Tips Penjagaan, Cara Memilih Pengelap Cermin atau Wiper Kereta Terbaik

Wiper kereta atau pengelap cermin kereta merupakan salah satu komponen penting yang membantu menghilangkan sisa air hujan, kotoran-kotoran lain seperti debu dan habuk serta bendasing lain. Ia berfungsi meningkatkan tahap kebolehlihatan terutamanya semasa pemanduan dalam hujan. Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, kadar kes kemalangan meningkat semasa keadaan cuaca buruk seperti hujan lebat.

Faktor seperti permukaan jalan yang basah menyebabkan daya cengkaman tayar kenderaan berkurangan sekali gus menyumbang kepada pertambahan jumlah kemalangan ketika hujan. Selain itu, faktor lain seperti kegagalan teknikal termasuk lampu amaran, lampu brek, wiper kereta dan lampu belakang yang tidak berfungsi antara lain menyumbang kepada kemalangan jalan raya. Ini kerana, cuaca hujan mengehadkan jarak pemandangan terutama pada waktu malam.

wiper kereta

Komponen Utama/Bahagian Wiper Kereta

Pengelap cermin kereta merupakan antara bahagian paling mudah untuk diselenggara dan digantikan. Penyelenggaraan dan penggantian boleh dilakukan di rumah dengan mudah tanpa perlu dibawa ke mana-mana pusat servis. Oleh sebab itu, CARSOME menyenaraikan senarai lengkap komponen pengelap cermin kereta untuk membantu anda memahami semua komponen pengelap cermin hadapan dan menentukan masalah yang mungkin dihadapinya.

    • Lengan pengelap cermin (Wiper arm) – Bahagian ini biasanya diperbuat daripada logam. Komponen ini memindahkan pergerakan daripada motor kepada bilah pengelap;
    • Penyambung (Connector) – Komponen ini menghubungkan bilah pengelap dengan lengan pengelap. Anda disarankan untuk menggunakan jenis penyambung yang sesuai untuk memastikan pergerakan getah pengelap yang senyap dan cekap;
    • Fleksor spring (Spring flexors) – Ia berfungsi memastikan bilah getah mengekalkan tekanan dan sapuan yang sekata;
    • Elemen getah – Ia biasanya diperbuat daripada getah asli atau kloroprena untuk memastikan kelenturan maksimum. Elemen getah yang bersentuhan dengan cermin biasanya disaluti dengan lapisan khas dan serbuk grafit untuk mengurangkan geseran dan melancarkan pergerakan. Ia merupakan bahagian yang paling terdedah kepada kehausan – getah merosot walaupun tidak digunakan disebabkan oleh cahaya matahari dan faktor cuaca.
    • Spoiler – Komponen ini dipasang pada pengelap cermin hadapan di bahagian tempat duduk pemandu untuk meningkatkan kecekapan aerodinamik dan mengurangkan wind lift ketika memandu pada kelajuan tinggi.

Apakah Jenis, Saiz Wiper Kereta yang Sesuai untuk Kereta Anda?

Secara amnya, pengelap cermin kereta penting untuk mengelap air pada permukaan cermin hadapan kereta. Oleh itu, anda perlu mempertimbangkan jenis bilah, saiz dan reka bentuk pengelap cermin yang sesuai untuk mengoptimumkan fungsinya. CARSOME menyenaraikan maklumat-maklumat berikut untuk panduan anda:

Jenis Wiper Kereta

Kebiasaannya, terdapat beberapa jenis pengelap cermin yang dijual dalam pasaran – konvensional, flat dan hibrid. Jika kereta anda dilengkapi dengan pengelap cermin kereta konvensional, ia boleh digantikan atau dinaik taraf dengan jenis pengelap kereta yang lebih moden (flat atau hibrid). Namun begitu, jika kereta anda dilengkapi dengan pengelap cermin flat, ia tidak boleh digantikan dengan pengelap cermin konvensional.

1. Pengelap Cermin (Wiper) Konvensional

Pengelap cermin kereta konvensional adalah jenis yang paling biasa dipasang pada kereta baharu sebelum ini. Namun begitu, sejak kebelakangan ini, kebanyakan kereta baharu dilengkapi dengan pengelap cermin flat. Pengelap cermin kereta konvensional dikatakan lebih tahan lama dan lebih berkualiti – oleh sebab itu ia mampu bertahan lama dalam pasaran.

2. Pengelap Cermin (Wiper) Flat

Kebanyakan kereta baharu hari ini dilengkapi dengan pengelap cermin flat. Pengelap cermin kereta jenis ini mempunyai fleksor logam yang menyokong elemen getah dengan spoiler bersepadu penuh. Ia menggunakan tekanan yang dihasilkan oleh aliran udara sekali gus menghasilkan bentuk aerodinamik yang lebih rata yang dapat mengurangkan bunyi angin.

3. Pengelap Cermin (Wiper) Hibrid

Pengelap cermin kereta hibrid menggabungkan pengelap cermin konvensional dan flat. Ia menampilkan ciri aerodinamik pengelap cermin kereta flat dengan prestasi pengelap cermin kereta konvensional. Pengelap cermin jenis ini mengekalkan kedudukan bilah getah pada cermin untuk sekali gus menjadikan pergerakan lebih lancar dan senyap terutamanya semasa pada kelajuan tinggi.

Saiz Wiper Kereta

Saiz pengelap cermin kereta yang sesuai bergantung pada jenis kereta anda. Jika anda tidak pasti, ukur saiz pengelap cermin kereta sedia ada atau rujuk manual pemilik untuk info lanjut untuk mengelakkan anda daripada memilih saiz yang tidak sesuai untuk kereta anda. Pelbagai jenis saiz pengelap cermin dijual di pasaran – jika bilah getah terlalu panjang, ia akan berlanggar antara satu sama lagi, jika bilah getah terlalu pendek, ia tidak akan membersihkan keseluruhan cermin kereta anda sekali gus menjejaskan jarak penglihatan anda.

wiper jenis getah biasa dan wiper jenis silikon

Antara Pengelap Cermin (Wiper) Kereta Jenis Getah atau Silikon, Mana yang Lebih Baik?

Faktor kualiti atau ketahanan sesuatu produk adalah perkara yang subjektif untuk dibincangkan. Meskipun ramai yang berpendapat pengelap cermin jenis silikon adalah yang terbaik dan tahan lama, ini tidak bermaksud pengelap cermin jenis biasa tidak sesuai dan tidak berkualiti. Secara amnya, faktor kualiti dan ketahanan sesuatu produk perlu mengambil kira aspek penjagaan atau kekerapan penggunaan individu atau pemilik.

Wiper Kereta Biasa (Getah) Wiper Kereta Silikon
Mudah koyak, haus, rosak atau melekat pada cermin. Tidak mudah koyak, haus, rosak atau melekat pada cermin.
Getah lebih cepat keras, tidak fleksibel untuk menyapu air pada cermin. Lebih mesra alam dan lebih tahan lama.
Terdapat kesan air tertinggal. Sapuan air lebih baik, menyeluruh.
Penglihatan tidak jelas, kabur terutamanya semasa hujan lebat. Cermin tidak mudah kabur terutamanya semasa hujan lebat.
Wiper menghasilkan bunyi bising terutamanya pada kelajuan tinggi. Pergerakan wiper lebih lancar.
Perlu ditukar sekurang-kurangnya enam bulan sekali. Menjimatkan kos, tidak memerlukan penyelenggaraan yang kerap.
Harga wiper getah biasa dijual pada harga yang lebih murah antara RM10-RM50 bergantung pada jenama. Harga wiper silikon dijual pada harga yang lebih mahal antara RM100-RM200 bergantung pada jenama.

Tips Panjangkan Hayat Wiper Kereta

CARSOME menyenaraikan enam (6) tips mudah untuk memastikan jangka hayat pengelap cermin kereta tahan lebih lama:

1. Pilih Jenama yang Dipercayai

Terdapat pelbagai jenis pengelap cermin kereta yang dijual di pasaran – pilih jenama yang dipercayai untuk memastikan tahap kualiti, ketahanan dan jangka hayat wiper kereta yang baik. Kebiasaannya, pengelap cermin kereta yang berjenama mampu bertahan dalam pelbagai jenis cuaca, berprestasi tinggi sekali gus meningkatkan tahap keselamatan semasa pemanduan dalam hujan.

2. Pastikan Cermin Hadapan Kekal Bersih

Faktor-faktor persekitaran seperti pencemaran yang disebabkan oleh habuk, debu, bendasing (daun-daun kering dan seranga) pada cermin juga turut mempengaruhi prestasi dan jangka hayat pengelap cermin kereta. Oleh itu, anda disarankan untuk melakukan perkara-perkara berikut untuk memanjangkan jangka hayat pengelap cermin kereta:

      • Pastikan cermin hadapan sentiasa berada dalam keadaan bersih;
      • Periksa wiper kereta secara berkala terutamanya selepas musim tengkujuh untuk mengenal pasti sebarang kerosakan atau kehausan;
      • Buang sisa bendasing yang terlekat pada cermin hadapan kereta supaya getah pengelap cermin tidak rosak.

3. Angkat Wiper Kereta Sekiranya Kereta Diletakkan di Tempat Terbuka

Amalan mengangkat pengelap cermin kereta ketika cuaca panas dapat mengelakkan getah pengelap cermin daripada rosak akibat suhu dan kepanasan melampau. Jika boleh, letak kereta anda di kawasan yang teduh untuk mengelakkan cahaya matahari daripada merosakkan dan menyebabkan getah pengelap cermin kering. Namun begitu, amalan ini mungkin memberi kesan kepada prestasi lengan pengelap cermin (wiper arm). Jika lengan pengelap rosak, ia boleh mengakibatkan kualiti pengelapan yang tidak sempurna dan mungkin menelan kos yang lebih mahal jika perlu digantikan.

4. Elakkan Penggunaan Penolak Air atau Water Repellent

Penggunaan bahan seperti penolak air dapat memendekkan jangka hayat pengelap cermin kereta anda. Ia berpotensi menyebabkan kadar kelusuhan pengelap cermin yang tidak sekata selain dapat menjejaskan kualiti pengelapan. Selain itu, penggunaan bahan penolak air ini juga menyebabkan kesan kabut pada cermin sukar untuk dihilangkan terutamanya semasa pemanduan dalam hujan pada waktu malam.

5. Periksa Getah Wiper Setiap Enam Bulan

Anda disarankan untuk memeriksa dan menggantikan getah pengelap cermin kereta anda setiap enam bulan. Jika anda mengesan tanda-tanda seperti pengerasan, lusuh, haus, rosak atau pecah – ia menunjukkan pengelap cermin kereta anda perlu digantikan dengan segera.

6. Tukar Wiper Sekiranya Terdapat Tanda-tanda Ini

Secara amnya, anda disarankan untuk menukar pengelap cermin kereta anda setiap enam (6) bulan hingga setahun bergantung pada jenis pengelap cermin yang digunakan dan kekerapan penggunaan anda. Namun begitu, anda boleh menukar pengelap cermin kereta anda sekiranya anda mengesan salah satu daripada tanda-tanda berikut:

i. Wiper Bergoyang atau Bergetar Secara Berlebihan

Sekiranya pengelap cermin kereta bergetar atau bergoyang secara berlebihan semasa digunakan, besar kemungkinan getah pengelap cermin sudah haus atau berlaku kerosakan pada bahagian bingkai pengelap cermin. Sama seperti komponen kereta yang lain, pengelap cermin akan mengalami kehausan setelah digunakan dan akan menghasilkan getaran yang berlebihan.

ii. Ada Tinggalan Sisa Air pada Cermin

Pengelap cermin berfungsi untuk menghilangkan sisa atau kesan air pada cermin terutamanya semasa hujan dengan mudah. Namun begitu, jika masih terdapat kesan air bergaris pada permukaan cermin semasa pengelap cermin digunakan, ia menandakan pengelap cermin kereta anda perlu digantikan segera. Ini kerana, getah pengelap cermin telah rosak, pecah atau kering sekali gus menyebabkannya tidak dapat mengelap air dengan baik.

iii. Ada Bunyi Semasa Wiper Digunakan

Selain itu, anda disarankan untuk menukar pengelap cermin anda jika terdapat bunyi bising yang terhasil semasa ia digunakan. Jika ada bunyi semasa pengelap cermin digunakan, ia bermaksud pengelap cermin sedia ada tidak lagi efektif untuk digunakan dan tidak berada dalam keadaan baik.

Tips Penjagaan Wiper Kereta

Bagi memastikan pengelap cermin kereta tahan lebih lama, terdapat beberapa aspek penjagaan yang perlu dipatuhi.

  1. Bersihkan bilah pengelap cermin kereta secara berkala untuk mengelakkan sebarang kotoran daripada melekat padanya;
  2. Tegakkan atau angkat bilah pengelap cermin kereta sekiranya kereta diletakkan di kawasan tempat letak kereta terbuka atau di bawah panas terik;
  3. Bersihkan cermin kereta supaya kotoran pada permukaan cermin tidak merosakkan getah pengelap cermin kereta;
  4. Gunakan cecair atau bahan pencuci cermin yang selamat dan tidak memberi kesan sampingan terhadap getah pengelap cermin dan cermin.

pengelap cermin hadapan kereta

Wiper kereta yang berada dalam keadaan baik bukan sahaja memberi keselesaaan semasa pemanduan, malah turut memastikan keselamatan anda mengelakkan daripada berlakunya kemalangan yang tidak diduga. Oleh itu, pastikan pengelap cermin atau wiper kereta anda sentiasa berada dalam keadaan baik untuk mengelakkan situasi-situasi yang tidak diingini daripada berlaku terutamanya semasa pemanduan dalam hujan.

Selain itu, jika anda sedang mempertimbangkan untuk menjual kereta lama dan berminat untuk mendapatkan kereta pramilik berkualiti, layari laman web CARSOME untuk info lanjut. CARSOME merupakan platform jual beli kereta pramilik yang menawarkan tawaran harga terbaik dengan perkhidmatan yang mudah, cekap dan pantas.