Berdasarkan sebuah laman web insurans di Amerika Syarikat, sesebuah kenderaan susut nilai antara 9 hingga 11 peratus semasa kereta pertama kali dibawa keluar dari pusat jualan kereta. Bagi sebuah kenderaan baharu yang berharga sekitar RM60,000, kenderaan anda susut nilai kira-kira RM6,600 dalam masa satu saat! Secara amnya, kereta di Malaysia mengalami susut nilai terbesar dalam tempoh 12 bulan pertama pemilikan iaitu antara 10 hingga 20 peratus daripada nilai asal jualan.
Adakah kadar susut nilai sesebuah kenderaan boleh dikurangkan? Adakah nilai jualan semula atau resale value tinggi merupakan salah satu faktor penting yang perlu dititikberatkan sebelum membeli kereta baharu idaman? Resale value atau nilai jualan semula yang tinggi merupakan salah satu perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum membeli kereta pertama anda lebih-lebih lagi jika anda merupakan individu yang sering bertukar-tukar kereta mengikut trend dan tidak merancang untuk menggunakan sesebuah kereta dalam jangka masa yang panjang.
Apa Itu ‘Resale Value’?
Secara amnya, resale value merujuk pada nilai jualan semula kereta dalam pasaran kereta terpakai jika anda mengambil keputusan atau mempertimbangkan untuk menjual atau menukar kereta anda selepas tempoh masa tertentu. Secara amnya, kereta baharu akan susut nilai sebanyak 20% pada tahun pertama, 15% pada tahun kedua dan seterusnya sehingga tahun ke-10. Sesebuah kereta biasanya hanya bernilai kira-kira 10% daripada nilai asal selepas 10 tahun.
10 Faktor yang Mempengaruhi ‘Resale Value’ Kereta Anda
Kadar susut nilai kereta merupakan suatu perkara yang tidak boleh dielakkan. Kebiasaannya, tinggi rendah nilai jualan semula atau resale value sesebuah kenderaan dipengaruhi oleh beberapa faktor. Faktor-faktor ini secara tidak langsung meningkatkan kadar susut nilai dan menjejaskan nilai jualan semula atau resale value yang tinggi untuk kereta anda. CARSOME menyenaraikan 10 faktor yang mempengaruhi nilai jualan semula untuk panduan anda seperti berikut:
1. Warna Kereta
Secara amnya, warna kereta boleh mempengaruhi nilai jualan semula kereta anda. Dalam erti kata lain, citarasa pembeli yang berbeza dengan anda boleh menyebabkan harga jualan kereta anda lebih rendah berbanding warna kereta popular. Oleh sebab itu, anda disarankan untuk membeli kereta dalam warna-warna asas seperti putih, hitam, kelabu atau perak untuk mengelakkan nilai jualan semula yang lebih rendah. Malah, kereta dalam variasi warna metalik cenderung untuk memiliki resale value yang lebih tinggi berbanding warna-warna lain.
Selain itu, warna-warna lain seperti hijau, emas, merah hati atau ungu boleh dikatakan bukan dalam kategori spektrum warna popular. Warna-warna sebegini biasanya tidak mendapat permintaan yang tinggi dalam pasaran terutamanya pasaran kereta terpakai. Berdasarkan data daripada CARSOME Insights, warna akromatik (putih dan perak) merupakan warna kereta paling popular bagi tahun 2020 di Malaysia, diikuti dengan warna hitam, kelabu dan biru.
Artikel Berkaitan: Apakah Warna Kereta Paling Popular di Malaysia?
2. Jenama dan Model
Selain itu, reputasi model dan jenama tertentu turut mempengaruhi nilai jualan semula kereta. Di Malaysia, model kereta daripada jenama dengan reputasi yang baik seperti Perodua, Honda dan Toyota memiliki resale value yang tinggi berbanding model jenama-jenama lain seperti BMW, Volvo, Lexus, Proton, Nissan, Mazda, Hyundai dan Peugeout. Model-model ini dikatakan mempunyai kos penyelenggaraan yang lebih tinggi (contohnya, alat ganti yang lebih mahal dan sukar diperoleh) sekali gus mempengaruhi permintaan jualan yang lebih rendah dalam pasaran.
Artikel Berkaitan: Apakah Jenama dan Model Kereta Paling Popular di Malaysia?
3. Keadaan Dalaman dan Luaran Kereta
Kebanyakan pembeli turut mempertimbangkan faktor keadaan dalaman dan luaran sesebuah kenderaan yang ingin dibeli. Keadaan dalaman dan luaran yang baik menandakan pemilik sebelum ini mementingkan aspek penjagaan dan penyelenggaraan. Jika ruang dalaman kereta berada dalam keadaan baik tanpa sebarang kerosakan, semakin tinggi resale value kereta anda. Meskipun kesan calar atau kemik tidak menjejaskan prestasi keseluruhan kereta, namun bagi sesetengah pembeli, kecacatan pada kereta ini mungkin menjejaskan nilai kosmetik atau estetika sesebuah kereta.
Malah dalam kes tertentu, calar atau kemik boleh menyebabkan karat atau kerosakan pada badan kenderaan sekali gus akan mempengaruhi harga jualan kereta. Ini kerana, pembeli kereta perlu mempertimbangkan kos pembaikan tambahan yang perlu ditanggung.
4. Mileage atau Perbatuan
Kenderaan yang kerap digunakan dan memiliki jarak tempuh yang tinggi biasanya memiliki resale value yang lebih rendah. Semakin tinggi mileage kereta, semakin banyak komponen kereta atau kos penyelenggaraan yang bakal ditanggung oleh pemilik baharu. Bacaan mileage yang tinggi secara tidak langsung boleh menyebabkan peningkatan kos yang tinggi untuk penyelenggaraan seperti penggantian tayar kereta haus, kerosakan pada absorber, pad brek dan sebagainya.
Artikel Berkaitan: Tip Meminimumkan Kadar Susut Nilai
5. Rekod, Kos Penyelenggaraan dan Alat Ganti
Kereta yang melalui proses penyelenggaraan secara berkala terutamanya di pusat servis atau ejen berdaftar biasanya menarik minat pembeli untuk menawarkan nilai yang lebih tinggi berbanding biasa. Biasanya, kereta yang diselenggara di pusat servis berdaftar mempunyai rekod di dalam sistem sekali gus memudahkan bakal pembeli untuk menyemak sama ada rekod penyelenggaraan adalah benar seperti yang dinyatakan. Selain itu, ia turut membuktikan penggunaan alat ganti yang tulen dan berkualiti.
Kos penyelenggaraan dan ketersediaan alat ganti yang murah di pasaran juga mempengaruhi resale value semasa kereta anda. Dalam erti kata lain, akses mudah kepada alat ganti di pasaran sedikit sebanyak meningkatkan nilai jualan semula kereta. Model Perodua merupakan salah satu model popular dengan resale value tinggi disebabkan oleh kos dan ketersediaan alat ganti yang lebih murah dan mudah untuk diperoleh.
6. Usia Kereta
Selain itu, usia kereta juga merupakan antara perkara yang akan dipertimbangkan semasa urusan jual beli kereta anda. Biasanya, kereta model lama yang lebih berusia mempunyai nilai jualan yang lebih rendah berbanding kereta model terkini. Berbeza dengan kereta antik atau koleksi edisi terhad, kereta jenis ini biasanya mempunyai kadar susut nilai yang lebih rendah. Malah dalam sesetengah kes, nilai semasa kereta jenis ini boleh meningkat disebabkan permintaan yang tinggi dalam pasaran.
Selain itu, usia kereta juga turut mempengaruhi urusan-urusan lain berkaitan pinjaman atau loan bank. Bank biasanya menawarkan kadar faedah yang lebih tinggi dan margin yang lebih rendah untuk kereta yang lebih berusia.
Artikel Berkaitan: Masa Paling Berbaloi dan Terbaik untuk Jual Kereta Lama
7. Pengubahsuaian atau Modifikasi Kenderaan
Meskipun dalam sesetengah situasi pengubahsuaian kereta boleh meningkatkan nilai jualan semula, namun ia tidak bermaksud pengubahsuaian tidak memberi kesan negatif terhadap nilai jualan semula kenderaan. Biasanya, pengubahsuaian melibatkan tempat duduk (naik taraf ke tempat duduk kulit), penambahan teknologi keselamatan terkini meningkatkan nilai jualan semula kereta.
Namun begitu, kereta dengan pengubahsuaian berlebihan seperti kereta direndahkan sehingga menyukarkan pemanduan di kawasan berbonggol, penggunaan lampu neon dan lain-lain biasanya menyebabkan nilai jualan semula jatuh dengan ketara.
Artikel Berkaitan: Tip Pengubahsuaian atau Modifikasi Kereta
8. Penjimatan Bahan Api
Turun naik harga pasaran minyak atau bahan api juga turut mempengaruhi nilai jualan semula kereta anda. Kereta dengan penjimatan bahan api yang optimum biasanya menawarkan resale valueyang lebih tinggi berbanding model kereta yang tidak cekap penggunaan bahan api. Jika dilihat dalam pasaran kereta terpakai buat masa ini, model Myvi terpakai dijual pada harga yang tinggi, malah dalam sesetengah situasi tiada perbezaan harga yang ketara berbanding model Myvi baharu.
Penggunaan bahan api yang rendah secara tidak langsung menjadikan model Myvi terpakai antara pilihan utama pengguna sekali gus menjadikan kadar susut nilainya lebih rendah berbanding model-model lain di pasaran.
9. Populariti
Selain itu, kuantiti unit terjual juga turut mempengaruhi nilai jualan semula sesebuah model kenderaan. Perodua Myvi merupakan kenderaan paling laris di Malaysia sejak 2006 dan mencatatkan kadar susut nilai yang lebih rendah berbanding model lain di pasaran. Semakin laris sesebuah model kenderaan, semakin tinggi resale value sesebuah kenderaan. Selain itu, populariti sesebuah model kenderaan juga bergantung pada faktor demografik sesuatu kawasan sekali gus memberi kesan terhadap resale value sesebuah kenderaan.
Trak atau SUV lebih laris dijual di Sabah atau Sarawak, manakala model kompak atau sedan lebih laris di kawasan bandar. Kereta mewah atau sport pula kurang laris di kawasan pedalaman. Dalam konteks sebegini, ia semestinya melibatkan faktor pilihan pengguna atau persepsi – contohnya, penduduk di bahagian bandar memilih kereta yang lebih kecil atau kereta kompak disebabkan oleh faktor penjimatan minyak, ruang tempat letak kereta yang sempit dan sebagainya.
Artikel Berkaitan: 5 Model SUV Paling Laris di Malaysia
10. Trend Semasa
Nilai jualan semula turut dipengaruhi oleh trend pengguna semasa – semakin tinggi permintaan sesebuah model kereta baharu di pasaran, semakin tinggi harga pasaran kereta terpakai model tersebut. Namun begitu, trend ini biasanya tidak tetap dan boleh berubah mengikut keadaan. Sebagai contoh, trend SUV popular di Malaysia ketika ini. Namun ia tidak bermaksud trend ini kekal dan tidak berubah. Populariti SUV boleh beralih kepada model jenis lain pada bila-bila masa dan peralihan kepada model jenis lain ini berpotensi untuk menyusutkan nilai jualan semula kereta anda.
7 Model Kereta dengan ‘Resale Value’ Tinggi Selepas 5 Tahun di Malaysia
Pasaran kereta terpakai di Malaysia kian berkembang dari semasa ke semasa. Trend ini secara tidak langsung didorong oleh kadar kos kenaikan sara hidup yang semakin tinggi sekali gus meningkatkan permintaan kereta terpakai dalam pasaran pasaran tempatan. CARSOME menyenaraikan 7 model kereta di Malaysia dengan nilai jualan semula atau resale value yang tinggi selepas 5 tahun sebagai panduan anda. Namun begitu, ia mungkin berubah berdasarkan faktor-faktor semasa lain seperti populariti semasa, jenama, warna kereta dan lain-lain.
1. Perodua Myvi
Perodua Myvi merupakan model kereta paling laris dalam pasaran kereta terpakai. Model ini menggantikan Perodua Kancil dan Kelisa sebagai kereta utama pilihan pengguna di Malaysia sekali gus menjadikan Perodua Myvi sebagai kereta kompak terlaris pilihan rakyat Malaysia sejak 2006. Walaupun bersaiz kompak, kereta hatchback ini tampil dengan bahagian dalaman yang luas serta reka bentuk yang menarik.
- Harga Perodua Myvi 1.5 Advance 2015 baharu = RM58,500
- Harga Perodua Myvi 1.5 Advance 2015 terpakai = RM30,000*
- Peratusan susut nilai = RM28,500 (49%)*
2. Honda City
Kebanyakan golongan muda profesional di Malaysia memilih Honda City sebagai kereta pertama pilihan mereka. Faktor ini sedikit sebanyak didorong oleh reka bentuk Honda City yang sporty, ‘muda’ dan elegan. Selain itu, model kereta ini juga turut menawarkan penjimatan bahan api yang optimum dan ruang tempat duduk belakang yang luas dengan ruang kaki yang selesa untuk penumpang.
- Harga Honda City V 2014 baharu = RM90,800
- Harga Honda City V 2014 terpakai = RM40,000*
- Peratusan susut nilai = RM50,800 (56%)*
3. Toyota Vios
Toyota Vios merupakan kereta subkompak sedan segmen B yang popular di Malaysia. Model ini juga merupakan kereta sedan paling popular di beberapa negara lain seperti Thailand dan Indonesia. Bahagian dalaman dan luaran model ini tampil lebih segar dengan reka bentuk elegan selain diperkemas dengan aksesori baharu yang menarik. Malah, model ini juga mematuhi kriteria Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) di bawah Dasar Automotif Nasional.
- Harga Toyota Vios TRD Sportivo 2015 baharu = RM94,800
- Harga Toyota Vios TRD Sportivo 2015 terpakai = RM40,000*
- Peratusan susut nilai = RM54,800 (58%)*
4. Honda Civic
Honda Civic boleh dikategorikan sebagai kenderaan jenama pertengahan sesuai dengan harganya. Kualiti, prestasi pemanduan yang baik yang disandang oleh model ini secara tidak langsung menjadikan nilai jualan semula model ini lebih stabil berbanding model-model lain di Malaysia. Model ini juga turut mendapat tempat dalam kalangan pengguna disebabkan oleh penampilan luaran dan reka bentuknya yang sporty, eksklusif.
- Harga Honda Civic 2.0S 2015 baharu = RM132,800
- Harga Honda Civic 2.0S 2015 terpakai = RM55,000*
- Peratusan susut nilai = RM77,800 (59%)*
5. Toyota Corolla Altis
Corolla Altis merupakan kereta sedan generasi ke-11 yang dilancarkan di Malaysia pada tahun 2014. Ia tampil dengan tiga pilihan varian – 1.8E, 2.0G dan 2.0V. Model ini tampil dengan lampu depan projektor LED dengan DRL, skrin paparan sentuh 7 inci dengan fungsi pemain DVD dan telefon pintar serta butang push start.
- Harga Toyota Corolla Altis 2.0V baharu = RM136,000
- Harga Toyota Corolla Altis 2.0V terpakai = RM70,000*
- Peratusan susut nilai = RM66,000 (49%)*
6. Nissan Grand Livina
Model MPV kompak ini tampil dengan rekaan lebih segar di bahagian hadapan dan belakang. Selain itu, ia turut dilengkapi dengan ruang dalaman dengan ciri premium – fabrik baharu, kluster meter dan paparan pelbagai maklumat (MID). Ruang dalaman yang luas yang boleh memuatkan 7 orang dalam satu-satu masa menjadikan perjalanan jarak jauh lebih tenang dan selesa. Malah, tempat duduk belakang juga boleh direbahkan untuk ruang simpanan yang lebih luas.
- Harga Nissan Grand Livina 2015 baharu = RM99,800
- Harga Nissan Grand Livina 2015 terpakai = RM50,800*
- Peratusan susut nilai = RM49,000 (49%)*
7. Proton Persona
Dengan reka bentuk yang menarik, ruang but yang luas sesuai untuk keluarga, tidak hairanlah jika model kereta ini mempunyai nilai jualan semula yang agak tinggi. Proton Persona boleh dikategorikan sebagai sedan terbaik Malaysia untuk keluarga merupakan model kereta sedan padat keluaran syarikat automotif Malaysia, Proton.
- Harga Proton Persona 2012 baharu = RM45,000
- Harga Proton Persona 2012 terpakai = RM23,200*
- Peratusan susut nilai = RM21,800 (49%)*
*Pengiraan harga kenderaan yang disenaraikan adalah berdasarkan anggaran purata yang digunakan dalam laman web kewangan dan berdasarkan harga purata daripada pangkalan data kereta terpakai CARSOME. Keadaan kenderaan dan faktor-faktor lain mungkin mempengaruhi nilai harga yang ditawarkan.
Cara atau Tips Meningkatkan ‘Resale Value’
Secara amnya, kereta yang dijaga atau berada dalam keadaan baik mempunyai nilai jualan semula atau resale value yang tinggi. Dalam erti kata lain, nilai jualan semula kereta boleh berubah mengikut situasi dan keadaan.
- Penjagaan, servis dan penyelenggaraan yang baik mengikut jadual secara tidak langsung dapat meningkatkan nilai jualan semula kereta anda. Selenggara kenderaan secara berkala mengikut jadual yang ditetapkan atau baik pulih sebarang kerosakan kecil pada kereta untuk mengelakkan kerosakan yang lebih teruk pada masa akan datang.
- Pengubahsuaian atau mofification pada kereta boleh meningkatkan atau menurunkan nilai jualan semula kereta. Kereta yang telah hilang identiti atau ciri standard mempunyai nilai jualan semula yang lebih rendah disebabkan oleh sasaran jualan (target market) yang lebih kecil berbanding kereta standard.
- Berhati-hati dengan pemilihan aksesori tambahan (sport rim, skirt sisi, spoiler, bampar hadapan dan belakang). Ini kerana, tidak semua pembeli kereta terpakai menyukai kereta yang telah diubah suai dan pembeli yang berusia mungkin tidak menyukai kereta yang terlalu sporty atau ranggi.
- Di Malaysia, kereta dengan transmisi automatik menawarkan resale value yang lebih tinggi berbanding transmisi manual. Namun begitu, kereta sport dengan transmisi manual menawarkan nilai jualan semua yang lebih tinggi. Kebiasaannya, penggemar kereta sport lebih berminat dengan transmisi gear manual berbanding transmisi automatik.
Selain itu, jika anda sedang mempertimbangkan untuk menjual kereta lama dan berminat untuk mendapatkan kereta terpakai baharu, layari laman web CARSOME untuk info lanjut. CARSOME merupakan platform jual beli kereta terpakai yang menawarkan tawaran harga terbaik dengan perkhidmatan yang mudah, cekap dan pantas.