HomeBMTemperature Kereta Naik: Apa yang Perlu Dilakukan Jika Enjin Kereta Overheat?

Temperature Kereta Naik: Apa yang Perlu Dilakukan Jika Enjin Kereta Overheat?

Sistem penyejukan kereta memainkan peranan penting dalam memastikan suhu enjin kereta sentiasa berada dalam keadaan stabil dan menghalang enjin daripada terlampau panas atau overheat. Namun begitu, jika anda mendapati enjin kereta berasap, temperature kereta naik atau jarum pada panel meter menunjukkan bacaan terlalu tinggi, ia mungkin menandakan enjin kereta anda bermasalah dan ada sesuatu yang tidak kena pada sistem penyejukan kereta. Bagi sesetengah model kenderaan, lampu amaran suhu enjin akan menyala sekiranya sekiranya suhu dalam enjin berada pada tahap yang tinggi (jarum berada dalam zon merah).

temperature kereta naik

7 Punca Temperature Kereta Naik, Enjin Kereta Overheat

Suhu enjin yang terlalu tinggi biasanya berlaku disebabkan oleh masalah atau kerosakan pada komponen enjin atau komponen sistem penyejukan itu sendiri. Kenapa temperature kereta naik? Secara amnya, masalah enjin kereta overheat boleh berlaku disebabkan oleh beberapa masalah. Biasanya, ia berpunca daripada kerosakan komponen penting dalam sistem penyejukan seperti radiator kereta, kipas radiator, thermostat kereta, pam air (water pump kereta), air coolant kering dan sebagainya. Carsome menyenaraikan 7 punca temperature kereta naik atau enjin kereta overheat untuk panduan dan rujukan anda seperti berikut:

1. Thermostat Kereta Rosak, Tidak Berfungsi

Masalah temperature kereta naik biasanya dikaitkan dengan isu kerosakan thermostat kereta. Secara amnya, fungsi thermostat kereta adalah untuk mengawal jumlah air coolant yang disalurkan melalui enjin. Jika thermostat kereta rosak atau tidak berfungsi dengan baik, ia boleh menyebabkan suhu enjin kereta menjadi terlalu panas. Bukaan injap terlalu kecil atau injap tidak terbuka merupakan masalah kerosakan yang biasa berlaku pada thermostat kereta.

Masalah pada bukaan injap terlalu kecil misalnya akan menyebabkan kitaran air coolant tersekat atau terganggu. Ia sekali gus menyebabkan amaun air coolant yang disalurkan tidak mencukupi untuk menstabilkan suhu enjin dan mengekalkannya pada paras normal. Lama-kelamaan, ia akan menyebabkan suhu enjin menjadi terlampau panas.

2. Kipas Radiator Rosak

Secara amnya, kipas radiator digerakkan dengan bantuan motor elektrik – sebarang kerosakan mekanikal pada motor boleh menjejaskan fungsi kipas radiator untuk menambah aliran udara sejuk yang mencukupi melalui radiator. Kipas radiator yang rosak dan tidak berfungsi secara optimum boleh menyebabkan temperature kereta naik dan menjadikan suhu enjin terlampau panas. Biasanya, anda akan menyedari kerosakan kipas radiator semasa kenderaan berhenti atau semasa dalam kesesakan jalan raya – aliran udara sejuk dari luar yang terhad semasa kenderaan berhenti.

Namun biasanya, suhu enjin akan mula menurun apabila kenderaan mula bergerak. Ini kerana, aliran udara dari luar yang melalui sirip radiator mula meningkat dan menyejukkan air coolant. Biasanya, masalah kerosakan kipas radiator boleh berlaku disebabkan oleh beberapa faktor seperti berikut:

    1. Kerosakan pada motor kipas – berus karbon pada motor kipas sudah haus;
    2. Masalah sistem pendawaian litar motor kipas radiator;
    3. Fius terbakar, longgar atau putus;
    4. Kerosakan pada relay;
    5. Kerosakan pada suis atau sensor suhu kereta.

3. Masalah Gasket Head Bocor

Kebocoran pada head gasket kereta boleh mengakibatkan gas daripada silinder memasuki saluran coolant secara berterusan ketika enjin dihidupkan. Ia sekali gus menyebabkan tekanan dalam saluran coolant meningkat. Tekanan yang tinggi dalam saluran coolant akan menyebabkan air coolant ‘ditendang keluar’ ke dalam takungan kurung atau reservoir sehingga penuh sebelum ia disalurkan keluar. Ia mengakibatkan amaun air coolant dalam saluran coolant berkurangan dan berpotensi meningkatkan suhu enjin (kereta overheat).

4. Gelembung Udara dalam Air Coolant

Secara amnya, pembentukan gelembung udara (air bubble) berlaku disebabkan kebocoran gas daripada silinder yang memasuki saluran coolant yang berpunca daripada gasket head yang bocor. Selain menyebabkan tekanan berlebihan, gelembung udara yang terperangkap pada saluran coolant akan mengganggu proses penyejukan enjin, menyebabkan kegagalan fungsi injap dan mengakibatkan thermostat kereta gagal berfungsi. Gelembung udara yang terperangkap dalam saluran coolant biasanya terjadi selepas proses menukar air coolant atau pengosongan saluran coolant dilakukan. Sekiranya kereta anda berdepan masalah sebegini, anda disarankan untuk melakukan proses air bleeding atau purging selepas menggantikan air coolant.

5. Radiator Kereta Tersumbat, Kotor

Masalah radiator tersumbat atau rosak biasanya berlaku disebabkan oleh mendapan karat dalam saluran radiator yang menyebabkan kitaran air coolant dalam radiator terganggu atau tersekat. Mendapan karat dalam saluran radiator berpotensi mengurangkan kecekapan dan prestasi radiator kereta. Radiator kereta yang tersumbat boleh menjejaskan kitaran air coolant dalam sistem penyejukan kereta dan menyebabkan suhu kereta meningkat. Ini kerana, air coolant tidak dapat dipindahkan dengan baik ke radiator untuk menyejukkan enjin kereta.

Selain itu, sirip radiator yang tersumbat (disebabkan oleh lumpur, serangga atau daun kering) juga berpotensi menghalang aliran udara melalui sirip radiator. Udara sejuk dari luar yang terhalang daripada memasuki ruang enjin boleh menyebabkan suhu enjin meningkat. Oleh sebab itu, pastikan sirip radiator sentiasa berada dalam keadaan baik untuk mengekalkan kecekapan dan prestasi radiator. Kegagalan komponen ini berfungsi dengan baik boleh menyebabkan temperature kereta naik.

6. Water Pump Kereta Rosak

Pam air atau water pump kereta memainkan peranan penting dalam sistem penyejukan kereta. Kerosakan pada komponen kereta ini boleh menjejaskan kitaran air coolant yang secara tidak langsung memberi kesan pada peningkatan suhu enjin (kereta overheat). Tanda water pump rosak boleh dikenal pasti melalui bacaan suhu enjin pada tokok suhu (temperature gauge) yang tinggi dan melepasi paras normal. Air coolant bocor juga merupakan tanda jelas lain yang menandakan kerosakan water pump kereta. Selain itu, kerosakan water pump kereta juga biasanya dikaitkan dengan impeller pada pam yang telah haus atau sambungan antara impeller dan shaft yang telah longgar.

Aksesori Water Temperature Gauge aftermarket boleh dipasang pada model kereta yang telah menghadapi kerosakan meter suhu atau model kereta berprestasi tinggi sebagai langkah pencegahan untuk mengelakkan kereta overheat atau temperature kereta naik.

7. Cecair Penyejuk atau Air Coolant Bocor

Kebanyakan kereta dilengkapi dengan sistem penyejukan yang membantu mengekalkan suhu enjin pada paras normal. Jika sistem penyejukan kereta mengalami kebocoran, tersumbat atau rosak, ia mungkin tidak dapat menjalankan fungsinya secara optimum untuk menyerap haba panas dari enjin. Jika masalah ini berterusan, ia boleh menyebabkan suhu enjin meningkat dan menyebabkan temperature kereta naik. Biasanya, punca air coolant bocor biasanya disebabkan kerosakan pada sistem penyejukan utama seperti kebocoran kedap mekanikal water pump, kebocoran pada radiator, hos atau palam teras jaket air (water jacket core plug).

Namun begitu, sekiranya komponen-komponen ini berada dalam keadaan baik namun kereta anda masih berdepan masalah air radiator kering atau masalah tangki simpanan air radiator selalu kurang, ia biasanya berlaku disebabkan kebocoran pada head gasket. Selain itu, spring penutup radiator yang rosak juga boleh menyebabkan air radiator kering dan berkurangan.

Masalah temperature kereta naik tidak boleh dipandang ringan. Ia perlu dibaiki dan diselenggara dengan segera untuk mengelakkan kerosakan komponen lain yang lebih serius.

jarum amaran suhu enjin

Temperature Kereta Naik: Tanda-tanda Enjin Kereta Overheat

Biasanya suhu panas dalam enjin tidak akan menyebabkan temperature kereta naik melainkan sistem penyejukan kereta anda tidak berada dalam keadaan baik. Secara amnya, terdapat beberapa masalah enjin yang menyebabkan enjin kereta menjadi terlampau panas. Oleh sebab itu, penting untuk anda mengenal pasti simptom atau tanda-tanda kereta overheat seperti berikut:

  • Wap (atau asap putih) muncul dari bahagian bonet hadapan kereta;
  • Jarum tokok suhu enjin pada dashboard kereta meningkat kepada “H” atau memasuki zon merah. Bagi sesetengah kereta yang lain, lampu amaran suhu enjin menyala – rujuk manual pemilik untuk kepastian;
  • Bau hangus atau bau pelik datang dari bahagian enjin – air coolant bocor biasanya berbau manis manakala minyak enjin bocor biasanya berbau hangus atau terbakar.

Perkara Yang Perlu Anda Lakukan dan Perlu Dielakkan Jika Kereta Overheat

Jika anda sedang berada dalam kesesakan lalu lintas dan menyedari ada asap putih atau wap keluar daripada bonet hadapan kereta anda – kekal tenang. Ambil langkah-langkah berjaga-jaga dan praktikkan perkara-perkara berikut:

1. Jangan Panik

Sekiranya anda berdepan situasi temperature kereta naik sebegini secara tiba-tiba semasa memandu, kekal tenang dan jangan panik. Perlahankan kenderaan dan segera bergerak dengan berhati-hati menuju ke bahu jalan. Dalam situasi panik sebegini, ada sesetengah pemandu yang mula menekan brek secara mengejut setelah mendapati kereta mula berasap. Perbuatan sebegini amat berbahaya dan boleh meningkatkan risiko kemalangan yang lebih serius. Oleh itu, kekal tenang.

2. Jangan Teruskan Pemanduan, Cari Lokasi Selamat untuk Berhenti

Jika lampu amaran suhu enjin menyala atau jarum tokok suhu anda berada dalam zon merah, jangan teruskan pemanduan dan segera berhenti di bahu jalan. Meneruskan pemanduan semasa enjin kereta overheat boleh menyebabkan kerosakan yang lebih serius (dan lebih mahal) pada enjin anda.

    1. Segera matikan aircond kereta untuk mengurangkan tekanan pada enjin. Aircond kereta yang dibiarkan beroperasi semasa kereta overheat boleh meningkatkan beban pada enjin.
    2. Jika selamat, buka bonet hadapan kereta bagi membolehkan pengaliran haba yang lebih baik dan membantu haba hilang dengan lebih cepat.
    3. Biarkan enjin kereta sejuk selama sekurang-kurangnya 15 minit. Setelah enjin kembali sejuk, periksa tokok suhu kereta sama ada ia kembali ke tahap normal atau tidak.

3. Jangan Buka Bonet Serta-merta

Setelah berhenti, tunggu sehingga enjin kereta sejuk terlebih dahulu sebelum membuka bonet untuk memeriksa enjin anda. Ini kerana, perbuatan membuka bonet hadapan dengan serta-merta semasa suhu enjin masih panas boleh meningkatkan risiko melecur atau tercedera disebabkan oleh wap atau asap. Tunggu sehingga tokok suhu menurun sebelum buka bonet hadapan.

4. Jangan Biarkan Isu Berlarutan

Secara amnya, enjin kereta yang rosak perlu dibaiki dengan segera kerana ia boleh menjadi lebih teruk jika dibiarkan. Setelah enjin sejuk, cuba hidupkan enjin kereta. Jika enjin kereta berbunyi tetapi kereta tak boleh start, minta bantuan trak tunda untuk menunda kereta anda ke bengkel berdekatan untuk pemeriksaan lanjut. Namun jika ia berjaya dihidupkan, bawa kereta anda dengan berhati-hati dan sentiasa perhatikan tokok suhu semasa memandu. Jika temperature kereta naik semula, segera berhenti dan biarkan sejuk.

Diagnosis enjin kereta yang lengkap boleh membantu mengenal pasti punca temperature kereta naik. Selain itu, ia juga boleh membantu anda mendapatkan penyelesaian terbaik terhadap isu yang berlaku. Jika kereta overheat, anda juga boleh lakukan pemeriksaan seperti berikut:

    1. Kenal pasti sebarang tanda kebocoran, kerosakan yang berlaku jika ada. Air coolant kering boleh menyebabkan enjin kereta overheat.
    2. Periksa dan tambah air coolant jika perlu. Kebanyakan punca kereta overheat berlaku disebabkan air coolant kereta yang tidak mencukupi.

punca enjin kereta overheat

Tips Elakkan Temperature Enjin Kereta Naik

Sebelum anda memulakan roadtrip bersama keluarga atau rakan, anda disarankan untuk mengikuti langkah-langkah berikut untuk mengelakkan masalah kerosakan kereta seperti enjin kereta overheat mengganggu mood percutian anda:

  • Periksa radiator kereta sama ada terdapat risiko radiator tersumbat (daun kering, serangga, lumpur dan sebagainya) yang boleh menyekat aliran udara;
  • Pastikan tahap air coolant berada pada tahap yang sesuai dan mencukupi;
  • Periksa timing belt kereta anda – timing belt rosak atau haus berpotensi menjejaskan fungsi enjin;
  • Lakukan pemeriksaan terhadap penutup radiator kereta anda – spring penutup yang sudah longgar tidak dapat mengekalkan tekanan yang diperlukan dalam radiator;
  • Lakukan pemeriksaan yang menyeluruh ke atas kereta anda sebelum memulakan perjalanan. Minta bantuan mekanik yang dipercayai untuk memeriksa, menyelenggara dan membaiki sebarang kerosakan, jika ada.

Selain itu, sekiranya anda ingin jual kereta lama atau beli kereta terpakai yang berbaloi, selamat dan berkualiti, layari laman web Carsome untuk info lanjut. Carsome merupakan platform jual beli kereta terpakai online yang menawarkan rangkaian pilihan kereta terpakai yang berkualiti, terbaik dan selamat dengan harga yang berpatutan.

Haziq Asyraf
Haziq Asyraf
A self-proclaimed foodie and gamer whose passion for food and games has recently extended to cars.
RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular