HomeAutomotiveDengan Bajet RM50K, Mana Lagi Berbaloi Untuk Anda Beli? – Perodua Axia...

Dengan Bajet RM50K, Mana Lagi Berbaloi Untuk Anda Beli? – Perodua Axia AV 2023 Atau Myvi 1.3 G Dengan PSDA?

Telah rasmi, Perodua Axia D74A 2023 baharu akhirnya telah dilancarkan dengan varian AV merupakan varian paling mewah dengan harga bermula RM49,500. Ada yang mungkin terkejut dengan harga tersebut. Lagipun, anda boleh dapatkan Perodua Myvi yang lebih murah tapi adakah ia pembelian yang lebih berbaloi? 

Artikel berkaitan: Perodua Axia 2023 Kini Sudah Dilancarkan Secara Rasmi!

Myvi asas 1.3 liter ditawarkan dalam dua varian tetapi untuk perbandingan ini, kita akan bandingkan dengan model G yang dilengkapi dengan sistem Bantu Pandu Pintar Perodua (PSDA) dengan harga bermula RM48,500.

Jika anda mempertimbangkan dua varian ini disebabkan harga yang hampir sama, kami telah membandingkan lima aspek iaitu rupa, enjin, pemanduan, ruang, dan ciri-ciri. 

Rupa – Axia Nampak Lebih Moden 

Mungkin disebabkan ia baru saja dilancarkan jadi kalau nak pilih yang mana lebih menarik penampilannya, Axia baharu kelihatan lebih cantik daripada Myvi. 

Apapun, Perodua bukan Pininfarina yang hasilkan kereta dengan rekaan yang boleh menarik perhatian ramai. Kita kena ucapkan terima kasih kepada pereka-pereka di Perodua kerana datang dengan rekaan kereta  tahap pemula yang tidak nampak pelik. 

Tidak seperti model sebelumnya, rekaan Axia baharu agak ‘biasa’, dengan bentuk hacbek rendah. Axia baharu ini mempunyai penampilan lebih sporty yang kelihatan lebih dinamik berbanding Myvi tetapi apapun, model Myvi lebih mendominasi jalan raya jadi mungkin anda takkan perasan pun model Axia ini. Benda yang sama akan terjadi kepada model Axia ini nanti. 

Di bahagian tepi pula, Axia baharu turut datang dengan jalur dan juga pelindung lingkungan tayar yang lebih luas dan menampakkan ia lebih moden dan sporty yang menampilkan sedikit kelainan rekaan berbanding Myvi yang kelihatan kosong. 

Walau bagaimanapun, kalau ada yang ingin dikritik bagi rekaan Axia ini, ia ialah bahagian belakang kereta. Bagi kami, ianya terlalu biasa dan kosong dan di sinilah Myvi patut dipuji untuk rekaannya. Mungkin aksesori Gear Up boleh ubah sedikit (kot) penampilan Axia ini? 

Enjin – Myvi Masih Menjuarai 

Perodua tidak memasukkan enjin 1.0 liter turbo daripada Perodua Ativa ataupun enjin 1.2 liter WA-VE seperti model Toyota Agya dari Indonesia tetapi Axia baharu ini dilengkapi dengan enjin yang sama seperti model sebelum ini iaitu enjin hembusan asli (NA) 1.0 liter 1KR-VE 3 unit pot (68PS/91 Nm). 

Sama seperti Myvi, kesemua varian Axia baharu hanya dilengkapi dengan transmisi automatik D-CVT. Menurut jurutera Perodua, transmisi yang ada pada Axia adalah sama dengan Myvi tetapi ia telah disesuaikan bagi kegunaan enjin yang lebih kecil. 

Artikel Berkaitan: Kenapa Anda Patut Beli Perodua Axia Terpakai Generasi Pertama Sebagai Kereta Pertama?

Walau bagaimanapun, Myvi 1.3 Gyang lebih murah ini dikuasakan dengan enjin 1.3 liter 1NR-VE 4 silinder yang lebih besar dan berkuasa yang menjana 95 PS ataupun 121 Nm. 

Itu saja dah cukup untuk menjadi alasan yang kukuh bagi mereka yang masih mempertimbangkan antara Axia yang mahal dan juga Myvi yang cukup murah. Mengapa bayar lebih untuk kereta tahap pemula yang lengkap sedangkan anda boleh dapatkan kereta yang lebih berkuasa yang juga merupakan best-seller dalam Malaysia?

Selain daripada lebih jimat minyak – Axia: 27.4km/l, Myvi: 22.2km/l – sebenarnya Axia mendahului Myvi dengan satu kelebihan. 

Pemanduan – Axia Lagi Selesa 

Tak dapat dinafikan bahawa kuasa itu penting dan kalau perbandingan ini seperti nak memilih jodoh, Myvi nampaknya lebih sesuai. Tetapi, secara realitinya, ia bukan sekadar itu saja. 

Walaupun kami hanya mengulas varian Myvi yang paling mewah, kami mendapati tetapan suspensinya seperti tidak wujud menyebabkan pemanduan kurang menyenangkan untuk jalan berbonggol . Senang cerita, Myvi ini langsung tak selesa. 

Meskipun cuma untuk seketika kami memandu Axia baharu ini, kami mendapati ia jauh lebih baik bukan hanya nak dibandingkan dengan model terdahulu tetapi juga lebih lembut (suspensi) berbanding Myvi. Sangat mengagumkan apabila Daihatsu New Global Architecture (DNGA) menyifatkan Axia ini masih kereta tahap pemula tetapi pemanduannya lebih bagus daripada kereta yang berada atas segmennya. 

Ruang – Myvi Bukan Tandingan 

Daripada segi saiz, Myvi masih lagi lebih panjang dan besar daripada Axia baharu. Logik juga kerana Myvi ini sebenarnya berada dalam kelas yang lebih besar berbanding Axia. Tetapi, jarak gandar tayar Axia baharu cumalah 25mm lebih pendek berbanding Myvi. 

Perodua mendakwa ruang but Axia boleh memuatkan empat bagasi dengan mudah sama seperti Myvi tetapi walaupun nampak luas dan praktikal, ia masih tidak ada kerusi belakang boleh lipat. 

Kalau anda mahu membawa basikal atau sesuatu yang panjang di belakang Axia, anda terpaksa mengorban tempat duduk belakang kerana hanya keseluruhan kerusi belakang boleh dilipat, termasuklah varian AV. 

Sementara itu, Myvi mempunyai kerusi belakang boleh lipat 60:40 supaya anda sekurang-kurangnya boleh meletakkan barangan yang lebih panjang di bahagian belakang tanpa perlu mengosongkan keseluruhan ruang belakang. 

Myvi juga mempunyai banyak tatarajah tempat duduk yang menjadi tumpuan bagi model facelift yang menjadikannya ciri yang praktikal . Jadi kali ini, Myvi ialah pilihan terbaik yang jelas memandangkan kedua-dua kereta ini adalah daripada segmen yang berbeza. 

Ciri – Inilah Sebabnya Kenapa Anda Kena Beli…

Perodua Axia AV datang dengan pelbagai ciri keselamatan dan kemudahan justeru harga yang lebih mahal. Hanya varian AV yang datang dengan skrin sesentuh maklumat hibur, paparan TFT aneka info 7 inci, dan juga tempat duduk separa kulit. 

Sementara itu, Myvi 1.3 Gpula, hanya ada ciri asas saja termasuklah radio standard dengan USB (tanpa bluetooth), kombinasi paparan LCD asas, dan tempat duduk fabrik. 

Kedua-dua Axia AV dan Myvi 1.3 G menawarkan PSDA tetapi Axia dengan spesifikasi tinggi ada fungsi yang lebih menyeluruh. Kedua-dua model didatangkan dengan: 

– Advanced Safety Assist (ASA 3.0) 

– Amaran Lencongan (LDW)

– Lampu Tinggi Automatik (AHB)

Walau bagaimanapun, Axia baharu mempunyai ciri keselamatan tambahan yang lebih lengkap berbanding Myvi 1.3 G dengan PSDA termasuklah monitor titik buta dan juga sistem amaran lintas trafik belakang (RCTA). Axia ini juga dilengkapi dengan enam beg udara berbanding Myvi 1.3 Gyang hanya ada empat serta dilengkapi dengan pengesan selekoh dan juga kamera undur.

Nak Beli Yang Mana Satu?

Perbezaan harga antara Myvi varian G berserta PSDA dengan Axia varian AV cumalah RM1,000 dan tak dinafikan anda akan mendapat kereta yang lebih besar dengan enjin yang lebih berkuasa pada harga yang lebih murah jika memilih Myvi. 

Artikel Berkaitan: Proton X90 Dilancarkan Secara Rasmi Dengan Harga Bermula Daripada RM 123,800!

Namun, daripada segi keselesaan dan kemudahan, Axia AV nampak lebih berbaloi sekalipun ia RM1,000 lebih mahal. Ada perkara yang menampakkan Myvi merupakan pilihan yang lebih bagus tetapi ia bergantung kepada apa yang dimahukan dan diperlukan seseorang dalam membeli kereta. 

Angka tidak semestinya menentukan keputusan seseorang waima harganya ataupun pengeluaran kuasanya tetapi kalau boleh, kami mencadangkan untuk memilih Axia dengan spesifikasi tinggi kerana anda akan dapat lagi banyak fungsi dan fitur dan anda cuma kena tambah RM1,000 saja.

*Artikel ini merupakan terjemahan daripada artikel asal “For nearly RM 50k, should you go for the 2023 D74A Perodua Axia AV or the base Myvi 1.3 G with PSDA?yang diterbitkan di laman Wapcar. 

Haziq Asyraf
Haziq Asyraf
A self-proclaimed foodie and gamer whose passion for food and games has recently extended to cars.
RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular