HomeBMTayar Pancit? Cara Tukar Tayar Kereta yang Mudah, Cepat dan Selamat

Tayar Pancit? Cara Tukar Tayar Kereta yang Mudah, Cepat dan Selamat

Tidak dinafikan, tayar kereta merupakan salah satu komponen kenderaan yang penting. Ia memerlukan penyelenggaraan secara berkala bagi memastikan keselamatan dan keselesaan sepanjang pemanduan. Jika aspek penyelenggaraan seperti tekanan angin tayar, tahap kehausan tayar, ia berpotensi untuk pecah atau pancit yang boleh membahayakan dan mengakibatkan risiko kehilangan nyawa.

tayar pancit & tayar spare

Tayar Kereta Tiba-tiba Pecah, Bocor atau Pancit? Cara Tukar Tayar Kereta dengan Betul dan Mudah

Jika tayar kereta pancit atau bocor ketika sedang memandu, anda perlu bertenang – kawal stereng dengan kemas dan brek perlahan-lahan. Ikuti panduan langkah demi langkah berikut untuk menggantikan tayar yang pecah, bocor atau pancit.

Langkah 1: Berhenti di Lokasi yang Selamat

Jika tayar kereta anda tiba-tiba bocor atau pancit semasa pemanduan, berhentikan kereta anda di lokasi yang selamat seperti di bahu jalan atau di kawasan tumpuan ramai. Jika boleh, elakkan berhenti di kawasan yang sunyi. Sebelum menukar tayar, pastikan kereta diletakkan di kawasan yang landai dan stabil. Permukaan jalan yang tidak rata boleh menyebabkan badan kereta anda terjatuh atau tergelincir daripada jack kereta.

Untuk keselamatan anda, hidupkan lampu kecemasan dan letakkan segi tiga amaran atau warning triangle kit sekurang-kurangnya 45 meter dari arah belakang kenderaan anda.

Langkah 2: Sediakan Peralatan yang Diperlukan

Sebelum memulakan proses tukar tayar kereta yang pancit, keluarkan tayar spare atau tayar ganti serta peralatan-peralatan lain yang diperlukan daripada kereta anda. Jika tidak pasti, anda boleh merujuk manual kereta anda untuk mengetahui lokasi penyimpanan peralatan ini dalam kereta anda. Namun biasanya peralatan ini disimpan di bahagian belakang bawah pelapik ruang but kereta anda.

Peralatan untuk Tukar Tayar Spare

Berikut merupakan antara peralatan yang diperlukan untuk menukar atau menggantikan tayar kereta:

        • Jack kereta
        • Spanar atau lug wrench
        • Tayar spare
        • Kunci nat tayar (jika menggunakan sport rim)

Langkah 3: Longgarkan Nat Tayar

Gunakan lug wrench untuk menanggalkan nat atau skru tayar. Namun begitu, seperti dinyatakan di atas, pastikan anda meletakkan kereta anda dipermukaan yang rata terlebih dahulu untuk mengelakkan kereta daripada terjatuh atau tergelincir daripada jack kereta ketika proses penukaran tayar dilakukan.

Langkah 4: Jack Kereta

Jika tidak pasti, rujuk manual untuk mengetahui lokasi yang sesuai untuk meletakkan jack kereta. Biasanya, jack kereta diletakkan di kedudukan yang berhampiran dengan tayar kereta anda. Jangan jack kereta anda terlalu tinggi untuk mengelakkan risiko kereta terjatuh atau tergelincir–sekadar mencukupi sehingga tayar kereta boleh dipusingkan.

Langkah 5: Tukar Tayar Kereta

Tanggalkan atau keluarkan nat kereta dengan melawan arah jam (anticlockwise). Kemudian, tarik keluar tayar daripada kereta. Gantikan dengan tayar spare dan ketatkan nat tayar kereta semula.

Langkah 6: Ketatkan Nat Tayar

Turunkan semula kereta anda. Kemudian, pijak lug wrench dengan kaki untuk memastikan cengkaman skru kuat dan selamat. Anda juga disarankan untuk mengetatkan nat tayar dalam secara pepenjuru (diagonal).

Langkah 7: Gantikan Tayar Spare dengan Segera

Setelah menukar tayar kereta anda kepada tayar ganti, anda disarankan untuk menukar terus tayar kereta anda. Ini kerana tayar ganti hanya boleh bergerak secara purata sejauh 80 km hingga 113km pada kelajuan maksimum 80km/j.

Secara amnya, memandu dengan laju atau melebihi jarak yang disyorkan semasa menggunakan tayar spare boleh meningkatkan risiko kemalangan seperti tayar pecah dan sebagainya. Oleh itu, anda disarankan untuk mempertimbangkan perkara-perkara berikut untuk keselamatan anda.

cara tukar tayar ganti

Selamatkah Memandu Menggunakan Tayar Spare?

Tayar spare atau turut dikenali sebagai tayar ganti, tayar donat atau tayar simpanan merupakan antara istilah lain yang biasa didengari. Ia merupakan tayar kecil yang disediakan untuk membantu anda sekiranya anda berada dalam situasi kecemasan seperti tayar bocor, pecah atau pancit. Secara umumnya, tayar spare ini berfungsi menggantikan tayar kereta sedia ada buat sementara sekiranya berlaku situasi kecemasan bagi membolehkan anda membawa kenderaan ke bengkel berdekatan untuk menampal atau menukar tayar baharu.

Mengapa Tayar Spare Lebih Kecil Berbanding Tayar Biasa?

Tayar spare biasanya menggunakan rim berwarna kuning atau hitam dengan saiz yang lebih kecil atau kurang lebar berbanding tayar biasa (bergantung pada model kereta anda). Berikut merupakan faktor tayar ganti dihasilkan dalam saiz yang lebih kecil berbanding tayar kereta sedia ada:

1. Menjimatkan Ruang

Tayar spare biasanya dihasilkan dalam saiz yang lebih kecil bagi menjimatkan ruang penyimpanan dalam kenderaan anda. Jika tayar ganti mempunyai saiz yang sama dengan tayar sedia ada, anda mungkin menghadapi masalah ruang penyimpanan yang terhad. Dalam erti kata lain, semakin kecil saiz tayar ganti kereta anda, semakin besar ruang yang boleh dijimatkan sekali gus membolehkan anda memaksimumkan ruang simpanan dalam kereta anda. Biasanya, tayar ganti diletakkan di bahagian belakang bawah pelapik ruang but kereta anda.

2. Mengurangkan Berat

Saiz tayar spare yang kecil ini bukan sahaja membantu menjimatkan ruang dalam kereta, malah dapat mengurangkan berat kereta anda. Tayar ganti biasanya diperbuat daripada bahan yang lebih ringan, tidak seperti tayar komersial yang dijual di pasaran. Saiz tayar ganti yang lebih ringan ini secara tidak langsung dapat mengurangkan berat kereta secara keseluruhan. Kereta dengan bebanan yang lebih berat biasanya akan memberi kesan negatif terhadap penggunaan bahan api.

3. Menurunkan Harga

Seperti dinyatakan di atas, tayar spare biasanya diperbuat daripada bahan yang lebih ringan dan kecil. Ini bermaksud, ia tidak memerlukan kos yang tinggi untuk dihasilkan. Kos penghasilan yang rendah ini secara tidak langsung tidak akan menambahkan kos untuk pemilikan kereta dan memberi kesan langsung kepada harga jualan kereta di pasaran.

Tips Pemanduan Semasa Menggunakan Tayar Spare

Secara amnya, tayar spare tidak sesuai untuk digunakan bagi pemanduan jarak jauh dalam tempoh yang lama. Ia berfungsi untuk penggunaan sementara untuk membolehkan anda bergerak ke kedai tayar atau bengkel untuk menukar atau menggantikan tayar anda sekiranya berlaku situasi tayar bocor, pecah atau pancit. Jika anda memandu menggunakan tayar ganti, amalkan tips pemanduan berikut untuk keselamatan anda sepanjang pemanduan:

1. Pengendalian Kereta Mungkin Terjejas–Sistem Brek, Stereng dan Tayar

Penggunaan tayar spare sememangnya selamat dan tidak membahayakan. Namun begitu, jika anda mengambil masa yang lama sebelum menggantikan tayar baharu, ia mungkin boleh memberi kesan kepada prestasi brek, stereng dan tayar kereta anda. Malah, kereta juga berpotensi untuk senget kereta saiz tayar ganti biasanya lebih kecil berbanding tayar kereta sedia ada.

2. Pandu Perlahan dan Berhati-hati

Tayar spare berfungsi untuk penggunaan sementara dan tidak direka untuk penggunaan yang lama dan pemanduan laju. Oleh itu, anda disarankan untuk tidak memandu melebihi 80 km/j sebagai langkah keselamatan. Selain itu, anda juga disarankan untuk memandu di laluan paling kiri semasa menggunakan tayar ganti.

3. Periksa Tekanan Angin Tayar Spare

Tekanan angin yang disarankan untuk tayar spare ialah sekitar 60 PSI. Oleh itu, pastikan anda memeriksa angin tayar ini secara berkala untuk mengelakkan tayar ganti kempis semasa ingin digunakan.

4. Kecekapan Sistem Keselamatan Tidak Efisien

Semasa menggunakan tayar spare anda disarankan untuk tidak memandu dengan terburu-buru atau tergesa-gesa. Ini kerana, sistem kawalan kestabilan elektronik atau sistem kawalan cengkaman mungkin tidak berfungsi dengan optimum seperti penggunaan tayar biasa.

cara repair tayar kereta pancit

Semoga perkongsian ini dapat membantu anda sekiranya anda berada dalam situasi tayar kereta pecah, bocor atau pancit. Selain itu, sekiranya anda merancang untuk membeli kereta terpakai atau menjual kereta terpakai lama anda, layari laman web Carsome untuk info lanjut. Carsome merupakan platform jual beli kereta terpakai yang menawarkan perkhidmatan terbaik untuk anda dengan tawaran pilihan kereta terpakai yang berkualiti, dokumentasi berkaitan diuruskan sepenuhnya dan perkhidmatan penghantaran kereta secara terus ke pintu rumah anda!

Haziq Asyraf
Haziq Asyraf
A self-proclaimed foodie and gamer whose passion for food and games has recently extended to cars.
RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular