HomeBM10 Perkara Penting Tentang Radiator Kereta yang Perlu Anda Tahu

10 Perkara Penting Tentang Radiator Kereta yang Perlu Anda Tahu

Radiator kereta memainkan peranan dan fungsi penting dalam sistem penyejukan kereta. Oleh sebab itu, sebarang simptom atau tanda-tanda radiator kereta rosak perlu diberi perhatian yang serius untuk mengelakkan kerosakan komponen enjin lain yang lebih serius daripada berlaku. Aspek penjagaan radiator perlu diberi perhatian yang serius – jika diabaikan, ia boleh menyebabkan kos penyelenggaraan, penggantian atau pembaikan yang lebih tinggi. Meskipun begitu, kebanyakan pemilik kenderaan mengambil mudah aspek penjagaan radiator dan adakalanya tidak menyedari ada sesuatu yang tidak kena pada komponen ini.

Perkara Perlu Tahu Mengenai Radiator Kereta: Apa itu Radiator, Fungsi Radiator?

Secara amnya, fungsi radiator adalah untuk menyejukkan enjin dan menghalang enjin daripada terlampau panas atau overheating. Enjin kereta dilengkapi dengan air coolant (cecair penyejuk) atau air radiator yang memainkan peranan penting dalam menyerap haba panas daripada enjin dan memindahkannya ke radiator untuk proses penyejukan. Setelah sejuk, bendalir ini kemudiannya akan dihantar semula ke enjin dan proses ini akan berterusan sehinggalah suhu dalam enjin kekal stabil dan sejuk.

carsome radiator

6 Simptom atau Tanda Radiator Kereta Rosak

Enjin pembakaran dalaman menghasilkan banyak haba semasa beroperasi – kerosakan radiator secara tidak langsung boleh menyebabkan enjin kereta berasap dan menjadi terlalu panas. Radiator yang rosak atau tidak berfungsi dengan betul boleh menyebabkan beberapa masalah serius yang lain. CARSOME menyenaraikan enam (6) tanda radiator rosak untuk rujukan dan panduan anda seperti berikut:

1. Enjin Kereta Overheat

Jika enjin kereta overheat meskipun dalam keadaan pemanduan biasa, ia merupakan petanda ada kerosakan serius berlaku pada radiator kereta anda. Radiator merupakan satu-satunya komponen dalam kenderaan yang berperanan penting dalam memastikan enjin kekal sejuk – jika enjin terlalu panas, ia boleh mendatangkan risiko kerosakan lain. Enjin kereta pada asasnya merangkumi pelbagai komponen bergerak lain yang memastikan prestasi kereta kekal berada dalam keadaan baik.

Oleh sebab itu, kerosakan pada sistem penyejukan enjin boleh meningkatkan geseran sekali gus mengakibatkan pengumpulan haba. Pengumpulan haba yang berlebihan boleh menyebabkan sesetengah komponen dalam kereta rosak dan mungkin memerlukan penggantian segera.

2. Tangki Simpanan Air Radiator Selalu Kurang, Air Radiator Kering

Kebocoran dalam sistem penyejukan kereta boleh memberi impak yang ketara terhadap prestasi keseluruhan kereta. Masalah tangki simpanan air radiator selalu kurang atau air radiator kering biasanya dikaitkan dengan kerosakan radiator itu sendiri, atau masalah pada hos dan blok enjin. Jika anda mengesan ada kebocoran air coolant atau air radiator pada kereta anda, segera bawa kereta anda ke bengkel untuk pembaikan segera. Biasanya, kebocoran radiator boleh dilihat dengan jelas melalui pemeriksaan visual – air coolant atau air radiator bocor meninggalkan tompokan bendalir berwarna kuning terang, hijau atau merah di bahagian bawah kereta.

Radiator Kereta: Tanda Radiator Bocor

Radiator kereta membantu mengurangkan suhu panas dalam enjin kereta. Namun begitu, kebocoran radiator boleh menyebabkan ia tidak dapat melaksanakan fungsinya dengan baik. Enjin kereta yang terlalu panas boleh menyebabkan berlaku kerosakan besar pada enjin. Oleh sebab itu, penting untuk anda mengenal pasti tanda-tanda radiator bocor untuk mengurangkan risiko kerosakan serius pada kereta anda.

i. Ada Tompok Air di Bawah Kereta

Radiator yang mengalami kebocoran biasanya akan meninggalkan lopak atau tompok air di bahagian bawah kereta anda. Jika anda perhatikan kawasan parking kereta anda dan ada tompokan atau tumpahan bendalir, ia menandakan ada kebocoran bendalir. Untuk kepastian, gunakan tuala kertas atau kain bersih berwarna putih dan sapukan pada tompok air tersebut. Perhatikan warnanya – tompokan berwarna hijau menandakan potensi kebocoran air coolant atau air radiator.

ii. Air Coolant, Air Radiator Kering

Kebanyakan kenderaan moden hari ini dilengkapi dengan sistem amaran elektronik yang berfungsi memberi amaran kepada pemilik sekiranya berlaku sebarang masalah pada sistem kereta. Lampu amaran suhu enjin misalnya berfungsi memberi amaran sekiranya berlaku masalah pada sistem enjin. Jika lampu amaran ini menyala, segera periksa paras air coolant atau air radiator kereta.

Jika air radiator kering, segera tambah. Namun sekiranya lampu amaran ini menyala semula setelah beberapa hari (atau minggu), ia menandakan ada kebocoran radiator berlaku. Air radiator tidak akan kering dengan cepat melainkan ada risiko kebocoran pada mana-mana bahagian dalam enjin anda.

iii. Ada Keretakan Nyata, Radiator Berkarat

Selain itu, anda juga disarankan untuk memeriksa komponen dalam hud depan kereta anda secara berkala sekurang-kurangnya sebulan sekali. Ia bertujuan untuk memastikan komponen dalam enjin berada dalam keadaan baik. Periksa paras air radiator atau kenal pasti sama ada terdapat sebarang tanda-tanda kerosakan seperti karat, keretakan atau kakisan pada radiator kereta anda.

3. Cecair Penyejuk Berubah Warna, Berselut

Air coolant atau air radiator biasanya berwarna kuning terang, hijau atau merah. Jika warna air radiator ini nampak berbeza berbanding biasa seperti luntur, bertukar kepada warna seakan-akan warna karat atau warna minyak, ia menandakan ada bahan cemar lain dalam radiator kereta anda. Karat daripada radiator misalnya boleh menyebabkannya bercampur dengan air radiator yang bersih lalu menjadikan warnanya lebih keruh atau berbeza berbanding warna asal.

Air coolant atau air radiator yang kotor atau berselut boleh memberi kesan yang ketara kepada prestasi radiator. Ia boleh menyebabkan proses kitaran dalam enjin terganggu sekali gus meningkatkan risiko enjin overheat.

4. Paras Air Coolant, Air Radiator Rendah

Tangki simpanan air radiator selalu kurang atau air radiator kering biasanya dikaitkan dengan masalah radiator bocor. Jika anda mendapati anda perlu menambah air coolant atau air radiator dengan kerap berbanding biasa atau lampu amaran low coolant menyala pada dashboard kereta anda, besar kemungkinan radiator kereta anda menghadapi masalah kebocoran. Segera bawa kereta anda ke bengkel untuk pemeriksaan lengkap.

Anda juga boleh memeriksa sendiri paras air radiator di rumah. Air radiator kering atau paras air coolant yang rendah boleh menyebabkan enjin kereta overheat atau menjadi terlalu panas.

5. Sirip Radiator Tersumbat, Rosak

Radiator direka untuk memaksimumkan penyejukan dalam enjin kereta – radiator dibantu oleh tiub sirip nipis di bahagian depan yang berfungsi memindahkan air coolant atau air radiator yang panas semasa enjin beroperasi. Kipas radiator akan mengalirkan udara luar ke kawasan sirip ini untuk menurukan suhu air radiator sebelum dipindahkan semula ke dalam enjin. Jika tiub ini tersumbat atau rosak disebabkan oleh serangga, kotoran, daun kering atau lain-lain, aliran udara akan terjejas dan tersumbat sekali gus menjejaskan fungsinya untuk menyejukkan air radiator.

Biasanya, sirip radiator yang rosak atau tersumbat akan menyebabkan kerosakan radiator. Anda juga boleh memeriksa sendiri komponen ini secara fizikal – buka hud depan dan periksa sama ada terdapat kerosakan atau keretakan pada bahagian ini.

6. Bacaan Tokok Suhu Enjin Tinggi

Oleh sebab radiator berfungsi menghalang enjin daripada menjadi terlalu panas, enjin kereta yang overheat menandakan ada sesuatu yang tidak kena pada radiator kereta anda. Perhatikan bacaan tokok suhu enjin atau temperature gauge pada kereta anda sama ada lebih tinggi daripada biasa atau jarum berada dalam zon merah. Bagi sesetengah model kereta baharu, suhu enjin terlampau panas boleh dikesan melalui lampu amaran suhu enjin – jika lampu amaran ini menyala, ia menandakan ada kemungkinan masalah atau kerosakan pada bahagian enjin kenderaan anda. Suhu operasi normal untuk enjin kereta adalah sekitar 195 °F dan 220 °F.

Dalam erti kata lain, radiator berfungsi menyejukkan air coolant atau air radiator yang panas daripada enjin – jika radiator rosak, ia boleh menyebabkan masalah yang serius pada enjin. Oleh sebab itu, jika kereta anda menunjukkan sebarang tanda-tanda radiator rosak seperti enjin kereta overheat, air radiator kering atau masalah-masalah lain seperti lampu amaran suhu enjin menyala, bawa kereta anda ke bengkel dengan segera untuk pemeriksaan lanjut.

maintenance regularly

Jangka Hayat Radiator Kereta

Radiator boleh bertahan lama asalkan aspek penjagaan kenderaan diberi perhatian yang serius oleh pemilik kenderaan. Kebanyakan radiator kereta boleh bertahan sehingga lebih 150,000 km atau kira-kira 10 tahun. Meskipun begitu, terdapat beberapa faktor yang mungkin mempengaruhi jangka hayat radiator dan berpotensi untuk rosak sebelum waktunya:

1. Radiator Tersumbat

Radiator perlu terdedah kepada aliran udara, ia sering diletakkan di hadapan atau belakang kenderaan dan sentiasa terdedah kepada unsur-unsur. Ini boleh menyebabkan serpihan dan kotoran merosakkan dan menyumbat tiub. Pendedahan yang berpanjangan kepada unsur-unsur ini atau terutamanya keadaan yang kotor boleh menyebabkan radiator rosak lebih cepat daripada biasa.

2. Kegagalan Kejuruteraan

Kegagalan kejuruteraan atau kualiti alat ganti kereta yang kurang baik bukanlah salah satu faktor popular yang menyebabkan kerosakan komponen berlaku sebelum waktunya. Namun begitu, kebanyakan komponen kereta termasuk radiator terdedah kepada risiko sebegini. Kegagalan kejuruteraan yang melibatkan radiator biasanya dikaitkan dengan kebocoran bendalir.

3. Kerosakan Penutup Radiator

Sistem penyejukan kereta merupakan komponen kereta yang bertekanan. Jika penutup radiator atau mana-mana penutup kedap (seal) rosak, ia boleh mendatangkan masalah dan menjejaskan prestasi enjin. Penutup radiator yang haus atau tidak kemas boleh menjejaskan fungsi radiator dan keseluruhan sistem penyejukan kereta.

4. Masalah Gasket Kepala

Gasket kepala atau head gasket merupakan salah satu komponen penting dalam sistem enjin. Kegagalan komponen ini boleh menyebabkan beberapa punca masalah lain antaranya menyebabkan enjin panas lampau atau overheating. Ini kerana, gasket kepala yang rosak menyebabkan masalah kebocoran pada bahagian enjin yang memberi impak terhadap nisbah mampatan. Ia sekali gus menyebabkan tangki simpanan air radiator selalu kurang dan menyebabkan air radiator kering.

Kos Penggantian Radiator Kereta

Kos penggantian atau harga tukar radiator kereta biasanya menelan belanja sekitar RM100 hingga RM500 bergantung pada jenama, jenis model, saiz dan kualiti radiator. Radiator biasa dengan teras aluminium dan tangki plastik untuk Perodua Myvi dijual dalam pasaran pada harga sekitar RM130 hingga RM150. Malah, harga ini mungkin berbeza bergantung pada jenis radiator sama ada komponen original daripada kilang, jenis OEM atau terpakai. Kos buruh yang dikenakan juga berbeza bergantung pada model kereta. Bagi sesetengah model kereta yang mempunyai akses mudah kepada radiator, kos buruh biasanya lebih rendah. Namun bagi sesetengah model kereta yang lebih rumit dan kompleks seperti Audi atau Porsche, ia biasanya menelan kos buruh yang lebih tinggi.

Selain itu, sekiranya anda ingin beli kereta pramilik berkualiti dengan keselamatan melebihi taraf, keselesaan sepenuhnya, dan estetik yang dibaik pulih, layari laman web CARSOME untuk maklumat lanjut. CARSOME merupakan platform jual beli kereta terpakai online yang menawarkan rangkaian pilihan kereta terpakai yang berkualiti, terbaik dan selamat dengan harga yang berpatutan.

RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular