HomeBMSelamat Ke Tayar Buatan Tahun 2019? Bila Tayar Lama Ni Akan Luput?

Selamat Ke Tayar Buatan Tahun 2019? Bila Tayar Lama Ni Akan Luput?

Anda nak beli tayar dan terjumpa satu set dengan harga murah, tengah ada promosi lagi. Sekali apabila tengok balik, ia dibuat pada tahun 2019. Sebab itulah kedai terpaksa jual murah. Tapi, selamat ke beli tayar stok lama dan bila sebenarnya ia akan luput? 

Mesti ada yang terfikir, ‘Jap, tayar pun ada tarikh luput?’. Tayar yang tak digunakan disyorkan untuk disimpan dengan betul maksimum selama enam tahun sahaja sebelum ia dianggap tidak boleh digunakan walaupun bunga tayar masih tebal. 

Artikel berkaitan: Cara Penjagaan, Tip Beli Tayar Kereta yang Terbaik dan Selamat di Malaysia

Sebelum tahun 2000, tayar disyorkan untuk disimpan pada had tak lebih dari 10 tahun dari tarikh pembuatannya, namun kini garis panduan yang dipersetujui ialah enam tahun dengan syarat ia disimpan di dalam tempat tertutup dan tidak didedahkan kepada sinar ultralembayung (ultraviolet). 

Saya Tak Selalu Sangat Memandu, Berapa Lama Tayar Kereta Boleh Digunakan? 

Ramai yang menganggap, selagi mana bunga tayar masih tebal disebabkan kereta tak dipandu kerap kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua tahun, tiada keperluan untuk menukar tayar kereta mereka. 

Walau bagaimanapun, tak semestinya juga kerana getah boleh teroksida dan mengering jika ia terdedah dengan pelbagai unsur terutamanya matahari. Jadi, sekalipun bunga tayar masih tebal, bahan tayar tetap akan terdegradasi. 

Menurut Bridgestone Malaysia: 

Perbatuan yang rendah bukanlah masalahnya jika kereta jarang digunakan tetapi penuaan tayar. Penuaan tayar terjadi jika kereta diparkir untuk tempoh yang lama, getah akan teroksida menyebabkan terjadinya keretakan halus. 

Penuaan tayar adalah lebih buruk jika tayar diparkir di bawah cahaya matahari dan tidak diletakkan di kawasan teduh. Sangat disyorkan supaya kereta dipandu sekurang-kurangnya sekali atau dua kali seminggu untuk jarak yang dekat. 

Pergerakan tayar akan memindahkan bahan antioksidan atau antiozonan dari dalam getah ke permukaan luar bunga tayar dan dinding tayar. Bahan antioksidan akan membentuk lapisan perlindungan dan memperlahankan kesan penuaan tayar. 

Maka, masih lagi dengan persoalan yang sama –  jika anda kesempitan bajet atau kekurangan stok tayar, boleh ke anda membeli tayar yang dikeluarkan pada tahun 2019? 

Ketika artikel ini ditulis iaitu pada tahun 2021, jawapan ringkasnya boleh. Tetapi jika anda baca artikel ini pada tahun 2024, makan kami mencadangkan untuk periksa jika getah tayar telah mengeras sebelum membeli. 

Artikel berkaitan: Tayar Makan Dalam, Tayar Botak atau Bunga Tayar Haus? Punca Kerosakan Tayar yang Perlu Anda Tahu

Untuk kereta yang jarang dipandu, tayar masih lagi boleh digunakan lebih daripada lima tahun jika ia dipandu dengan kerap, sekalipun untuk jarak yang dekat kerana pusingan tayar boleh memperlahankan penuaan tayar. 

Tetapi adalah lebih baik untuk anda periksa tayar anda untuk sebarang keretakan halus pada dinding sisi tayar atau tanda lain getah semakin mengeras. 

Untuk periksa tahun bilakah tayar dibuat, cuma perlu periksa kod DOT empat digit yang menunjukkan minggu dan tahun pembuatan tayar. Dua digit pertama menunjukkan minggu manakala dua digit terakhir menunjukkan tahun. Ketahui lebih lanjut di sini

Haziq Asyraf
Haziq Asyraf
A self-proclaimed foodie and gamer whose passion for food and games has recently extended to cars.
RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular