HomeBMSusut Nilai Kereta: Berapa Anggaran Harga Semasa Kereta Anda?

Susut Nilai Kereta: Berapa Anggaran Harga Semasa Kereta Anda?

Banyak faktor yang perlu dipertimbangkan sebelum membuat keputusan untuk membeli kereta. Selain tujuan penggunaan, harga semasa dan kadar penggunaan bahan api, faktor-faktor lain seperti kadar susut nilai juga perlu diberi perhatian. Faktor ini penting untuk membolehkan anda menganggarkan nilai semasa kereta anda untuk tempoh sekurang-kurangnya lima tahun akan datang. Cara ini dapat mengelakkan anda daripada membeli kereta dengan kadar susut nilai yang tinggi sekali gus merugikan anda sekiranya ingin menjual atau trade-in kereta lama anda.

Apa itu Susut Nilai Kereta?

Kadar susut nilai kereta merujuk pada perbezaan nilai asal semasa pembelian dan nilai akhir semasa penjualan kereta. Lazimnya, nilai kereta semakin menyusut bergantung pada penggunaan harian (wear and tear). Dalam erti kata lain, semakin kerap penggunaan kereta anda, semakin tinggi kadar susut nilai dan semakin rendah nilai semasa kereta anda. Penyusutan nilai sesebuah kenderaan adalah berbeza bergantung pada jenis model, jenama dan tahun pembuatan. Kebiasaannya, purata kadar susut nilai adalah sekitar 15 hingga 35 peratus pada tahun pertama dan seterusnya, dan boleh mencecah sehingga 50 peratus setelah memasuki tahun kelima dan ke atas.

Anggaran Nilai Kereta Semasa

Jika hari ini anda membeli Perodua Myvi dengan harga RM55,300, anda mungkin akan kehilangan antara 40 hingga 50 peratus daripada nilai asal kereta jika anda menjualnya dalam tempoh lima tahun akan datang. Menurut pakar automotif, pemilihan kereta yang mempunyai nilai jualan semula atau resale value yang lebih tinggi adalah lebih baik (dan lebih menguntungkan) berbanding pemilihan kereta dengan teknologi cekap bahan api.

Sebagai contoh, kereta keluarga bersaiz sederhana yang dibeli tiga tahun lalu mungkin susut nilai atau kehilangan kira-kira RM12,559 (anggaran) daripada nilai asal pada hari ini. Namun begitu kos bahan bakar kereta (untuk tempoh tiga tahun berdasarkan pengiraan 12,000 batu setahun) mungkin menelan belanja lebih mahal berbanding kadar susut nilai ini.

Faktor Mempengaruhi Kadar Susut Nilai Kereta

Berikut merupakan beberapa faktor yang boleh mempengaruhi kadar susut nilai sesetengah model di pasaran:

  1. Mileage atau Perbatuan – Semakin kerap kenderaan digunakan atau semakin tinggi bacaan mileage kereta, semakin tinggi kadar susut nilai kereta anda. Secara purata, anggaran perbatuan biasa adalah sekitar 10,000 hingga 12,ooo batu setahun;
  2. Reputasi dan Kebolehpercayaan – Sesetengah kereta mempunyai reputasi tertentu yang menjadikannya popular dalam kalangan pembeli. Oleh sebab itu, kadar kebolehpercayaan terhadap sesuatu jenama atau model boleh mempengaruhi susut nilai kenderaan. Kereta dengan reputasi yang kurang baik (insiden panggil balik model) berpotensi untuk susut nilai dengan lebih cepat;
  3. Pilihan Pengguna – Sama seperti trend fesyen, pilihan pengguna terhadap kereta juga berubah mengikut situasi dan keadaan. Jika dilihat, trend pengguna pada hari ini lebih tertumpu kepada penggunaan SUV seperti Proton X70, X50. Model kereta popular biasanya susut nilai dengan lebih rendah berbanding model kereta lain;
  4. Bilangan Pemilik – Semakin ramai pemilik bertukar tangan, semakin rendah nilai semasa kereta anda;
  5. Keadaan Kereta – Kerosakan-kerosakan tertentu pada bahagian badan kenderaan, ruang dalaman dan luaran akan mengurangkan nilai semasa kereta;
  6. Sejarah Servis Kereta – Penyelenggaraan yang dilakukan mengikut jadual boleh meyakinkan pembeli bahawa kereta anda berada dalam jagaan yang baik. Anda disarankan untuk merekodkan jadual penyelenggaraan atau menyimpan resit perbelanjaan dalam buku manual penyelenggaraan yang disediakan;
  7. Tempoh Waranti – Ada sesetengah pengeluar kereta menawarkan tempoh jaminan waranti antara lima hingga tujuh tahun. Tempoh waranti yang panjang secara tidak langsung boleh dijadikan bonus semasa menjual kereta anda;
  8. Desirability atau Daya Penarik – Sesetengah model kereta menawarkan versi facelift atau reka bentuk dinaik taraf setiap beberapa tahun. Semakin terkini model kereta anda, semakin baik nilai jualan semula di pasaran;
  9. Saiz – Kereta yang bersaiz lebih besar cenderung untuk susut nilai dengan lebih tinggi berbanding kereta bersaiz kecil kerana ia memerlukan kos penyelenggaraan (servis kereta, alat ganti) dan perbelanjaan (kos bahan api) yang lebih besar;
  10. Ekonomi Bahan Api – Kebiasaannya, kereta dengan teknologi penjimatan bahan api biasanya ditawarkan pada harga yang lebih tinggi kerana ia lebih popular dalam kalangan pembeli kereta terpakai.

faktor mempengaruhi kadar susut nilai kereta

Berapa Anggaran Susut Nilai Kereta Anda?

Meskipun terdapat banyak faktor yang mempengaruhi kadar susut nilai sesebuah kenderaan, kereta baharu secara amnya lebih cepat susut nilai berbanding kereta terpakai tanpa mengira model atau jenama kereta yang anda miliki.

⏱️ Selepas Satu (1) Minit: Kereta baharu susut nilai antara 9 hingga 11 peratus semasa kereta dibawa keluar dari pusat jualan kereta. Jika kereta baharu anda bernilai sekitar RM60,000, ia adalah seperti anda membuang RM6,600 melalui tingkap kereta anda semasa memandu pulang kereta buat kali pertama.

⏱️ Selepas Satu (1) Tahun: Berdasarkan statistik, kereta baharu mengalami penyusutan nilai terbesar dalam tempoh 12 bulan pertama pemilikan. Selepas setahun, kereta anda mungkin mengalami pengurangan sehingga 20% daripada harga pembelian.

⏱️ Selepas Lima (5) Tahun: Kereta baharu biasanya susut nilai antara 15 hingga 25 peratus setiap tahun sehingga tahun kelima. Selepas lima tahun, kereta baharu akan kehilangan sekitar 60 peratus daripada nilai asalnya.

Jadual di bawah menunjukkan anggaran jadual susut nilai untuk kenderaan di Malaysia. Kami mengambil contoh harga jualan sebenar Perodua Myvi (RM55,300) untuk tujuan ilustrasi:

Kereta Perodua Myvi 1.5L AV Baharu Peratusan Susut Nilai* Amaun Susut Nilai* Susut Nilai*
Harga Sebelum Dibeli 5% RM2,765 RM52,535 95%
6 Bulan Pertama 5% RM5,530 RM49,770
6 Bulan – 1 Tahun 15% RM8,295 RM47,005
1 Tahun – 2 Tahun 20% RM11,060 RM44,240
2 Tahun – 3 Tahun 30% RM16,590 RM38,710
3 Tahun – 4 Tahun 40% RM22,120 RM33,180
4 Tahun – 5 Tahun 50% RM27,650 RM27,650
5 Tahun ke Atas Ditentukan secara bersama antara pemilik dan insurer Ditentukan secara bersama antara pemilik dan insurer

*Pengiraan susut nilai adalah anggaran semata-mata, tertakluk pada faktor-faktor semasa lain

Berapa Purata Nilai Belian Kereta Anda di Carsome?

Meskipun kebanyakan kereta baharu mengalami kadar susut nilai yang ketara, terdapat bebeberapa jenama dan model popular yang mengalami penyusutan nilai yang lebih rendah. Berdasarkan Carsome Insights, jenama-jenama popular seperti Perodua, Honda dan Toyota memiliki reputasi dan kebolehpercayaan yang tinggi dalam kalangan pengguna sekali gus mencatatkan kadar susut nilai yang lebih rendah.

Jenama Kereta Terpakai Popular #CarsomeInsights

Carsome menyediakan anggaran harga belian tujuh (7) model kereta popular yang dijual kepada Carsome untuk panduan anda:

1. Perodua Myvi

Perodua Myvi mengungguli kedudukan teratas dari segi jualan untuk tahun 2020 (29,313 unit) diikuti oleh Axia dan Bezza dengan masing-masing mencatat jualan sebanyak 28,107 dan 25,416 unit kereta. Ia sekali gus menjadikan Myvi kekal sebagai model Perodua paling laris di Malaysia bagi tahun 2020. Selain itu, model Perodua ini juga turut mencatatkan permintaan yang tinggi dalam pasaran kereta terpakai. Lazimnya, permintaan yang tinggi dalam pasaran kereta terpakai adalah berdasarkan cerminan situasi semasa pasaran kereta baharu.

Kadar Susut Nilai Perodua Myvi

Permintaan yang tinggi dalam pasaran kereta terpakai ini secara tidak langsung memastikan nilai jualan semula Perodua Myvi kekal tinggi. Berdasarkan data daripada platform jual beli kereta terpakai, susut nilai untuk Perodua Myvi 1.5 AV yang berusia lima tahun adalah sebanyak 33.44 peratus atau satu pertiga daripada harga asal. Ini bermaksud, Perodua Myvi baharu yang dibeli pada harga RM56,518 (tidak termasuk insurans) pada tahun 2015 boleh dijual semula pada tahun 2019 dengan harga purata sebanyak RM37,618.

Malah, ia merekodkan susut nilai yang lebih rendah jika dibandingkan dengan model-model lain dalam pasaran seperti Proton Iriz 1.6 Premium CVT (RM59,731 pada 2015). Untuk tempoh yang sama, Proton Iriz merekodkan susut nilai sekitar 49.31 peratus atau hampir separuh daripada harga asal (RM30,277.32 pada 2019).

Artikel Berkaitan: 7 Model Kereta dengan ‘Resale Value’ Tinggi di Malaysia 

2. Honda City

Honda Malaysia pula mengekalkan kedudukan nombor satu dalam segmen kereta bukan nasional di Malaysia untuk tempoh enam tahun berturut-turut. Model Honda City mencatatkan jualan tertinggi iaitu kira-kira 34 peratus daripada jumlah keseluruhan jualan. Model baharu ini yang tampil dengan pakej harga yang menarik termasuk teknologi canggih dan reka bentuk yang menawan menerima sambutan yang sangat mengalakkan dalam kalangan pembeli. Selain Perodua Myvi, model segmen B bukan nasional paling popular ini juga turut merekodkan kadar susut nilai yang rendah iaitu kurang daripada 50 peratus dalam tempoh lima tahun.

Purata Harga Belian Kereta City Terpakai

Menurut data Carsome Insights, Honda City mencatatkan purata nilai jualan semula sebanyak 68 hingga 75 peratus berbanding harga kereta baharu. Ini bermaksud, jualan semula kereta ini tidak akan merugikan anda sekiranya anda mengambil keputusan untuk menjual atau trade-in kereta lama anda.

3. Nissan Grand Livina

Model kereta Nissan mencatatkan purata susut nilai sekitar 35 peratus dalam tempoh tiga tahun pertama pemilikan. Kadar susut nilai yang rendah ini sedikit-sebanyak dipengaruhi oleh faktor penggunaan bahan api yang boleh dikatakan agak rendah untuk kereta bersaiz besar sebegini. Berdasarkan tinjauan di platform jual beli kereta terpakai dalam talian, Carsome, model Grand Livina tahun 2015 boleh dibeli pada harga sekitar RM50,800 – susut nilai kira-kira 49 peratus berbanding nilai asal (RM99,800).

Nilai Jualan Semula/Resale Value Nissan Grand Livina

Nissan Grand Livina boleh boleh dikategorikan sebagai salah satu model MPV kompak terbaik yang dijual di Malaysia dengan ruang dalaman yang luas yang boleh memuatkan 7 orang dalam satu-satu masa sekali gus menjadikan perjalanan jarak jauh lebih tenang dan selesa.

Artikel Berkaitan: Bilakah Masa Terbaik Untuk Beli Atau Jual Kereta Terpakai?

4. Toyota Vios

Toyota Vios juga boleh dikatakan antara model kereta paling banyak digunakan di jalan raya. Model sedan kompak ini memiliki pelbagai ciri serta kelebihan yang tersendiri setanding pesaingnya dari kategori dan kelas yang sama seperti Honda City, Nissan Almera dan banyak lagi. Menurut data daripada Carsome Insight, Toyota Vios mencatatkan purata anggaran susut nilai sekitar 35 peratus dalam tempoh tiga tahun pertama pemilikan. Untuk perbandingan, Vios (2016) dan City (2016) masing-masing mencatatkan purata nilai jualan semula sekitar 76% dan 75% berbanding harga asal untuk kereta berusia 3 tahun.

Susut Nilai Toyota Vios

Malah, kedua-dua model ini, Toyota Vios (2014) dan Honda City (2014), turut merekodkan purata nilai jualan semula untuk sekitar 68 peratus bagi kereta yang berusia 5 tahun. Nilai jualan semula yang tinggi ini secara tidak langsung didorong oleh faktor kepercayaan pengguna terhadap jenama ini dan aspek keselamatan yang ditawarkan oleh model-model ini.

5. Proton Saga

Selain itu, model kereta Proton juga turut mencatatkan kadar susut nilai sekitar 35 peratus untuk tiga tahun pertama pemilikan. Berdasarkan data daripada Carsome Insights, Proton Saga mengekalkan 71 peratus daripada nilai asal dalam tempoh tiga tahun, lebih baik berbanding Perodua Myvi yang hanya mengekalkan 65 peratus daripada nilai asal dalam tempoh yang sama. Namun begitu, Proton Saga hanya dapat mengekalkan kira-kira 47 peratus daripada nilai asal berbanding Perodua Myvi (53 peratus daripada nilai asal) selepas lima tahun.

Harga Resale Value Saga

Situasi ini sedikit sebanyak dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran lain seperti jaminan waranti (Saga menawarkan waranti lebih lama berbanding Myvi) dan ciri-ciri keselamatan (Saga BLM/FLX tidak dilengkapi kawalan kestabilan) yang ditawarkan oleh model-model sebelum ini. Namun begitu, seperti dinyatakan di atas, kadar susut nilai atau nilai jualan semula kereta boleh berubah bergantung pada jenis model (model terkini, ciri keselamatan dipertingkat dan sebagainya).

6. Mercedes-Benz C-Class

Jenama mewah secara amnya memiliki resale value yang tinggi dan kadar susut nilai yang lebih rendah berbanding jenama-jenama lain. Di Malaysia, model sedan Mercedes-Benz memiliki nilai jualan semula yang lebih tinggi berbanding jenama mewah lain seperti BMW, Volvo atau Lexus. Tahap kemewahan sesebuah model kenderaan bukanlah faktor utama yang mempengaruhi nilai jualan semula. Namun begitu, ia merujuk kepada reputasi dan kepercayaan pengguna terhadap jenama mewah sekali gus meningkatkan permintaannya dalam pasaran.

Kepercayaan ini secara tidak langsung menjadikannya popular bukan sahaja dalam pasaran kereta baharu, malah pasaran kereta terpakai. Jenama Mercedes-Benz pernah menerima Anugerah Kereta Terpakai Terbaik yang dianjurkan oleh sebuah majalah dan penerbitan automotif di UK. Model-model Mercedes-Benz mencatatkan purata susut nilai sekitar 40 peratus dalam tempoh 3 tahun pertama pemilikan.

Susut Nilai Mercedes-Benz

Selain itu, kadar susut nilai juga dipengaruhi oleh faktor-faktor lain seperti teknologi, keselesaan, kecekapan enjin, kos pemilikan yang rendah serta kualiti pemanduan. Untuk rekod, Mercedes-Benz C-Class merupakan antara model keluaran jenama ini yang paling laris di Malaysia.

Artikel Berkaitan: Apakah Jenama dan Model Kereta Paling Popular di Malaysia?

7. BMW 3 Series

Selain Mercedes-Benz, BMW juga cukup sinonim sebagai pengeluar kereta mewah berjenama dan eksklusif. Kualiti pemanduan, ciri keselamatan dan elemen kemewahan yang ditampilkan secara tidak langsung mengalakkan permintaan yang tinggi terutamanya dalam pasaran kereta terpakai. Secara purata, model-model kereta BMW mencatatkan anggaran susut nilai sekitar 35 peratus dalam tempoh tiga tahun pertama pemilikan.

Kadar Depreciation BMW 3 Series

Bagi model BMW 3 Series pula, model ini mencatatkan anggaran purata susut nilai sehingga 40 peratus dalam tempoh yang sama. Kadar susut nilai yang rendah ini secara tidak langsung dipengaruhi oleh faktor jenama, kualiti, keselesaan dan aspek keselamatan yang ditawarkan.

Tip Meminimumkan Kadar Susut Nilai

Malangnya, kadar susut nilai kereta tidak dapat dielakkan. Namun begitu, terdapat beberapa langkah yang boleh anda lakukan untuk meminimumkan dan melambatkan kadar susut nilai. Carsome menyenaraikan tips berikut untuk panduan anda:

  1. Pastikan bacaan mileage atau kadar perbatuan rendah;
  2. Beri tumpuan terhadap aspek penjagaan – baiki dengan segera jika terdapat sebarang kerosakan;
  3. Beli kereta terpakai untuk mengelakkan kadar susut nilai yang ketara;
  4. Elakkan pengubahsuaian yang keterlaluan – spoiler, tayar yang lebih besar, flared wheel arches atau sebagainya;
  5. Jual kereta pada masa yang sesuai, sebelum pihak pengeluar memperkenalkan model penggantian;
  6. Pilih warna kereta yang popular – ada sesetengah warna mungkin menarik di mata anda, tetapi boleh membuatkan pihak pembeli berfikir banyak kali;
  7. Lakukan survei sebelum membeli kereta baharu – kenal pasti kadar susut nilai untuk model serupa sebelum ini daripada pengeluar yang sama;
  8. Buat pilihan yang terbaik semasa membeli kereta – pemilihan cat berwarna metalik dan elemen kulit adalah terbaik untuk kereta eksekutif;
  9. Selenggara kereta secara berkala – sejarah penyelenggaraan yang mengikut jadual memberi ketenangan fikiran kepada bakal pembeli.

Selain itu, jika anda sedang mempertimbangkan untuk menjual mana-mana model kereta ini dan berminat untuk mendapatkan model kereta terpakai, layari laman web Carsome untuk info lanjut. Carsome merupakan platform jual beli kereta terpakai yang menawarkan tawaran harga terbaik dengan perkhidmatan yang mudah, cekap dan pantas.

Haziq Asyraf
Haziq Asyraf
A self-proclaimed foodie and gamer whose passion for food and games has recently extended to cars.
RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular