11 Checklist Servis Kereta Sebelum dan Selepas Road Trip yang Perlu Anda Tahu

Cuti umum atau cuti panjang long weekend biasanya dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia dengan bercuti di lokasi-lokasi terkenal atau pulang ke kampung halaman. Jika sebelum ini, kebanyakan daripada kita mungkin selesa menggunakan pengangkutan awam seperti kapal terbang, kereta api atau bas. Namun selari dengan amalan norma baharu, pengguna pengangkutan awam kini lebih selesa menggunakan kereta sendiri untuk meluangkan masa hujung minggu dengan bercuti atau road trip bersama keluarga. Meskipun aktiviti road trip kedengaran menyeronokkan, banyak perkara yang perlu dititikberatkan sebelum memulakan perjalanan antaranya servis atau check kereta sebelum dan selepas perjalanan.

road trip bersama keluarga dan kawan-kawan

Pemeriksaan dan Penyelenggaraan Kereta Sebelum Road Trip

Secara amnya, anda disarankan untuk memeriksa dan menyelenggara kereta sebelum memulakan perjalanan. Ia bertujuan untuk memastikan perjalanan yang akan ditempuh lebih selamat dan selesa tanpa sebarang masalah mekanikal seperti kerosakan enjin atau enjin kereta overheat, tayar pecah atau bocor dan sebagainya. Oleh sebab itu, anda disarankan untuk cek kereta sebelum jalan jauh untuk mengelakkan perkara-perkara tidak diingini daripada berlaku. Perkara-perkara sebegini bukan sahaja boleh membazirkan masa anda, malah ia boleh merosakkan mood percutian anda.

1. Tukar Minyak Hitam Kereta Anda

Sebelum memulakan perjalanan, pastikan anda memeriksa minyak hitam kereta anda. Jika tarikh penyelenggaraan minyak hitam seterusnya sudah hampir, segera tukar minyak hitam kereta anda. Perjalanan jauh boleh meningkatkan tekanan pada kereta anda sekali gus meningkatkan risiko kerosakan. Berikut merupakan panduan untuk anda memeriksa paras minyak hitam kereta anda:

    • Pastikan enjin kereta dimatikan, buka bonet hadapan kereta anda;
    • Cabut dipstick dan bersihkan sisa minyak padanya menggunakan kain atau tisu;
    • Masukkan semula dipstick ke dalam minyak hitam, kemudian keluarkannya semula;
    • Perhatikan paras minyak hitam kereta anda – paras minyak hitam yang ideal berada di antara dua tanda pada dipstick. Sekiranya paras minyak hitam rendah, tambah segera mengikut kesesuaian.
    • Periksa juga tahap kepekatan minyak hitam – minyak hitam yang berada dalam keadaan baik akan berwarna lut sinar dan sedikit kuning atau kehijauan.

Namun begitu, menambah atau top up minyak hitam baharu ke dalam minyak hitam sedia ada tidak sama seperti menggantikan minyak hitam sepenuhnya. Ini kerana, endap cemar atau sludge daripada minyak sedia ada masih terkumpul dan tidak dibersihkan. Jika boleh, tukar minyak hitam dan gantikan penapis minyak hitam.

2. Periksa Tahap Bendalir Kereta

Secara amnya, kenderaan bergantung pada bendalir tertentu seperti minyak pelincir, cecair cucian cermin atau cecair penyejuk untuk berfungsi secara optimum. Cecair penyejuk atau coolant misalnya, memainkan peranan penting mengelakkan enjin kereta terlampau panas atau overheat. Malah, tahap bendalir yang mencukupi secara tidak langsung dapat mengurangkan dan mengelakkan kereta rosak secara tiba-tiba yang berpotensi menyebabkan kemalangan.

Anda boleh merujuk manual pemilik sekiranya anda tidak pasti dengan tahap bendalir yang disarankan untuk kereta anda. Berikut merupakan antara komponen kereta yang perlu diperiksa untuk perjalanan jauh:

    • Minyak gear – lakukan pemeriksaan sama seperti anda memeriksa paras minyak hitam kereta;
    • Cecair penyejuk boleh mengelakkan kereta anda overheat terutamanya semasa pemanduan jarak jauh untuk jangka masa yang lama;
    • Minyak brek untuk prestasi brek yang selamat;
    • Cecair stereng kuasa atau power steering untuk pengendalian yang lancar.

3. Periksa Tayar Kereta

Ramai dalam kalangan pemilik kenderaan yang memandang ringan aspek penjagaan tayar kereta. Tayar kereta merupakan satu-satunya komponen penting kereta yang bersentuhan dengan permukaan jalan raya. Ini bermaksud, sedikit kerosakan pada permukaan atau dinding tayar boleh memberi kesan yang ketara terhadap keselesaan dan keselamatan semasa pemanduan. Oleh sebab itu, anda disarankan untuk memastikan tayar kereta berada dalam keadaan terbaik sebelum memulakan perjalanan – kerosakan pada tayar kereta boleh menjejaskan prestasi dan cengkaman brek, kawalan serta pengendalian kereta.

i. Tekanan Angin Tayar Kereta

Anda juga disarankan untuk memastikan tekanan angin tayar kereta adalah mencukupi sebelum memulakan perjalanan. Tayar kereta yang berada dalam keadaan baik (tekanan angin tayar mencukupi, tidak botak atau haus) boleh mengurangkan risiko kemalangan dan membantu meningkatkan penjimatan bahan api. Umumnya, tekanan angin tayar yang berlebihan boleh menyebabkan tayar pecah atau tayar pancit. Tekanan angin tayar yang berkurangan pula boleh meningkatkan penggunaan bahan api dan boleh menyukarkan pengendalian.

Artikel Berkaitan: Tekanan Angin Tayar Kereta, Cara Isi Angin Tayar Kereta dengan Betul

ii. Tahap Kehausan Tayar

Selain tekanan angin tayar kereta, anda juga disarankan untuk mengenal pasti sebarang potensi atau risiko kerosakan pada tayar seperti tayar kereta kena paku, bunga tayar haus, tayar bengkak, tayar botak, tayar makan dalam atau sebagainya. Keadaan tayar yang tidak sempurna seperti tayar botak atau bunga tayar haus boleh membahayakan dan mengganggu pemanduan anda lebih-lebih lagi semasa hujan.

Permukaan jalan yang basah dan licin ditambah pula dengan cengkaman tayar yang berkurangan boleh menyebabkan kereta hilang kawalan sekiranya anda menekan pedal brek secara tiba-tiba. Malah, tayar botak atau bunga tayar haus juga meningkatkan risiko tayar pancit atau pecah.

Artikel Berkaitan: Tayar Makan Dalam, Tayar Botak atau Bunga Tayar Haus? Punca Kerosakan Tayar yang Perlu Anda Tahu

4. Pastikan Lampu Kereta, Signal Kereta Berfungsi dengan Baik

Sebelum memulakan perjalanan, penting untuk anda memastikan semua lampu kereta termasuk signal kereta menyala dan berada dalam keadaan baik. Lampu kereta yang berada dalam keadaan baik, terang dan tidak rosak membantu membolehkan anda melihat dengan jelas selain memudahkan pemandu kenderaan lain melihat kereta anda dengan lebih jelas terutamanya pada waktu malam. Anda disarankan untuk mengesan sama ada terdapat kerosakan pada lampu kereta anda (lampu depan, lampu belakang, lampu undur, lampu brek dan signal kereta).

Minta bantuan ahli keluarga atau rakan untuk menghidupkan enjin, menghidupkan suis lampu atau menekan brek sementara anda memeriksa di sekeliling kenderaan anda. Selain itu, anda juga disarankan untuk menyediakan mentol lampu ganti (spare bulbs) sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya mentol lampu kereta anda terbakar atau mati secara tiba-tiba semasa perjalanan.

5. Periksa Bateri Kereta

Jika bateri kereta anda tidak ditukar untuk suatu tempoh tertentu (lebih setahun), periksa sama ada bateri kereta anda masih lagi berada dalam keadaan baik. Jika bunyi starter kereta anda perlahan, ia mungkin menandakan hakisan pada bateri atau bateri kereta anda sudah kong atau lemah. Selain itu, sekiranya anda berdepan situasi enjin kereta tak boleh start secara tiba-tiba semasa berhenti di kawasan rehat atau mengisi minyak contohnya, ia mungkin menandakan voltan bateri kereta kong atau sudah lemah. Anda juga boleh melakukan jumper bateri kereta untuk menghidupkan enjin kereta anda.

6. Pastikan Peralatan Kecemasan Mencukupi, Berfungsi

Selain itu, anda juga disarankan untuk menyediakan peralatan atau kit kecemasan semasa road trip. Ia sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini sepanjang perjalanan. Pastikan kereta anda sekurang-kurangnya dilengkapi dengan peralatan yang boleh membantu anda sekiranya berlaku insiden yang tidak diingini seperti tayar pancit atau kereta tak boleh start tiba-tiba. Anda boleh menyediakan checklist item wajib ada dalam kit kecemasan seperti berikut:

    • Kit peralatan untuk menukar tayar spare termasuk jack kereta – pastikan tekanan angin tayar spare diperiksa dan diisi sebelum perjalanan;
    • Pemutar skru, playar, spanar pelbagai saiz dan peralatan lain yang diperlukan;
    • Kabel jumper;
    • Pita pembalut;
    • Telefon mudah alih, lampu suluh dan powerbank;
    • Sarung tangan;
    • Air minuman botol;
    • Baju hujan;
    • First aid kit.

Bawa bersama segi tiga amaran (warning triangle kit) untuk digunakan sekiranya kereta anda tiba-tiba mati dan tersadai di jalan raya. Segi tiga amaran berfungsi sebagai peringatan dan amaran berjaga-jaga kepada pemandu dan pengguna jalan raya yang lain bahawa mereka sedang menghampiri kenderaan yang sedang berhenti disebabkan kerosakan atau kemalangan. Selain itu, anda juga boleh mempertimbangkan item tambahan lain seperti berikut:

    • Cecair pensanitasi tangan atau hand sanitizer;
    • Pelitup muka;
    • Sarung tangan pakai buang;
    • Tisu basah antiseptik.

Artikel Berkaitan: Tukul Cermin, ‘Dashcam’ serta Aksesori Kereta Lain Yang Perlu Ada dalam Kereta

7. Basuh Kereta

Selain aspek penyelenggaraan, anda juga disarankan untuk membasuh kereta anda sebelum memulakan perjalanan. Meskipun ia kedengaran remeh dan tidak penting, Saranan membasuh atau mencuci kereta ini membantu:

    • Meningkatkan kadar kebolehlihatan cermin kereta yang lebih jelas. Ini kerana, bendasing seperti debu, tahi burung dan sebagainya dibersihkan daripada cermin kereta sekali gus meningkatkan jarak penglihatan;
    • Mengenal pasti mana-mana komponen kereta yang rosak seperti tayar kereta, wiper kereta dan sebagainya – anda akan meneliti satu persatu bahagian kereta semasa membasuh kereta. Oleh itu, ia membantu anda mengenal pasti komponen kereta yang rosak atau memerlukan perhatian dengan lebih mudah.

8. Pandu Uji Kereta Anda

Anda juga disarankan untuk menghidupkan kereta, memandu di kawasan perumahan anda dan mengenal pasti sebarang perbezaan kecil yang dialami oleh kereta anda. Ini termasuk bunyi kereta, stereng atau tayar kereta bergegar atau sebarang tanda-tanda kerosakan yang lain yang dirasai semasa memandu. Berikut merupakan antara tanda-tanda lain yang perlu diberikan perhatian:

    • Stereng kereta tak center di jalan yang lurus menandakan masalah pada alignment kereta anda;
    • Bunyi ketika brek menandakan pad brek kereta anda sudah haus. Anda disarankan untuk gantikan pad brek jika perlu. Pad brek perlu digantikan jika pad brek berbunyi atau digunakan melebihi 80,000 km sejak kali terakhir ia ditukar.

Jika anda merasakan ada sesuatu yang tidak kena pada kereta anda, segera bawa kereta ke bengkel untuk pemeriksaan. Ia bukan sahaja dapat mengelakkan kemalangan atau insiden yang tidak diingini semasa perjalanan, tetapi juga dapat mengelakkan kos pembaikan yang lebih tinggi sekiranya melibatkan kerosakan enjin yang serius atau sebagainya.

tips cek kereta sebelum jalan jauh

Pemeriksaan dan Penyelenggaraan Kereta Selepas Road Trip

Seperti diketahui umum, aspek pemeriksaan dan penyelenggaraan kereta sebelum memulakan perjalanan jauh amat penting. Meskipun begitu, pemeriksaan dan penyelenggaraan kereta selepas perjalanan juga memainkan peranan yang sama penting untuk keselesaan dan keselamatan anda. Berikut merupakan perkara yang perlu dititikberatkan selepas road trip untuk panduan dan rujukan anda:

9. Cuci Kereta, Bersihkan Bahagian Dalam Kereta

Selepas road trip, bahagian luar kereta biasanya dipenuhi dengan kekotoran seperti lumpur, debu atau serangga yang melekat pada cermin kereta. Oleh sebab itu, anda disarankan untuk cuci kereta setelah tiba di rumah anda – cuci sendiri kereta atau bawa ke kedai cuci kereta. Selain itu, bahagian dalam kabin kereta biasanya akan kotor atau bersepah selepas road trip – bersihkan bahagian dalam kereta terutamanya sisa atau lebihan makanan yang anda makan sepanjang perjalanan. Sisa makanan yang tidak dibersihkan akan menjemput kehadiran lipas, semut atau serangga lain. Malah, sisa makanan atau air yang tertumpah juga boleh menyebabkan kereta berbau busuk dan hapak.

10. Bawa Kereta ke Bengkel (Jika Perlu)

Meskipun kereta anda diselenggara dan diperiksa sebelum perjalanan, ia tidak bermaksud kereta anda tidak terdedah kepada risiko kerosakan. Kereta rosak merupakan situasi luar jangka yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja  – risiko kereta rosak lebih rendah sekiranya anda servis kereta sebelum perjalanan. Sekiranya kereta anda rosak semasa perjalanan, anda disarankan untuk membawa kereta ke bengkel berdekatan untuk pemeriksaan lanjut setelah tiba di lokasi yang ditujui. Ini sebagai langkah berjaga-jaga dan mengenal pasti kerosakan-kerosakan lain yang mungkin berlaku.

i. Kereta Rosak Tepi Jalan? Apa yang Perlu Anda Lakukan?

Selain itu, bagi anda yang mungkin berdepan situasi kereta rosak tepi jalan, ini merupakan panduan yang boleh anda ikuti:

    • Kawal diri anda untuk kekal tenang dan tidak panik;
    • Nyalakan lampu kecemasan atau hazard light dan pasang segi tiga amaran;
    • Jika kerosakan boleh dilakukan sendiri seperti tukar tayar pecah misalnya, baiki dengan segera supaya ia tidak merosakkan mood percutian anda. Anda boleh merujuk panduan tukar tayar kereta, cara jumper kereta dan panduan masalah kerosakan kereta di sini;
    • Namun jika kerosakan ini sesuatu yang tidak boleh dilakukan sendiri, anda disarankan untuk mendapatkan bantuan unit ronda lebuh raya atau hubungi syarikat insurans kereta anda;
    • Catat maklumat penting seperti lokasi (kilometer lebuh raya ada tersedia di bahagian tepi lebuh raya), jenis kerosakan, jenis kenderaan dan nombor plat kenderaan anda untuk rujukan.

11. Lakukan Pemeriksaan dan Penyelenggaraan

Asasnya, anda mungkin menikmati masa yang berkualiti bersama keluarga sepanjang perjalanan anda. Namun ia mungkin sesuatu yang memenatkan bagi kereta anda. Oleh sebab itu, anda disarankan untuk menyelenggara dan memeriksa kereta anda setiap kali selepas perjalanan jauh. Dengan cara ini, anda dapat membaiki sebarang kerosakan yang mungkin timbul sepanjang perjalanan selain dapat meningkatkan keselamatan dan keselesaan pemanduan. Selain itu, ia juga dapat menjimatkan kos pembaikan yang lebih mahal sekiranya berlaku kerosakan lain yang lebih serius.

Artikel Berkaitan: 15 Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian Semasa Servis Kereta Anda

Meskipun pemeriksaan dan penyelenggaraan tidak menjamin kereta anda sentiasa berada dalam keadaan baik, ia sekurang-kurangnya boleh membantu mengelakkan anda daripada menghabiskan masa percutian anda di bengkel kereta. Selain itu, sekiranya anda merancang untuk beli kereta second hand yang sesuai dan selesa untuk aktiviti road trip, layari laman web Carsome untuk info lanjut. Carsome merupakan platform jual beli kereta terpakai yang menawarkan rangkaian pilihan kereta terpakai yang berkualiti, terbaik dan selamat dengan harga yang berpatutan.