Pembelian kereta terpakai melalui sesi lelong kereta merupakan salah satu cara terbaik dan ideal untuk membeli kereta terpakai pada harga yang rendah. Biasanya, pembelian kereta lelong daripada dealer kereta atau penjual kereta terpakai persendirian ditawarkan pada harga permulaan yang lebih murah. Namun begitu, cara beli kereta terpakai melalui sesi lelong kereta ini dikatakan lebih berisiko dan pembeli terdedah kepada kerugian luar jangka lain. Ia merupakan pilihan yang terbaik untuk pembeli yang ingin membeli kereta dengan faktor kewangan yang terhad, individu yang tidak layak mendapatkan loan kereta atau ingin mendapatkan kereta kedua pada harga yang murah.
Kereta Lelong: Prosedur Bank Lelong Kereta atau Kereta Lelong JPJ yang Perlu Anda Tahu
Secara amnya, kenderaan akan dilelong oleh pihak bank atau pihak JPJ sekiranya pemilik kenderaan gagal menjelaskan hutang pinjaman kereta selepas beberapa bulan. Pihak bank biasanya akan melelong kenderaan anda untuk melangsaikan hutang sedia ada yang tertunggak. Hasil lelongan tersebut akan diserahkan kepada pihak bank dan sebarang lebihan baki (setelah ditolak baki hutang dengan bank) akan diserahkan kepada anda. Namun begitu, terdapat beberapa prosedur tertentu yang perlu dipatuhi sebelum pihak bank boleh menarik kereta dan melelong kereta:
1. Notis Jadual Keempat
Secara amnya, Notis Prapenarikan Kereta atau Notis Jadual Keempat akan dihantar kepada pemilik kereta dan penjamin sekiranya pemilik gagal menjelaskan bayaran balik pinjaman kereta. Notis pertama ini akan dihantar sebagai amaran bahawa pihak bank berhasrat untuk menarik kereta dan memberi tempoh selama 21 hari kepada pemilik untuk melakukan tindakan sewajarnya. Selepas notis pertama, pihak bank akan mengeluarkan notis kedua biasanya selepas 14 hari notis pertama dikeluarkan.
2. Penarikan Kereta
Selepas 21 hari penerimaan Notis Jadual Keempat, pihak bank berhak menarik kereta sekiranya pemilik masih gagal menjelaskan baki hutang pinjaman yang tertunggak. Namun begitu, pihak bank tidak boleh menarik kereta jika:
- Pemilik telah membayar lebih daripada 75 peratus daripada keseluruhan pinjaman kecuali dengan surat dan kebenaran daripada mahkamah;
- Kenderaan berada dalam kawasan kediaman berpagar;
- Penarikan dilakukan pada hari cuti umum atau selepas jam 9 malam;
- Ejen penarik kereta perlu memiliki kad autoriti Ejen Perolehan Semula (EPS) daripada KPDNKK. JIka ejen penarik kereta hadir lebih dari seorang, kesemua daripada mereka perlu menunjukkan kad tersebut. Jika gagal, pemilik boleh membuat laporan polis ke atas ejen penarik kereta.
3. Notis Pemberitahuan Selepas Penarikan Kereta
Selepas kereta berjaya ditarik, pihak bank biasanya akan menghantar notis pemberitahuan kepada pemilik memaklumkan bahawa mereka berjaya memperoleh kereta tersebut. Pemilik juga akan menerima Notis Jadual Kelima yang menyatakan jumlah yang perlu dibayar termasuk amaun yang perlu dilangsaikan (termasuk yuran dan caj tambahan lain daripada pihak bank).
4. Notis Pelupusan Kereta
Sekiranya pemilik masih lagi gagal menjelaskan baki hutang pinjaman yang tertunggak selepas 21 hari penerimaan Notis Jadual Kelima, pemilik akan menerima notis pelupusan kenderaan. Biasanya, proses pelupusan kereta akan dilakukan secara lelong atau melalui jualan persendirian.
5. Bank Lelong Kereta
Biasanya, pihak bank akan lelong kereta selepas 14 hari notis pelupusan kenderaan diterima oleh pemilik. Harga kereta lelong biasanya ditawarkan pada harga permulaan yang lebih rendah berbanding nilai pasaran semasa. Hasil daripada jualan lelong ini akan digunakan untuk membayar tunggakan baki hutang pinjaman dengan pihak bank. Jika ada lebihan, wang akan diserahkan kepada pemilik. Namun jika hasil jualan lelong masih tidak mencukupi, pemilik perlu melunaskan baki hutang tersebut.
Risiko Beli Kereta Lelong yang Perlu Anda Tahu
Baru-baru ini, hasrat tiga beradik untuk memiliki kereta terpakai yang bakal dilelong oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada harga murah musnah apabila ditipu oleh seorang wanita yang menyamar sebagai pegawai JPJ. Wanita itu mendakwa terdapat pelbagai jenis kereta bakal dilelong dengan pelbagai tawaran harga dan mangsa diarahkan untuk memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun peribadi bagi tujuan tempahan. Carsome menyenaraikan empat (4) risiko pembelian kereta lelong untuk panduan dan rujukan anda seperti berikut:
1. Tiada Waranti, Dijual ‘Seadanya’
Kereta lelong biasanya dijual tanpa sebarang waranti atau jaminan kualiti tidak seperti kebanyakan kereta baharu atau kereta terpakai yang dijual melalui pengedar kereta terpakai. Anda perlu menanggung semua kos pembaikan dan penyelenggaraan sebaik sahaja anda menandatangani surat perjanjian kereta anda. Ini bermaksud, jika berlaku sebarang kerosakan seperti kereta tiba-tiba rosak atau tayar kereta tercabut semasa memandu pulang, anda mungkin tidak dapat melakukan sebarang tuntutan.
Selain itu, kereta lelong biasanya dijual ‘seadanya’ atau as is. Oleh sebab itu, pembelian kereta lelong biasanya terdedah kepada risiko yang lebih tinggi. Ini kerana, kereta tidak boleh dipandu uji dan tiada jaminan waranti daripada penjual. Jika anda mendapati sebarang kerosakan selepas membeli kereta lelong, anda tiada jalan lain selain bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kereta yang dibeli.
2. Nilai Bidaan Lebih Tinggi Berbanding Sepatutnya
Secara amnya, situasi semasa pembelian kereta lelong berbeza berbanding pembelian kereta di ruang pameran kereta atau platform jual beli kereta terpakai. Kereta lelong biasanya melalui proses pembidaan yang sangat pantas dan kompetitif. Kebanyakan pembeli kereta lelong mudah terbawa-bawa dengan perasaan, persekitaran dan situasi semasa. Oleh sebab persekitaran yang kompetitif, adakalanya bakal pembeli cenderung untuk membida harga kereta yang lebih tinggi berbanding nilai pasaran semasa kereta. Ia sekali gus menggagalkan tujuan asal pembelian kereta lelong untuk mendapatkan kereta terpakai pada harga yang lebih murah.
i. Lakukan Survei di Internet
Sebelum anda menyertai proses lelong kereta, ketahui harga pasaran semasa kereta yang ingin dibeli. Anda boleh lakukan carian secara dalam talian untuk mengetahui nilai pasaran semasa kereta anda. Di Malaysia, terdapat beberapa platform jual beli kereta terpakai yang boleh membantu anda mengetahui nilai pasaran semasa kereta anda untuk mengelakkan anda terlebih bida atau overbidding.
ii. Tanyakan kepada Ahli Keluarga, Kenalan
Proses pembelian kereta lelong merupakan suatu proses yang menakutkan dan memenatkan; pastikan anda kekal fokus dan profesional semasa proses lelong kereta dilakukan. Selain itu, anda disarankan untuk bertanyakan rakan, ahli keluarga bagi mendapatkan gambaran jelas mengenai proses lelong kereta yang akan dilakukan. Dapatkan gambaran awal keadaan kereta yang biasa dibeli melalui proses lelong kereta. Pastikan anda mempunyai semua fakta atau maklumat lengkap sebelum membuat pembelian. Jika tersilap langkah, kos pembaikan yang lebih tinggi atau kerosakan kereta yang serius mungkin menghantui anda.
iii. Tetapkan Bajet
Elakkan diri anda daripada terganggu dengan suasana dan persekitaran pembidaan yang kompetitif. Tetapkan amaun harga jualan maksimum yang akan dibida – pastikan kos yang dibida tidak melebihi harga jualan semasa kereta anda. Tetapkan bajet anda dan kekal tenang untuk mengelakkan anda daripada berbelanja melebihi kemampuan dan nilai pasaran semasa kereta yang ingin dibeli.
3. Terdedah Kepada Risiko Penipuan dan Helah Penjual
Anda disarankan untuk sentiasa berhati-hati terutamanya jika anda memilih untuk membeli kereta lelong. Lakukan pemeriksaan yang menyeluruh untuk mengenal pasti sama ada kereta pernah terlibat kemalangan, kereta pernah ditenggelami banjir atau mengalami apa-apa kerosakan struktur utama. Selain itu, lakukan pemeriksaan nombor VIN kereta. Pastikan nombor pada cermin depan sama dengan nombor VIN pada keseluruhan bahagian kereta yang lain. Periksa juga bahagian dalam kabin dan kenal pasti sama ada terdapat sebarang kesan air, lumpur atau bau hapak. Ia merupakan tanda-tanda biasa kereta tenggelam banjir.
4. Kos Pembaikan dan Penyelenggaraan yang Lebih Tinggi
Jika anda mempunyai peralatan lengkap untuk pembaikan serta kemahiran asas penyelenggaraan automotif, kereta lelong mungkin pilihan yang ideal untuk anda. Namun jika sebaliknya, anda mungkin perlu pertimbangkan kos tambahan yang perlu anda belanjakan untuk kos pembaikan dan penyelenggaraan di bengkel yang mungkin menelan belanja yang lebih tinggi. Ambil kira kos pembaikan biasa bagi model yang anda beli termasuk kos tersembunyi yang mungkin perlu ditanggung. Sebelum membuat pembelian, pastikan anda bersedia untuk menanggung kos tersebut.
Beli Kereta Carsome Certified Untuk Ketenangan Fikiran
Konklusinya, pandu uji dan pemeriksaan kereta secara menyeluruh sebelum membeli kereta terpakai merupakan langkah penting yang perlu dilakukan. Ia bertujuan untuk mengelakkan pembeli merasa tertipu atau tidak berpuas hati dengan kualiti kereta yang ditawarkan.
Sebab itulah apabila anda membeli kereta Carsome Certified, anda akan mendapat kereta berkualiti tanpa sebarang kompromi. Ini kerana, ia didatangkan dengan janji berikut untuk ketenangan fikiran anda.
- Jaminan kereta berkualiti: Semua kereta Carsome Certified telah melalui proses pemeriksaan 175-titik yang teliti untuk memastikan ia bebas dari kemalangan teruk, serta kerosakan kebakaran dan banjir. Selain itu, kami juga menghantar kereta Carsome Certified untuk melalui Proses Pembaikpulihan Carsome Certified di Carsome Certified Lab yang merangkumi bahagian luaran dan dalaman kereta untuk memastikan keselamatan, keselesaan sepenuhnya, dan juga estetik yang dibaik pulih.
- Jaminan pulangan wang lima hari: Sekiranya anda berubah fikiran tentang pembelian anda, anda boleh memulangkan kereta anda dalam masa lima hari untuk mendapatkan pulangan wang penuh, tanpa sebarang soalan!
- Waranti satu tahun: Untuk memastikan ketenangan fikiran anda, kereta Carsome Certified didatangkan dengan lanjutan waranti satu tahun.
- Harga tetap: Harga yang anda lihat di Carsome merupakan harga penuh kereta tanpa sebarang bayaran tersembunyi, jadi anda tahu berapa banyak yang yang anda akan bayar.
Jika anda ingin jual kereta lama atau beli kereta terpakai yang berkualiti dan selamat, layari laman web Carsome untuk maklumat lanjut. Carsome merupakan platform jual beli kereta terpakai yang menawarkan pelbagai pilihan kereta terpakai yang berkualiti, terbaik dan selamat pada harga yang berpatutan.