HomeBMLampu ABS Menyala? 5 Punca, Perkara Yang Perlu Anda Tahu Mengenai Lampu...

Lampu ABS Menyala? 5 Punca, Perkara Yang Perlu Anda Tahu Mengenai Lampu ABS

Kebanyakan kenderaan moden hari ini dilengkapi dengan sistem brek antikunci. Ia memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan pemandu dan penumpang sepanjang pemanduan. Sistem brek antikunci atau lebih dikenali sebagai sistem ABS kereta berfungsi mengelakkan tayar daripada terkunci semasa menggunakan brek terutamanya dalam situasi kecemasan. Ia memastikan tayar tidak terkunci semasa anda membrek dan tayar kereta sentiasa bersentuhan dengan jalan. Sekiranya tayar kereta terkunci, ia boleh menjejaskan pengendalian kereta — tayar kereta boleh tergelincir dan meningkatkan risiko kemalangan seperti terbabas.

lampu ABS menyala

Biasanya, lampu ABS menyala sekiranya sistem brek antikunci kereta anda menghadapi masalah. Jika lampu amaran ini menyala, anda disarankan untuk melakukan pemeriksaan dengan segera. Dengan cara ini, anda dapat mengelakkan sebarang risiko kerosakan atau kemalangan yang lebih serius daripada berlaku. 

Apa itu Sistem Brek Antikunci?

Sistem brek antikunci atau anti-lock brake system (ABS kereta) merujuk pada sistem yang digunakan untuk mengelakkan pemandu daripada mengunci brek kereta terutamanya dalam situasi kecemasan. Tekanan berlebihan pada brek boleh menyebabkan gandar dan tayar kereta berhenti berputar sepenuhnya. Jika tayar berhenti berputar namun kereta masih lagi bergerak dalam keadaan laju, ia boleh menyebabkan kenderaan hilang kawalan lalu terbabas. Situasi ini secara tidak langsung boleh menyebabkan kecederaan yang serius atau risiko kehilangan nyawa.

Ketika pemandu menekan brek kereta, sistem ABS akan menetapkan aliran minyak yang disalurkan ke kedua-dua paksi penggerak bergantung pada sistem komputer kereta. Dengan cara ini, ia dapat mengelakkan tayar kereta daripada terkunci dan mengurangkan risiko kereta daripada tergelincir atau terbabas. Secara amnya, sistem ABS tidak menghentikan kereta dengan lebih cepat atau mempamerkan prestasi pembrekan yang lebih baik berbanding sistem brek tradisional. Ia merupakan sistem automatik yang mempraktikkan prinsip pembrekan yang lebih cekap, pantas dengan kawalan pengendalian yang lebih baik.

Penggunaan sistem ABS berupaya meningkatkan jarak membrek dengan ketara, menawarkan pengendalian yang lebih baik dan mengurangkan risiko kemalangan dan kecederaan yang serius.

5 Punca Lampu ABS Menyala

Lampu ABS menyala pada dashboard kereta mungkin menandakan masalah pada sistem kereta yang memerlukan perhatian yang serius daripada anda. Umumnya, banyak punca yang menyebabkan lampu ABS menyala dan ia tidak semestinya disebabkan oleh sistem ABS. Adakalanya, lampu ABS menyala disebabkan oleh masalah lain yang berlaku pada komponen atau sensor yang berkaitan. Carsome menyenaraikan lima punca biasa yang menyebabkan lampu ABS menyala seperti berikut:

1. Modul ABS Tidak Berfungsi

Modul sistem brek antikunci boleh membentuk kakisan (corrosion) selepas sesuatu tempoh penggunaan. Biasanya, masalah pada modul ABS (ABS module) merupakan salah satu sebab paling biasa yang menyebabkan lampu ABS menyala. Modul ABS yang berkarat menghalang sistem mendapatkan maklumat dari sensor kelajuan yang terdapat pada tayar kereta dan akhirnya menyebabkan lampu amaran menyala pada dashboard kereta. Selain itu, sistem ABS turut berkongsi beberapa komponen penting dengan sistem kawalan cengkaman kenderaan. Sistem kawalan cengkaman secara amnya berfungsi memastikan keempat-empat roda kereta berpusing dengan lancar.

Jika ia mengesan sebarang masalah seperti pusingan roda yang tidak teratur, ia akan memutuskan kuasa daripada enjin sehingga kawalan cengkaman kembali normal. Oleh sebab kedua-dua sistem ini menggunakan modul kawalan dan sistem diagnostik yang sama, kerosakan pada sistem kawalan cengkaman boleh memberi kesan pada sistem ABS kereta. Ini bermaksud, sebarang masalah pada sistem kawalan cengkaman boleh menyebabkan lampu ABS menyala. Oleh sebab itu, anda disarankan untuk memeriksa kereta anda terlebih dahulu untuk mengetahui punca sebenar lampu ABS menyala. Ia boleh menyala disebabkan oleh kerosakan pada sistem kawalan cengkaman atau kerosakan pada sistem ABS itu sendiri.

Simptom Modul ABS Rosak:

    • Pedal brek menjadi kurang responsif dari semasa ke semasa perlu menekan pedal brek dengan lebih keras untuk menghentikan kereta.
    • Lampu amaran enjin atau lampu ABS akan menyala pada dashboard.
    • Bunyi metal cracking terutamanya semasa anda menekan brek.
    • Brek terkunci meskipun semasa pemanduan biasa.

lampu amaran kereta

2. Minyak Brek Kurang

Minyak brek memainkan peranan penting dalam sistem brek kenderaan terutamanya dalam mengawal tekanan brek dalam sistem brek antikunci. Sistem brek hidraulik misalnya, menggunakan kekuatan silinder yang menekan cecair untuk menutup pad brek bagi menghentikan kereta. Oleh sebab itu, anda memerlukan kuantiti minyak brek yang mencukupi dalam brek sistem untuk memastikannya berfungsi dengan baik. Kebocoran minyak brek merupakan masalah yang biasa berlaku yang menyebabkan minyak brek berkurangan dan berada pada tahap yang rendah. Ia secara tidak langsung mengurangkan kuantiti sebenar yang diperlukan oleh sistem dan boleh menjejaskan prestasi sistem brek. Biasanya, lampu amaran ABS akan menyala sekiranya sistem kereta mengesan permasalahan.

Simptom Minyak Brek Kurang

    • Pedal brek menjadi kurang responsif berbanding biasa kereta mengambil masa yang lama untuk berhenti.
    • Bunyi scraping atau grinding sama seperti bunyi yang dihasilkan oleh pad brek yang haus.

3. Sensor Kelajuan Kereta Rosak

Tayar kereta biasanya dilengkapi dengan sensor kelajuan yang berfungsi mengira kadar pergerakan tayar. Maklumat tentang kadar kelajuan setiap pusingan tayar ini kemudiannya akan dihantar kepada sistem brek antikunci. Sekiranya sensor kelajuan kereta mengesan salah satu tayar kereta bergerak pada kelajuan yang tidak normal, sistem kereta akan meningkatkan tekanan minyak brek pada tayar berkaitan. Ia sekali gus membolehkan tayar tersebut bergerak pada kelajuan normal sama seperti tayar yang lain. Dalam erti kata lain, ia akan menyesuaikan dan mengalihkan kuasa ke bahagian tayar yang lain untuk mengimbanginya.

Namun begitu, sekiranya terdapat sebarang masalah pada sensor kelajuan seperti kotor atau rosak, ia mungkin tidak dapat berfungsi dengan baik dan menjejaskan keupayaannya untuk menghantar maklumat penting sebegini kepada sistem kereta. Oleh sebab itu, sistem ABS akan menyalakan lampu pada dashboard sekiranya mengesan masalah ini sebagai amaran kepada pengguna.

Simptom Sensor Kelajuan Rosak

    • Lampu kawalan cengkaman menyala.
    • Kereta mengambil masa yang lama untuk berhenti, meskipun lampu amaran ABS tidak menyala.
    • Kereta hilang kawalan atau cengkaman terutamanya ketika membrek dengan kuat.

4. Pam atau Injap Hidraulik Tidak Responsif

Secara amnya, sistem ABS mengawal tekanan minyak brek melalui pam hidraulik. Sekiranya salah satu tayar kereta bergerak pada kelajuan yang berbeza berbanding tayar kereta yang lain, sensor kelajuan akan mengesannya dan memberi amaran kepada sistem brek antikunci. Sistem kereta kemudiannya akan mengaktifkan pam hidraulik untuk meningkatkan tekanan minyak brek bagi mengimbangi kelajuan tayar dan membolehkan tayar mengekalkan cengkaman pada permukaan jalan.

Namun sekiranya pam atau injap hidraulik rosak dan tidak berfungsi dengan baik, ia boleh menyebabkan lampu amaran ABS menyala. Kedua-dua komponen ini biasanya haus atau rosak disebabkan oleh kotoran atau metal shaving dalam minyak brek bergantung pada penggunaan. Anda disarankan untuk periksa tahap minyak brek setiap kali anda menyelenggara brek kereta untuk memastikannya sentiasa berada dalam keadaan baik.

Simptom Pam/Injap Hidraulik Rosak

    • Prestasi brek menurun dan semakin teruk dari semasa ke semasa.
    • Prestasi brek yang tidak menentu — adakalanya baik dan adakalanya seperti kehilangan kuasa.
    • Minyak brek bocor sama ada dari bahagian silinder atau firewall di bahagian dalam kereta.
    • Sekiranya bocor, minyak brek akan berkurangan dan menyebabkan udara masuk ke dalam sistem — menyebabkan brek terasa spongy.

5. Fius Terbakar

Lampu amaran biasanya akan menyala sekiranya sistem komputer kereta mengesan sebarang kerosakan atau masalah pada mana-mana bahagian dan komponen kereta. Lampu ABS kereta akan menyala sekiranya fius terbakar atau terdapat wayar rosak antara controller dan sensor sistem. Sama seperti komponen elektrik kereta yang lain, sistem ABS dilengkapi dengan fiusnya yang tersendiri dan terdedah kepada risiko kerosakan seperti terbakar. Sekiranya fius terbakar, sistem akan mengaktifkan isyarat amaran kepada pengguna. Lampu ABS serta lampu amaran enjin akan menyala untuk memberitahu pengguna mengenai masalah kerosakan pada bahagian ini.

Oleh sebab itu, anda mungkin boleh mempertimbangkan untuk memeriksa kotak fius terlebih dahulu memandangkan komponen ini mudah terbakar sekiranya lampu amaran ini menyala. Pastikan fius tidak meletup atau terbakar sebelum anda menghabiskan masa mengenal pasti punca kerosakan atau menggantikan komponen atau bahagian lain yang tidak berkaitan. Biasanya, fius terletak dibahagian panel fius di bawah dashboard kereta.

Simptom Fius Terbakar

    • Lampu ABS menyala secara tiba-tiba tanpa simptom yang berkaitan seperti yang dinyatakan di atas.

simbol amaran kereta

Adakah Selamat Memandu Sekiranya Lampu ABS Menyala?

Secara amnya, anda masih boleh meneruskan perjalanan meskipun lampu ABS kereta anda menyala. Ini kerana, sistem brek kereta anda masih berfungsi seperti biasa dan masih boleh digunakan untuk memperlahankan kenderaan anda. Namun begitu, keupayaan dan kemampuan anda untuk menghentikan kereta terutamanya dalam situasi kecemasan adalah terhad dan anda terdedah kepada risiko tayar kereta terkunci. Tayar yang terkunci boleh menjejaskan kualiti dan prestasi pengendalian.

Apa yang Perlu Dilakukan Sekiranya Lampu ABS Menyala?

Lampu ABS menyala pada dashboard kereta menandakan terdapat kemungkinan sistem brek antikunci kereta anda rosak atau mengalami masalah. Ini bermaksud, sekiranya anda perlu menekan brek dengan cepat dalam situasi kecemasan, prestasinya mungkin tidak secekap dan sepantas yang anda mahukan. Malah, ia mungkin boleh menyebabkan risiko kecederaan dan kemalangan yang lebih serius. Sekiranya lampu ABS kereta anda menyala, perkara pertama yang boleh anda lakukan ialah mencari tempat yang selamat untuk berhenti dan matikan enjin untuk seketika. Kemudian, hidupkan semula enjin kereta anda.

Sama seperti peralatan elektrik yang lain (komputer atau telefon), mula semula sistem atau system restart membolehkan sistem memeriksa semula semua sensor untuk mengesan sebarang kerosakan atau ketidaknormalan dalam sistem ABS. Biasanya, cara ini boleh membantu menyelesaikan masalah lampu ABS menyala. Namun begitu, dalam sesetengah keadaan, cara ini mungkin tidak membantu. Jika lampu ABS masih menyala setelah anda mula semula sistem, bawa kereta anda ke bengkel atau pusat servis berdekatan untuk pemeriksaan lanjut. Berhati-hati dan brek perlahan-lahan sekiranya perlu. Elakkan brek secara agresif atau cepat.

Normal: Lampu ABS Menyala dan Terpadam Selepas Kereta Dihidupkan

Sistem ABS akan menjalankan pemeriksaan kendiri (self-check) setiap kali anda menghidupkan enjin. Setelah enjin dihidupkan, lampu ABS akan menyala seketika sebelum terpadam. Ia biasanya mengambil masa dalam dua hingga empat saat bergantung pada jenis kereta anda. Namun begitu, sekiranya lampu ABS menyala lebih lama berbanding biasa, besar kemungkinan menandakan sistem ABS kereta anda menghadapi masalah yang memerlukan pemerhatian segera.

Tidak Normal: Lampu ABS Menyala Secara Tiba-tiba Semasa Sedang Memandu

Sekiranya lampu ABS menyala secara tiba-tiba semasa anda sedang memandu, besar kemungkinan sistem kereta mengesan terdapat masalah dengan sistem brek antikunci kereta anda. Seperti dinyatakan di atas, meskipun lampu amaran ini menyala, sistem brek kereta masih lagi berfungsi seperti biasa dan berada dalam keadaan baik. Namun begitu, keupayaan anda untuk menghentikan kereta dalam situasi kecemasan adalah terhad dan boleh membahayakan nyawa anda. Lakukan pemeriksaan segera di bengkel atau pusat servis kereta berdekatan untuk keselamatan anda.

Namun begitu, sekiranya lampu ABS menyala beserta lampu amaran brek — anda tidak digalakkan untuk meneruskan perjalanan anda. Lampu amaran brek menyala menandakan masalah pada sistem brek kereta yang mungkin boleh menjejaskan kemampuan kereta anda membrek dengan lebih baik. Dapatkan bantuan lori tunda untuk membawa kereta anda ke bengkel atau pusat servis berdekatan sekiranya kedua-dua lampu amaran brek dan lampu ABS menyala.

Jangan abaikan lampu amaran yang menyala pada dashboard kereta anda. Pengabaian aspek penting ini bukan sahaja boleh menyebabkan kos pembaikan dan penggantian yang lebih tinggi, malah boleh menjejaskan nilai trade-in atau jualan semula kereta anda. Sekiranya anda ingin membeli kereta second hand atau menjual kereta terpakai, layari laman web Carsome untuk info lanjut. Carsome merupakan platform jual beli kereta terpakai yang menawarkan proses perkhidmatan jual beli kereta terpakai yang mudah dengan pembayaran pantas dan tawaran harga terbaik.

Haziq Asyraf
Haziq Asyraf
A self-proclaimed foodie and gamer whose passion for food and games has recently extended to cars.
RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular