Ramai pemilik kereta yang mengambil ringan akan penjagaan bateri kereta. Voltan bateri kereta perlu diperiksa dari semasa ke semasa dan perlu digantikan sekurang-kurangnya setiap dua tahun untuk mengekalkan prestasinya pada tahap yang terbaik. Jika anda pernah berada dalam situasi seperti enjin kereta sukar untuk dihidupkan terutamanya pada waktu pagi, ini menandakan voltan bateri kereta anda sudah lemah dan bateri kereta anda perlu digantikan. Namun begitu, dalam kes-kes tertentu, anda mungkin memerlukan bantuan jumper bateri kereta untuk menghidupkan enjin kereta anda.
Anda disarankan untuk mempraktikkan langkah-langkah dan aspek keselamatan yang betul semasa jumper bateri kereta. Banyak model kereta yang dijual di pasaran pada hari ini menggunakan komponen elektronik dalam sistem dalaman kereta. Jika tersilap langkah, ia boleh menyebabkan kerugian atau kerosakan yang lebih serius seperti litar pintas pada komponen penting kereta seperti TCU (unit kawalan transmisi) atau risiko bahaya lain.
Artikel berkaitan: Semua yang Anda Perlu Tahu Mengenai Bateri Kereta
Perkara Perlu Diberi Perhatian Sebelum Jumper Bateri Kereta
Sebelum jumper bateri kereta anda, berikut merupakan antara perkara-perkara yang perlu diberi perhatian terutamanya jika anda baru pertama kali melakukan proses ini:
- Baca buku manual pemilik yang dibekalkan. Sesetengah model kereta tidak disarankan untuk melakukan jump start disebabkan oleh sistem litar yang sensitif;
- Jangan jump start bateri kereta yang berkarat, retak, bocor atau rosak;
- Jangan jump start bateri kering;
- Jika anda meminta bantuan kereta lain, pastikan saiz bateri kereta ‘penderma’ tersebut adalah sama atau lebih besar daripada saiz bateri anda;
- Sambungkan klip buaya di tempat yang betul mengikut susunan yang betul;
- Pastikan bateri kereta ‘penderma’ berada dalam keadaan baik, tidak lemah;
- Pastikan anda tidak menyentuh bahagian badan kereta atau klip buaya semasa jumper bateri kereta.
Perkara Perlu Anda Tahu Sebelum Jumper Bateri Kereta
Selain itu, anda juga perlu mengetahui perkara asas mengenai bateri kereta berikut sebelum memulakan proses jumper bateri kereta anda. Secara amnya, bateri kereta dilengkapi dengan dua terminal iaitu terminal positif dan terminal negatif:
- Terminal positif – terminal positif biasanya lebih besar berbanding terminal negatif. Ia ditandakan dengan ‘POS’ atau ‘+’, terminal ini akan disambungkan dengan klip positif kabel jumper kereta yang berwarna merah;
- Terminal negatif – terminal negatif pada bateri biasanya ditandakan dengan ‘NEG’ atau ‘-‘, terminal ini akan disambungkan dengan klip negatif kabel jumper kereta yang berwarna hitam.
Peralatan Diperlukan untuk Jumper Bateri Kereta
Anda hanya memerlukan dua peralatan berikut sebelum anda memulakan proses jump start bateri kereta anda:
- Kabel jumper kereta – kabel jumper kereta biasanya panjang, tertebat dengan klip bergerigi pada kedua-dua bahagian hujung. Kabel jumper juga turut dikenali sebagai ‘klip buaya’ kerana bentuknya yang kelihatan seperti kepala buaya. Klip buaya dibezakan melalui warna – hitam atau merah yang menunjukkan kutub positif (merah) atau negatif (hitam). Dapatkan kabel jumper kereta di sini.
- Sumber kuasa – anda boleh menggunakan sama ada bateri mudah alih atau bantuan kereta lain sebagai sumber kuasa untuk menghidupkan enjin kereta anda. Sumber kuasa mudah alih digunakan untuk jumper bateri kereta tanpa memerlukan bantuan kereta lain. Bateri jenis ini biasanya dilengkapi dengan kabel jumper khas. Ia akan disambungkan secara terus daripada bateri mudah alih dengan bateri kereta yang rosak. Dapatkan sumber kuasa mudah alih di sini.
Cara Jumper Bateri Kereta yang Betul
Bateri kereta anda tiba-tiba kong? Enjin kereta anda tidak boleh dihidupkan? Tidak tahu cara jumper kereta dengan betul? Jangan risau – CARSOME menyenaraikan cara jumper kereta yang mudah dan selamat untuk membantu anda sekiranya situasi sebegini berlaku kepada anda:
1. Matikan Enjin
Dalam situasi yang memerlukan anda untuk jumper bateri kereta dengan bantuan kereta ‘penderma’, anda perlu pastikan peralatan dan sistem elektrik kedua-dua kereta seperti lampu hadapan, radio dan sebagainya dimatikan.
2. Parking Dekat
Kemudian, parking kereta ‘penderma’ berdekatan dengan kereta anda. Letakkan kenderaan sedekat yang mungkin supaya kabel jumper kereta boleh dicapai oleh terminal negatif dan positif kedua-dua kereta. Namun begitu, pastikan kedua-dua kereta ini tidak bersentuhan antara satu sama lain. Ia mungkin boleh menyebabkan insiden berbahaya lain yang tidak diingini.
3. Cabut Kunci
Pastikan enjin kedua-dua kereta dimatikan, cabut kunci dan buka bonet hadapan kenderaan anda.
4. Sambung Kabel Jumper Kereta – Klip Positif
Sambungkan klip kabel jumper kereta dengan berhati-hati. Mulakan dengan menyambungkan terminal positif kabel jumper kereta dengan terminal positif bateri kereta ‘penderma’. Terminal positif biasanya mempunyai penutup plastik berwarna merah dengan simbol tambah (+). Selepas itu, sambungkan hujung klip kabel jumper kereta yang lain dengan terminal positif bateri kereta yang rosak.
5. Sambung Kabel Jumper Kereta – Klip Negatif
Kemudian, sambungkan klip kabel jumper kereta berwarna hitam (negatif) pada terminal negatif bateri kereta ‘penderma’. Selepas itu, sambungkan hujung klip kabel jumper kereta yang lain dengan benda logam yang tidak bercat pada kereta yang rosak seperti batang besi bonet hadapan.
6. Hidupkan Enjin
Hidupkan enjin kereta ‘penderma’.
7. Tunggu Sebentar
Tunggu beberapa minit. Kemudian, cuba hidupkan enjin kereta yang rosak. Jika ia masih belum boleh dihidupkan selepas beberapa cubaan, kereta anda mungkin menghadapi masalah lain selain daripada masalah bateri.
8. Biarkan Enjin
Jika enjin kereta anda hidup, biarkan kedua-dua enjin kereta beroperasi selama 5-10 minit.
9. Cabut Kabel Jumper Kereta
Untuk mencabut kabel jumper kereta, anda hanya perlu membuka sambungan kabel mengikut urutan berlawanan. Cabut kabel hitam pada kereta yang rosak, diikuti dengan kabel hitam pada kereta ‘penderma’, kabel merah pada kereta yang rosak dan kabel merah pada kereta ‘penderma’.
10. Pandu Uji
Selepas kabel jumper kereta ditanggalkan, pandu kereta dalam keadaan trafik yang normal selama lebih kurang 30 minit untuk mengecaj kembali kuasa bateri.
Kami berharap perkongsian cara jumper kereta ini dapat membantu anda untuk melakukan jump start kereta dengan cara yang betul. Selain itu, jika anda sedang mencari kereta terpakai untuk dimiliki atau anda ingin menjual kereta lama anda, layari laman web CARSOME untuk maklumat lanjut. CARSOME merupakan platform jual beli kereta terpakai terbaik di Malaysia.
Artikel berkaitan: Panduan Beli Bateri Untuk Kereta Axia