HomeBM9 Aksesori Kereta yang Anda Wajib Ada Sebagai Persediaan Kecemasan

9 Aksesori Kereta yang Anda Wajib Ada Sebagai Persediaan Kecemasan

Kita tidak boleh menjangkakan situasi kecemasan yang akan berlaku semasa berada di jalan raya. Namun begitu, kita boleh melakukan persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang tidak dapat dielakkan.

Woman checking broken down car

Biasanya, kebanyakan situasi kereta rosak mesti akan berlaku bila anda memandu seorang diri ataupun ketika melalui kawasan gelap dengan liputan rangkaian telefon yang teruk. Sebab inilah anda disarankan untuk menyediakan aksesori kereta dan peralatan keselamatan dalam kereta anda sebelum bergerak ke mana-mana destinasi sebagai langkah pencegahan sekiranya berlaku insiden kecemasan.

9 Aksesori Kereta & Peralatan Keselamatan yang Wajib Ada dalam Kenderaan

Kegagalan menyediakan aksesori kereta yang betul mungkin akan menyukarkan anda sekiranya berlaku sebarang situasi kecemasan. Oleh sebab itu, CARSOME menyenaraikan  sembilan aksesori kereta yang perlu ada di dalam kenderaan anda sebelum anda memulakan perjalanan untuk membantu memberi sedikit kelegaan jika berlaku situasi sebegini kepada anda.

1. Tukul Cermin Pelbagai Fungsi

Alat keselamatan seperti tukul cermin adalah salah satu alatan penting yang anda perlu simpan dalam kereta. Ia boleh menyelamatkan nyawa anda sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini seperti kereta anda terhumban ke dalam laut atau sungai.

man holding car window hammer

Dalam situasi tersebut, kebiasaannya pintu kereta tidak boleh dibuka disebabkan oleh tekanan air yang tinggi. Oleh itu, tukul cermin diperlukan agar anda boleh memecahkan cermin dengan mudah untuk segera keluar dan menyelamatkan diri.

Janganlah mudah terpengaruh dengan tindakan hero-hero filem aksi yang boleh memecahkan cermin kereta dengan senang tanpa menggunakan sebarang alatan. Silap-silap, tangan anda yang akan pecah nanti.

Kebanyakan tukul cermin yang dijual di pasaran disertakan dengan pelbagai fungsi yang memudahkan usaha anda untuk menyelamatkan diri. Contohnya seperti 3 in 1 Glass Window Breaker ini yang turut dilengkapi dengan pemotong tali pinggang keledar dan wisel kecemasan.

2. Alat Pemadam Api

Kebanyakan punca utama kebakaran yang melibatkan kenderaan moden adalah disebabkan masalah litar pintas. Jadi, alat pemadam api adalah aksesori keselamatan penting yang perlu ada dalam semua kenderaan. Ia bukan sahaja boleh digunakan untuk memadamkan kebakaran yang melibatkan kereta anda, malah ia juga boleh digunakan untuk membantu mereka yang memerlukannya.

car fire extinguisher

Jenis alat pemadam api yang disyorkan untuk diletakkan dalam kereta seharusnya mempunyai saiz kompak dengan berat maksimum sehingga dua kilogram. Lokasi yang sesuai untuk meletakkan alat pemadam api adalah di bawah tempat duduk penumpang hadapan kerana ia senang dicapai jika berlaku kecemasan. Elakkan daripada meletakkan pemadam api di dalam but atau di bawah tempat duduk pemandu. Ia boleh bergolek ke bahagian pedal yang mungkin boleh membahayakan anda.

FIRE STOP Home & Car Fire Extinguisher ini memang sesuai untuk diletakkan dalam kereta anda kerana harganya sangat berpatutan, saiznya yang kecil dan cara penggunaan yang mudah.

3. Kit Pertolongan Cemas

Kit pertolongan cemas bukan sahaja perlu ada di dalam rumah anda, anda juga perlu sediakan satu dalam kereta anda, lebih-lebih lagi kalau anda banyak melakukan perjalanan jarak jauh.

Ia memainkan peranan yang penting apabila berlaku kemalangan terutama bagi mereka yang berkeluarga dan mempunyai anak kecil. Kit pertolongan cemas ini bukan sahaja dapat mengelakkan risiko kecederaan yang lebih teruk, malah dalam kes-kes tertentu boleh menyelamatkan nyawa.

Anda boleh dapatkan kit pertolongan cemas asas seperti WJS First Aid Kit ini secara dalam talian dengan mudah. Tetapi, ia selalunya disertakan dengan ubat-ubatan yang sesuai untuk kegunaan umum, dan bukan ubat yang sesuai untuk mereka yang ada masalah kesihatan tertentu.

car first aid kit

Sebab itulah anda disarankan untuk menyediakan kit pertolongan cemas mengikut keperluan kesihatan anda untuk disimpan di dalam kereta. Mudah sahaja, anda cuma perlu dapatkan beg yang tahan lasak, kalis air dan ada ruang yang mencukupi macam beg Portable First Aid Medicine Emergency Bag ini.

Lepas dah ada beg, boleh dapatkan barang-barang penting dalam yang kami senaraikan di bawah ni:

  1. Pembersih antiseptik
  2. Kain kasa pengelap
  3. Pembalut gulung
  4. Kapas
  5. Gunting
  6. Pita pelekat
  7. Kain anduh tiga segi
  8. Pek penyejuk segera
  9. Sarung tangan getah
  10. Plaster
  11. Minyak angin
  12. Antasid
  13. Aspirin atau ubat penahan sakit yang lain

4. Jumper Cable

Bateri kereta boleh mati secara tiba-tiba tanpa mengira tempat dan masa. Oleh itu, untuk elak daripada tersadai di satu-satu lokasi disebabkan bateri kereta yang tak berfungsi, anda perlu sediakan jumper cable di dalam kereta supaya anda boleh mengecas semula bateri kereta anda.

Kalau anda tidak pasti cara nak gunakan jumper cable ni macam mana, anda boleh semak caranya dalam buku panduan kenderaan anda, ataupun anda boleh rujuk artikel Cara Jumper Bateri Kereta yang Betul, Senang dan Selamat kami. 

man using jumper cable on two cars

Jumper cable boleh dibeli di mana-mana kedai aksesori kereta atau mana-mana platform dalam talian dan harganya juga tak mahal. Anda boleh dapatkan jumper cable XTITAN Heavy Duty Car Battery Booster Cable ini daripada harga serendah RM26. 

5. Kamera Papan Pemuka atau Dashcam

Lagi satu aksesori penting yang perlu ada dalam kereta anda adalah kamera papan pemuka atau dashcam. Ia berfungsi untuk merakam perjalanan anda dan sangat berguna untuk mendapatkan bahan bukti jika anda terlibat dalam kejadian yang tidak diingini seperti kemalangan jalan raya.

Adakalanya, pemandu lain tidak mengakui kesalahan yang mereka lakukan dan meletakkan kesalahan tersebut di bahu anda. Faktor ini juga didorong oleh ketiadaan kamera jalan raya atau saksi yang sudi tampil membantu. Oleh itu, untuk mengelakkan perkara ini daripada berlaku, anda disarankan untuk memasang dashcam pada kereta anda supaya jika situasi seperti ini berlaku, anda ada bukti yang boleh membuktikan bahawa anda tidak bersalah dan mengukuhkan hujah anda.

dashcam on mount

Salah satu dashcam terbaik yang anda boleh dapatkan untuk kereta anda adalah 70mai Smart Dashcam 1S pada harga RM175. Ia adalah model yang popular kerana dilengkapi dengan ciri yang canggih seperti resolusi sehingga 1080P, darjah penglihatan yang luas, dan juga mod Night Vision untuk rakaman yanglebih jelas pada waktu malam.

Artikel berkaitan: Senarai Dashcam Terbaik di Malaysia & Cara Untuk Pilih Yang Sesuai Untuk Anda

6. Jerry Can

Mesti ramai pemandu di luar sana yang simpan botol air plastik dalam kereta kan? Tapi tahukah anda bahawa botol plastik sebenarnya tak selamat untuk disimpan dalam kereta? Ia boleh mendedahkan air yang disimpan kepada bahan kimia berbahaya jika terdedah kepada cahaya matahari terlalu lama dan ia juga tidak sesuai digunakan untuk menyimpan minyak kalau kereta anda kehabisan minyak.

man filling up jerry can with gasoline

Sebenarnya adalah lebih selamat untuk anda simpan jerry can di dalam kereta kerana ia diperbuat daripada bahan sesuai digunakan untuk menyimpan cecair seperti air dan juga minyak.

Anda boleh dapatkan jerry can di mana-mana kedai pertukangan yang berhampiran atau anda juga boleh dapatkannya secara dalam talian seperti Jerry Can 5L Water Storage ini daripada harga RM10 sahaja. 

7. Segi Tiga Amaran

Segi tiga amaran (triangle emergency warning sign) biasanya digunakan dalam situasi kecemasan atau kerosakan. Papan tanda dengan bahan pantulan merah ini biasanya akan diletakkan di sisi jalan (kira-kira 45 meter di belakang kenderaan yang rosak atau dalam kemalangan) sebagai tanda amaran kepada pengguna jalan raya yang lain.

Negara-negara di Eropah seperti Austria, Sepanyol, Perancis, Belgium dan Itali mewajibkan penggunaan segi tiga amaran dalam situasi kecemasan atau kemalangan. Malah, pemandu boleh dikenakan kompaun jika tidak menggunakan alat ini semasa kecemasan atau kemalangan.

man putting triangle warning kit on road side

Kalau segi tiga amaran yang ada dalam kereta anda dah rosak, anda boleh gantikannya dengan Rechargeable Triangle Solar LED Emergency Light ini daripada Lazada. Harganya pun tak mahal, cuma RM14.99 sahaja.

Artikel berkaitan: Papan Tanda Jalan Raya di Malaysia & Maksud yang Mungkin Anda Tidak Tahu

8. Tayar Ganti, Jek Kereta & Lug Wrench

Kerosakan tayar semasa dalam perjalanan disebabkan oleh tayar yang tidak diselenggara dan dijaga dengan baik akan membantutkan perjalanan anda. Malah, ia juga akan menjejaskan dan merosakkan mood percutian anda.

Sebelum memulakan perjalanan jarak jauh, sentiasa periksa keadaan tayar ganti kereta anda. Tayar ganti selalunya berada di bahagian but belakang kereta anda dan ia perlu diperiksa agar ia mempunyai tekanan angin yang mencukupi, keadaan bunga tayar masih lagi tebal dan tiada sebarang kerosakan pada tayar tersebut.

man using car jack on car, aksesori kereta penting

Di samping itu, pastikan kelengkapan untuk menukar tayar ganti seperti jek kereta dan lug wrench tersedia dalam kenderaan anda. Alatan tersebut perlu berada dalam keadaan baik dan boleh digunakan. Untuk menggunakan jek kereta dengan lebih mudah, anda boleh dapatkan MANSOON Jack Car with Labour-Saving Wrench pada harga RM28.50 sahaja. Jika anda menggunakan rim sport, pastikan nat khas untuk membuka rim sentiasa ada dalam kereta anda.

Artikel Berkaitan: Punca Kerosakan Tayar Kereta Yang Patut Anda Tahu

9. Bank Kuasa atau Powerbank

Selalunya, bila berada dalam situasi kecemasan, masa tu lah bateri telefon bimbit kita akan habis. Inilah sebabnya kenapa kita perlu sentiasa bawa powerbank bersama-sama terutama sekali bila dalam perjalanan jarak jauh.

Walaupun sesetengah model kereta mempunyai built-in charger sebagai ciri standard, anda perlu juga memikirkan kebarangkalian lain yang boleh menghalang anda daripada menggunakannya. Oleh itu, powerbank adalah alternatif terbaik untuk anda.

car power bank, aksesori kereta penting

Jangan lupa untuk sentiasa pastikan yang powerbank anda telah dicas penuh sebelum memulakan perjalanan. Ini dapat memastikan telefon anda mempunyai bateri yang cukup untuk menghubungi pihak yang berkenaan dan mendapatkan bantuan, jika perlu.

Sebagai persediaan menghadapi kecemasan di jalan raya, anda boleh dapatkan Mi Powerbank 20000mAh ini pada harga yang sangat berpatutan di Lazada.

Kami harap artikel ini dapat membantu memudahkan perjalanan anda dan mengelakkan perkara-perkara di luar jangkaan daripada menjejaskan pengalaman pemanduan anda. Sentiasa beringat dan berwaspada sepanjang pemanduan untuk mengelakkan sebarang insiden atau kejadian yang tidak diingini. Yang penting, pandu dengan cermat dan sentiasa berhati-hati di jalan raya.

Selain itu, jika anda sedang mempertimbangkan untuk menjual kereta lama dan berminat untuk membeli kereta terpakai berkualiti, boleh layari carsome.my atau muat turun aplikasi mudah alih kami.

CARSOME adalah platform jual beli kereta terpakai dengan sehingga 30 pilihan jenama kereta yang sesuai untuk mana-mana gaya hidup. Semua kereta CARSOME Certified juga telah lulus pemeriksaan yang teliti dan telah dibaik pulih secara profesional. Anda tak perlu risau tentang keadaan kereta kerana kami hanya menawarkan kereta terpakai yang dijamin berkualiti untuk kegunaan harian anda.

Haziq Asyraf
Haziq Asyraf
A self-proclaimed foodie and gamer whose passion for food and games has recently extended to cars.
RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular