HomeBMTanda Bateri Kereta Kong, Tip Penjagaan Bateri Kereta Anda Perlu Tahu

Tanda Bateri Kereta Kong, Tip Penjagaan Bateri Kereta Anda Perlu Tahu

Bateri kereta boleh dianggap sebagai komponen penting dalam sistem elektrik kenderaan dan merupakan komponen yang perlu digantikan setiap dua tahun bergantung pada penjagaan dan prestasinya. Ia berfungsi membekalkan arus elektrik untuk menghidupkan enjin dan menyimpan muatan elektrik untuk digunakan semasa enjin tidak beroperasi. Namun begitu, ramai pemilik kereta tidak mempunyai pengetahuan asas mengenai bateri kereta. 

bateri kereta di Malaysia

Jenis Bateri Kereta

Secara umumnya, terdapat beberapa jenis bateri yang dijual di pasaran. Carsome menyenaraikan info-info dan tip penting mengenai bateri kereta yang anda perlu tahu seperti berikut.

1. Bateri Sel Basah atau Bateri Sel Kering

Bateri basah memerlukan penyelenggaraan secara berkala seperti penambahan air suling (distilled water) ke dalam bateri. Tahap air bateri perlu berada pada tahap yang disyorkan untuk mengelakkan jangka hayat bateri lebih pendek berbanding biasa. Kekerapan penambahan air suling bergantung pada keadaan cuaca dan penggunaan (perjalanan jauh atau penggunaan kerap), biasanya sekali dalam 4-6 minggu.

Harga bateri basah atau bateri kering

Berbeza dengan bateri kering (atau turut dikenali sebagai ‘maintenance free’), bateri jenis ini tidak memerlukan sebarang penyelenggaraan. Pemilik kereta hanya perlu memastikan sambungan terminal berada dalam keadaan baik dan terminal bateri diperiksa dari masa ke masa untuk mengelakkan sebarang kakisan pada terminal bateri. Kebiasaannya, bateri sel kering dijual pada harga lebih mahal berbanding bateri sel basah.

2. Bateri Gel

Bateri kereta biasanya mempunyai jangka hayat sekitar dua tahun atau kurang. Namun begitu, bateri jenis gel mampu bertahan sehingga 5-10 tahun bergantung pada penggunaan. Bateri gel merupakan bateri bebas penyelenggaraan sepenuhnya dan dilengkapi dengan gel elektrolit yang lebih tebal sekali gus menjadikan bateri ini lebih selamat, mesra alam dan dapat menahan dua kali lebih banyak kitaran pengecasan dan pelepasan (sehingga 400). Bateri ini memakan kos yang agak tinggi setanding dengan tempoh jangka hayatnya – 3-4 kali lebih mahal berbanding bateri bebas penyelenggaraan lain.

Absorbent Glass Mat

3. Bateri Absorbed Glass Mat (AGM)

Bateri jenis Absorbed Glass Mat (AGM) menggunakan pelapik kaca poros yang bertindak seperti span yang berfungsi memerangkap elektrolit yang berbentuk cecair atau gel. Kelebihan bateri ini ialah bateri jenis ini bebas kebocoran hasil daripada penggunaan teknologi pengkapsulan asid dan mempunyai jangka hayat yang lebih lama berbanding bateri biasa. Selain itu, bateri jenis ini mempunyai kadar rintangan yang lebih rendah dan kadar tidak balas terhadap perubahan yang lebih cepat selain berfungsi dengan baik pada suhu sejuk. Sudah semestinya, semua manfaat positif ini datang dengan harga yang lebih tinggi berbanding bateri bebas penyelengaraan yang biasa dijual dipasaran.

7 Tip Penjagaan Bateri Kereta Pemilik Kereta Wajib Tahu 

Sama seperti komponen kereta yang lain, bateri kereta perlu diperiksa dan diselenggara secara berkala untuk mengekalkan kualiti dan prestasi pada tahap yang terbaik. Carsome menyenaraikan 7 tips penjagaan bateri kereta sebagai panduan anda:

1. Periksa aras air bateri

Periksa tahap air dalam bateri kereta (penggunaan sel basah) anda setiap 3 bulan atau setiap 5000km. Sekiranya anda kerap memandu jauh, periksa tahap air dalam bateri dengan lebih kerap untuk memastikan tahap air kekal berada pada tahap yang sesuai.

2. Bersihkan terminal bateri

Terminal bateri menghubungkan sistem elektronik kereta dan bateri kereta anda. Jika terminal bateri longgar, ketatkan segera. Ini kerana ia akan menyebabkan garam-garam hijau terbentuk di sekeliling permukaan logam terminal sekali gus menjejaskan ketersambungan bateri.

3. Periksa penebat bateri 

Sesetengah model kenderaan dilengkapi dengan sarung penebat yang berfungsi melindungi bateri kereta daripada kepanasan haba enjin. Bateri yang terdedah kepada suhu panas akan menyebabkan jangka hayat bateri menjadi lebih pendek.

4. Guna bateri yang berkualiti

Bateri yang berkualiti mempunyai jangka hayat yang lebih baik – dalam kes tertentu, bateri boleh bertahan melebihi 2 tahun jika dijaga dan digunakan dengan baik. Bateri kereta yang berkualiti juga kebiasaannya disertakan waranti dan jaminan.

5. Elak guna minyak sebarangan pada terminal bateri 

Penggunaan minyak seperti minyak gris yang tidak sesuai pada kepala bateri boleh menyebabkan kepala bateri berkarat. Malah, jika digunakan secara berlebihan, ia boleh melemahkan kuasa dan menjejaskan prestasi bateri.

6. Matikan sistem elektronik jika enjin tidak dihidupkan

Jika anda mematikan enjin kereta anda, pastikan semua peralatan elektronik kereta seperti aircond kereta, lampu atau radio dimatikan. Ia secara tidak langsung dapat mengekalkan kuasa bateri untuk tahan lebih lama.

7. Periksa kuasa bateri secara berkala

Bacaan normal bateri kereta yang ‘sihat’ adalah antara 12-13 Volt ketika enjin tidak dihidupkan, manakala antara 13.5-14.5 Volt jika enjin dihidupkan. Jika kuasa bateri berada di bawah 13.5 Volt atau melebihi 14.5 Volt ini, besar kemungkinan terdapat masalah pada alternator kereta anda.

Saiz dan Harga Bateri Kereta

Harga bateri kenderaan yang dijual dipasaran adalah bergantung pada jenama (Century, Bosch, Yokohama, GP Yamasaki, Aokly, Yuasa, Hitachi dll.), jenis dan saiz. Berikut merupakan senarai anggaran harga bateri kenderaan yang dijual di pasaran mengikut saiz untuk panduan anda. Harga yang dipaparkan adalah tertakluk kepada perubahan mengikut trend pasaran semasa.

Saiz Bateri Harga Bateri 
NS40ZL RM120-RM170
NS60 RM140-RM180
NS70 RM190-RM245
DIN55 RM190-RM245
55D23L RM190-RM245

letak kereta di tempat yang teduh boleh memanjangkan jangka hayat bateri

Tanda Bateri Kereta Kong atau Lemah

Walaupun tiada cara untuk mengetahui sama ada bateri kenderaan anda telah dinyahcas atau sebaliknya, anda boleh mengesan tanda-tanda awal bateri kereta kong yang ditunjukkan. 

  1. Starter sedikit berat semasa menghidupkan kereta atau kereta mengambil masa yang lebih lama daripada biasa untuk hidup;
  2. Kereta anda memerlukan bantuan jump start terutamanya pada waktu sejuk (waktu pagi atau semasa hujan). Jika anda perlu melakukan jump start lebih kerap dalam tempoh kurang seminggu, ini bermaksud bateri kereta perlu digantikan atau air perlu ditambah (sel basah);
  3. Kotak bateri kelihatan sedikit kembung atau membengkak. Perkara ini disebabkan bateri telah mencapai tahap maksimum dan tidak lagi dapat menerima cas daripada alternator;
  4. Berbau tengik atau berasid. Kebiasaannya, bau ini dapat dihidu apabila bonet kereta dibuka. Namun, dalam sesetengah kes bau tersebut juga dapat dihidu di dalam kabin kereta;
  5. Alarm berbunyi secara tidak menentu turut menandakan bateri kereta anda ‘kong’ dan tidak berada dalam keadaan baik. Walaupun begitu, anda disarankan untuk memeriksa remote atau sistem alarm kereta terlebih dahulu untuk pengesahan;
  6. Penunjuk meter minyak menjadi tidak menentu, tidak seragam dan tidak seperti biasa. Dalam situasi biasa, meter akan menunjukkan jarak sebanyak 115km± dengan 3 bar minyak, tetapi jika bateri ‘kong’, meter hanya menunjukkan jarak sebanyak 50km± sahaja. Perkara ini biasa berlaku bagi kereta berjenama Perodua;
  7. Tetapan jam dan radio perlu dipratetapkan semula setiap kali kenderaan dihidupkan, ia menunjukkan bateri anda sudah lemah dan perlu digantikan.

Punca Utama Bateri Kereta Kong

Terdapat banyak faktor yang menyebabkan bateri kereta ‘kong’. Carsome menyenaraikan beberapa punca utama yang menyebabkan bateri kereta ‘kong’:

      1. Litar pintas/sel mati dalam bateri;
      2. Enjin kereta tidak dihidupkan untuk tempoh yang lama;
      3. Kerosakan pada bahagian alternator;
      4. Sistem pendawaian yang tidak betul oleh penjual aksesori pihak ketiga;
      5. Pemasangan aksesori kereta yang berlebihan;
      6. Lampu kereta, radio tidak dimatikan semasa enjin dimatikan;
      7. Faktor penyelenggaraan – terminal bateri kotor, berkarat atau longgar.

Bateri perlu ditukar jika tunjukkan tanda-tanda awal

Tip Bateri Kereta Tahan Lebih Lama

Penyelenggaraan kereta yang betul dapat mencegah kerosakan dan memanjangkan jangka hayat bateri kereta. Carsome turut menyenaraikan tips untuk memastikan bateri kenderaan anda tahan lebih lama.

1. Parkir kereta di tempat yang teduh

Cuaca di Malaysia biasanya lebih panas berbanding negara-negara Eropah. Suhu cuaca yang tinggi mempercepatkan tindak balas kimia dalam bateri dan akhirnya melepaskan cas dengan lebih cepat sekali gus memendekkan jangka hayatnya. Oleh itu, cara terbaik untuk memanjangkan jangka hayat bateri anda ialah dengan meletakkan kenderaan di tempat yang lebih teduh.

2. Cabut bateri kereta jika kereta ditinggalkan lama

Kereta biasanya sukar untuk dihidupkan jika ditinggalkan dan tidak dihidupkan dalam tempoh yang lama. Untuk mengelakkan situasi sebegini daripada berlaku, anda disarankan untuk mencabut soket terminal negatif (penutup kabel hitam) pada bateri anda. Namun, jika anda bimbang akan keselamatan kenderaan anda (penggera tidak diaktifkan jika bateri dicabut), anda boleh meminta pertolongan jiran atau rakan terdekat untuk menghidupkan kereta anda. Malah, jika anda perlu bekerja dari rumah (work from home), hidupkan kereta anda selama 10 minit sekurang-kurangnya setiap dua hari.

jump start bateri kereta

Bolehkah Bateri Yang Telah Dinyahcas Dicas Semula?

Ramai pemilik kenderaan berpendapat bahawa bateri yang telah dinyahcas boleh dicas semula jika kenderaan dipandu. Pendapat ini adalah salah. Sebenarnya, pengecasan yang berterusan sebegini akan menurunkan kapasiti bateri dan memendekkan jangka hayatnya dengan lebih cepat. Satu-satunya cara untuk mengembalikan cas bateri dengan sekata adalah dengan menggunakan pengecas pelbagai peringkat. Sekiranya anda tidak memandu kereta dengan kerap, hidupkan kereta setiap hari atau pandu kereta di sekitar taman anda sekurang-kurangnya seminggu sekali.

hidupkan kereta sekurang-kurangnya sekali setiap dua hari

Cara Jumper Bateri Kereta

Namun begitu, dalam kes-kes tertentu, anda mungkin perlu jumper bateri kereta anda. Situasi ini mungkin berlaku apabila anda terlupa untuk mematikan lampu kereta anda atau kadar voltan bateri yang lemah. Ikuti cara jumper bateri kereta dengan cara yang betul di sini.

Kitar Semula Bateri Lama Kereta untuk Tunai

Anda mungkin tertanya-tanya apakah yang boleh dilakukan dengan bateri lama yang telah digantikan? Bagi kebanyakan orang, perkara yang biasa dilakukan adalah tinggalkan sahaja di kedai bateri setelah menukar bateri baharu. Tetapi sebenarnya, anda juga boleh menjual bateri lama anda untuk tunai. Syarikat pengurusan sisa pepejal, Alam Flora baru-baru ini berkongsi di Facebook mengenai inisiatif kitar semula untuk sisa buangan domestik melalui 3R On Wheels dan Buy Back Centres yang boleh ditemui di Putrajaya, Cyberjaya dan Kuala Lumpur.

Setakat 1 April 2019, pusat ini telah menerima hampir 20 item termasuk bateri kenderaan yang diterima pada harga RM1 bagi setiap kilogram dan harga ini adalah tertakluk pada perubahan kadar pasaran semasa. Anda juga boleh ikuti Facebook dan Twitter Rasmi Alam Flora untuk mengetahui jadual terkini 3R On Wheels. Selain itu, anda juga boleh ‘trade in’ bateri lama anda kepada bateri baharu dengan pihak bengkel. Kebanyakan pihak bengkel menerima ‘trade in’ bateri lama pada harga sekitar RM10-RM15 bergantung kepada pihak bengkel.

Penjagaan kenderaan yang baik (termasuk penjagaan bateri kereta) boleh meningkatkan harga jualan yang lebih tinggi jika anda membuat keputusan untuk menjual kereta lama anda. Anda boleh mempertimbangkan Carsome untuk menguruskan proses berkaitan jual beli kereta lama anda. Carsome merupakan platform jual beli kereta terpakai terbaik yang menjanjikan perkhidmatan jual beli kereta yang profesional, telus dan cepat. 

RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular