berhenti (idling).
  2. Enjin berbunyi bising dan tidak seperti kebiasaan.
  3. Enjin sukar untuk dihidupkan terutamanya pada waktu pagi.
  4. Penggunaan bahan api yang tinggi.
  5. Enjin mengalami pembakaran yang tidak sekata (misfires).
  6. Kuasa pecutan berkurangan, enjin semput.

Kebiasaannya, penggantian komponen ini akan dilakukan setelah mengambil kira saranan daripada mekanik terutamanya apabila keadaan elektrod pada spark plug terlalu berminyak atau tebal dengan karbon. Secara purata, jangka hayat spark plug boleh bertahan sehingga 45,000 km atau perlu digantikan setiap empat hingga lima kali penyelenggaraan enjin. 

Namun begitu, jangka hayat ini mungkin berkurangan bergantung pada cara pemanduan. Cara pemanduan yang lebih agresif boleh menyebabkan pembentukan minyak dan karbon yang lebih cepat berbanding pemanduan biasa.

3. Crank Sensor Enjin Kereta Rosak

Secara amnya, crank sensor merupakan komponen elektronik yang digunakan dalam enjin pembakaran dalaman sama ada petrol atau diesel untuk memantau kedudukan dan kelajuan putaran crankshaft. Maklumat ini akan digunakan oleh sistem pengurusan enjin (EMS) untuk mengawal suntikan bahan bakar atau pemasaan sistem pencucuhan dan parameter enjin yang lain. 

Oleh sebab itu, kegagalan pada sensor ini untuk menghantar isyarat dan maklumat yang tepat boleh menyebabkan proses pembakaran enjin terganggu sekali gus menyebabkan enjin kereta sukar untuk dihidupkan.

4. ECU Kereta Tidak Berfungsi dengan Baik

Electronic Control Unit (ECU) atau Unit Kawalan Elektronik kereta merupakan peranti kecil yang tersedia dalam kenderaan yang bertanggungjawab untuk mengawal fungsi-fungsi tertentu. Ia berfungsi mengawal sistem penting kenderaan antaranya kawalan enjin dan stereng kereta, tingkap kuasa, kunci pintu dan sebagainya termasuk beg udara dan sistem keselamatan asas seperti brek kecemasan automatik. Dalam erti kata lain, ECU kereta memainkan fungsi yang sama seperti CPU dalam komputer.

Sumber: How Stuff Works

Tanda ECU Kereta Rosak

ECU boleh diibaratkan seperti otak kereta yang berfungsi sebagai pusat kawalan yang mengawal aktiviti komponen elektronik kereta. Berikut merupakan antara tanda-tanda ECU kereta rosak untuk panduan dan rujukan anda:

  1. Kereta sukar untuk dihidupkan.
  2. Peningkatan penggunaan bahan bakar atau petrol.
  3. Kuasa enjin berkurangan.
  4. Lampu amaran check engine menyala.

5. Masalah Starter Kereta Rosak

Starter atau starter kereta merupakan peranti elektrik yang digunakan untuk memutarkan (crank) enjin pembakaran dalaman untuk memulakan operasi enjin dengan kuasanya sendiri. Sebaik sahaja enjin beroperasi, enjin akan memutuskan sambungan dengan komponen ini dan bergantung sepenuhnya pada proses pembakaran kereta. Ini bermaksud, starter kereta secara amnya berfungsi menghidupkan kereta dan menggerakkan piston dalam sistem pembakaran dalaman sehingga dapat beroperasi sendiri.

Sumber: Dubizzle

Kebiasaannya, bahagian enjin kereta akan menghasilkan bunyi crank semasa kereta dihidupkan. Jika bunyi ini tidak kedengaran, besar kemungkinan starter kereta anda mungkin sudah rosak dan perlu digantikan. Anda boleh mengesan tanda-tanda awal kerosakan starter kereta seperti berikut:

Tanda Starter Kereta Rosak

Berikut merupakan antara simptom starter kereta yang rosak untuk membantu memudahkan urusan anda:

  1. Tiada pergerakan enjin atau apa-apa berlaku semasa enjin kereta dihidupkan. Dalam erti kata lain, kereta boleh dihidupkan tapi tak berfungsi– ada bunyi starter diaktifkan, tetapi enjin tidak beroperasi.
  2. Kereta tak boleh start, tetapi lampu pada meter dashboard menyala.
  3. Kereta menghasilkan bunyi pelik semasa dihidupkan – kereta tak boleh start bunyi ‘tik…tik…’ atau kereta tak boleh start bunyi ‘tak…tak…’.
  4. Bahagian enjin kereta berasap atau berbau terbakar semasa menghidupkan enjin.

Semoga perkongsian ini dapat membantu mengurangkan situasi panik atau setidak-tidaknya dapat menenangkan fikiran anda sekiranya berdepan dengan situasi kereta tidak boleh start pada masa yang akan datang. 

Sekiranya anda berdepan dengan masalah ini nanti, apa kata anda hantarkan saja kereta anda ke Pusat Servis CARSOME jika anda berada di Ampang atau di Petaling Jaya. 

Kenapa Pusat Servis sepatutnya jadi pilihan anda? Pusat Servis CARSOME menjanjikan perkara berikut setiap kali anda datang untuk servis atau baiki kereta anda: 

  • Mekanik bertauliah
  • Alat ganti tulen
  • Pengebilan telus

Buat tempahan sekarang atau hadir terus ke cawangan Pusat Servis CARSOME di Ampang dan juga di Petaling Jaya sekarang! 

Selain itu, jika anda sedang merancang untuk menjual kereta lama atau membeli kereta terpakai, anda boleh muat turun aplikasi CARSOME untuk info lanjut. Tak perlu susah-susah nak keluar rumah dah! Beli kereta CARSOME guna telefon pun boleh! 

Haziq Asyraf
Haziq Asyraf
A self-proclaimed foodie and gamer whose passion for food and games has recently extended to cars.
RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular