HomeBMTips Beli Kereta: Kesilapan yang Biasa Dilakukan Semasa Beli Kereta Pertama

Tips Beli Kereta: Kesilapan yang Biasa Dilakukan Semasa Beli Kereta Pertama

Pembelian kereta sama ada kereta terpakai atau baharu merupakan suatu komitmen jangka panjang dan memerlukan penelitian yang sewajarnya. Ia bertujuan untuk mengelakkan anda daripada berbelanja melebihi kemampuan kewangan dan terjerat dengan beban hutang bulanan yang tinggi dalam tempoh masa yang lama. Secara amnya, banyak perkara yang perlu dititikberatkan sebelum membeli kereta pertama–ansuran bulanan, bayaran pendahuluan, insurans dan cukai jalan, kos bahan api, penyelenggaraan, pembaikan dan sebagainya.

tips beli kereta | jangan lakukan kesilapan-kesilapan biasa berikut.

Oleh sebab itu, anda disarankan untuk mempertimbangkan pilihan-pilihan yang ada. Lakukan tinjauan, kenal pasti tips beli kereta yang betul dan beli kereta yang sesuai mengikut keperluan dan bajet semasa anda.

Kesilapan yang Biasa Dilakukan oleh Pembeli Kereta Pertama di Malaysia

Pembelian kereta pertama semestinya suatu proses yang mengujakan terutamanya buat mereka yang baru sahaja melangkah masuk ke alam pekerjaan. Meskipun begitu, tanpa pengetahuan dan tips beli kereta yang betul, pembelian kereta pertama terutamanya kereta terpakai boleh menyebabkan anda menanggung komitmen bulanan yang tinggi. Carsome menyenaraikan tips beli kereta terpakai dan kesilapan-kesilapan yang biasa dilakukan oleh pembeli kereta pertama untuk panduan dan rujukan anda:

Kesilapan #1: Kereta Baharu Lebih Baik daripada Kereta Terpakai

Ramai dalam kalangan pembeli kereta pertama cenderung untuk memilih kereta baharu kerana beranggapan kereta terpakai tidak berkualiti dan berpotensi untuk rosak. Namun sebenarnya, kereta terpakai menawarkan alternatif pemilikan kereta yang lebih baik dan menjimatkan jika dilakukan dengan cara yang betul dan sesuai. Ini kerana, kereta terpakai biasanya dijual pada harga yang jauh lebih murah dan sesuai dengan bajet anda yang baru mula bekerja. Berikut merupakan perbezaan antara pembelian kereta baharu dan kereta terpakai untuk penilaian anda:

Kereta Baharu Kereta Terpakai
Susut Nilai Kadar susut nilai lebih tinggi (lima tahun pertama). Telah susut nilai–kadar susut nilai yang lebih rendah.
Nilai Wang Memerlukan belanja yang tinggi. Boleh menjimatkan wang.
Perlindungan Insurans Lebih tinggi. Lebih rendah

Jika pilihan yang betul dilakukan, kereta terpakai merupakan pilihan kereta pertama yang terbaik. Selain menawarkan kos penyelenggaraan dan pembaikan yang lebih rendah, ada sesetengah kereta terpakai menjanjikan kualiti yang setanding, malah lebih baik berbanding kereta baharu. Lakukan tinjauan dan pilih kereta yang sesuai dengan kehendak, keperluan dan citarasa anda.

Kesilapan #2: Mengambil Mudah dan Tidak Melakukan Tinjauan

Selain rumah, pembelian kereta boleh dikatakan item kedua paling mahal yang pernah dibeli sepanjang hidup. Oleh sebab itu, anda disarankan untuk menilai pelbagai aspek dan kemungkinan sebelum membuat keputusan. Sama seperti pembelian barangan elektrik, perabot dan sebagainya yang memerlukan anda meneliti setiap aspek dan berbincang dengan rakan sebelum membuat keputusan–anda perlu melakukan perkara yang sama sebelum membeli kereta pertama anda yang mungkin berharga jauh lebih mahal berbanding perabot dan barangan elektrik anda.

Lakukan tinjauan–ambil masa anda sebelum memilih kereta yang sesuai untuk anda. Anda boleh melakukan tinjauan secara fizikal dengan mengunjungi pengedar kereta berhampiran anda atau melalui maklumat yang boleh diperoleh secara dalam talian. Banyak blog-blog automotif, portal jual beli kereta secara online dan laman web lain yang menyediakan ulasan, pendapat, pengalaman pengguna, reputasi pengedar dan maklumat-maklumat lain berkaitan kereta yang boleh anda ketahui.

Kesilapan #3: Ketahui Keperluan dan Kehendak Anda

Sediakan diri anda dengan maklumat yang mencukupi sebelum membeli kereta pertama anda untuk mengelakkan anda daripada ditipu. Malah, cara ini juga membantu anda membeli kereta mengikut keperluan dan kehendak anda, bukan mengikut keperluan dan kehendak pengedar. Biasanya, pengedar kereta yang berpengalaman dapat mengetahui sama ada anda pembeli pertama atau tidak dengan menilai pembawakan anda. Kebanyakan pengedar kereta akan mengambil kesempatan ini untuk menjual atau menawarkan kereta yang melebihi bajet pembeli atau tidak sepadan dengan keperluan pembeli hanya untuk menghabiskan stok dalam inventori.

Oleh sebab itu, anda disarankan untuk melakukan tinjauan, kenal pasti keperluan dan kehendak anda untuk mengelakkan anda daripada ditipu oleh penjual. Dengan cara ini, ia dapat membantu anda daripada berbelanja melebihi kemampuan kewangan anda dan boleh menjimatkan wang anda.

Kesilapan #4: ‘Jatuh Cinta Pandang Pertama’

Pembelian atau pemilihan kereta berdasarkan rupa, prestasi, citarasa atau pilihan sedia ada dalam inventori tidak menjadi suatu kesalahan. Namun begitu, ia tidak sepatutnya dijadikan keutamaan lebih-lebih lagi semasa membeli kereta pertama anda. Sebagai contoh, anda mungkin beranggapan bahawa kereta sport merupakan pilihan yang sesuai untuk anda yang berjiwa muda yang baru sahaja mula bekerja, namun ia mungkin tidak sesuai untuk penggunaan harian dan mungkin meningkatkan kos penggunaan petrol.

Manakala, kereta yang bersaiz kompak atau kecil mungkin lebih sesuai untuk anda kerana kereta jenis ini lebih jimat minyak dan sesuai untuk penggunaan dalam bandar. Dalam erti kata lain, anda perlu mengambil kira kesesuaian sesebuah kereta yang dibeli. Faktor-faktor lain seperti rupa, prestasi dan sebagainya adalah bonus sekiranya kereta pilihan anda mempunyai kesemua ciri ini.

Artikel berkaitan: Kereta Jimat Minyak, Harga Murah Berbaloi Bawah RM50K Pilihan Rakyat Malaysia

Periksa sejarah kereta untuk mengetahui status kesihatan sebenar kereta

Kesilapan #5: Tidak Memeriksa Sejarah Pemeriksaan

Kereta yang ‘kelihatan baik’ tidak menggambarkan situasi dan status kesihatan kereta yang sebenar. Jangan tertipu dengan rupa luaran kereta–meskipun ia kelihatan sempurna, ia tidak semestinya berkualiti. Sesebuah kereta benar-benar berkualiti atau baik hanya boleh dinilai melalui rekod penyelenggaraan atau setelah pandu uji dilakukan. Jika anda mempunyai pengetahuan yang terhad berkaitan aspek teknikal kereta, bawa bersama rakan atau mekanik yang anda kenal untuk membantu anda memeriksa kereta pilihan anda dengan lebih lanjut.

Secara amnya, rekod penyelenggaraan dan pemeriksaan membolehkan anda mengetahui sejarah kereta seperti pernah terlibat kemalangan, ditenggelami banjir atau kebakaran sehingga menjejaskan struktur. Selain rekod penyelenggaraan, anda boleh melalui status sebenar kereta melalui rekod tuntutan insurans.

Artikel Berkaitan: 10 Tip Beli Kereta Terpakai Mampu Milik dan Berbaloi

Kesilapan #6: Tidak Memandu Uji Kereta yang Ingin Dibeli

Proses pandu uji terutamanya kereta terpakai membolehkan bakal pembeli menguji, menilai dan mengenal pasti kualiti, kelebihan atau kelemahan kenderaan yang ingin dibeli sebelum membuat keputusan. Oleh sebab itu, anda disarankan untuk memandu uji kereta yang ingin dibeli untuk mengelakkan anda daripada membuat kesilapan yang salah. Anda juga disarankan untuk melakukan pandu uji dengan memandu dua atau lebih model yang menjadi pilihan anda. Ini kerana, dua model kereta yang sama boleh memberikan kualiti pemanduan, prestasi, bunyi dalam ruang kabin yang berbeza.

Selain itu, ia juga boleh membantu memberi alternatif pilihan kereta yang lebih baik sekiranya anda mendapati kereta yang anda pandu uji memiliki kekurangan.

Kesilapan #7: Tidak Mengambil Kira Kos Keseluruhan Pemilikan

Pemilikan kereta memerlukan kos belanja yang tinggi dan bukan sahaja melibatkan tanda harga yang dipaparkan. Ia turut meliputi kos perbelanjaan lain seperti cukai jualan, waranti tambahan, kadar faedah, tempoh pinjaman dan sebagainya. Oleh sebab itu, anda disarankan untuk mempertimbangkan kos keseluruhan pemilikan kereta dan tidak mengambil kira bayaran ansuran bulanan semata-mata. Anda mungkin terikat dengan tempoh pinjaman yang lebih panjang untuk memenuhi bajet bayaran bulanan anda. Namun begitu, ia menyebabkan jumlah keseluruhan kereta anda lebih mahal dan terikat dengan kadar faedah yang lebih tinggi.

Pertimbangkan juga kos-kos lain seperti kos petrol, penyelenggaraan, insurans, cukai jalan dan sebagainya untuk mendapatkan gambaran sebenar kos yang perlu ditanggung.

Kesilapan #8: Memilih Tempoh Pinjaman yang Lebih Panjang

Kebanyakan pembeli kereta pertama akan tertarik dengan tawaran tempoh pinjaman yang lebih panjang, kadar ansurans bulanan yang lebih rendah dan pemilikan kereta tanpa bayaran pendahuluan. Namun begitu, kesemua tawaran ini menyebabkan pembeli terikat dengan kadar faedah yang lebih tinggi. Meskipun tempoh pinjaman yang lebih lama merendahkan amaun bayaran bulanan yang perlu dibayar, ia secara tidak langsung menyebabkan peningkatan kos keseluruhan yang perlu dibayar.

Sebagai contoh, Ali membeli sebuah kereta terpakai pada harga RM100,000. Pinjaman Ali tertakluk pada kadar faedah sebanyak tiga peratus setahun dengan bayaran pendahuluan sebanyak RM10,000 (10 peratus). Berikut merupakan anggaran kos perbelanjaan yang akan ditanggung oleh Ali untuk pinjaman selama lima tahun atau sembilan tahun:

Tempoh Pinjaman 5 Tahun 9 Tahun
Formula Pengiraan Pinjaman Amaun Pinjaman + (Amaun Pinjaman x Kadar Faedah x Tahun) / Bulan
RM90,000 + RM13,500 (RM90,000 x 3% x 5) / 60 Bulan (5 Tahun x 12 Bulan) RM90,000 + RM24,300 (RM90,000 x 3% x 9) / 108 Bulan (9 Tahun x 12 Bulan)
Ansuran Bulanan RM1,725.00 RM1,058.33

Jumlah Faedah Terkumpul

RM13,500.00 RM24,300.00

Kesilapan #9: Tidak Memahami Kontrak Pinjaman Kereta

Pembelian kereta juga bermaksud anda perlu menandatangani pelbagai dokumen atau kontrak yang menggariskan butiran-butiran berkaitan penjualan anda. Oleh sebab itu, anda disarankan untuk memahami implikasi kontrak pinjaman sewa beli untuk mengelakkan anda daripada keliru atau tertipu. Baca dan fahami dengan teliti segala terma dan syarat yang terkandung dalam dokumen ini sebelum bersetuju dan menandatanganinya. Meskipun langkah ini nampak mudah, ia boleh mengelakkan anda daripada menanggung kos tambahan atau mungkin menjerat anda sekiranya tidak berhati-hati

Beri perhatian terhadap baris-baris tertentu–pastikan pertambahan kos dan sebagainya tidak dinyatakan dalam kontrak lebih-lebih lagi jika pengedar bersetuju untuk menanggungnya.

Artikel Berkaitan: Perkara Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Pinjaman atau Loan Kereta

Semoga perkongsian tips beli kereta dan kesilapan yang biasa dilakukan oleh pembeli kereta pertama ini dapat mengelakkan anda daripada membuat keputusan yang salah. Proses beli kereta terutamanya kereta terpakai bukanlah suatu proses yang sukar jika anda mengamalkan tips, langkah dan cara yang betul. Anda juga disarankan untuk meminta pendapat atau bawa bersama-sama rakan atau kenalan yang pernah melalui pengalaman beli kereta terpakai untuk mengelakkan anda daripada membuat kesilapan yang sama seperti dinyatakan di atas.

Tips beli kereta | Fikir sewajarnya untuk mengelakkan kekecewaan.

Selain itu, sekiranya anda merancang untuk membeli kereta terpakai atau menjual kereta terpakai lama anda, layari laman web Carsome untuk info lanjut. Carsome merupakan platform jual beli kereta terpakai yang menawarkan perkhidmatan terbaik untuk anda dengan tawaran pilihan kereta terpakai yang berkualiti, dokumentasi berkaitan diuruskan sepenuhnya dan perkhidmatan penghantaran kereta secara terus ke pintu rumah anda!

Haziq Asyraf
Haziq Asyraf
A self-proclaimed foodie and gamer whose passion for food and games has recently extended to cars.
RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular