Bagaimana Cukai Jalan Malaysia Dikira?

Perasan tak, pada pelekat cukai jalan atau ‘road tax’ kenderaan kita, tiada langsung istilah ‘cukai jalan’? Ini kerana di bawah Akta Pengangkutan Jalan Malaysia, istilah itu sebenarnya tidak wujud! Nama sebenarnya adalah Lesen Kenderaan Bermotor (LKM).

cukai jalan jpj

Apakah itu Lesen Kenderaan Bermotor (LKM)?

 

LKM atau lebih dikenali dengan istilah cukai jalan atau road tax adalah bayaran yang dikenakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ke atas pemilik kenderaan bermotor sebelum kenderaan tersebut dibenarkan untuk dipandu di jalan raya secara sah. Cukai jalan perlu diperbaharui dalam tempoh masa yang ditetapkan, dengan harga tertentu, pada setiap tahun untuk mengelakkan daripada dikenakan tindakan saman.

Apabila tamat tempoh, itu yang digelar sebagai ‘roadtax mati’. Cara nak hidupkan balik cukai jalan adalah dengan memperbaharui atau ‘renew roadtax’ dengan membuat pembayaran. Tapi ada syarat-syaratnya, jelaskan dulu semua saman JPJ atau PDRM dan perbaharui insurans kenderaan tersebut baru boleh sambung cukai jalan.

Kalau anda tak hidupkan cukai jalan, anda boleh didakwa mengikut Seksyen 15(1) dan Seksyen 90(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya (APJ) 1987 jika anda memandu kereta tanpa cukai jalan yang sah. Nak hidupkan balik cukai jalan tak susah pun, sekarang semua boleh buat online termasuk pembayarannya.

 

Faktor-faktor Yang Mempengaruhi Jumlah Cukai Jalan

 

Apabila kita ingin menghidupkan semula cukai jalan kereta kita, jumlah bayaran sudah dikira siap-siap dalam sistem. Hanya perlu bayar, tak perlu kira-kira untuk memiliki sekeping pelekat LKM. Tapi penting juga untuk kita ketahui apa yang mempengaruhi jumlah cukai jalan yang perlu dibayar, terutama apabila anda ingin membeli kereta.

Kita selalu sangka cukai jalan bergantung pada harga kereta. Lebih mahal kereta, lebih mahal cukai jalan. Tapi itu bukan faktor tunggal yang mempengaruhi pengiraan cukai jalan. Cukai jalan di Malaysia bergantung kepada kapasiti enjin kenderaan, lokasi kenderaan secara geografi, jenis kenderaan, dan jenis pemilikan.

  • Kapasiti Enjin

Lebih besar kapasiti enjin (CC), lebih mahal cukai jalannya. Logik ini adalah kerana ketika cukai jalan diperkenalkan, kerajaan ingin mengenakan cukai terhadap pemilik kenderaan berkapasiti enjin besar kerana pada zaman itu, kenderaan besar menyebabkan lebih banyak pencemaran berbanding kenderaan kecil.

Anda mungkin musykil, kalau kereta elektrik yang tidak menghasilkan karbon, bagaimana pula? Untuk kereta elektrik, kadar cukai jalan ditentukan oleh saiz kapasiti bateri kereta elektrik. Ia disukat dalam unit kWh. Lebih tinggi nilai kWH, lebih mahal cukai yang dikenakan.

  • Lokasi 

Kadar cukai jalan di Sabah dan Sarawak lebih murah untuk mengimbangi keadaan jalan raya dan pembangunan infrastruktur yang kurang elok berbanding di Semenanjung Malaysia. Ciri-ciri geografi dan permukaan jalan yang yang teruk ini menyebabkan ramai penduduk terpaksa menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

Di Labuan pula, enjin berkapasiti 1,000cc dan ke bawah akan dikenakan kadar tetap sebanyak RM20. Walau bagaimanapun, untuk enjin berkapasiti lebih 1,000cc, kadar cukai jalan yang dikenakan adalah 50% kurang dari kadar cukai jalan yang dikenakan di Sabah.

  • Jenis Kenderaan

Jenis kenderaan yang dimaksudkan di sini hanya dua iaitu salun atau bukan salun. Kenderaan salun termasuk kenderaan jenis sedan, hacbek, coupe, wagon atau berhud.

Kenderaan bukan salun pula adalah MPV, SUV, trak pikap dan kenderaan komersial.

  • Jenis pemilikan

Jenis pemilikan merujuk kepada sama ada kenderaan itu adalah milik peribadi individu atau kenderaan milik syarikat. Sesebuah kereta yang berdaftar di bawah nama syarikat adalah dikelaskan sebagai kereta komersial. Cukai jalan yang perlu dibayar untuk kereta komersial adalah lebih mahal berbanding cukai jalan kereta persendirian.

Berdasarkan faktor-faktor ini lah, cukai jalan sebuah BMW 318i 1.5T didapati sama jumlahnya dengan cukai jalan sebuah Perodua Myvi 1.5L walaupun BMW dianggap kereta kayangan manakala Myvi, kereta marhaen.

 

Bagaimana Cukai Jalan Dikira

 

Zaman serba moden ni, nak tahu jumlah cukai jalan yang perlu dibayar sangat mudah. Boleh check dengan penjual kereta, boleh buat carian dalam talian, atau tanya terus pada JPJ. Tapi pada yang ingin tahu, bagaimana jumlah tersebut diperoleh, di sini kami tunjukkan.

Untuk buat pengiraan sendiri jumlah cukai jalan, apa yang anda perlukan adalah:

  1. Tahu kapasiti atau sesaran enjin kenderaan, yang lebih dikenali sebagai CC
  2. Garis Panduan Pengiraan Kadar Lesen Kenderaan Motor (LKM) oleh JPJ
  3. Ilmu matematik atau kalkulator

Contoh pengiraan pertama: Perodua Bezza 1.3.

Menurut jadual pengiraan di bawah (Semenanjung Malaysia), Perodua Bezza 1.3 yang memiliki 1300cc, kadar cukai jalannya adalah RM70 setahun. Pengiraannya agak mudah kerana kenderaan berkapasiti 1600cc dan ke bawah dikenakan kadar yang tetap.

Kapasiti Enjin Kadar
1000cc dan ke bawah RM 20.00
1001cc hingga 1200cc RM 55.00
1201cc hingga 1400cc RM 70.00
1401cc hingga 1600cc RM 90.00

Tapi bagi kenderaan dengan kapasiti melebihi 1600cc pula macam mana? Di sini kita perlu tahu kadar asas dan kadar tetap, serta perlu membuat sedikit kira-kira.

Contoh pengiraan kedua: Honda Civic Type-R 2.0

 

honda

Menurut jadual pengiraan di bawah (Semenanjung Malaysia), Honda Civic Type-R 2.0 dengan kapasiti enjin 1,996cc, tertakluk pada kadar asas sebanyak RM280, dan kadar progresif sebanyak RM0.50 untuk setiap perbezaan cc berbanding 1800cc. Dalam erti kata lain, setiap cc melebihi 1800 dikenakan cas 50 sen.

Kapasiti Enjin Kadar Asas Kadar Progresif
1601 hingga 1800cc RM 200.00 RM 0.40 untuk setiap perbezaan cc berbanding 1600cc
1801cc hingga 2000cc RM 280.00 RM 0.50 untuk setiap perbezaan cc berbanding 1800cc
2001cc hingga 2500cc RM 380.00 RM 1.00 untuk setiap perbezaan cc berbanding 2000cc
2501cc hingga 3000cc RM 880.00 RM 2.50 untuk setiap perbezaan cc berbanding 2500cc
Melebihi 3000cc RM 2,130.00 RM 4.50 untuk setiap perbezaan cc berbanding 3000cc

Jumlah bayaran kadar progresif:

1,996cc – 1,800cc = 196cc

196cc x RM0.50 = RM98

Untuk mendapatkan jumlah bayaran cukai jalan, bayaran kadar progresif yang diperolehi ini ditambahkan dengankadar asas mengikut kapasiti enjin kereta iaitu RM280.

= RM98(kadar progresif) + RM280(kadar asas)

= RM378

Bukanlah susah sangat nak kira cukai jalan di Malaysia ni rupa-rupanya. Yang lebih sukar tu mungkin untuk membayar apabila tiba masanya. Ini membawa kita ke soalan selanjutnya, bagaimana cara untuk membayar road tax?

Artikel berkaitan: Cara ‘Renew’ Roadtax atau Pembaharuan Cukai Jalan dan Insurans Secara Online

 

Cara Membayar Road Tax di Cawangan dan Online

 

Untuk memperbaharui cukai jalan secara online, anda boleh melakukannya di:

  • Bjak – Di sini anda bukan sahaja dapat renew roadtax anda, tetapi juga renew insurans kereta anda.
  • MySikap – Platform digital untuk transaksi dalam talian JPJ seperti memperbaharui roadtax atau lesen, tukar hak milik kenderaan, semakan saman trafik, dan lain-lain.
  • MyEG – MyEG online memiliki saluran elektronik yang menawarkan pelbagai perkhidmatan daripada pelbagai agensi kerajaan termasuklah JPJ.
  • Laman web atau aplikasi mudah alih insurans seperti Qoala dan Policy Street – Tetapi anda hanya dapat melakukannya selepas anda memperbaharui insurans kereta anda di laman atau aplikasi mobil insurans tersebut.

Tetapi bukan semua jenis kenderaan anda dapat renewroad tax’ secara online. Misalnya kereta yang digunakan untuk e-hailing seperti Grabcar dan AirAsia Ride, kereta yang pemiliknya telah meninggal dunia, dan kenderaan yang cukai jalannya telah luput terlalu lama yakni melebihi tiga tahun.

Jika mahu renew cukai jalan secara offline, anda boleh pergi ke mana-mana Pejabat Pos, Pejabat JPJ Negeri, cawangan JPJ ataupun UTC dengan membawa MyKad sahaja.

Apa Akan Jadi Kalau Anda Tidak Membayar Cukai Jalan

 

Walaupun seperti yang telah dinyatakan di awal artikel cukai jalan ini sebenarnya bukannya sejenis cukai, tetap ada akibatnya kalau anda culas membayar cukai jalan dan tetap memandu kereta anda di jalan raya. Kegagalan membayar cukai jalan boleh menyebabkan anda dijatuhkan hukuman di bawah Seksyen 15 (1) dan 90 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Kalau ditahan di sekatan jalan raya, pasti kena saman.

Oleh itu, rajin-rajinlah tengok tarikh pada pelekat LKM di cermin kereta anda, dan jangan tunggu lama-lama untuk membayarnya. Bila dah lama, lain pula ceritanya nanti. Teruskan membaca.

 

Cukai Jalan Untuk Kereta Yang Tidak Digunakan

 

Anda mungkin terfikir, bagaimana pula dengan kenderaan yang tersadai dan tak digunakan? Perlu ke bayar cukai jalan lagi? Bila nak guna balik kenderaan itu, kenalah perbaharui cukai jalan.

Tapi satu perkara yang kita kena ingat adalah kenderaan dengan cukai jalan yang telah luput melebihi 36 bulan perlu menjalani pemeriksaan PUSPAKOM sebelum dibenarkan memperbaharui cukai jalan. Kan dah susah tu. Kalau baru setahun tak perbaharui, tak perlu ke PUSPAKOM, boleh terus ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau guna cara lain untuk perbaharui cukai jalan macam biasa.

Tapi kalau roadtax dah ‘mati’, macam mana nak bawa ke PUSPAKOM? Kena tunda ke?

Ada caranya untuk anda memandu kereta tanpa cukai jalan yang sah ke PUSPAKOM.

  1. Perbaharui atau dapatkan insurans kereta terlebih dahulu.
  2. Pergi ke cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) – dengan menggunakan kenderaan lain – untuk memohon permit perjalanan yang berfungsi sebagai ‘roadtax sementara’. Ini membolehkan anda memandu kereta dengan cukai jalan yang sudah luput melebihi 36 bulan ke PUSPAKOM tanpa disaman.
  3. Isi borang permit perjalanan dan dapatkan pengesahan pegawai JPJ.
  4. Sekarang anda sudah boleh memandu kereta yang berkenaan ke PUSPAKOM dengan hati tenang. Sekiranya ditahan di sekatan jalan raya, tampilkan saja permit perjalanan sementara.
  5. Jangan lupa bawa bersama salinan kad pengenalan pemilik kereta, salinan kad pengenalan wakil (jika berkenaan), dan juga geran kereta dalam bentuk asal dan salinan.
  6. Setelah lulus pemeriksaan, boleh ke JPJ untuk memperbaharui cukai jalan dengan membawa bukti pengesahan daripada PUSPAKOM.

Sekarang setelah anda mengetahui lebih lanjut mengenai cukai jalan, jangan lupa (atau buat-buat lupa) tarikh luput cukai jalan kenderaan anda supaya urusan pembaharuan boleh dilakukan dengan cara yang mudah.

Jika anda ingin menjual kereta anda atau trade-in dengan kereta pramilik, CARSOME boleh membantu anda dalam urusan dengan PUSPAKOM, permohonan pinjaman, pertukaran milik dan lain-lain.

Untuk ketenangan minda, layari laman web CARSOME atau muat turun aplikasi mudah alih kami untuk dapatkan kereta CARSOME Certified yang telah lulus pemeriksaan 175-titik yang teliti dan telah dibaik pulih secara profesional.