HomeBMJenis Kereta Macam Mana yang Paling Sesuai untuk Anda?

Jenis Kereta Macam Mana yang Paling Sesuai untuk Anda?

Setiap tahun ada saja kereta baharu yang diperkenalkan oleh pengeluar-pengeluar kereta di Malaysia. Ramai yang boleh membezakan antara jenama dan model kereta tapi tak ramai yang mampu membezakan antara jenis-jenis kereta yang ada.

Daripada kereta hatchback yang kecil hingga trak pikap yang besar, setiap jenis badan kereta sebenarnya mempunyai bentuk yang khusus dan direka untuk tujuan yang berbeza. Dengan mengenal pasti jenis kereta yang ada di pasaran, anda boleh membuat keputusan yang lebih baik semasa membeli kereta.

Kalau anda nak tahu apa maksud SUV, apa ciri-ciri kereta coupe, dan yang mana satu pilihan jenis kereta yang paling tepat untuk anda, teruskan baca artikel ini.

Isi Kandungan
1. Kereta Sedan – Pilihan Utama Orang Ramai

2. Kereta Hatchback – Kompak Tetapi Praktikal

3. Kereta MPV – Pilihan yang Serba Boleh

4. Kereta SUV – Tahan Lasak & Selesa

5. Kereta Coupe – Untuk Pengalaman Memandu yang Menyeronokkan

6. Kereta Convertible – Sporty & Santai

7. Trak Pikap – Boleh Dipandu Ke Mana Sahaja

Kereta Sedan – Pilihan Utama Orang Ramai

Sedan, juga dikenali sebagai saloon, merupakan jenis kereta yang paling popular di seluruh dunia. Jenis badan kereta ini biasanya mempunyai reka bentuk tiga kotak, di mana badan kereta dibahagikan kepada tiga bahagian berbeza – bonet, kabin dan but.

Ciri-ciri yang biasa ada pada kereta sedan adalah ia mempunyai empat pintu, dua baris tempat duduk yang boleh memuatkan lima orang dengan selesa, dan ruang kargo yang besar. Ini membuatkan kereta sedan popular dalam kalangan pembeli kereta, lebih-lebih lagi mereka yang berkeluarga.

jenis kereta perodua bezza

Selain daripada ringan, kereta sedan mempunyai pusat graviti yang lebih rendah dan bentuk yang aerodinamik. Ini memberikannya kestabilan yang tinggi serta keupayaan untuk mengendalikan selekoh dengan mantap berbanding kenderaan yang lebih tinggi seperti SUV.

Sebab utama yang menjadikan kereta sedan pilihan terbaik untuk semua jenis pembeli adalah penjimatan bahan api yang sangat baik, terutamanya pada kereta sedan moden. Walau bagaimanapun, ada sesetengah sedan – terutamanya dalam segmen yang lebih kecil, mempunyai ruang kepala dan kaki yang terhad. Ini adalah sesuatu yang perlu dipertimbangkan jika anda bercadang untuk membeli kereta sedan.

jenis kereta sedan honda civic

Oleh kerana kereta jenis ini sangat praktikal dan popular, hampir semua jenama kereta menawarkan model sedan. Ia juga datang dalam pelbagai saiz daripada segmen A yang kecil hingga segmen D yang besar, dan yang seterusnya.

Berikut adalah antara kereta sedan yang popular di Malaysia:

Artikel berkaitan: Nak Beli Kereta Sedan? Ini 7 Pilihan Terbaik untuk Anda!

Kereta Hatchback – Kompak Tetapi Praktikal

Kereta hatchback atau hacbek mempunyai bentuk yang serupa seperti kereta sedan – bentuk segi empat dengan empat pintu, tetapi bahagian belakang kereta ini biasanya lebih pendek dan rata. Yang paling menarik, bahagian but kereta ini sering dipanggil “hatch” kerana pintu but dibuka ke atas.

jenis kereta hatchback toyota yaris

Ia sangat sesuai untuk pemanduan dalam bandar kerana saiznya yang kecil tetapi ruang but kereta ini amat terhad. Kebanyakan hatchback dalam segmen A dan B mempunyai ruang but yang hanya mampu memuatkan satu atau dua beg pakaian kecil. Tetapi, ia mempunyai ruang but yang lebih tinggi yang boleh memuatkan barang yang tinggi seperti tangga, pokok bunga, dan almari kecil.

Satu ciri istimewa yang ada pada kebanyakan hatchback adalah ruang but yang boleh ditambah dengan menurunkan kerusi barisan belakang. Apabila digabungkan dengan konfigurasi yang versatil, kereta jenis ini mampu membawa pelbagai jenis barang walaupun saiznya kompak. Lihat sahaja fungsi Magic Seats yang ditawarkan oleh Honda dalam model Honda Jazz, inilah salah satu sebab yang menjadikan hatchback ini sangat popular!

jenis kereta hatchback honda jazz

Walaupun saiznya kecil, tetapi pengalaman memandu yang selesa dan serba boleh menjadikan kereta hatchback popular dalam kalangan pemandu daripada semua lapisan masyarakat. Berikut adalah antara model kereta hatchback yang popular di Malaysia:

Artikel berkaitan: 5 Kereta Hatchback Paling Popular Di Malaysia Dengan Harga Bawah RM500/Bulan

Kereta MPV – Pilihan yang Serba Boleh

Bagaimana pula dengan mereka yang sudah berkeluarga dan mahukan kenderaan yang sesuai? MPV, atau Multi-Purpose Vehicle, adalah pilihan yang paling sesuai!

Kereta MPV biasanya lebih tinggi daripada kereta sedan dan ia mempunyai konfigurasi satu atau dua kotak. Ia direka bentuk agar dapat memuatkan enam orang atau lebih dengan selesa bergantung pada konfigurasi tempat duduk.

jenis kereta toyota vellfire

Sesetengah MPV mempunyai pintu berengsel biasa manakala ada yang dilengkapi dengan pintu gelongsor yang lebih mudah untuk digunakan dalam ruang yang sempit. Tempat duduk baris kedua dan ketiga dalam MPV juga biasanya boleh dilipat dan boleh dikonfigurasikan dalam beberapa cara untuk menambah ruang kargo. Ada juga kereta MPV yang dilengkapi dengan tempat duduk yang boleh dilipat pada dinding sisi agar barang yang tinggi boleh dibawa.

Walaupun rekaan kereta MPV tidak begitu cantik kerana ia biasanya dalam bentuk petak dan bersegi seperti peti ais, tetapi ia diminati ramai kerana ia sangat praktikal dan versatil. Anda mahukan rupa yang lebih sporty? Ada banyak kit badan yang boleh ditawarkan di pasaran pada harga berpatutan. Penumpang anda mahukan hiburan? Pasang monitor di tempat duduk belakang dan mereka boleh menonton rancangan kegemaran mereka dalam perjalanan. Anda mahu berkelah di tepi pantai? Terus pandu ke sana, turunkan tempat duduk belakang, buka but, dan anda ada ruang yang mencukupi untuk duduk bersantai bersama keluarga anda dengan selesa.

Berikut adalah antara model kereta MPV yang paling popular di Malaysia:

Kereta SUV – Tahan Lasak & Selesa

Sejak kebelakangan ini, semakin ramai yang memilih kereta SUV atau Kenderaan Utiliti Sukan sebagai kereta harian mereka.

Kereta SUV biasanya mempunyai bentuk yang serupa dengan kereta hatchback tetapi ia mempunyai badan yang lebih besar dan ground clearance yang lebih tinggi. Ini memberikannya pusat graviti yang lebih tinggi dan jarak penglihatan yang lebih baik. Dengan saiz besar dan pintu but belakang yang dibuka ke atas, kereta SUV mempunyai ruang kargo yang besar serta boleh memuatkan barang yang tinggi.

jenis kereta suv perodua ativa

Jika anda mahukan keselesaan untuk penumpang, pemanduan yang stabil, dan ruang kargo yang lebih daripada mencukupi, kereta SUV moden seperti Honda CR-V adalah pilihan yang sesuai. Tetapi, jika anda mahukan kereta SUV yang mampu menakluk laluan off-road dengan mudah, Toyota Land Cruiser dan Subaru forester adalah pilihan yang lebih tepat kerana kedua-duanya dilengkapi dengan pacuan semua roda.

Anda perlu mengambil perhatian bahawa pengendalian kereta SUV di selekoh tajam adalah tidak begitu baik. Jadi anda perlu lebih berhati-hati apabila memandu kereta SUV pada kelajuan yang tinggi. Seperti jenis kereta lain, kereta SUV juga datang dalam pelbagai segmen daripada Hyundai Kona yang kompak kepada Mazda CX-9 yang mempunyai sembilan tempat duduk.

Berikut adalah antara model kereta SUV yang popular di Malaysia:

Artikel berkaitan: 5 Model SUV Paling Laris di Malaysia

Kereta Coupe – Untuk Pengalaman Memandu yang Menyeronokkan

Bentuknya seakan-akan sedan, tetapi ia cuma ada dua pintu sahaja. Inilah kereta coupe, jenis kereta yang mengutamakan gaya dan prestasi dalam rekaannya. Bentuknya yang lebih lebar dan rendah memberikan kereta ini pengendalian yang sangat baik apabila dipandu di jalan raya.

Selalunya kereta ini mempunyai bahagian hadapan yang panjang dan bahagian belakang yang pendek dengan pintu yang lebih lebar untuk memberikannya rupa yang lebih sporty. Ada sesetengah kereta coupe yang tidak mempunyai tempat duduk belakang dan jika ada pula, ia biasanya agak sempit untuk orang dewasa.

jenis kereta coupe bmw 218i

Kereta coupe bukanlah kereta untuk anda jika anda mahukan sesuatu yang praktikal. Ia lebih sesuai untuk pemanduan santai pada hari minggu atau sesi perlumbaan di litar lumba.

Berikut adalah antara kereta coupe yang popular di Malaysia:

Kereta Convertible – Sporty & Santai

Anda pasti pernah melihat kereta yang tidak berbumbung dipandu di jalan raya bukan? Sebenarnya, kereta tersebut mempunyai bumbung tetapi ia boleh dilipat atau disimpan dalam ruang simpanan khas sama ada secara automatik atau manual.

Bumbung kereta ini pula dibuat daripada pelbagai material – bahagian yang lembut diperbuat daripada kanvas atau vinil dan bahagian yang keras pula yang dibuat daripada bahan seperti aluminium, keluli, atau plastik.

jenis kereta convertible
Gambar oleh Mike Bird.

Tapi di Malaysia, biasanya kereta convertible di sini mempunyai saiz yang kecil dengan rekaan yang sporty. Memang seronok jika dapat memandu sambil menikmati sinaran matahari dan tiupan angin semula jadi, tetapi anda perlu ingat bahawa cuaca di Malaysia biasanya panas terik atau hujan lebat. Ini bukanlah keadaan yang ideal untuk memandu kereta convertible.

Jika anda betul-betul mahu memiliki sebuah kereta convertible, lebih-lebih lagi yang terpakai, periksa dahulu jika mekanisme bumbung lipat boleh dikendalikan dengan mudah dan berfungsi dengan baik. Bahagian dalam kereta juga haruslah bebas daripada kerosakan akibat terkena hujan atau dijemur untuk tempoh yang lama.

Model kereta convertible berikut sangat seronok untuk dipandu dan anda boleh pertimbangkan untuk membelinya:

  • Mazda MX-5
  • BMW Z4

Trak Pikap – Boleh Dipandu Ke Mana Sahaja

Bila sebut tentang off-road, semua orang akan pasti akan membayangkan trak pikap atau lebih dikenali sebagai hailak. Kenderaan jenis ini direka untuk mengangkut barang yang besar melalui pelbagai jenis permukaan jalan.

jenis kereta trak pikap

Jenis badan kereta ini biasanya mempunyai reka bentuk tiga kotak dengan kabin penumpang dua atau empat pintu dan ruang kargo terbuka. Trak pikap juga lebih tinggi berbanding kereta lain dan kebanyakannya dilengkapi dengan pacuan semua roda atau empat roda untuk memastikan kelancaran pemanduan off-road.

Reka bentuk body-on-frame yang unik pada trak pikap membezakannya daripada kebanyakan kereta penumpang dan SUV yang direka menggunakan struktur unibody. Ini juga memberikan trak pikap kapasiti muatan yang lebih banyak daripada kereta biasa dan menjadikannya pilihan utama bagi para peniaga yang kerap mengangkut barang-barang besar. Dengan ruang kargo terbuka, kereta ini boleh mengangkut pelbagai saiz barang dengan lebih mudah berbanding menggunakan SUV atau MPV.

Walaupun ramai yang menganggap trak pikap menggunakan minyak yang banyak, trak pikap yang moden kini dilengkapi dengan pelbagai teknologi yang membantu dengan penjimatan minyak, bergantung pada model trak dan jenis enjin.

Jika anda kerap mengangkut barang-barang besar atau pergi ke kawasan yang tidak mempunyai jalan tar, trak pikap adalah pilihan kereta harian yang terbaik untuk anda. Dengan trak pikap, anda juga boleh menjadikan pemanduan off-road sebagai hobi untuk menerokai pelbagai denai yang terdapat di hutan hujan Malaysia.

Berikut adalah antara trak pikap yang popular di Malaysia:

Kami harap panduan ini dapat membantu anda memahami jenis-jenis kereta yang ada di pasaran dengan lebih baik dan anda boleh mendapatkan kereta yang mampu memenuhi semua keperluan anda dengan lebih mudah.

Kalau anda merancang nak jual kereta lama anda atau nak beli kereta terpakai berkualiti, anda boleh lakukan semuanya dengan mudah, lancar, dan selamat di CARSOME!

Semua kereta CARSOME Certified telah melepasi pemeriksaan yang teliti untuk memastikan ia bebas daripada kerosakan akibat kemalangan teruk, banjir, dan kebakaran. Selain itu, kami juga turut memastikan bahawa tiada sebarang perubahan dilakukan pada milej kereta. Setelah diperiksa, ia dibaik pulih secara profesional di CARSOME Certified Lab untuk menjamin keselamatan melebihi taraf, keselesaan sepenuhnya, dan estetik yang telah dibaik pulih. 

Layari carsome.my atau muat turun aplikasi CARSOME hari ini untuk bawa pulang kereta idaman anda!

Lihat promosi bulanan CARSOME di sini!

Haziq Asyraf
Haziq Asyraf
A self-proclaimed foodie and gamer whose passion for food and games has recently extended to cars.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular