HomeBMTali Sawat Kereta: Tanda Timing Chain Rosak, Tanda Timing Belt Perlu Ditukar

Tali Sawat Kereta: Tanda Timing Chain Rosak, Tanda Timing Belt Perlu Ditukar

Sistem enjin kenderaan dilengkapi dengan dua jenis timing sama ada timing chain atau timing belt. Di Malaysia, kebanyakan kereta yang menggunakan timing chain terdiri daripada kereta keluaran Toyota, Nissan dan Perodua. Manakala, kereta keluaran Proton, Honda dan model kereta keluaran Korea seperti Hyundai kebanyakannya menggunakan timing belt. Timing chain (rantai pemasaan) atau timing belt (tali sawat pemasaan) merupakan salah satu komponen penting dalam kenderaan. Kedua-dua komponen ini terletak di bahagian enjin kereta dan berfungsi menggerakkan komponen-komponen lain dalam enjin seperti camshaft dan crankshaft.

tali sawat kereta: tanda timing chain rosak

Secara amnya, fungsi camshaft dalam sistem enjin kenderaan mengawal buka tutup injap yang mengeluarkan asap dan membenarkan udara masuk mengikut putaran crankshaft – pengoperasian tali sawat kereta dan camshaft sama seperti rantai dan sprocket pada motosikal berfungsi. Oleh sebab itu, anda disarankan untuk memastikan komponen ini sentiasa berada dalam keadaan baik untuk mengelakkan risiko kerosakan lain yang mungkin boleh menyebabkan kos pembaikan dan penggantian yang lebih tinggi.

Fungsi Timing Chain, Fungsi Timing Belt Kereta

Secara asasnya, kedua-dua tali sawat kereta ini menjalankan fungsi yang sama dalam sistem pengoperasian kenderaan. Timing chain atau timing belt digunakan untuk menyeragamkan pergerakan camshaft yang menggerakkan injap enjin, crankshaft (rod yang menggerakkan silinder), piston dan injap dalam enjin. Kedua-dua komponen ini hanya dibezakan dengan jenis material yang digunakan – timing chain menggunakan rantai besi manakala timing belt menggunakan getah.

Tali Sawat Kereta: Beza Timing Belt dan Timing Chain

Meskipun kedua-duanya mempunyai fungsi yang sama, ramai dalam kalangan pemilik kenderaan berpendapat penggunaan timing chain adalah lebih baik kereta tidak memerlukan penggantian yang kerap dalam tempoh masa yang lama. Namun begitu, ada juga yang berpendapat penggunaan timing belt lebih menjimatkan disebabkan kos penggantian yang lebih murah. Apa pendapat anda? Carsome menyenaraikan lima (5) beza timing belt dan timing chain untuk anda nilai sendiri tali sawat kereta yang sesuai dengan bajet dan keperluan anda.

1. Jangka Hayat

Jangka hayat timing chain dikatakan lebih lama berbanding jangka hayat timing belt. Ini kerana, timing chain tidak perlu ditukar selagi ia tidak mengeluarkan sebarang tanda timing chain kereta rosak – bunyi nyaring merupakan salah satu bunyi timing chain kereta rosak. Selain itu, jangka hayat timing chain juga dikatakan boleh bertahan sehingga sekurang-kurangnya 400,000 km atau lebih. Namun begitu, ia bergantung pada tabiat penggunaan, penjagaan dan penyelenggaraan pemilik kenderaan.

Untuk timing belt pula, ia perlu digantikan setiap 90,000 km hingga 100,000 km untuk memastikannya berfungsi secara optimum – namun begitu ia bergantung pada jenis, model kereta. Timing belt Proton Wira, Proton Saga perlu digantikan setiap 60,000 km. Manakala, jangka hayat timing belt Proton Waja pula boleh bertahan dan perlu digantikan setiap 90,000 km. Timing belt Honda CRV dikatakan boleh bertahan sehingga 160,000 km – tertakluk pada penggunaan dan penjagaan.

2. Bunyi Timing Chain, Timing Belt

Operasi timing belt juga dikatakan lebih senyap berbanding timing chain. Ini kerana, timing belt dilapis dengan selaput getah atau polimer yang berfungsi menyerap gegaran dengan lebih baik. Ia sekali gus menjadikannya pilihan yang sangat popular dalam kalangan pengeluar kereta kerana lebih senyap dan lebih murah untuk dihasilkan. Meskipun begitu, penambahbaikan dalam rekaan timing chain moden hari ini turut menjadikan timing chain pilihan utama pengeluar kereta.

Rekaan timing chain moden dikatakan lebih lasak. Ia sekali gus menghasilkan kadar geseran dan gegaran yang lebih rendah dan lebih senyap berbanding rekaan sebelum ini. Rekaan ruang enjin dengan teknologi terbaharu juga sedikit sebanyak membantu mengurangkan masalah bunyi dalam kebanyakan model kereta moden yang menggunakan timing chain.

3. Penjagaan dan Prestasi

Secara amnya, timing belt diperbuat daripada getah dan tidak memerlukan sebarang minyak pelincir untuk meningkatkan prestasinya kerana sistem operasi timing belt dikatakan lebih kompak dan ringkas. Meskipun begitu, timing belt dilengkapi dengan “gigi” yang mencengkam gear semasa beroperasi – sekiranya “gigi” ini tertanggal atau haus, ia akan tergelincir daripada gear sekali gus menjejaskan prestasinya. Timing belt yang tergelincir daripada gear boleh menyebabkan enjin kehilangan kuasa dan operasi enjin menjadi lebih kasar berbanding situasi biasa.

Namun begitu, berbeza dengan timing chain yang mengaplikasikan konsep yang sama seperti rantai basikal, ia memerlukan minyak hitam semasa beroperasi untuk memastikan geseran dan gegaran dapat dikurangkan. Oleh sebab itu, aspek penjagaan minyak hitam amatlah penting sekiranya kenderaan anda menggunakan timing chain. Minyak hitam yang diselenggara dan ditukar mengikut jadual boleh memanjangkan jangka hayat timing chain. Selain itu, antara faktor lain yang menyebabkan timing chain kereta rosak atau haus dengan lebih cepat adalah disebabkan:

    • Kelikatan minyak yang tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan;
    • Penggunaan minyak enjin berkualiti rendah.

Artikel Berkaitan: Apa Berlaku Jika Minyak Hitam Tidak Ditukar? 5 Tanda Tukar Minyak Hitam Kereta Yang Anda Perlu Tahu

4. Harga Tukar Timing Belt, Timing Chain

Harga tukar timing belt dikatakan lebih murah berbanding kos tukar timing chain. Ini kerana, material getah atau campuran polimer dijual pada harga yang lebih murah dalam pasaran berbanding rantai besi. Meskipun begitu, jika mengambil kira aspek ketahanan, jangka hayat, nilai wang dan sebagainya, kos tukar timing chain dikatakan lebih berbaloi kerana tidak memerlukan penggantian yang lebih kerap dengan syarat minyak hitam diselenggara mengikut jadual dan berada pada tahap yang sesuai.

Harga tali sawat kereta bergantung sepenuhnya pada jenis, model kereta. Malah, tahap kekompleksan sistem kereta atau car complexity juga turut memainkan peranan. Semakin kompleks proses penggantian tali sawat kereta, semakin tinggi caj yang akan dikenakan. Sebagai contoh, kos tukar timing belt kereta SUV lebih mahal berbanding timing belt kereta ekonomi. Secara purata, kos untuk menggantikan tali sawat kereta adalah sekitar RM200 hingga RM400 – kos tukar timing belt Proton Persona misalnya, sekitar RM310 dalam pasaran termasuk kos upah.

5. Penyelenggaraan

Secara asasnya, timing belt boleh dikategorikan sebagai komponen kenderaan pakai buang – ia perlu digantikan dari semasa ke semasa bergantung pada penggunaan. Timing belt mempunyai jangka hayat yang tersendiri dan memerlukan penyelenggaraan atau servis secara berkala untuk mengelakkan kerosakan yang lebih serius. Jika timing belt digunakan melebihi saranan yang disyorkan oleh pengeluar kereta, ia berpotensi untuk putus, tooth wear atau back crack. Selain itu, timing belt putus juga boleh menyebabkan kerosakan bahagian enjin kereta yang lebih serius.

Bagi timing chain pula, penggantian atau penyelenggaraan tidaklah sekerap timing belt. Malah, penggunaan timing chain dikatakan lebih menjimatkan kerana jangka hayatnya lebih lama berbanding timing belt. Penyelenggaraan timing chain cukup mudah – anda hanya perlu menggantikan minyak hitam mengikut jadual bagi memastikan prestasinya berada pada tahap optimum. Penyelenggaraan minyak hitam yang tidak mengikut jadual boleh menyebabkan rantai besi haus dengan lebih cepat selain menjejaskan proses pemasaan enjin.

Selain itu, penyelenggaraan secara berkala juga dapat mengelakkan timing belt atau timing chain putus. Timing belt putus atau rosak boleh menyebabkan kesan domino yang serius pada komponen enjin yang lain. Malah, ia juga boleh mengakibatkan kos penggantian yang lebih tinggi kerana banyak komponen lain dalam enjin berpotensi untuk terjejas, rosak, patah atau retak.

Beza Timing Belt dan Timing Chain

Tanda Timing Chain Rosak, Tanda Timing Belt Perlu Ditukar

Timing chain putus atau timing belt putus merupakan antara risiko kerosakan komponen tali sawat kereta yang paling dirisaukan. Ini kerana, kos tukar timing chain dan harga tukar timing belt putus boleh menelan belanja yang agak tinggi kerana banyak aspek lain yang perlu diambil perhatian. Oleh sebab itu, anda disarankan untuk sentiasa memastikan tali sawat kereta sentiasa berada dalam keadaan baik. Carsome menyenaraikan tanda timing chain kereta rosak dan tanda-tanda timing belt perlu ditukar untuk panduan dan rujukan anda.

Bunyi Enjin Kereta Kasar

Kebiasaannya, timing belt tidak akan memberikan sebarang tanda atau petunjuk sekiranya ia ingin putus. Ia boleh putus dengan sendirinya secara tiba-tiba. Namun dalam sesetengah keadaan, tanda timing belt perlu ditukar boleh dikesan melalui bunyi yang dihasilkan – untuk pastikan bunyi timing belt rosak, jiruskan air pada timing belt yang sedang beroperasi. Jika bunyi hilang setelah timing belt basah, ia merupakan tanda timing belt kereta rosak dan perlu ditukar.

Berbeza dengan timing chain, ia akan menghasilkan bunyi tertentu sebagai tanda timing chain rosak. Timing chain rosak akan menghasilkan bunyi nyaring daripada bonet kereta setelah enjin kereta dihidupkan. Bunyi timing chain kereta rosak biasanya lebih jelas kedengaran semasa enjin dipanaskan dan akan hilang selepas beberapa ketika. Meskipun begitu, bunyi ini juga biasanya dikaitkan dengan tekanan minyak enjin yang rendah. Sekiranya ada bunyi pelik kedengaran, periksa tahap minyak enjin kereta anda terlebih dahulu. Jika ia berada pada tahap normal, besar kemungkinan timing chain kereta anda menghadapi masalah.

Artikel Berkaitan: Kereta Bunyi Berdengung, Bersiul? Masalah Bunyi Kereta Biasa Berlaku yang Perlu Anda Tahu

Cetusan Enjin Tidak Normal, Meletup-letup

Secara amnya, tali sawat kereta yang rosak, haus atau tidak berada dalam keadaan baik boleh menyebabkan operasi buka dan tutup silinder dalam enjin kereta menjadi tidak seragam. Ia secara tidak langsung menyebabkan cetusan enjin berlaku secara tidak normal. Cetusan dalam enjin yang terputus-putus berlaku disebabkan oleh campuran udara dan bahan api yang tidak tercucuh secara selanjar kerana timing belt atau timing chain kehilangan koordinasi yang diperlukan. Sekiranya anda berdepan situasi sebegini, lakukan pemeriksaan dengan segera untuk mengelakkan kerosakan enjin yang lebih serius.

Lampu Amaran Tekanan Minyak Enjin Menyala

Lampu amaran tekanan minyak enjin menyala sekiranya sensor enjin kereta anda mengesan sebarang potensi masalah – timing chain atau timing belt yang rosak boleh menyebabkan lampu amaran ini menyala. Sistem komputer kereta biasanya akan menyalakan lampu amaran sebagai indikator kepada pemilik kenderaan bahawa terdapat masalah yang perlu diperiksa dalam sistem enjin. Biasanya, lampu amaran ini menyala sekiranya sistem mengesan sesuatu yang tidak kena pada sistem pelepasan dan operasi enjin.

Jika lampu amaran tekanan minyak enjin kereta anda menyala, segera bawa kereta anda ke bengkel untuk pemeriksaan lanjut. Jika diabaikan, ia boleh menyebabkan kerosakan yang lebih serius pada komponen dalam enjin kereta yang lain. Secara amnya, lampu amaran tekanan minyak enjin atau turut dikenali sebagai lampu aladin akan menyala dalam tempoh satu hingga dua saat setelah enjin kereta dihidupkan sebelum terpadam. Jika ia masih menyala setelah beberapa ketika, ia mungkin menandakan sensor enjin kereta mengesan masalah dalam sistem enjin.

Semoga perkongsian mengenai tali sawat kereta ini boleh membantu anda mengenal pasti fungsi timing chain, tanda-tanda kerosakan, jangka hayat timing chain, beza timing belt dan timing chain serta info-info lain berkaitan komponen penting ini. Selain itu, sekiranya anda merancang untuk membeli kereta terpakai atau menjual kereta terpakai lama anda, layari laman web Carsome untuk info lanjut. Carsome merupakan platform jual beli kereta terpakai yang menawarkan pelbagai pilihan kereta terpakai yang berkualiti dan terbaik untuk anda.

RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular