HomeBMBalik Kampung Minggu Ini? Ini Tip Penting untuk Pemanduan Selamat!

Balik Kampung Minggu Ini? Ini Tip Penting untuk Pemanduan Selamat!

Cuti panjang sempena perayaan tidak kiralah sama ada Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidiladha, Hari Krismas atau cuti panjang hujung minggu semestinya akan dimanfaatkan oleh warga kota untuk pulang ke kampung halaman menziarahi ibu bapa dan mengunjungi sanak-saudara.

Namun begitu, dalam keseronokan untuk pulang ke kampung, faktor keselamatan masih perlu dititikberatkan untuk mengelakkan sebarang insiden atau kemalangan yang tidak diingini daripada berlaku.

Berikut ialah tip keselamatan penting sebelum pulang ke kampung dan tip pemanduan selamat yang boleh anda jadikan panduan dalam merancang perjalanan anda:

8 Tip Keselamatan Penting Sebelum Balik Kampung

CARSOME menyenaraikan 8 tip keselamatan penting sebelum balik kampung yang boleh anda praktikkan:

1. Jangan Tinggalkan Barangan Berharga

Jika ingin pulang bercuti untuk tempoh masa yang lama ataupun sekejap, elakkan daripada meninggalkan barangan berharga di rumah seperti wang tunai, barangan kemas, laptop dan sebagainya.

Bawa barangan berharga ini bersama anda atau jika perlu, simpan sementara di bank atau minta kenalan yang boleh dipercayai untuk menjaga barangan ini buat sementara waktu. Berdasarkan statistik, rekod jenayah pecah rumah dan kecurian biasanya mencatatkan peningkatan terutamanya semasa musim perayaan.

2. Cabut Penutup Kepala Tong Gas & Tutup Punca Kuasa Elektrik

Pastikan kepala tong gas di dapur rumah anda ditanggalkan terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan. Cara ini sekali gus dapat mengelakkan insiden kebakaran semasa ketiadaan anda.

Selain itu, pastikan semua suis dimatikan dan palam atau plag perkakas elektrik di kediaman anda ditanggalkan daripada soket. Mematikan suis dan mencabut plag peranti yang tidak digunakan bukan sahaja menjimatkan kadar penggunaan elektrik, malah langkah berjaga-jaga ini penting untuk membendung insiden litar pintas atau kebakaran.

Jangan lupa ambil gambar penutup kepala tong gas yang telah dicabut dan juga suis yang telah dimatikan. Ia akan membantu anda menghadapi perjalanan balik kampung dengan lebih tenang dan selesa. Selain daripada itu, ia boleh dijadikan bahan bukti sekiranya berlaku apa-apa perkara yang tidak diingini semasa ketiadaan anda.

3. Buka Lampu & Matikan Talian Telefon (Jika Ada)

Anda disarankan untuk memasang lampu dengan tetapan ‘timer’ di dalam dan di luar rumah anda. Ia bertujuan untuk mewujudkan suasana rumah berpenghuni sekali gus mengurangkan risiko rumah anda dipecah masuk. Pastikan lampu ini dihidupkan sekitar 6 petang hingga 7 malam setiap hari sepanjang ketiadaan anda.

Di samping itu, anda juga digalakkan untuk mencabut talian telefon bagi mengelakkan telefon berdering ketika anda tiada di rumah. Anda juga boleh memasang sistem penggera dan kamera litar tertutup di rumah anda sebagai langkah keselamatan tambahan.

4. Kunci Pintu & Tingkap

Walaupun anda hanya meninggalkan kediaman anda untuk tempoh masa yang singkat, amalkan langkah berjaga-jaga dengan sentiasa mengunci pintu dan tingkap rumah anda. Pastikan pintu utama dan pintu belakang rumah anda dikunci dan dan dilengkapi dengan sistem kunci yang berkualiti.

Kebiasaanya, kediaman di Malaysia dilengkapi dengan jeriji (grill) keselamatan pada pintu dan tingkap rumah – pastikan ia berkunci. Elakkan daripada menyembunyikan atau menyimpan kunci pendua (spare key) rumah anda di lokasi-lokasi yang mudah dibaca seperti di dalam pasu, di bawah alas kaki atau di dalam rak kasut di luar rumah.

5. Jangan Maklumkan Ketiadaan Anda di Laman Sosial

Dalam zaman yang serba canggih ini, kebanyakan daripada kita gemar memuat naik hantaran berkaitan aktiviti seharian yang dilakukan di laman sosial seperti Facebook, Twitter mahupun Instagram. Ia sekali gus membuka ruang kepada orang lain untuk memantau pergerakan dan aktiviti anda dan hal ini mungkin akan membawa kepada perkara yang tidak diingini.

Oleh itu, elakkan atau jangan sekali-kali tinggalkan sebarang nota atau memuat naik status di laman sosial anda dengan mengatakan anda tiada di rumah untuk mengelakkan insiden tidak diingini berlaku semasa ketiadaan anda di rumah.

6. Maklumkan Kepada Jiran/Pihak Polis

Sebagai langkah keselamatan tambahan, maklumkan ketiadaan anda kepada jiran untuk menjaga kediaman anda sepanjang ketiadaan anda. Begitu juga dengan balai polis berdekatan dengan mengisi borang yang disediakan. Pihak polis akan melakukan rondaan secara berkala sepanjang ketiadaan anda sekali gus membantu menjaga keselamatan kediaman yang ditinggalkan.

7. Periksa Kereta Anda

Selain keselamatan kediaman yang ditinggalkan, anda juga perlu mengambil kira keselamatan kenderaan anda sebelum memulakan perjalanan pulang ke kampung halaman. Kenderaan yang diselenggara dengan baik dapat mengurangkan risiko kemalangan atau kerosakan sepanjang perjalanan.

Sebelum memulakan perjalanan, pastikan kenderaan yang akan dinaiki berada dalam keadaan baik. Lakukan pemeriksaan secara menyeluruh sebelum dan selepas perjalanan untuk mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini daripada berlaku.

8. Lakukan Pemeriksaan Kendiri Covid-19

Akhir sekali, sebelum bertolak pulang ke kampung, pastikan anda dan ahli keluarga telah melakukan pemeriksaan kendiri Covid-19. Ini penting supaya anda dapat menjamin kesihatan anda dan ahli keluarga, selain daripada memastikan sambutan Hari Raya Aidilfitri berjalan dengan lancar.

Pastikan anda mendapatkan kit pemeriksaan kendiri yang diperakui oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Anda juga mestilah sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Tip Asas Pemanduan Balik Kampung yang Selamat

Berikut merupakan senarai semak berkaitan penyelenggaraan kereta yang boleh anda ikuti dan tip asas pemanduan selamat sebelum pulang ke kampung halaman yang boleh anda amalkan:

jaga jarak selamat, ikut had laju ditetapkan

Servis Kereta & Periksa Tayar

Berdepan masalah kereta rosak di lebuh raya merupakan mimpi buruk bagi semua orang yang memandu. Namun begitu, insiden sebegini boleh dielakkan jika kita mengambil langkah yang sewajarnya sebelum memulakan perjalanan.

Periksa keadaan kereta dan dan pastikan ia berada dalam keadaan baik sebelum balik ke kampung.

1. Tayar Kereta

Tayar merupakan antara komponen penting kereta yang bersentuhan dengan jalan raya. Jika tidak diselenggara dan tidak berada dalam keadaan baik, ia boleh menyebabkan kemalangan atau mengancam keselamatan bukan sahaja diri anda, malah penumpang dan pengguna jalan raya yang lain.

Periksa bunga tayar – jenis kehausan yang berbeza pada bunga tayar menunjukkan masalah kerosakan komponen lain yang perlu diberi perhatian. Selain itu, pastikan tekanan udara dalam tayar berada pada tahap yang disyorkan.

periksa tayar sebelum memulakan perjalanan | tip pemanduan selamat

2. Brek Kereta

Periksa pad brek kereta anda sama ada ia masih selamat untuk digunakan atau memerlukan penggantian. Pastikan bunyi pelik tidak kedengaran semasa menekan pedan brek. Selain itu, pastikan paras minyak brek mencukupi dan berada dalam keadaan baik.

Minyak brek sepatutnya berwarna jernih dan bebas kotoran, tambah jika perlu. Pemeriksaan brek secara berkala penting untuk keselamatan pemanduan anda terutamanya semasa perjalanan jauh:

7 Tanda Amaran Brek Anda Perlu Diperiksa
      • Bunyi – bunyi berciut, bergeser atau ketukan semasa membrek;
      • Seret – kenderaan terseret ke tepi apabila membrek;
      • Pedal rendah – pedal brek rendah mencecah ke lantai apabila membrek;
      • Pedal keras – pedal brek terasa keras dan perlu dipijak dengan kuat semasa membrek;
      • Mencengkam – brek mencengkan dengan sedikit sentuhan pada pedal;
      • Bergetar – pedal brek bergetar atau berdenyut walaupun semasa membrek secara normal;
      • Lampu – lampu brek menyala pada papan pemuka kenderaan anda.

tukar minyak hitam secara berkala

3. Minyak Enjin

Minyak enjin kereta perlu ditukar mengikut tempoh penyelenggaraan. Meskipun begitu, periksa paras kuantiti minyak di dalam kereta anda sebelum memulakan perjalanan dan pastikan ia berada pada paras yang disyorkan.

Jika minyak enjin kereta anda berkurangan secara mendadak, ia mungkin menandakan enjin anda mengalami kebocoran dan perlu diperbaiki dengan segera.

Cara Memeriksa Keadaan Minyak Enjin
      1. Cabut dipstick dan bersihkan;
      2. Masukkan dipstick semula ke dalam minyak enjin;
      3. Kemudian angkat kembali dipstick;
      4. Periksa ketinggian paras minyak hitam.

Paras minyak hitam yang optimum mestilah berada di antara paras minimum dan maksimum. Tambahkan minyak enjin jika paras minyak berada di bawah tanda minimum.

4. Wiper atau Pengelap Cermin

Semasa perjalanan, anda mungkin berdepan pelbagai situasi seperti hujan atau keadaan jalan raya yang berkabus. Dalam situasi sebegini, wiper kereta sangat memainkan peranan untuk membantu meningkatkan jarak penglihatan di hadapan anda. Oleh itu, pastikan air di dalam bekas washer fluid penuh dan mencukupi untuk kegunaan semasa perjalanan. Untuk elakkan nozel daripada tersumbat, anda disarankan untuk menggunakan air suling atau mineral.

Selain itu, tukar getah wiper jika ia tidak lagi berada dalam keadaan baik – wiper bergoyang atau bergetar secara berlebihan, masih terdapat kesan air semasa menggunakannya, bunyi kedengaran semasa menggunakannya. Secara amnya, anda disarankan untuk menggantikan wiper kereta anda setiap 6 bulan atau setahun sekali.

pastikan pengelap cermin berfungsi dengan baik | tip pemanduan selamat

5. Lampu

Pastikan semua lampu kereta anda berfungsi dan menyala dengan baik terutamanya jika memandu pada waktu malam untuk memastikan pemanduan yang lebih lancar dan selamat. Minta bantuan rakan, anak atau isteri untuk membantu melihat sama ada lampu brek, lampu hadapan, lampu belakang berfungsi atau tidak sebelum memulakan perjalanan.

Selain meningkatkan jarak penglihatan anda sepanjang pemanduan, lampu yang berfungsi juga membolehkan kenderaan anda mudah dilihat oleh kenderaan lain semasa berada di atas jalan raya sekali gus mengurangkan risiko kemalangan.

6. Bateri Kereta

Bateri kereta merupakan komponen penting dalam sistem elektrik kenderaan. Ia merupakan komponen yang perlu digantikan setiap dua tahun bergantung pada penjagaan dan prestasinya. Sama seperti komponen kereta yang lain, bateri kereta perlu diperiksa dan diselenggara secara berkala untuk mengekalkan kualiti dan prestasi pada tahap yang terbaik.

Anda boleh mendapatkan maklumat mengenai cara-cara untuk melakukan jump start dan tip penjagaan bateri kereta di sini. Selain itu, anda juga boleh menggunakan multimeter analog atau digital untuk menguji dan mengukur voltan, arus dan rintangan bateri kereta anda.

langkah jump start bateri kereta

Dapatkan Rehat Mencukupi & Rancang Perjalanan Anda

Pastikan anda mendapatkan rehat yang mencukupi sebelum memulakan perjalanan pulang ke kampung halaman anda. Elakkan daripada memandu selepas bekerja atau selepas makan kerana ia akan menyebabkan anda keletihan dan mengantuk. 

Jika anda mengantuk semasa memandu, jangan paksa diri anda. Sebaliknya, singgah di mana-mana kawasan rehat dan rawat untuk berehat seketika bagi mendapatkan semula tenaga. Jika ada pemandu kedua, minta pemandu kedua untuk memandu ke destinasi tujuan anda agar perjalanan anda lebih lancar.

tip pemanduan selamat

Tip Pemanduan Selamat | Peringatan Semasa Berada di Jalan Raya

  • Patuhi had laju lebuh raya untuk keselamatan diri dan keluarga anda selain mengelakkan anda daripada disaman. Semak saman trafik dan senarai lokasi AES di lebuh raya di sini.
  • Jangan menggunakan telefon bimbit semasa memandu. Hargai dan sayangi nyawa anda dan keluarga anda.
  • Elakkan menggunakan lorong kecemasan untuk segera sampai ke destinasi. Biar lambat, asal selamat.
  • Pakai tali pinggang keledar dan gunakan kerusi kanak-kanak untuk perlindungan tambahan.
  • Jangan mengekori kenderaan lain terlalu rapat.
  • Berhati-hati semasa memandu dan beri perhatian penuh semasa berada di jalan raya.
  • Pastikan baki kad Touch N Go mencukupi. Tambah nilai sebelum memulakan perjalanan. Touch N Go kini dilengkapi dengan PayDirect dan RFID yang boleh dihubungkan dengan aplikasi eWallet – lebih senang untuk tambah nilai, kan?
  • Bawa bersama item-item penting yang perlu ada sebelum memulakan perjalanan seperti powerbank, kit pertolongan cemas dan sebagainya. Untuk senarai penuh, baca di sini.

touch n go, smart tag dan rfid

Kami berharap tip pemanduan selamat yang dikongsikan ini dapat membantu anda merasai pengalaman balik kampung yang menyeronokkan.

Jika anda sedang ingin menjual kereta lama anda dan ingin pulang ke kampung dengan kereta terpakai berkualiti dengan tawaran harga yang berbaloi dan mampu milik, layari laman web Carsome hari ini!

Dengan pilihan kereta terpakai berkualiti yang terbesar, anda boleh yakin yang setiap kereta Carsome Certified yang disenaraikan di laman web kami telah melalui pemeriksaan 175-titik yang ketat dan juga telah dibaik pulih secara profesional di Carsome Certified Lab untuk memastikan keselamatan melebihi standard, keselesaan sempurna, dan estetik seperti baharu.

Tambahan pula, perjalanan membeli kereta anda dengan kami akan menjadi sangat mudah kerana kami akan menguruskan semua kertas kerja untuk anda.

Lihat promosi kereta bulanan yang CARSOME tawarkan di sini dan dapatkan kereta idaman anda dengan kami sekarang!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular