HomeBMKereta 4x4 Pickup Truck atau 'Hailak' Paling Popular 2023 di Malaysia

Kereta 4×4 Pickup Truck atau ‘Hailak’ Paling Popular 2023 di Malaysia

Pemilikan kereta 4×4, pickup truck, trak pikap atau lebih dikenali sebagai hailak kini semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat Malaysia. Jika dahulu, pemilikan kenderaan jenis ini lebih tertumpu di kawasan luar bandar, kini trend penggunaannya beralih kepada sesuatu yang lebih berbeza. 

Dengan reka bentuk yang lebih moden dan spesifikasi yang lebih versatil, kereta 4×4 kini lebih berorientasikan gaya hidup atau lifestyle. Ia sekali gus berjaya menarik minat pelbagai lapisan masyarakat dan menggambarkan kepekaan pemain industri dalam menghasilkan rekaan dan kejuruteraan yang lebih moden, selari dengan keperluan dan kehendak pengguna di kawasan bandar dan luar bandar.

Senarai Kandungan

Kereta 4×4 seperti Mitsubishi Triton, Nissan Navara, Ford Ranger, Toyota Hilux dan Isuzu D-Max antara model yang sering menjadi tumpuan di Malaysia. Secara amnya, pelbagai faktor perlu dipertimbangkan sebelum membeli kereta 4×4 atau kereta pickup truck terbaik dan sesuai. Harga pickup truck, jenama, kualiti, kos penyelenggaraan dan nilai jualan semula atau resale value merupakan antara faktor yang perlu dipertimbangkan. CARSOME menyenaraikan jenama dan model kereta 4×4 paling popular di Malaysia untuk panduan anda. 

1. Kereta 4×4 Paling Berbaloi – Mitsubishi Triton

Mitsubishi Triton merupakan antara kereta 4×4 popular di Malaysia. Secara amnya, Triton generasi pertama mula dilancarkan pada 1970, diikuti oleh Triton generasi kedua pada pertengahan 1980. 

*Di Malaysia, model ini mula diperkenalkan dalam pasaran tempatan melalui Triton generasi ketiga pada pertengahan 1990. Ia kemudiannya disusuli oleh Triton generasi keempat pada pertengahan 2000 dan kini sudah memasuki generasi kelima.

Spesifikasi Enjin Mitsubishi Triton

Secara amnya, Mitsubishi Triton menawarkan enam pilihan varian – lima daripadanya versi kereta 4×4 dan satu versi kereta 4×2 (Triton Quest). Varian-varian ini turut menawarkan dua pilihan enjin, tiga pilihan transmisi dan tiga tahap trim berbeza. Triton Quest misalnya menampilkan enjin unik 2.5 liter turbo diesel. Ia berupaya menghasilkan 110 PS dan 200 Nm daya kilas, menghantar kuasa ke roda belakang melalui transmisi manual lima kelajuan.

Mitsubishi Triton dilengkapi dengan enjin diesel blok aluminium yang lebih senyap, lebih berkuasa dengan reka bentuk yang lebih menarik dan menawarkan pengalaman pemanduan yang lebih selesa.

Varian lain pula menampilkan enjin turbo diesel 2.4 liter, berupaya menghasilkan 181 PS dan 430 Nm tork. Bagi varian-varian ini, pengguna boleh memilih sama ada transmisi manual enam kelajuan atau transmisi automatik enam kelajuan.

Ciri Keselamatan Mitsubishi Triton

Mitsubishi Triton dilengkapi ABS dengan EBD, ISOFIX dan dua beg udara di bahagian depan. Selain itu, ia turut menampilkan Bantuan Brek, Kawalan Kestabilan Aktif, Kawalan Cengkaman, Bantuan Mula Mendaki dan Bantuan Kestabilan Treler. 

Bagi Triton Athlete pula, ia menampilkan ciri keselamatan terbaik dalam kelasnya. Varian ini dilengkapi dengan tujuh beg udara (bahagian tepi, curtain dan lutut pemandu), Hill Descent Control dan Rest Reminder.

hill descent control triton

Sumber: JM Auto Gallery

Selain itu, ia turut menawarkan ciri keselamatan tambahan seperti Forward Collision Mitigation, Amaran Titik Buta dengan Bantuan Penukaran Lorong, dan beberapa ciri keselamatan lain.

Harga Mitsubishi Triton

Harga Triton Athlete dijual dipasaran pada harga bermula serendah RM141,500.00 (harga atas jalan tidak termasuk insurans). Ia diikuti oleh Triton AT Premium (RM121,000), Triton MT Premium (RM113,300), Triton AT (RM105,990), Triton MT (RM100,200). Harga ini adalah termasuk jaminan 200,000 km dan waranti selama 5 tahun. 

Bagi varian Triton Quest pula, ia dijual pada harga bermula serendah RM79,890.00 termasuk jaminan 100,000 km dan waranti selama 5 tahun. Bagi segmen kereta terpakai, Mitsubishi Triton terpakai dijual pada harga antara RM50K hingga RM90K bergantung pada varian.

2. Kereta 4×4 Paling ‘Macho’ – Nissan Navara

Nissan Navara merupakan salah satu model kereta 4×4 Nissan yang popular di Malaysia. Nissan Navara versi facelift ini ditawarkan dalam enam pilihan varian – lima varian double cab dan satu varian single cab

Model generasi ketiga (D23) ini yang tampil dengan iterasi mother trucker. Ia menerima penambahbaikan reka bentuk yang ketara dan lebih menarik berbanding varian versi sebelumnya. Jarak roda Navara menjangkau 3,150 mm, dengan panjang keseluruhan 5,255 mm, lebar 1,850 mm, dan ketinggian 1,820 mm. Ia sekali gus menjadikannya salah satu model kereta 4×4 paling besar dalam kelasnya, lebih luas dan lebar dari segi dimensi keseluruhan.

Spesifikasi Enjin Nissan Navara

Semua varian Nissan Navara masih lagi dikuasakan oleh enjin turbo diesel empat silinder YD25 2.5 liter sedia ada. Namun begitu, ia menampilkan penalaan yang berbeza bergantung pada varian yang dipilih. 

*Bagi 2.5L Single Cab MT dan 2.5L SE MT, enjin jenis ini berupaya menghasilkan 163 PS pada 3,600 rpm dan 403 Nm tork pada 2,000 rpm yang dihantar melalui sistem pacuan empat roda manual enam kelajuan. 

*Varian lain dalam line-up yang sama pula dipadankan dengan transmisi automatik tujuh kelajuan dan 4WD. Ia berupaya menghasilkan versi output tinggi 190 PS pada 3,600 rpm dan 450 Nm pada 2,000 rpm.

Ciri Keselamatan Nissan Navara

Dari segi kelengkapan, kesemua varian kecuali single cab dilengkapi dengan revised multi-link suspension dengan dual-rate coil springs untuk kawalan badan kenderaan yang lebih baik. Ia juga turut menampilkan Electronic Locking Rear Differential untuk kawalan cengkaman yang lebih baik dalam situasi sukar. Selain itu, ia juga turut menerima Kawalan Dinamik Kenderaan, Sistem Kawalan Cengkaman, Active Brake Limited Slip, Bantuan Mula Mendaki, Hill Descent Control dan Trailer Sway Assist.

Varian Nissan Navara 2.5L V dan ke atas pula mempunyai Intelligent Predictive Forward Collision Warning, serta Intelligent Driver Alertness (sebahagian daripada pakej Nissan Intelligent Mobility). Selain itu, ia turut menampilkan Teknologi Pengesanan Objek Bergerak Pintar untuk kamera belakang. Varian VL pula dilengkapi dengan Intelligent Around View Monitor (pandangan mata burung) dengan Off-Road Mode.

Nissan Navara mengetengahkan reka bentuk dalaman seperti kereta penumpang biasa, selain mudah dikendalikan terutamanya semasa pemanduan dalam situasi bentuk muka bumi yang mencabar. Ia juga menawarkan penjimatan bahan api dan kadar pecutan yang lebih baik.

Ia juga turut dilengkapi dengan Amaran Titik Buta, Lane Departure Warning, Rear Cross Traffic Alert dan High Beam Assist. Selain itu, varian VL merupakan satu-satunya varian yang dilengkapi dengan Sistem Pemantauan Tekanan Udara Tayar. Kesemua varian turut dilengkapi dengan dua beg udara kecuali varian V sehingga PRO-4X menerima enam beg udara.

Harga Nissan Navara

Harga Nissan Navara: 

  • Single Cab MT 2.5L: serendah RM91,900 
  • Single Cab AT 2.5L SE: RM116,900
  • Single Cab MT 2.5L SE: RM110,900
  • 2.5L V : RM125,500
  • 2.5L VL: RM137,900
  • 2.5L PRO-4X: RM142,200

Kesemua harga ini sudah termasuk pengecualian cukai jualan kereta (SST) semasa. Dalam segmen kereta terpakai, Nissan Navara second hand dijual pada harga antara RM75K hingga RM100K bergantung pada varian.

3. Kereta 4×4 Paling Jimat Minyak – Isuzu D-Max

Thailand merupakan antara negara pertama yang menerima model Isuzu D-Max generasi ketiga pada Oktober 2019. Ini kerana, Thailand merupakan pasaran penting bagi Isuzu selain pengeluar ini mempunyai fasiliti operasi dan pengeluaran terbesar di sana. 

*Pengenalan model Isuzu D-Max generasi ketiga ini juga sekali gus menandakan berakhirnya jalinan kerjasama antara Isuzu dan Chevrolet, dan kini mula berkerjasama dengan Mazda. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan model generasi terkini Mazda BT-50 merupakan kembar Isuzu D-Max.

Spesifikasi Enjin Isuzu D-Max

Isuzu D-Max ditawarkan dalam beberapa pilihan varian bermula dengan varian Single Cab 1.9 liter sehinggalah varian premium X-Terrain Double Cab 3.0 liter. Isuzu D-Max 2021 menawarkan dua pilihan enjin – 1.9 liter turbo diesel dan 3.0 liter turbo diesel. Enjin 1.9 liter berupaya menghasilkan 150 PS kuasa dan 350 Nm daya kilas, manakala versi enjin lebih besar 3.0 liter berkuasa menghasilkan 190 PS dan 450 Nm daya kilas. Kedua-duanya disertakan dengan transmisi manual enam kelajuan atau transmisi automatik enam kelajuan bergantung pada varian pilihan.

Isuzu D-Max diuji di 11 lokasi Safari Borneo, sekali gus membuktikan kemampuan dan prestasi mekanikalnya. Ia menawarkan enjin yang lebih berkuasa, jimat bahan api selain tampil lebih agresif dengan reka bentuk yang lebih sporty.

Ciri Keselamatan Isuzu D-Max

Dari aspek keselamatan, varian top spec Isuzu D-Max X-Terrain tampil dengan pelbagai ciri keselamatan terkini yang terbaik dalam kelasnya. Model ini dilengkapi dengan ciri keselamatan berikut: 

  • Amaran Perlanggaran Hadapan
  • Brek Kecemasan Autonom 
  • Turn Assist 
  • Pedal Misapplication Mitigation 
  • Kawalan Pengendalian Adaptif (dan fungsi Stop and Go)
  • Pemantau Titik Buta
  • Lane Departure Warning
  • Rear Cross Traffic Alert
  • ABS dengan EBD
  • Bantuan Brek
  • Kawalan Kestabilan Elektronik
  • Sistem Kawalan Cengkaman
  • Bantuan Mula Mendaki
  • Hill Descent Control 
  • Isyarat Amaran Kecemasan 

Harga Isuzu D-Max

Harga Isuzu D-Max 2021 di Malaysia dijual pada harga bermula sekitar RM80K sehingga RM140K bergantung pada pilihan antara varian asas 1.9L 4X4 Single Cab dan varian top spec 3.0L 4X4 AT X-Terrain.

  • 1.9L 4×4 Single Cab – RM88,599
  • 3.0L 4×4 Single Cab – RM95,538
  • MT Standard 1.9L 4X4 – RM 99,599
  • AT Standard 1.9L 4X4 – RM 106,999
  • AT Premium 1.9L 4X4 – RM 121,549
  • 3.0L 4X4 AT Premium – RM 128,038
  • 3.0L 4X4 AT X-Terrain – RM 141,938

Kesemua varian ini turut termasuk pakej waranti selama lima tahun dan jarak perbatuan 150,000 km. Varian X-Terrain disertakan dengan waranti jarak perbatuan tanpa had (unlimited mileage) selama tujuh tahun.

4. Kereta 4×4 Paling Praktikal – Ford Ranger

Ford cukup terkenal dengan trak pikap terutamanya dalam kalangan pengguna daripada golongan muda. Ia bukan sahaja popular di Malaysia, malah model ini juga mewakili sebahagian besar jualannya di seluruh Asia Tenggara. 

Ford Ranger menampilkan bahagian depan yang lebih garang dan berani dengan bahagian dalaman yang diperbaharui. Ia juga menyediakan beberapa ciri baharu yang memudahkan kehidupan seharian, selari dengan popularitinya dalam kalangan pengguna lifestyle.

Spesifikasi Enjin Ford Ranger

Varian Ford Ranger menampilkan enjin turbo diesel 2.2 liter yang berkuasa menghasilkan 160 PS dan 385 Nm tork kuasa kilas. Powertrain ini ditawarkan dalam lima varian terendah daripada lapan varian utama. 

Ia turut menampilkan dua pilihan transmisi utama – manual enam kelajuan dan automatik konvensional enam kelajuan. Bagi varian Ranger XLT+ pula, ia menawarkan enjin turbodiesel 2.0 liter dan berkuasa menghasilkan 180 PS dan 420 Nm kuasa kilas. Ia dipadankan dengan transmisi automatik konvensional 10 kelajuan dan dilengkapi dengan turbo tunggal.

Ford Ranger menampilkan reka bentuk dalaman lebih premium, kualiti pemanduan yang lebih senyap dan selesa. Ia turut menawarkan prestasi pemanduan dan pengendalian yang lebih baik dan turut menerima penarafan ASEAN NCAP 5 bintang.

Bagi varian Raptor dan Wildtrak 4×4, kedua-dua varian ini dilengkapi dengan enjin power plant turbo diesel 2.0 liter twin-turbo yang menggantikan turbo diesel 3.2 liter yang lebih besar dalam varian sebelum ini. Enjin jenis ini berkuasa menghasilkan 213 PS dan 500 Nm kuasa kilas dan dipadankan dengan transmisi automatik konvensional 10 kelajuan.

Ciri Keselamatan Ford Ranger

Varian rendah Ford Ranger menawarkan beberapa sistem kawalan pasif iaitu: 

  • Kawalan Kestabilan Elektronik
  • Kawalan Cengkaman
  • ABS dan EBD
  • Hill Descent Control, Rollover Mitigation
  • Trailer Sway Control. 

Bagi varian Raptor pula, ia disertakan dengan sistem keselamatan aktif antaranya Lane Departure Warning and Assist, Amaran Perlanggaran Hadapan dan Brek Kecemasan Autonom.

Harga Ford Ranger

Harga untuk line-up model Ford Ranger 2021 (harga atas jalan tidak termasuk insurans) adalah seperti berikut:

  • Single Cab Manual Ranger 2.2L XL – RM92,388
  • Double Cab Manual Ranger 2.2L XL – RM97,388
  • Double Cab Automatic Ranger 2.2L XL – RM105,388
  • Ranger 2.2L XLT Manual – RM111,388
  • Ranger 2.2L XLT Automatic – RM118,388

Perbezaan harga yang ketara boleh dilihat pada model 2.0 XLT+. Model 2.0 XLT+ dijual pada harga RM131,888 disebabkan oleh faktor enjin dan transmisi yang lebih kompleks. Harga varian 2.0 Bi-Turbo WildTrak 4×4 pula ditawarkan pada harga RM152,388 dalam pasaran. Ford Ranger Rapter 2.0 Bi-Turbo pula ditawarkan pada harga RM210,888 dan Raptor X edisi khas pula berharga RM216,888.

5. Kereta 4×4 Paling Popular – Toyota Hilux

Toyota Hilux boleh dikatakan antara kereta 4×4 paling popular dan terkenal di Malaysia. Malah, tahap populariti model ini berada pada tahap yang luar biasa sehinggakan hampir kesemua kereta trak pikap di Malaysia selalu dipanggil ‘Hailak’, bahasa pasar bagi Hilux. 

Sebelum ini, model ini dibina sebagai workhorse. Namun kini, selari dengan perkembangan reka bentuk dan teknologi semasa, ia kini boleh dikategorikan sebagai kenderaan gaya hidup. Ia menampilkan reka bentuk yang lebih berkualiti, ditambah baik selari dengan kehendak dan permintaan pengguna kereta 4×4 moden.

Spesifikasi Enjin Toyota Hilux

Kesemua varian Toyota Hilux ditawarkan dengan enjin diesel di Malaysia. Model ini menampilkan dua pilihan enjin – 2.4 liter turbo diesel dan 2.8 liter turbo diesel. Enjin 2.4 liter turbodiesel berupaya menghasilkan 150 PS dan 400 Nm kuasa kilas. Enjin ini dipadankan dengan dua pilihan transmisi – manual enam kelajuan atau automatik konvensional enam kelajuan. Bagi enjin 2.8 liter turbodiesel pula, ia dipadankan dengan transmisi automatik konvensional enam kelajuan. Enjin ini berupaya menghasilkan 204 PS kuasa dan 500 Nm kuasa kilas.

Toyota Hilux tampil dengan reka bentuk yang lebih moden berbanding varian terdahulu dengan beberapa ciri tambahan baharu diperkenalkan. Ia juga turut menawarkan prestasi pemanduan di lebuh raya yang lebih baik dan dilengkapi dengan ciri Active Traction Control untuk kawalan pemanduan off-road.

Ciri Keselamatan Toyota Hilux

Dari aspek keselamatan pula, varian Toyota Hilux Rogue menerima fungsi lengkap Toyota Safety Sense. Ia termasuk Sistem Praperlanggaran, Lane Departure Alert, Kawalan Pengendalian Radar Dinamik, Pemantau Titik Buta dengan Rear Cross Traffic Alert serta Downhill Assist Control

Toyota Hilux

Selain itu, Kawalan Cengkaman Aktif turut disertakan dalam setiap varian kecuali model peringkat permulaan. Kawalan Kestabilan Elektronik, ABS dengan EBD dan Bantuan Brek merupakan antara ciri lain yang turut tersedia dalam setiap varian.

Harga Toyota Hilux

Toyota Hilux Single Cab 2.4 (MT) 4×4 dijual pada harga RM92,880 – satu-satunya single cab dalam rangkaian ini. Hilux Double Cab 2.4E (MT) 4×4 pula dijual pada harga RM108,880, Hilux Double Cab 2.4G (AT) 4×4 berharga RM111,880 manakala Hilux Double Cab 2.4V (AT) 4×4 berharga RM133,880. Hilux Double Cab 2.8 Rouge (AT) 4×4 yang merupakan varian peringkat tinggi dijual pada harga RM146,880 dalam pasaran Malaysia.

Semoga perkongsian ini boleh membantu anda membuat pilihan kereta 4×4 atau kereta pickup truck yang terbaik untuk anda. Selain itu, sekiranya anda merancang untuk membeli kereta second hand atau menjual kereta lama anda, layari laman web CARSOME untuk info lanjut atau muat turun aplikasi CARSOME untuk info lanjut. 

CARSOME merupakan platform jual beli kereta terpakai yang menawarkan rangkaian pilihan kereta terpakai yang berkualiti, terbaik dan selamat dengan harga yang berpatutan.

RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular