HomeBMMasalah Gearbox Kereta: Tanda Gearbox Kereta Auto Rosak yang Perlu Anda Tahu

Masalah Gearbox Kereta: Tanda Gearbox Kereta Auto Rosak yang Perlu Anda Tahu

Kotak gear atau gearbox kereta merupakan salah satu komponen kereta yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran pergerakan kereta. Secara amnya, gearbox kereta berfungsi mengawal tork dan kelajuan kereta termasuk sistem klac kereta, sekali gus menjamin keselamatan sepanjang pemanduan. Walau bagaimanapun, gearbox kereta terdedah kepada risiko kerosakan tertentu. Oleh sebab itu, penting untuk pemilik kenderaan mengetahui masa yang sesuai untuk menyelenggara atau menukar gearbox kereta, serta mengenal pasti sebarang tanda gearbox kereta auto rosak (atau gearbox manual) untuk mengelakkan kerosakan yang lebih serius.

tanda gearbox kereta auto rosak

7 Tanda Gearbox Kereta Auto Rosak (atau Gearbox Manual Rosak) yang Perlu Diketahui

Secara amnya, kegagalan atau kerosakan gearbox kereta boleh dikenal pasti melalui tanda yang ditunjukkan. Oleh sebab itu, penting untuk pemilik kenderaan mengetahui simptom asas kerosakan gearbox kereta yang mungkin berlaku. Berikut merupakan tanda gearbox kereta auto rosak untuk panduan dan rujukan anda:

1. Minyak Gear Kurang, Enjin Kereta Overheat dan Berbau Hangit

Bau hangit atau hangus yang terhasil daripada ruang enjin menandakan ada komponen dalam kereta yang tidak berfungsi dengan baik dan memerlukan perhatian segera daripada anda. Namun biasanya, bau hangit atau hangus daripada ruang enjin menandakan gearbox kereta bermasalah – masalah ini berpunca disebabkan paras minyak gearbox yang rendah atau minyak gearbox bocor. Apabila minyak gearbox bocor atau berkurangan, geseran yang berlebihan akan berlaku sekali gus menyebabkan enjin menjadi terlalu panas dan terbakar

Meskipun begitu, dalam sesetengah keadaan, enjin kereta berbau hangit boleh berlaku disebabkan masalah-masalah lain seperti plastik atau teras pemanas yang mencair, bendalir antibeku yang menitik dalam ruang enjin. Sekiranya anda mengesan enjin kereta anda berbau hangit atau hangus, lakukan pemeriksaan dan diagnosis lengkap dengan segera untuk mengetahui punca sebenar dan mengelakkan kos pembaikan yang lebih tinggi.

2. Bunyi Bergeser, Bunyi Hentakan “Duk” Semasa Menukar Gear

Sekiranya anda mendapati ada bunyi bising semasa anda menukar gear semasa memandu seperti bunyi berdengung atau bunyi hentakan, ia merupakan tanda gearbox kereta anda rosak dan perlu diselenggara. Bunyi-bunyi pelik seperti bunyi dentang (clunking) atau bunyi berdengung (humming) besar kemungkinan berlaku disebabkan oleh kotak gear kereta yang bermasalah. Biasanya, masalah bunyi pelik ini berpunca daripada paras minyak gearbox yang rendah atau jenis minyak gearbox yang tidak sesuai digunakan dalam kereta anda.

Dalam sesetengah keadaan, bunyi bergeser berlaku disebabkan oleh proses pertukaran gear yang tidak betul. Namun sekiranya masalah ini berlanjutan, segera bawa ke bengkel kereta untuk pemeriksaan lanjut.

3. Gear Tidak Responsif, Freeplay yang Lama Semasa Tukar Gear

Gearbox kereta yang berada dalam keadaan baik biasanya tidak akan menghadapi masalah peralihan gear dan proses peralihan gear boleh dilakukan dengan mudah tanpa sebarang masalah. Namun sekiranya gear kereta anda memberikan respons yang agak lambat, teragak-agak atau tidak memberikan sebarang respons langsung, ia bermaksud gearbox kereta anda mungkin menghadapi masalah serius yang memerlukan penyelenggaraan segera. Sebagai contoh, anda masukkan gear tiga namun respons pertukaran gear daripada gear dua kepada gear tiga lebih lambat dan tidak selancar biasa.

Bagi kereta dengan transmisi manual, peralihan gear yang tidak responsif ini biasanya disertai dengan lonjakan RPM dan bunyi enjin yang tidak selari dengan kelajuan kenderaan. Meskipun begitu, anda disarankan untuk menjalankan pemeriksaan lanjut sekiranya berdepan situasi sebegini untuk mengenal pasti punca masalah dengan lebih tepat.

4. Lampu Amaran Enjin Menyala

Kebanyakan model kereta moden hari ini dilengkapi dengan sensor yang memainkan peranan penting dalam memicu amaran sekiranya mengesan sebarang permasalah dalam ruang enjin. Namun begitu, ramai dalam kalangan pemilik kenderaan mengambil mudah lampu amaran kereta (biasanya berkelip-kelip berwarna merah) yang menyala pada dashboard kereta. Umumnya, sistem sensor akan menyalakan lampu amaran enjin sekiranya mendapati berlaku kelewatan sentakan atau gegaran yang mungkin tidak disedari. Oleh sebab itu, pemilik kenderaan disarankan untuk bawa kereta ke bengkel dengan segera untuk pemeriksaan lanjut untuk ketenangan fikiran.

5. Minyak Gearbox Kereta Bocor

Secara asasnya, kenderaan dilengkapi dengan enam (6) jenis bendalir utama – minyak hitam kereta, air coolant, minyak power steering, minyak brek, minyak gearbox kereta dan air wiper kereta. Setiap bendalir ini memainkan peranan tersendiri; jika bocor atau tidak diselenggara mengikut jadual ia boleh mengganggu dan menjejaskan fungsi enjin. Minyak gearbox misalnya senang dikenal pasti jika berlaku kebocoran – minyak gearbox biasanya berwarna merah dan berbau manis (atau kadang-kala berwarna lebih gelap dan berbau tengik jika tidak ditukar atau diselenggara).

Anda disarankan untuk sentiasa periksa paras minyak gearbox dalam kereta menggunakan dipstick yang tersedia. Jika paras minyak gearbox rendah, besar kemungkinan berlaku kebocoran minyak gearbox kerana minyak gearbox tidak terbakar seperti minyak enjin. Meskipun kebocoran minyak gearbox tidaklah terlalu serius, anda disarankan untuk lakukan pemeriksaan dengan segera untuk mengelakkan kerosakan pada komponen kereta lain yang boleh menelan belanja yang lebih tinggi.

6. Gear Kereta Tak Masuk, Tersekat-sekat

Kenderaan yang menghadapi masalah gearbox atau berdepan risiko kerosakan biasanya mengalami kesukaran untuk tukar gear kereta dari gear P kepada D atau sebaliknya – poses pertukaran gear terasa terganggu, tersekat dan tidak lancar. Jika anda berdepan masalah pertukaran gear yang tidak lancar sebegini, segera bawa kereta anda ke bengkel untuk pemeriksaan lanjut. Kerosakan ini boleh menjadi lebih serius dan boleh menyebabkan kos pembaikan yang lebih tinggi jika tidak dibaiki dari awal.

7. Gear Kereta Tergelincir

Secara teknikal, kenderaan bergantung sepenuhnya pada input luaran untuk melakukan penukaran gear. Dalam konteks kereta manual misalnya, pemandu kereta menentukan setiap peralihan gear menggunakan tombol gear dan klac kereta. Bagi kereta automatik pula, pemandu melakukan penukaran gear dengan menggerakkan tombol gear ke R untuk undur, N untuk gear neutral atau D untuk bergerak. Jika anda mendapati gear kereta anda tergelincir tanpa sebarang input luaran, ia sangat berbahaya untuk pemanduan dan berpotensi merosakkan enjin kereta anda. Biasanya, isu gelinciran gear berlaku disebabkan oleh minyak gear yang kurang atau jalur transmisi yang sudah haus.

masalah gearbox auto

6 Tips Penjagaan Gearbox Kereta Auto, Elakkan Kerosakan dan Kos Pembaikan Tinggi

Kos pembaikan gearbox kereta boleh menelan belanja yang tinggi, namun semestinya bergantung pada model dan usia kereta anda. Oleh sebab itu, penting untuk anda menyelenggara gearbox kereta untuk mengelakkan kos pembaikan dan penyelenggaraan yang tinggi dan mahal. CARSOME menyenaraikan enam (6) aspek penjagaan penting gearbox kereta untuk untuk meningkatkan jangka hayat dan mengurangkan risiko kerosakan transmisi kereta seperti berikut:

1. Periksa Minyak Gearbox Secara Berkala

Anda disarankan untuk sentiasa memeriksa paras minyak gearbox kereta anda – jika paras minyak rendah, besar kemungkinan berlaku kebocoran dalam sistem transmisi kenderaan anda. Minyak gearbox kereta biasanya berwarna merah terang, jernih dan berbau manis. Namun sekiranya ia bertukar keruh, berwarna gelap atau berbau busuk, anda mungkin perlu tukar minyak gearbox kereta anda dengan segera.

2. Jangan Tukar Gear Semasa Kereta Masih Bergerak

Selain itu, pastikan kenderaan anda berhenti sepenuhnya sebelum anda menukar gear kereta anda. Sebagai contoh, jika anda ingin undurkan kereta, pastikan kereta berhenti sepenuhnya sebelum anda memasukkan gear R, begitu juga sekiranya anda ingin bergerak ke hadapan. Tabiat pemanduan sebegini boleh memberi tekanan berlebihan pada transmisi kereta dan boleh memberi kesan yang serius pada gearbox kereta anda.

3. Tukar Tayar Ganti dengan Segera

Apabila tayar kereta pancit atau bocor, ada sesetengah pemilik kenderaan yang menggunakan tayar ganti untuk tempoh yang lama sebelum menukarnya semula kepada tayar asal. Meskipun isu penggunaan tayar ganti ini nampak kecil, ia sebenarnya memberi impak yang ketara terhadap prestasi gearbox kereta. Saiz tayar ganti yang tidak sepadan atau tabiat memandu dengan tayar ganti untuk tempoh yang lama boleh memberi tekanan yang tidak perlu pada gearbox kereta. Malah, ia juga berpotensi merosakkan komponen penting kereta seperti alignment tayar kereta.

4. Gunakan Minyak Gearbox yang Sesuai

Minta nasihat daripada mekanik atau rujuk manual pemilik untuk menentukan jenis minyak gearbox yang sesuai untuk digunakan oleh kenderaan anda. Penggunaan jenis minyak gearbox yang sesuai dapat mengelakkan dan mengurangkan risiko kerosakan transmisi kereta. Jenis minyak gear yang tidak sesuai boleh menyebabkan geseran berlebihan berlaku, berpotensi menghasilkan haba dan menyebabkan bau hangus atau terbakar. Secara amnya, minyak EP120 sesuai untuk kereta auto, manakala minyak EP90 pula sesuai untuk kereta manual.

5. Lakukan Pemeriksaan, Penyelenggaraan Konsisten

Bagi memastikan gearbox kereta sentiasa berada dalam keadaan optimum, lakukan pemeriksaan dan penyelenggaraan mengikut saranan yang disyorkan. Kebiasaannya, anda perlu lakukan servis gearbox kereta auto (tukar minyak dan sebagainya) setiap 20,000 kilometer. Bagi kereta manual pula, anda disarankan untuk lakukan penyelenggaraan setiap 40,000 kilometer. Selain itu, anda disarankan untuk lakukan pemeriksaan berikut untuk optimumkan prestasi kotak gear kereta anda:

i. Lakukan flushing setahun sekali

Proses penukaran atau flushing minyak kotak gear kereta sebaiknya dilakukan oleh profesional. Anda boleh rujuk manual pemilik, namun secara umumnya, anda disarankan untuk lakukan flushing sekurang-kurangnya sekali setahun.

ii. Tukar penapis transmisi secara konsisten

Sesetengah model kenderaan dilengkapi dengan penapis transmisi. Penapis ini perlu digantikan dari semasa ke semasa untuk menjalankan fungsinya dengan lebih baik. Anda disarankan untuk tukar penapis setiap kali proses flushing dilakukan.

iii. Periksa transmisi kereta secara berkala

Pemeriksaan transmisi (paras minyak, warna dan bau) sekurang-kurangnya setahun sekali merupakan salah satu langkah pencegahan yang sangat digalakkan. Pemeriksaan secara berkala sebegini boleh membantu mengesan sebarang kebocoran atau risiko kerosakan yang boleh memberi impak kepada prestasi kotak gear kereta.

6. Panaskan Enjin Sebelum Mula Memandu

Bagi memastikan gearbox kereta sentiasa berada dalam keadaan baik, pastikan anda memanaskan enjin kenderaan sekurang-kurangnya beberapa minit sebelum anda mula memandu terutamanya pada awal pagi. Elakkan start enjin kereta dan terus memandu tanpa memanaskan enjin terlebih dahulu. Meskipun impaknya tidaklah terlalu ketara, ia merupakan langkah pencegahan yang lebih murah berbanding kos pembaikan gearbox rosak yang lebih mahal.

Selain itu, sekiranya anda ingin beli kereta terpakai yang berbaloi, selamat dan berkualiti, layari laman web CARSOME untuk info lanjut. CARSOME merupakan platform jual beli kereta terpakai yang menawarkan pelbagai pilihan kereta terpakai yang berkualiti, terbaik dan selamat dengan harga yang berpatutan. Tunggu apa lagi, #CARSOMEJeLah.

Haziq Asyraf
Haziq Asyraf
A self-proclaimed foodie and gamer whose passion for food and games has recently extended to cars.
RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular