HomeBMKereta Rosak? Kos Alat Ganti atau Spare Part Kereta yang Perlu Anda...

Kereta Rosak? Kos Alat Ganti atau Spare Part Kereta yang Perlu Anda Tahu

Kereta rosak atau tidak berada dalam keadaan baik bukan sahaja bukan sahaja boleh membahayakan nyawa pemandu dan penumpang tetapi pengguna jalan raya lain. Oleh sebab itu, pembaikan dan penyelenggaraan alat ganti atau spare part kereta secara berkala penting untuk memastikan bahagian atau komponen kereta berfungsi dengan baik. Langkah ini bukan sahaja dapat mengurangkan risiko kerosakan yang lebih serius malah dapat mengelakkan kos pembaikan yang lebih tinggi.

alat ganti atau spare part kereta di Malaysia

Secara amnya, kos pembaikan kereta seperti penggantian bahagian atau komponen kereta boleh menelan belanja yang besar. Oleh sebab itu, pengetahuan mengenai kos penggantian alat ganti atau spare part kereta boleh membantu anda menguruskan kewangan dan merancang kos perbelanjaan anda dengan lebih baik sekiranya anda perlu menggantikan komponen-komponen ini.

Kos Alat Ganti atau Spare Part Kereta di Malaysia

Kereta secara amnya memiliki pelbagai bahagian atau komponen kereta yang membantu menjalankan fungsi sistem kereta secara keseluruhan dengan lebih berkesan. Oleh sebab itu, kos pembaikan atau penggantian sesetengah spare part atau komponen kereta menelan kos yang agak mahal. Berikut merupakan anggaran kos lapan (8) spare part atau alat ganti kereta yang dijual di pasaran Malaysia untuk rujukan dan panduan anda:

1. Enjin Kereta

Tidak kira apa jua model kenderaan yang anda miliki, kos pembaikan enjin kereta boleh menelan belanja yang mahal. Biasanya, kos pembaikan enjin boleh memakan kos antara RM800 hingga RM5,000 bergantung pada jenis kenderaan, model, tahun dan tahap keseriusan masalah enjin kereta anda. Berikut merupakan antara komponen-komponen dalam enjin kereta yang memerlukan pembaikan atau penyelenggaraan yang menelan belanja yang mahal untuk panduan anda:

Blok Enjin dan Kepala Silinder

Kos pembaikan berkaitan silinder enjin kereta merupakan antara kerosakan enjin kereta yang menelan belanja yang mahal. Pembaikan dan penggantian blok enjin (engine block) kereta boleh mencecah kos sehingga RM4,000 atau RM5,000. Oleh sebab itu, anda disarankan untuk memeriksa bahagian ini dan memastikannya berada dalam keadaan baik sekiranya anda membeli kereta terpakai. Ini kerana, ia boleh meningkatkan kos perbelanjaan untuk pembaikan komponen ini.

Selain itu, kepala silinder atau head cylinder merupakan salah satu bahagian penting dalam enjin kereta yang terletak di bahagian atas enjin dan berada berhampiran dengan ruang pembakaran. Secara amnya, ia berfungsi sebagai struktur yang ‘memegang’ pelbagai komponen lain termasuk saluran minyak, penyejuk dan lain-lain. Kos penggantian kepala silinder boleh mencecah sekitar RM2,000 atau lebih, bergantung pada jenis dan model kereta.

Alternator Enjin

Selain blok enjin dan kepala silinder, alternator enjin merupakan salah satu alat ganti kereta yang mahal. Sekiranya berlaku kerosakan pada komponen ini, ia akan berhenti membekalkan tenaga kepada bateri sekali gus menimbulkan masalah pada sistem elektrik kereta anda. Biasanya, kos penggantian alternator kereta boleh menelan belanja antara RM100 hingga RM300 tidak termasuk kos buruh.

Camshaft

Camshaft biasanya rosak disebabkan oleh aspek penjagaan atau penggantian bendalir kereta yang tidak baik. Dalam sesetengah kes, kerosakan camshaft biasanya berlaku berpunca daripada masalah tekanan pada pegas injap (valve spring) atau tersumbat disebabkan oleh kotoran atau bendasing. Oleh sebab camshaft berfungsi mengawal kemasukan udara dalam enjin, penggantian komponen ini dengan segara amatlah penting. Biasanya, kos pembaikan camshaft bergantung pada model kereta anda.

Artikel Berkaitan: Tanda-tanda Enjin Kereta Anda Mungkin Perlu Overhaul

2. Trasmisi Kereta

Penggantian atau pembaikan transmisi kereta secara amnya boleh menelan kos antara RM3,000 dan boleh mencecah sehingga RM7,000. Namun begitu, kos ini mungkin lebih tinggi bergantung pada jenis kenderaan dan tahap keseriusan masalah yang dihadapi. Sekiranya anda mempertimbangkan untuk membeli kereta terpakai, lakukan tinjauan, penelitian dan pemeriksaan yang sewajarnya untuk mengelakkan anda daripada membeli kereta terpakai dengan sistem transmisi yang teruk. Secara amnya, kos untuk menggantikan bahagian utama kereta seperti sistem transmisi kereta boleh menelan belanja kira-kira 50 peratus daripada kos keseluruhan kereta anda.

Malah, dalam sesetengah keadaan, anda mungkin perlu berbelanja lebih besar sekiranya terdapat masalah lain yang memerlukan penyelenggaraan segera. Trasmisi kereta boleh dikatakan salah satu komponen kereta yang kompleks–anda disarankan untuk perhatikan jika terdapat sebarang tanda-tanda kerosakan transmisi. Jika anda mengesan sebarang masalah, lakukan pemeriksaan dengan segera.

3. Beg Udara Kereta

Secara amnya, beg udara merupakan salah satu komponen keselamatan paling penting yang pernah dihasilkan dalam sejarah automotif dunia. Beg udara dicipta untuk bertindak dengan serta-merta sekiranya berlaku hentakan yang kuat pada mana-mana bahagian kereta. Ia akan mengaktifkan kusyen udara yang berfungsi melindungi dan mengurangkan kecederaan kepala dan dada. Oleh sebab itu, anda disarankan untuk menggantikan beg udara dengan segera sekiranya beg udara kereta anda diaktifkan semasa kemalangan.

Penggantian beg udara biasanya menelan belanja yang besar kerana ia turut melibatkan penggantian komponen-komponen lain dalam kereta seperti stereng kereta dan kompartmen hadapan. Ini kerana, beg udara biasanya boleh didapati di bahagian tengah stereng atau ruang kompartmen di hadapan tempat duduk penumpang. Dalam kebanyakan situasi, penggantian beg udara boleh menelan belanja antara RM3,000 hingga RM 4,000 atau mungkin lebih.

4. Sistem Suspensi Kereta

Sistem suspensi kereta yang baik berfungsi menjamin keselamatan dan keselesaan anda sepanjang pemanduan. Ia bertanggungjawab memastikan kereta anda tidak mengalami sebarang gegaran atau hentakan yang berlebihan terutamanya semasa melalui bonggol atau jalan yang tidak rata. Meskipun begitu, anda boleh mendapatkannya dengan kos purata antara RM100 hingga RM300 atau lebih per unit, bergantung pada model kenderaan dan kualiti spare part kereta.

Artikel Berkaitan: 6 Tanda ‘Absorber’ Kereta Anda Rosak dan Perlu Digantikan

5. Gasket Kepala

Walaupun head gasket atau gasket kepala hanyalah komponen kecil yang terletak di antara blok dan silinder enjin kereta, ia memainkan peranan yang penting dalam sistem pembakaran kereta anda. Head gasket yang bocor dan tidak berfungsi dengan baik boleh menyebabkan kerosakan enjin yang serius. Ini kerana, gas panas boleh terkeluar daripada silinder dan menjejaskan keseluruhan blok enjin. Jika situasi ini berlaku, anda tiada pilihan lain selain menggantikannya untuk mengelakkan kerosakan yang lebih serius terhadap enjin kereta anda. Kos pembaikan head gasket mungkin lebih murah jika dibandingkan dengan penggantian keseluruhan enjin kereta.

6. Kompresor Aircond

Di Malaysia misalnya, memandu kereta tanpa menghidupkan penyaman udara terutamanya pada waktu tengah hari terasa seperti berada di dalam bilik sauna. Oleh sebab itu, penyaman udara atau aircond kereta memainkan peranan penting untuk keselesaan sepanjang pemanduan. Kebiasaannya, penyaman udara yang tidak berfungsi dengan baik dikaitkan dengan masalah kompresor aircond yang rosak. Secara amnya, kompresor aircond berfungsi memisahkan tekanan rendah dan tinggi yang membantu menurunkan suhu dalam kabin kenderaan anda.

Sekiranya komponen ini rosak, ia perlu diperbaiki dengan segera untuk membolehkan penyaman udara kereta berfungsi dengan baik. Secara amnya, kos yang perlu ditanggung untuk pembaikan kompresor aircond kereta adalah sekitar RM1,000 hingga RM2,000. Kompresor aircond kereta biasanya rosak disebabkan oleh beberapa situasi tertentu, antaranya:

  1. Kandungan bahan penyejuk (refrigerant) yang rendah atau terlalu tinggi;
  2. Coil terlalu kotor;
  3. Kerosakan pada litar atau komponen elektrik;
  4. Kekurangan kandungan cecair kompresor.

Artikel Berkaitan: 3 Punca Aircond Kereta Tak Sejuk dan Tip Penyelenggaraan Aircond Kereta

7. Pam Minyak dan Fuel Injector

Selain itu, pam minyak kenderaan juga merupakan antara alat ganti kereta yang memakan kos penggantian yang mahal. Komponen ini berfungsi membekalkan kadar tekanan yang betul kepada fuel injector. Selari dengan penggunaan, komponen ini boleh rosak disebabkan oleh zarah-zarah dalam petrol yang berkualiti rendah seperti kepingan logam atau bendasing. Biasanya, kos untuk menggantikan pam minyak menelan belanja sekitar RM300 atau lebih tidak termasuk kos buruh. Bagi kereta yang berusia, anda mungkin perlu mempertimbangkan kos penggantian pam minyak selepas kereta mencapai had perbatuan atau mileage sejauh 150,000 km dan ke atas.

8. Brake Line

Aspek keselamatan kereta memainkan peranan penting dan tidak boleh dikompromi. Ini bermaksud, sekiranya sesebuah komponen kereta mengalami kerosakan yang berpotensi menjejaskan keselamatan, anda tidak mempunyai pilihan lain selain menyelesaikan masalah tersebut. Penggantian brake line misalnya, memainkan peranan penting dalam memastikan prestasi dan fungsi keseluruhan sistem brek berada dalam keadaan baik. Ia membolehkan kenderaan anda mengubah tekanan pedal kepada daya untuk berhenti.

Umumnya, penggantian brek kereta tidaklah melibatkan kos yang mahal. Namun begitu, penggantian brake line boleh menelan belanja yang tinggi. Penggantian komponen kereta ini boleh menelan belanja sekitar RM500 hingga RM700 dan kos ini tidak termasuk upah buruh. Meskipun penggantian sendiri lebih menjimatkan, anda tidak disarankan untuk menggantikan komponen ini sendiri–dapatkan bantuan daripada mekanik yang berpengalaman.

175 titik pemeriksaan Carsome

Selain itu, sekiranya anda merancang untuk membeli kereta terpakai atau menjual kereta terpakai lama anda, layari laman web Carsome untuk info lanjut. Carsome merupakan platform jual beli kereta terpakai yang menawarkan perkhidmatan terbaik dengan tawaran pilihan kereta terpakai yang berkualiti, dokumentasi diuruskan sepenuhnya dan perkhidmatan penghantaran kereta secara terus ke pintu rumah anda!

Haziq Asyraf
Haziq Asyraf
A self-proclaimed foodie and gamer whose passion for food and games has recently extended to cars.
RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular