HomeBMKereta Tenggelam Banjir? Ini 5 Perkara Yang Anda Perlu Tahu

Kereta Tenggelam Banjir? Ini 5 Perkara Yang Anda Perlu Tahu

Kedudukan Malaysia yang terletak berhampiran garisan khatulistiwa menyebabkan Malaysia mengalami cuaca yang panas dan lembap sepanjang tahun. Iklim di Malaysia terbahagi kepada dua iaitu monsun barat daya yang bermula pada penghujung bulan Mei hingga September dan monsun timur laut yang bermula pada bulan November hingga Mac. Monsun Timur Laut membawa hujan lebat terutamanya kepada negeri-negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia dan barat Sarawak.

Negeri-negeri di pantai timur khususnya di negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur dan Sarawak biasanya menerima hujan yang lebat dalam tempoh ini sekaligus menyebabkan banjir.

Baca artikel ini untuk mengetahui langkah-langkah untuk mengurangkan kos pembaikan dan cara membuat tuntutan insurans jika kereta tenggelam banjir.

kereta banjir | cara tuntutan insurans banjir

5 Langkah Kurangkan Kos ‘Repair’ atau Baiki Kereta Tenggelam Banjir

Bagi penduduk di sekitar kawasan yang terjejas banjir atau di kawasan sekitar Lembah Klang yang biasa mengalami situasi banjir kilat – ia sedikit sebanyak membimbangkan pemilik kereta kerana jika tidak ditanggani dengan baik, ia boleh menyebabkan kerugian dan kerosakan yang lebih serius terutamanya pada bahagian enjin.

Jika anda berada dalam situasi banjir seperti ini, alihkan kenderaan anda ke kawasan yang lebih tinggi dan elakkan daripada meredah air banjir. Namun begitu, jika kereta tenggelam banjir, anda boleh ikuti 5 langkah di bawah untuk mengurangkan kos pembaikan kereta anda.

1. Periksa Paras Air

Perkara pertama yang anda perlu lakukan jika kereta anda ditenggelami banjir ialah periksa paras air dan keadaan kereta anda terlebih dahulu selepas banjir surut. Air banjir kebiasaannya meninggalkan kesan lumpur pada permukaan yang bersentuhan dengannya terutamanya pada bahagian luaran kereta.

Maklumat ini penting untuk menilai kemungkinan kerosakan sama ada air banjir telah menenggelamkan keseluruhan kereta dan telah memasuki bahagian enjin kereta dan sebagainya.

2. Jangan Hidupkan Enjin

Sekiranya banjir menenggelamkan keseluruhan kereta anda termasuk ruang kabin dan enjin, jangan sesekali hidupkan enjin kereta anda kerana ia berpotensi untuk menyebabkan litar pintas. Komponen utama seperti enjin dan sistem gear mungkin telah rosak disebabkan banjir.

Perkara yang boleh anda lakukan ialah cabut bateri kereta anda dan panggil mekanik atau trak tunda untuk membawa kereta anda terus ke bengkel atau pusat servis kenderaan.

kereta tenggelam banjir

3. Periksa Enjin/Gearbox

Setelah kereta anda tiba di bengkel, periksa enjin atau gearbox kereta anda terlebih dahulu. Gunakan batang celup (dipstick) kereta anda – jika amaun minyak enjin/minyak gear melebihi amaun yang sepatutnya, ini bermaksud enjin anda sudah dimasuki air. Sekiranya minyak enjin dan minyak gear anda telah bercampur dengan air, anda perlu keluarkan dan gantikannya dengan minyak baharu.

Lakukan flushing dengan ulangan sebanyak 3 hingga 5 kali bergantung kepada nasihat mekanik anda. Minyak hitam dan minyak gear yang telah bercampur dengan air boleh menjejaskan prestasi kereta.

4. Flush Petrol (Jika Perlu)

Kedudukan tangki minyak yang sedikit rendah juga meningkatkan kebarangkalian air banjir memasuki tangki tersebut. Keluarkan petrol yang telah bercampur dengan air daripada tangki minyak kereta anda untuk mengelakkan kerosakan yang lebih serius pada bahagian enjin kereta anda. Minta pendapat mekanik anda terlebih dahulu sama ada perlu lakukan flushing atau tidak.

5. Cabut, Keringkan Komponen Kereta

Mana-mana komponen dalam kereta yang boleh ditanggalkan seperti radio perlu dikeringkan. Cuci kereta anda dengan semburan air deras terutamanya di bahagian enjin dan brek. Namun begitu, jangan sesekali sembur ke arah lubang penapis udara dan penutup minyak pelincir. Selain itu, bersihkan juga kekotoran pada kusyen kereta yang mungkin telah ditenggelami lumpur untuk elakkan kusyen daripada berbau hapak.

Untuk kesan yang lebih optimum, gunakan perkhidmatan mereka yang pakar mencuci kusyen. Mereka biasanya akan membuka kerusi anda dan mencuci segenap inci ruang kereta anda dengan teliti.

kereta banjir

Adakah Kereta Anda Dilindungi Insurans Banjir?

Kebiasaannya, kereta di Malaysia dilindungi oleh insurans komprehensif yang merangkumi perlindungan kerosakan atau kehilangan kenderaan disebabkan oleh kecurian atau kebakaran, kerosakan disebabkan oleh kemalangan, kematian atau kecederaan ke atas pihak lain dan kerosakan ke atas harta benda pihak lain. Namun begitu, untuk anda yang mungkin tidak tahu – anda sebenarnya boleh menambah polisi perlindungan tambahan khusus untuk perlindungan bencana alam.

Perlindungan tambahan ini dapat membantu anda sekiranya kereta anda rosak disebabkan oleh bencana alam seperti banjir, ribut, tanah runtuh atau bencana alam lain. Namun begitu, ia tertakluk pada terma dan syarat polisi insurans. Perlindungan bencana alam ini boleh ditambah semasa anda renew insurans dan roadtax kereta anda dengan bayaran tambahan dianggarkan sekitar RM50 hingga RM200 setahun bergantung pada jenis polisi.

5 Cara ‘Claim’ Insurans Kereta Ditenggelami Banjir

Jika kereta anda dilindungi oleh insurans tambahan bencana alam, rujuk cara untuk membuat tuntutan insurans banjir di bawah untuk memudahkan urusan anda.

1. Hubungi Pihak Insurans

Jika kereta anda ditenggelami banjir, maklumkan insiden tersebut kepada pihak insurans anda. Jika perlu, minta bantuan perkhidmatan trak tunda. Elakkan daripada menghidupkan kereta anda kerana ia mungkin boleh menyebabkan kerosakan yang lebih serius.

2. Kumpulkan Bukti

Kebanyakan syarikat insurans memerlukan dokumen sokongan dan bukti dalam urusan tuntutan insurans berkaitan banjir:

    • Catat lokasi dan masa/tarikh insiden banjir yang berlaku;
    • Ambil gambar kerosakan kereta yang ditenggelami banjir;
    • Sediakan salinan kad pengenalan, salinan lesen memandu, salinan geran dan salinan polisi insurans untuk rujukan;
    • Butiran atau dokumen sokongan lain yang menjelaskan kerosakan kereta (jika ada).

3. Buat Laporan Polis

Jika boleh, buat laporan polis sekurang-kurangnya dalam tempoh 24 jam untuk memudahkan urusan tuntutan insurans anda.

4. Serahkan Borang Tuntutan & Dokumen Sokongan

Jika dokumen-dokumen yang diperlukan sudah lengkap, anda bolehlah menyerahkan borang tuntutan anda bersama-sama dengan dokumen sokongan tersebut kepada ejen insurans atau syarikat insurans anda. Tempoh pemprosesan tuntutan kerugian anda biasanya akan dimaklumkan oleh pihak insurans untuk rujukan anda.

5. Hantar Kereta ke Bengkel Panel

Kebiasaannya, pihak insurans akan menasihati anda untuk menghantar kereta yang terjejas banjir ke bengkel panel syarikat insurans. Anda boleh mendapatkan senarai lengkap bengkel panel berdekatan anda daripada pihak insurans.

Semoga perkongsian ini dapat membantu anda sekiranya anda berhadapan dengan situasi kereta ditenggelami air banjir. Langkah-langkah yang dikongsikan mungkin tidak dapat menyelamatkan kereta anda sepenuhnya, tetapi sekurang-kurangnya dapat mengurangkan risiko kerosakan yang lebih teruk dan mengelakkan anda daripada mengeluarkan belanja yang lebih besar. Paling penting, pilih bengkel atau pusat servis kereta yang boleh dipercayai.

flooded vehicle

Untuk perlindungan tambahan, anda boleh menaik taraf insurans sedia ada dengan menambah perlindungan bencana alam sebagai persediaan jika situasi sebegini berlaku kepada anda.

Jika anda mahu membeli kereta terpakai berkualiti, CARSOME menawarkan sehingga 30 jenama kereta terpakai yang telah lulus pemeriksaan teliti untuk memastikan ia bebas daripada kerosakan akibat kemalangan teruk, banjir, dan kebakaran, serta menjamin tiada sebarang perubahan dilakukan pada milej kereta.

Semua kereta CARSOME Certified juga telah dibaik pulih secara profesional untuk memberi anda keselesaan sepenuhnya, keselamatan melebihi taraf, dan estetik yang telah dibaik pulih. Kami juga menjamin ketenangan jiwa anda dengan menawarkan harga tetap tanpa bayaran tersembunyi, waranti 1 tahun, dan jaminan pulangan wang dalam 5 hari apabila anda membeli kereta CARSOME Certified.

Artikel berkaitan: Semuanya Yang Anda Perlu Tahu Mengenai CARSOME Certified

Layari carsome.my atau muat turun aplikasi kami untuk dapatkan kereta idaman anda dengan CARSOME sekarang!

RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular