Bayangkan, cuaca tengah baik, jalan raya pun lengang, memang seronok bila anda dapat memandu dalam situasi macam ini. Tapi tiba-tiba… Boom! Anda terus perlahankan kereta dan cari tempat selamat untuk berhenti. Keluar saja dari kereta, anda dapati yang salah satu tayar kereta anda sudah pancit. Anda mula mengeluh dalam hati, “Alamak, apa aku nak buat ni…”.
Jangan bimbang, cara tukar tayar kereta yang pancit sebenarnya sangat mudah jika anda tahu bagaimana untuk melakukannya. Jom ikuti panduan yang CARSOME sediakan ini untuk tukar tayar kereta yang pancit dengan betul dan selamat.
Artikel berkaitan: Cara Penjagaan, Tip Beli Tayar Kereta yang Terbaik & Selamat di Malaysia
Cara Tukar Tayar Kereta dengan Betul & Mudah
Langkah 1: Berhenti di Lokasi yang Selamat

Jika tayar kereta tiba-tiba bocor atau pancit semasa kereta sedang dipandu, berhentikan kereta anda di lokasi yang selamat seperti di bahu jalan atau di kawasan rehat. Pastikan brek tangan telah ditarik dan gear kereta berada di P (Parking). Kalau boleh, elakkan berhenti di kawasan yang gelap sunyi.
Letakkan kereta di kawasan yang rata dengan permukaan yang stabil. Permukaan jalan yang landai atau curam boleh menyebabkan kereta terjatuh atau tergelincir daripada jek kereta apabila anda sedang menukar tayar kereta.
Untuk keselamatan anda, hidupkan lampu kecemasan dan letakkan segi tiga amaran atau warning triangle di belakang kereta anda pada jarak sekurang-kurangnya 45 meter.
Langkah 2: Keluarkan Tayar Spare & Sediakan Peralatan yang Diperlukan
Sebelum mulakan proses tukar tayar, keluarkan dulu tayar spare atau tayar ganti serta peralatan menukar tayar kereta daripada kereta anda. Biasanya, semua ini boleh didapati di bahagian but kereta tapi jika anda tidak pasti, rujuk manual kereta anda untuk mengetahui lokasi semua peralatan tersebut disimpan.
Peralatan yang Wajib Ada untuk Tukar Tayar Kereta
Berikut adalah peralatan yang diperlukan untuk menukar atau menggantikan tayar kereta:
- Jek kereta – Kebanyakan kereta didatangkan dengan jek gunting untuk kegunaan kecemasan tapi jika kereta anda tiada, boleh dapatkannya di sini.
- Lug wrench – Perkakas ini diperlukan untuk menanggalkan nat tayar kereta.
- Tayar spare atau tayar ganti – Saiznya lebih kecil berbanding dengan tayar biasa dan anda juga tidak boleh memandu terlalu laju apabila menggunakan tayar ganti. Boleh didapati di bahagian but tetapi ada kereta moden yang tidak disertakan dengan tayar ganti. Jika kereta anda tidak mempunyai ruang untuk tayar ganti, sediakan kit tayar pancit seperti dalam pautan ini atau pautan ini.
- Kunci nat tayar – Kalau anda menggunakan sport rim dengan nat tayar yang spesifik, alat ini diperlukan untuk buka nat tersebut.
Anda juga boleh gunakan peralatan tambahan berikut untuk memudahkan lagi proses tukar tayar kereta anda:
- Sarung tangan – Lindungi tangan anda daripada kekotoran dan kecederaan semasa menukar tayar dengan sarung tangan dalam pautan ini.
- Lampu suluh – Susah nak ganti tayar kereta pada waktu malam tanpa sebarang lampu, jadi memang berguna jika anda mempunyai lampu suluh kepala ini.
- Reflective vest (ves pantul cahaya) – Kalau anda perlu menukar tayar kereta dalam keadaan gelap atau pada waktu malam, dapatkan ves pantul cahaya ini agar anda mudah untuk dilihat oleh pengguna jalan raya lain.
Artikel berkaitan: 9 Aksesori Kereta yang Anda Wajib Ada Sebagai Persediaan Kecemasan
Langkah 3: Longgarkan Nat Tayar

Jangan naikkan kereta atas jek dulu! Apabila kereta sudah diletakkan di permukaan yang rata dan brek tangan sudah ditarik, gunakan lug wrench untuk longgarkan nat pada tayar yang pancit atau bocor. Pusing nat tayar dengan melawan arah jam (anticlockwise) sehingga longgar dan jangan cabut dulu.
Langkah 4: Pasang Jek Kereta
@kkautomoto Cara nak pakai manual jack dengan betul , pastikan letak betul² di bawah frame / chassis kereta. 😁 #fypシ゚viral #fypシ #fypage #berandatiktok #berandafyp #berandafypシ ♬ suara asli – 𝙍𝙔𝘼𝙉 𝙏𝙈𝙍 – 𝙍𝘼𝙔𝙀𝙉
Setelah nat tayar dilonggarkan, letakkan jek kereta pada bahagian badan kereta yang sesuai, biasanya berhampiran dengan tayar yang pancit. Kalau anda menggunakan jek gunting, akan ada lubang kecil yang bertujuan untuk menahan bahagian bingkai kereta. Kalau tak pasti, rujuk manual kereta untuk mengetahui lokasi yang sesuai untuk letak jek kereta.
Jangan pasang jek kereta terlalu tinggi untuk mengelakkan risiko kereta terjatuh atau tergelincir – cukuplah jika anda naikkan jek sehingga tayar kereta boleh dipusingkan.
Langkah 5: Tukar Tayar Kereta

Pada langkah ini, barulah anda boleh cabut nat tayar kereta. Kemudian, tarik keluar tayar yang pancit atau bocor dan pasangkan tayar ganti. Selepas selesai memasang tayar ganti letakkan semula nat tayar kereta yang ditanggalkan tadi.
Langkah 6: Ketatkan Nat Tayar
Turunkan jek kereta dan pastikan kereta anda stabil. Gunakan lug wrench dan ketatkan nat tayar kereta. Untuk memastikan nat tayar diketatkan secara sekata, anda disarankan untuk mengetatkan nat tayar menggunakan corak bintang (star pattern) seperti di dalam gambar.
Langkah 7: Gantikan Tayar Spare dengan Segera

Bila semuanya dah selesai, anda boleh teruskan perjalanan menggunakan tayar ganti. Tapi, anda perlu menukar tayar anda kepada yang baharu secepat mungkin kerana tayar ganti hanya boleh digunakan untuk bergerak sejauh 80 km hingga 113 km pada kelajuan maksimum 80 km/j.
Elakkan daripada memandu dengan laju atau melebihi jarak yang disyorkan semasa menggunakan tayar ganti kerana ia boleh pecah dan rosak serta akan mengakibatkan kemalangan.
Selamatkah Memandu Menggunakan Tayar Ganti?
Tayar ganti, atau turut dikenali sebagai tayar spare, tayar donat atau tayar simpanan merupakan tayar kecil yang disediakan untuk membantu anda sekiranya anda berada dalam situasi kecemasan seperti tayar bocor, pecah atau pancit.
Secara umumnya, tayar ganti berfungsi menggantikan tayar kereta yang rosak untuk sementara waktu sekiranya berlaku situasi kecemasan bagi membolehkan anda membawa kenderaan ke bengkel berdekatan untuk menampal atau menukar tayar yang baharu.
Artikel berkaitan: Selamat Ke Tayar Buatan Tahun 2019? Bila Tayar Lama Ni Akan Luput?
Tip Pemanduan Selamat Semasa Menggunakan Tayar Ganti
Secara amnya, tayar ganti tidak sesuai untuk digunakan bagi pemanduan jarak jauh dalam tempoh yang lama. Ia berfungsi untuk penggunaan sementara untuk membolehkan anda bergerak ke kedai tayar atau bengkel untuk menukar atau menggantikan tayar anda sekiranya berlaku situasi tayar bocor, pecah atau pancit. Jika anda memandu menggunakan tayar ganti, amalkan tips pemanduan berikut untuk keselamatan anda sepanjang pemanduan:
1. Pandu Perlahan & Berhati-hati
Tayar spare berfungsi untuk penggunaan sementara dan tidak direka untuk penggunaan yang lama dan pemanduan laju. Oleh itu, anda disarankan untuk tidak memandu melebihi 80 km/j sebagai langkah keselamatan. Selain itu, anda juga disarankan untuk memandu di laluan paling kiri semasa menggunakan tayar ganti.
2. Periksa Tekanan Angin Tayar Ganti dengan Kerap
Tekanan angin yang disarankan untuk tayar spare ialah sekitar 60 PSI. Oleh itu, pastikan anda memeriksa angin tayar ini secara berkala untuk mengelakkan tayar ganti kempis semasa ingin digunakan.
Semoga perkongsian ini dapat membantu anda sekiranya anda berada dalam situasi tayar kereta pecah, bocor, atau pancit.
Artikel berkaitan: Kepentingan Tekanan Angin Tayar Kereta untuk Keselamatan Anda
Artikel ini telah diterbitkan pada 25/06/2021. Ia telah dikemaskini pada 30/04/2024 dengan maklumat yang lebih tepat.