Kebanyakan pemilik kereta memilih untuk cuci kereta sendiri di rumah kerana beranggapan ia lebih bersih dan lebih kemas berbanding cuci kereta di pusat mencuci kereta atau car wash. Selain menjimatkan wang ringgit, aktiviti mencuci kereta di rumah boleh dijadikan aktiviti riadah dan senaman sihat bersama keluarga yang tersayang. Namun begitu, bagi pemilik baharu misalnya, anda disarankan untuk mengikuti kaedah cuci kereta yang betul kerana jika silap langkah, ia boleh mengakibatkan peningkatan kos untuk membaiki kesan calar dan kerosakan pada warna cat kereta.
Cuci kereta dengan kaedah yang betul bukanlah suatu perkara yang sukar. Ia bukan sahaja menjadikan kereta anda tampil lebih bersih, malah kaedah cuci kereta yang betul dalam menjadikan warna cat kereta tahan lebih lama.
3 Kaedah Cuci Kereta di Malaysia
Sebelum mengetahui tips dan cara cuci kereta dengan baik untuk mengelakkan kerosakan pada warna cat kereta anda, Carsome menyenaraikan tiga kaedah cuci kereta yang biasa digunakan di Malaysia untuk panduan anda:
1. Cucian Manual atau Handwashing
Cuci kereta secara manual merupakan kaedah paling selamat untuk mencuci kereta anda. Ia merupakan kaedah yang paling biasa dan banyak ditemui di Malaysia. Biasanya, pekerja akan membilas kereta anda dengan air bersih sebelum menyembur semburan buih pada kereta anda. Kemudian, pekerja akan menyental sebarang kekotoran pada kereta menggunakan kain mikrofiber. Secara amnya, kaedah ini lebih efektif berbanding kaedah cucian lain kerana ia berkesan menanggalkan kekotoran pada kereta dengan cara yang lembut dan berhemah.
Kebaikan:
-
-
-
- Mampu menanggalkan kotoran degil dengan selamat;
- Mengurangkan kesan calar.
-
-
Kekurangan:
-
-
-
- Biasanya lebih mahal antara RM10 hingga RM30 (bergantung pada jenis cucian) berbanding cucian automatik;
- Boleh memakan masa kira-kira 30 minit untuk disiapkan;
- Memerlukan amaun air yang banyak.
-
-
2. Cucian Tanpa Air atau Waterless Car Wash
Kaedah cuci kereta tanpa air ini hanya memerlukan dua jenis bahan – bahan semburan dalam botol dan tuala mikrofiber yang akan digunakan untuk mengelap kenderaan anda. Namun begitu, kaedah ini tidak begitu berkesan menghilangkan kotoran-kotoran tertentu. Malah dalam sesetengah keadaan, ia boleh menyebabkan calar pada bahagian badan kereta anda kerana kotoran akan diseret semasa proses pembersihan.
Kebaikan:
-
-
-
- Menjimatkan air kerana air langsung tidak digunakan;
- Boleh dilakukan di mana-mana lokasi yang bersesuaian, tidak terhad di lokasi dengan punca air sahaja;
- Lebih cepat berbanding cucian tangan.
-
-
Kekurangan:
-
-
-
- Tidak berkesan dalam menanggalkan kotoran degil;
- Berkemungkinan boleh menyebabkan calar.
-
-
3. Cucian Automatik atau Automatic Washing
Mesin cuci kereta automatik atau pusat cuci kereta layan diri merupakan antara kaedah cuci kereta yang paling biasa digunakan dan senang ditemui di Malaysia. Terowong cuci kereta ini biasanya dijumpai di lokasi-lokasi tertentu seperti stesen minyak atau tempat tumpuan orang ramai. Kereta akan digerakkan menggunakan tali sawat yang akan membawa kereta melalui berus dan penyembur air automatik, dan pembersihan boleh dilakukan dengan mudah, cepat dan efisien tanpa menggunakan tenaga manusia.
Kebaikan:
-
-
-
- Murah, mudah dan cepat.
-
-
Kekurangan:
-
-
-
- Bahan kimia pembersihan yang digunakan terlalu kuat dan boleh merosakkan warna cat kereta dan lapisan wax;
- Boleh mengakibatkan calar, kerosakan bahagian luar badan kereta.
-
-
Tips Cuci Kereta dengan Betul dan Perkara yang Perlu Dielakkan Semasa Mencuci Kereta
Amalah kaedah cuci kereta yang salah bukan sahaja boleh mencalarkan bahagian luaran kereta anda tetapi boleh mengakibatkan kerosakan dan memudarkan warna cat kereta. Oleh sebab itu, Carsome menyenaraikan panduan yang boleh anda ikuti semasa mencuci kereta untuk memastikan warna cat kereta anda tahan lebih lama.
1. Cuci Kereta di Tempat Teduh
Ada pemilik kereta beranggapan mencuci kereta semasa cuaca panas terik merupakan amalan yang betul kerana proses pengeringan tidak memakan masa yang lama. Lazimnya, anda tidak disarankan untuk mencuci kereta terutamanya ketika panas terik. Ini kerana, bahang daripada cahaya matahari akan menyebabkan sisa sabun dan kotoran kering dengan lebih cepat sekali gus meninggalkan tompokan air (waterspot) yang boleh menjejaskan dan memudarkan warna asal cat kereta. Masa yang paling sesuai untuk mencuci kereta adalah pada awal pagi, lewat petang atau ketika cuaca redup atau sejuk.
2. Basuh dan Bilas dengan Betul
Selain itu, anda disarankan untuk cuci kereta bermula dari bahagian bumbung ke bahagian bawah. Elakkan mencuci kereta bermula dari bawah ke bahagian atas, ia akan menyebabkan air sisa kotoran mengalir ke bawah semula dan meninggalkan kotoran dan melekat pada bahagian yang sudah dicuci. Sisa kotoran yang tertinggal ini boleh menyebabkan kerosakan pada warna cat kereta anda. Oleh itu, amalkan tabiat mencuci kereta dari atas ke bawah supaya air kotoran mengalir ke tanah tanpa meninggalkan kotoran pada bahagian yang sudah dicuci tadi.
Sabun Cuci Kereta
Pemilihan sabun dan bahan pencuci kereta yang betul dapat mengelakkan kerosakan pada warna cat kereta anda. Di pasaran, terdapat pelbagai jenis sabun pencuci khusus untuk kereta yang boleh anda gunakan untuk mencuci kereta anda. Biasanya, sabun cuci kereta mempunyai kelebihan yang tersendiri bergantung pada jenama yang dipilih. Lakukan tinjauan sebelum memilih sabun cuci kereta yang sesuai dan pilih bahan pencuci yang terbaik mengikut kesesuaian dan tujuan penggunaan. Bahan pencuci khusus untuk kereta mempunyai pH yang seimbang yang direka khusus untuk melindungi dan mengelakkan calar pada permukaan bercat.
Kebanyakan pemilik kereta menggunakan sabun pencuci pinggan atau baju untuk mencuci kereta. Penggunaan sabun sebegini boleh melunturkan warna cat kereta anda kerana ia mengandungi bahan detergen yang kuat. Meskipun sabun pencuci pinggan boleh menghilangkan kotoran dan minyak pada badan kereta, ia boleh memberi impak negatif terhadap lapisan cat dan permukaan kereta anda.
3. Guna Span Lembut atau Kain Mikrofiber
Kebanyakan pemilik kereta beranggapan penggunaan kain biasa atau kain mikrofiber tidak memberi kesan yang signifikan semasa mencuci kereta. Namun sebenarnya, kain biasa bukanlah pilihan yang baik dan tidak sesuai digunakan untuk mencuci kereta. Anda disarankan untuk menggunakan span lembut atau kain jenis mikrofiber untuk mencuci kereta anda. Span lembut dan kain mikrofiber dapat menjaga bahagian luar kereta dan mengelakkan kesan calar yang boleh menjejaskan nilai kosmetik kereta anda. Penggunaan kain mikrofiber adalah disyorkan kerana ia mudah menyerap air sekali gus menjadikan hasil cucian lebih kemas dan bersih.
4. Guna Kaedah Cucian Dua Baldi atau Two Bucket System
Amalkan kaedah dua baldi semasa membasuh kereta anda – satu baldi digunakan untuk mengisi air sabun (basuhan) manakala satu lagi baldi digunakan untuk mengisi air bilasan. Jika anda menggunakan baldi yang sama untuk mencuci dan membilas kereta anda, besar kemungkinan air basuhan tadi bercampur dengan pasir, batu-batu halus dan sisa kotoran yang tertinggal semasa mencuci permukaan kereta anda. Kotoran ini yang melekat pada baldi akan bercampur dengan air bilasan dan boleh merosakkan dan mengotorkan kembali kereta anda.
Dalam sesetengah keadaan, ia boleh mencalarkan permukaan cat dan menjadikan warna cat kelihatan lebih kusam. Kaedah cucian dua baldi merupakan salah satu kaedah terbaik untuk memastikan anda tidak mencalarkan cat kereta secara tidak sengaja semasa mencuci kereta anda.
5. Keringkan dan Kilatkan
Antara kesilapan yang sering dilakukan semasa membersihkan kereta ialah membiarkan sisa air bilasan kering dengan sendirinya. Sisa air yang dibiarkan akan meninggalkan kesan tompokan air pada badan kereta. Malah, jika ia dijadikan amalan, ia boleh merosakkan warna cat kereta anda untuk jangka masa panjang. Anda disarankan untuk mengelap badan kereta anda setiap kali selepas dicuci dengan menggunakan kain tuala kering untuk menjaga warna cat kereta supaya tahan lebih lama.
Elakkan penggunaan tuala biasa – gunakan material seperti kulit chamois (jenis sintetik atau asli) untuk mengelap badan kereta anda. Kulit chamois asli mempunyai daya serapan kelembapan yang tinggi dan tidak menjejaskan warna cat kereta. Manakala, kulit chamois sintentik menyerap lebih banyak kelembapan berbanding kulit chamois asli dan dijual pada harga yang lebih murah serta tahan lebih lama. Selain itu, anda juga disarankan untuk melakukan polish dan wax kereta secara berkala untuk memastikan bahagian luaran kereta anda berada dalam keadaan baik.
Apa itu Polish dan Wax Kereta?
Polish dan wax kereta merupakan antara elemen penjagaan kereta yang disarankan untuk mengilatkan dan melindungi warna cat kereta anda.
-
-
-
- Polish kereta berfungsi untuk menggilatkan kereta anda, menghilangkan kotoran degil dan kesan calar-calar halus. Anda disarankan untuk melakukan polish kereta sekurang-kurangnya dua kali setahun.
- Wax pula digunakan selepas anda melakukan polish kereta untuk menambah lapisan sinar yang berfungsi sebagai lapisan perlindungan warna cat asal kereta. Wax kereta dapat melindungi kereta daripada sinaran UV, menghalang pengumpulan debu dan partikel lain yang boleh merosakkan dan memudarkan warna cat kereta. Ia juga dapat mengurangkan kelembapan yang boleh menyebabkan hakisan atau karat. Anda disarankan untuk melakukan wax kereta sekurang-kurangnya setiap tiga bulan.
-
-
Artikel Berkaitan: Prosedur Lengkap Tukar Warna Cat Kereta atau Warna Kenderaan oleh JPJ
Cara Cuci Enjin dan Kusyen Kereta
Selain tips cuci kereta dengan betul dan perkara-perkara yang perlu dielakkan semasa cuci kereta, Carsome turut menyenaraikan cara cuci enjin kereta dan cara cuci kusyen kereta seperti berikut:
i. Cara Cuci Enjin Kereta
Secara amnya, perbuatan cuci enjin kereta tidak akan meningkatkan prestasi atau memanjangkan jangka hayat enjin kereta anda. Namun jika dibiarkan, ia boleh merosakkan komponen-komponen tertentu dalam jangka masa panjang.
-
-
- Periksa bahagian komponen elektrik yang boleh menyebabkan litar pintas dan balut dengan plastik untuk mengelakkan daripada terkena air;
- Sembur enjin menggunakan air bertekanan rendah untuk menghilangkan debu atau kotoran terutamanya pada bahagian yang sukar dijangkau;
- Letakkan bahan cucian khas yang boleh menghilangkan minyak dan gris pada permukaan enjin. Anda juga boleh menggunakan bahan alternatif seperti minyak tanah;
- Kemudian, gosok bahagian ini menggunakan berus halus dengan perlahan. Anda juga boleh menggunakan berus gigi atau mana-mana jenis berus yang dijual di kedai perkakasan untuk membersihkan di bahagian celah-celah;
- Bilas enjin menggunakan air bersih untuk menghilangkan sisa kotoran termasuk sisa sabun yang melekat pada enjin;
- Jika ada pistol angin, gunakan untuk membersihkan sisa air di bahagian celah;
- Untuk mengelakkan kesan tompok air (waterspot) dan memastikan enjin kering dengan sempurna, biarkan bonet berada dalam keadaan terbuka selama beberapa jam;
- Setelah kering sepenuhnya, buka balutan plastik pada komponen elektrik;
- Kemudian, hidupkan enjin dan periksa semua komponen elektrik seperti lampu depan, lampu kecemasan, lampu brek, singal dan lain-lain berfungsi dalam keadaan baik.
-
ii. Cara Cuci Kusyen atau Seat Kereta
Biasanya, cucian kusyen atau seat kereta di pusat cucian kereta menelan belanja yang agak mahal. Harga cuci kusyen kereta biasanya bergantung pada jenis kereta, biasanya antara RM150 hingga RM300 bergantung pada jenis perkhidmatan yang ditawarkan. Namun begitu, jika anda ingin membersihkan sendiri kusyen kereta anda, Carsome menyediakan panduan berikut untuk anda:
-
-
- Buka kerusi, keluarkan dan basahkan kusyen;
- Kemudian lumurkan sabun atau bahan pencuci serbaguna pada bahagian yang ingin dibersihkan dan biarkan selama beberapa minit;
- Gosok bahagian yang ingin dibersihkan hingga hilang segala kesan degil dan kekotoran. Gunakan berus lembut untuk mengelakkan kerosakan pada material tempat duduk kereta anda;
- Setelah selesai, jirus dengan air sehingga bersih;
- Jemur kusyen untuk sekurang-kurangnya dua hari sehingga kusyen kereta betul-betul kering di bawah cahaya matahari;
- Selepas kering, pasangkan semula kerusi;
- Namun begitu, pastikan anda menggunakan bahan pencuci yang bersesuaian mengikut jenis fabrik atau jenis kulit tempat duduk kereta anda untuk mengelakkan kerosakan.
-
Diharapkan perkongsian Carsome kali ini mengenai tips cuci kereta yang betul dapat dijadikan panduan buat pemilik-pemilik kereta. Selain itu, jika anda sedang mempertimbangkan untuk menjual kereta lama dan berminat untuk mendapatkan kereta terpakai baharu, layari laman web Carsome untuk info lanjut. Carsome merupakan platform jual beli kereta terpakai yang menawarkan tawaran harga terbaik dengan perkhidmatan yang mudah, cekap dan pantas.