HomeBMProsedur Lengkap Tukar Warna Cat Kereta atau Warna Kenderaan oleh JPJ

Prosedur Lengkap Tukar Warna Cat Kereta atau Warna Kenderaan oleh JPJ

Warna cat kereta bukan sahaja menyerlahkan rupa luaran dan nilai estetika kereta semata-mata tetapi turut mencerminkan personaliti dan karakter pemilik. Atas faktor ini, ramai dalam kalangan pemilik kereta mengambil keputusan untuk menukar warna cat kereta mengikut ekspresi, gaya dan keperibadian pemilik. Berdasarkan data daripada Carsome Insights, warna akromatik (putih dan perak) merupakan warna kereta paling popular bagi tahun 2020 di Malaysia, diikuti dengan warna hitam, kelabu dan biru.

Secara amnya, penukaran warna cat kereta bukanlah menjadi suatu kesalahan. Malah, anda boleh menukar warna cat kereta anda pada bila-bila masa mengikut keperluan dan situasi semasa anda. Berdasarkan Portal Rasmi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), modifikasi yang melibatkan pengubahsuaian kecil atau pemasangan alat kelengkapan tambahan seperti pemasangan aksesori yang tidak mengubah identiti serta tidak mengganggu ciri-ciri keselamatan kenderaan tidak memerlukan permohonan di JPJ.

Namun begitu, pengubahsuaian pada warna cat kenderaan perlu mendapat kelulusan daripada JPJ selari dengan Seksyen (12) Akta Pengangkutan Jalan 1987 – Pemeriksaan Kenderaan Motor dan Pemberian Maklumat kepada Ketua Pengarah. Permohonan kelulusan pengubahsuaian warna kenderaan ini perlu dilakukan dalam tempoh tujuh hari untuk mengelakkan pemilik kenderaan daripada dikenakan tindakan undang-undang.

Baru-baru ini tular di media sosial mengenai seorang individu yang dikenakan saman kerana menukar warna cat kereta tanpa kebenaran daripada pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sekali gus menerima pelbagai respons, pandangan dan kritikan dalam kalangan pemilik kenderaan.

Prosedur Lengkap Pengubahsuaian Warna Kenderaan

Menurut Pengarah Jabatan Kejuruteraan Automotif, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk IR. Haji Mohamad Dalib, apa-apa perubahan yang dilakukan terhadap bahagian tertentu kenderaan perlu dilaporkan kepada JPJ dalam tempoh tujuh hari selepas perubahan dilakukan. Dalam erti kata lain, apa-apa perubahan boleh dilakukan dengan syarat mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada pihak JPJ untuk mengelakkan masalah lain kepada pemilik pada masa akan datang.

Panduan Tukar Warna Cat Kereta atau Warna Kenderaan JPJ

Carsome menyediakan prosedur lengkap untuk tukar warna kenderaan atau cat kereta berikut untuk rujukan anda:

    1. Perkara pertama yang perlu dilakukan sebelum mendapatkan kelulusan pengubahsuaian ialah cat kenderaan anda terlebih dahulu. Jika anda mengecat kenderaan lebih daripada satu warna, warna yang paling banyak atau warna dominan dianggap sebagai warna utama kenderaan;
    2. Setelah proses mengecat kenderaan selesai, hadir ke pejabat JPJ untuk pemeriksaan dan kemas kini maklumat;
    3. Anda perlu mengisi borang JPJ K8 (Notis Pertukaran Butir-Butir Kenderaan dan Pemunya Berdaftar), kemudian, serahkan kepada pegawai JPJ yang bertugas;
    4. Pegawai JPJ akan memeriksa warna pada kenderaan anda sebelum kelulusan diberikan. Jika lulus, maklumat anda akan dikemas kini dalam sistem MySikap;
    5. Tiada bayaran akan dikenakan untuk prosedur ini.
Kredit: Jabatan Pengangkutan Jalan

Adakah Body Wrap Kereta Persendirian Turut Menyalahi Undang-undang?

Selain menukar warna cat, kebanyakan pemilik kereta juga memilih untuk melakukan body wrap atau membalut kereta dengan menggunakan pelekat khas. Cara ini bukan sahaja lebih mudah dan senang, malah lebih efektif dalam melindungi warna asal kenderaan. Namun begitu, sama seperti menukar warna cat kereta, penggunaan body wrap juga turut menjadi kesalahan dalam kategori yang sama.

Berdasarkan Seksyen (12) Akta Pengangkutan Jalan 1987, setiap pemilik kenderaan yang menukar warna kereta perlu diberi suatu Notis Arah Periksa atau PG1. Notis tersebut diberikan supaya pemilik mengisytiharkan kepada JPJ mengenai perubahan warna kenderaan yang dilakukan. Pihak JPJ biasanya tidak mengeluarkan saman atas sebab pemilik menukar warna sesebuah kenderaan. Namun begitu, saman dikeluarkan apabila pemilik ingkar Notis Arah Periksa atau PG1.

Sebagai contoh, dalam situasi sekatan jalan raya, pegawai JPJ memeriksa sebuah kenderaan dan mendapati warna kenderaan yang ditahan tidak sama dengan maklumat yang dinyatakan dalam sistem. Biasanya, pegawai akan mengeluarkan surat arahan pemeriksaan yang memerlukan permilik kenderaan untuk hadir ke pejabat JPJ untuk membuat pengisytiharan perubahan warna dan semakan lanjut. Sekiranya pemilik gagal hadir, saman akan dikeluarkan atas kesalahan ingkar Notis Arah Periksa dan bukannya disebabkan oleh penukaran warna kenderaan.

Kepentingan Melakukan Modifikasi dengan Kelulusan JPJ

Secara asasnya, anda boleh menukar warna asal kereta anda kepada apa jua jenis warna sekalipun asalkan anda memaklumkan perubahan ini kepada pihak JPJ. Jika tidak memaklumkan penukaran warna cat kereta, anda mungkin berpotensi untuk dikenakan saman. Malah, dalam kes tertentu, anda mungkin boleh dikenakan saman untuk dua kesalahan trafik yang berbeza. Sebagai contoh, sekiranya anda memandu kenderaan melebihi had laju, anda akan menerima saman kesalahan trafik tersebut (saman speedtrack atau AES). Jika pihak polis mendapati warna kereta yang disaman adalah berbeza dengan rekod JPJ sedia ada, anda mungkin juga akan menerima saman kerana menukar warna cat kenderaan tanpa kebenaran.

Daripada aspek tuntutan insurans pula, tiada implikasi yang boleh dikaitkan dengan penukaran warna kenderaan. Namun begitu, perbezaan antara rekod pendaftaran dan keadaan semasa kereta mungkin boleh menjadi sumber pertikaian atau komplikasi semasa tuntutan insurans. Contohnya, jika kenderaan anda terlibat dalam kemalangan dan pihak insurans mendapati warna kereta yang dinyatakan dalam rekod pendaftaran tidak sama dengan warna semasa kenderaan, besar kemungkinan pihak insurans tidak mahu menanggung kerugian yang dialami oleh pemilik.

Buat masa ini, urusan permohonan penukaran warna ini hanya boleh dilakukan di kaunter JPJ. Untuk memudahkan urusan, anda boleh memuat turun borang Notis Pertukaran Butir-Butir Kenderaan Dan Pemunya Berdaftar (JPJ K8) di portal rasmi Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia terlebih dahulu untuk mengelakkan kesesakan di kaunter JPJ.

Selain itu, jika anda sedang mempertimbangkan untuk menjual kereta lama dan berminat untuk mendapatkan kereta terpakai baharu, layari laman web Carsome untuk info lanjut. Carsome merupakan platform jual beli kereta terpakai yang menawarkan tawaran harga terbaik dengan perkhidmatan yang mudah, cekap dan pantas.

Haziq Asyraf
Haziq Asyraf
A self-proclaimed foodie and gamer whose passion for food and games has recently extended to cars.
RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular