Proses Tuntutan Insurans Kereta dan Cara Claim Insurans Kemalangan

Insiden kemalangan jalan raya bukanlah suatu isu biasa yang perlu dipandang remeh. Berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kematian akibat kemalangan jalan raya mencatatkan purata sekitar 1.35 juta orang setahun. Malah, menurut statistik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), sebanyak 19,515 kes kemalangan dicatatkan di seluruh negara sepanjang pelaksanaan Op Selamat bermula Mei hingga Jun 2019. Selain itu, angka kes kecederaan dan kematian akibat kemalangan jalan raya turut dilaporkan meningkat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berbanding Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kemalangan jalan raya boleh berlaku disebabkan oleh sikap pengguna jalan raya itu sendiri, keadaan kenderaan dan persekitaran. Faktor-faktor seperti terbabas, masuk laluan bertentangan, kecuaian, mengekori kenderaan terlalu rapat dan sebagainya merupakan antara faktor yang biasa berlaku. Oleh sebab itu, penting untuk anda terutamanya pemilik kenderaan memiliki insurans kereta untuk mengurangkan risiko dan kos luar jangka yang perlu ditanggung sekiranya kenderaan anda terlibat dalam kemalangan. Jika anda berada dalam situasi sebegini, anda mungkin boleh pertimbangkan cara lakukan tuntutan insurans kemalangan atau claim insurans kereta ini sebagai panduan anda.

Cara Lakukan Tuntutan Insurans Kemalangan atau Claim Insurans Kereta Kemalangan

Jika anda terlibat dalam kemalangan jalan raya yang mengakibatkan kerosakan harta benda tanpa sebarang kecederaan fizikal, CARSOME menyenaraikan 5 langkah yang boleh anda ikuti untuk memudahkan urusan anda:

1. Dapatkan Bantuan

Sejurus selepas kemalangan berlaku, berhentikan kenderaan anda di bahu jalan. Pastikan kenderaan anda tidak menghalang pergerakan lalu lintas. Sebaik sahaja keluar daripada kenderaan, periksa sebarang kerosakan yang berlaku pada kenderaan anda. Hubungi syarikat insurans anda atau talian khidmat pelanggan untuk membantu anda jika kereta anda mengalami kerosakan teruk dan memerlukan perkhidmatan trak tunda. Namun begitu, anda diingatkan untuk berurusan dengan pengendali trak tunda yang berdaftar dengan syarikat insurans anda.

Jika anda tidak pasti, dapatkan nama dan nombor pendaftaran pengendali trak tunda daripada syarikat insurans anda dan tunggu sehingga mereka tiba. Kebiasaannya, jika berlaku kemalangan, ramai pihak ketiga atau ejen trak tunda yang akan menawarkan perkhidmatan trak tunda ke bengkel milik mereka. Kekal tenang dan jangan sesekali memberikan keizinan kepada pihak ketiga untuk menguruskan kenderaan anda.

2. Kumpulkan Bukti

Catatkan lokasi dan masa kemalangan untuk memudahkan rujukan semasa membuat laporan polis atau proses tuntutan. Dapatkan butiran individu yang melanggar atau yang dilanggar oleh kereta anda. Ambil gambar kawasan kejadian, kerosakan pada kenderaan, nombor plat, cukai kenderaan dan kad pengenalan individu yang terlibat. Jika individu terlibat enggan memberikan kerjasama, nyatakan kepadanya bahawa di bawah seksyen 52 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, anda mempunyai hak di sisi undang-undang sebagai orang yang dilanggar untuk mendapatkan butiran pihak yang melanggar. Catat maklumat-maklumat penting seperti:

  1. Nombor lesen memandu;
  2. Nombor telefon untuk dihubungi dan alamat tempat tinggal;
  3. Model dan nombor pendaftaran kenderaan;
  4. Syarikat insurans yang didaftarkan.

Untuk mengelakkan individu tersebut daripada memberikan nombor telefon yang salah, minta individu tersebut untuk menelefon anda menggunakan telefon bimbit miliknya. Selain itu, pastikan juga keadaan persekitaran adalah selamat sebelum anda keluar daripada kereta.

insurans kemalangan

3. Buat Laporan Polis

Jika kenderaan anda masih selamat untuk dinaiki, segera pandu kenderaan anda ke balai polis yang berhampiran untuk membuat laporan polis. Sekiranya kereta anda rosak teruk, tunggu sehingga bantuan perkhidmatan trak tunda tiba. Laporan polis membabitkan kemalangan perlu dibuat dalam tempoh 24 jam dan anda boleh dikenakan denda jika lambat atau gagal berbuat sedemikian.

Pegawai Penyiasat atau Penolong Pegawai Penyiasat yang bertugas akan menjalankan siasatan awal seperti merakamkan percakapan anda dan saksi, mengambil gambar kenderaan yang terlibat dan mendapatkan dokumen-dokumen yang berkaitan. Kebiasaannya, keputusan kes akan dikeluarkan dalam tempoh 15 hari selepas kemalangan, manakala salinan laporan akan diberikan serta-merta atau tidak melebihi tempoh 3 hari bekerja.

4. Maklumkan Kepada Syarikat Insurans

Anda perlu memaklumkan kepada syarikat insurans anda dalam tempoh tujuh (7) hari dari tarikh kemalangan. Anda juga disarankan untuk mengemukakan tuntutan insurans untuk kos pembaikan kerosakan kenderaan anda secepat mungkin setelah mendapatkan salinan keputusan kes.

5. Hantar Kereta ke Bengkel Panel

Minta senarai penuh bengkel panel daripada syarikat insurans anda. Hantar kenderaan anda ke pusat servis kenderaan yang dipercayai bagi memastikan kerosakan kenderaan dibaiki dengan sempurna dan alat ganti yang digunakan adalah tulen. Jika kenderaan anda dilanggar, pihak insurans kereta biasanya akan membuat tuntutan ke atas insurans pihak yang melanggar anda.

i. Tuntutan Kerosakan Sendiri

Ia merujuk pada proses tuntutan kerugian atau kerosakan pada kereta anda daripada syarikat insurans anda sendiri.

a. Perkara yang Boleh Dituntut
        • Jika kemalangan berpunca daripada kesalahan anda, buat tuntutan Kerosakan Sendiri;
        • Jika kemalangan BUKAN berpunca daripada kesalahan anda, buat tuntutan Kerosakan Sendiri Knock-for-Knock (bukan tuntutan pihak ketiga).

Apa itu knock-for-knock? Own Damage Knock-for-Knock atau OD KFK ialah kaedah tuntutan insurans daripada pihak ketiga melalui syarikat insurans sendiri. Dalam erti kata lain, kita menuntut bayaran daripada syarikat insurans sendiri dan pihak insurans akan menuntut semula daripada syarikat insurans pihak ketiga.

b. Manfaat Membuat Tututan Kerosakan Sendiri Knock-for-Knock
        • Tuntutan insurans dapat diselesaikan dengan lebih cepat;
        • Anda tidak akan hilang kelayakan Diskaun Tanpa Tuntutan (No Discount Claim, NCD);
        • Anda boleh menuntut ekses* dan loss of use daripada syarikat insurans pihak lain.
        • Ekses – Amaun yang anda perlu bayar sama ada kemalangan berpunca daripada kesalahan anda atau tidak, syarikat insurans akan membayar baki tuntutan selebihnya.
c. Perlindungan Komprehensif – Cara Claim Insurans Kereta Kemalangan Sendiri

Anda hanya perlu mengemukakan dokumen-dokumen berikut kepada syarikat insurans anda:

        • Borang tuntutan yang lengkap;
        • Salinan asal laporan polis, kad pengenalan dan lesen memandu (pemandu dan pemegang polisi) dan sijil pemilikan kenderaan;
        • Gambar kejadian kemalangan dan kerosakan pada kenderaan;
        • Dokumen polis yang menyatakan pihak yang dikompaun bagi kesalahan jalan raya.

ii. Tuntutan Kerosakan Harta Pihak Ketiga

Ia merujuk pada proses tuntutan terhadap syarikat insurans pihak lain jika kemalangan bukan berpunca daripada kesalahan anda.

a. Perkara yang Boleh Dituntut
        • Kerosakan pada kereta atau harta anda akibat kemalangan jalan raya yang berpunca daripada pihak lain;
        • Kerugian kewangan yang lain seperti ekses, loss of uses.
b. Perlindungan Pihak Ketiga – Cara Claim Insurans Kereta Kemalangan Pihak Ketiga
        • Hantar kereta anda ke bengkel panel syarikat insurans;
        • Syarikat insurans akan melantik adjuster untuk menilai kos kerosakan kereta anda;
        • Anda hanya perlu mengemukakan dokumen-dokumen berikut kepada syarikat insurans pihak ketiga:
          1. Salinan asal laporan polis, kad pengenalan dan lesen memandu (pemandu dan pemegang polisi) dan sijil pemilikan kenderaan;
          2. Laporan adjuster;
          3. Bil kos pembaikan kereta anda;
          4. Gambar kejadian kemalangan dan kerosakan pada kenderaan;
          5. Dokumen polis yang menyatakan pihak yang dikompaun bagi kesalahan jalan raya.

Artikel Berkaitan: Jenis, Harga dan Perbandingan Polisi Insurans Kereta di Malaysia

iii. Pampasan untuk Tempoh Pembaikan Yang Dianggarkan atau Loss of Use

Selain kos pembaikan kerosakan, anda juga layak menuntut loss of use daripada pihak insurans. Loss of use merujuk pada amaun yang perlu dibayar oleh syarikat insurans pihak lain mengikut bilangan hari yang diperlukan untuk membaiki kereta anda seperti yang dinilaikan oleh adjuster (bukan berdasarkan bilangan hari kereta berada di bengkel). Anda akan diberikan wang pampasan bagi kos pengangkutan yang terpaksa ditanggung selama tempoh kenderaan anda tidak boleh digunakan.

Loss of Use = Kadar Mengikut Resit Tambang Teksi atau Perjanjian Sewa Kereta X Bilangan Hari yang Diperlukan untuk Membaiki Kereta

Anda disarankan untuk menyimpan segala bukti pembayaran seperti resit tambang teksi atau sewa kereta untuk membuat tuntutan ini. Kebiasaannya, proses tuntutan ini memakan masa 3-5 hari bekerja. Biasanya, pihak pusat servis akan menyediakan laporan lengkap beserta salinan dokumen yang diperlukan untuk memudahkan urusan tuntutan anda. Hantar dokumen dan laporan tersebut kepada syarikat insurans pihak ketiga untuk diproses. Dapatkan maklumat pengawai yang berkenaan dan lakukan follow-up dari semasa ke semasa.

iv. Cara Mengelakkan Kemungkinan Tuntutan Ditolak

Untuk menyelesaikan tuntutan anda dengan lebih pantas dan mengelakkan tuntutan anda daripada ditolak, anda mungkin boleh mempertimbangkan perkara ini untuk tindakan lanjut:

    • Maklumkan kepada syarikat insurans mengenai kemalangan dalam tempoh tujuh (7) hari dari tarikh kemalangan;
    • Pastikan butiran dan maklumat yang dinyatakan lengkap sebelum membuat tuntutan atau claim insurans;
    • Sediakan butiran dan dokumen sokongan yang menjelaskan kehilangan atau kerosakan yang ingin dituntut;
    • Pastikan kenderaan persendirian tidak digunakan untuk sewaan atau mengangkut barangan bagi tujuan perniagaan;
    • Nyatakan maklumat tambahan mengenai individu, kenderaan atau harta benda yang terlibat (jika perlu);
    • Pastikan maklumat polisi, butiran kemalangan seperti tarikh, jenis kerosakan, lokasi dan sebagainya dinyatakan dengan jelas, benar dan tepat.

insurans kemalangan

Soalan-Soalan Lazim Berkaitan Polisi Insurans dan Proses Tuntutan Insurans Kemalangan

Kami turut menyenaraikan soalan-soalan lazim berkaitan insurans kereta dan proses tuntutan insurans kemalangan untuk panduan anda:

1. Bagaimana saya boleh membeli insurans kereta saya?

Anda boleh membeli insurans kereta melalui ejen yang berdaftar atau secara dalam talian. Untuk pembelian insurans secara dalam talian, anda boleh merujuk panduan yang disediakan di sini – Artikel Berkaitan: Cara ‘Renew’ Roadtax dan Insurans Kereta Secara Online

2. Apa yang perlu dilakukan jika kereta saya dicuri atau kemalangan?

Anda perlu melaporkan insiden kecurian atau kemalangan kepada polis dengan segera atau dalam tempoh 24 jam. Kemudian, hubungi syarikat insurans anda untuk maklumat dan tindakan lanjut.

3. Berapa lama tempoh menunggu untuk mendapatkan/menerima tuntutan sekiranya berlaku kecurian atau kemalangan?

Pemprosesan tuntutan kecurian atau kemalangan biasanya memakan masa 6 bulan atau lebih bergantung pada tahap kerumitan tuntutan. Namun begitu, tuntutan biasanya diselesaikan sebaik sahaja siasatan kecurian atau kemalangan selesai tanpa sebarang masalah dikesan.

4. Apakah Diskaun Tanpa Tuntutan (NCD)?

NCD atau No Claim Discount merujuk kepada skim ganjaran untuk pemegang polisi sekiranya tidak membuat sebarang tuntutan dalam tempoh polisi untuk tahun semasa. Kadar NCD ditentukan mengikut kelas kenderaan iaitu antara 25 hingga 55 peratus untuk kenderaan persendirian dan 15 hingga 25 peratus untuk motosikal dan kenderaan komersial.

5. Apakah pilihan tuntutan yang biasa tersedia dalam polisi insurans kenderaan?

Tuntutan-tuntutan yang biasa tersedia dalam polisi insurans adalah seperti berikut:

    1. Kerosakan sendiri;
    2. Kerosakan sendiri tanpa kesalahan (tuntutan OD-KFK);
    3. Cermin hadapan;
    4. Kecurian;
    5. Kerosakan harta benda pihak ketiga;
    6. Kecederaan tubuh pihak ketiga.
6. Apakah dokumen asas yang diperlukan untuk melakukan tuntutan?

Secara amnya, dokumen asas perlu dikemukakan kepada syarikat insurans dalam tempoh yang munasabah untuk memudahkan proses pembayaran. CARSOME menyenaraikan dokumen-dokumen asas yang diperlukan mengikut jenis tuntutan untuk panduan anda:

a. Kerosakan Sendiri
        1. Borang tuntutan yang diisi dengan lengkap – maklumat adalah tepat dan betul;
        2. Salinan kad pengenalan orang yang diinsuranskan dan pemandu semasa kemalangan berlaku;
        3. Butiran anggaran kos pembaikan kenderaan sendiri oleh panel yang dilantik;
        4. Salinan Perjanjian Sewa Beli (jika ada);
        5. Permit kenderaan – untuk kenderaan komersial;
        6. Salinan lesen memandu pemandu semasa kemalangan berlaku;
        7. Lesen Memandu Kenderaan Barangan (GDL) atau Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) – untuk kenderaan komersial;
        8. Salinan asal laporan polis yang disahkan;
        9. Sijil Pemilikan Kenderaan/Perakuan Pendaftaran Kenderaan yang dikeluarkan oleh JPJ (salinan);
        10. Salinan sijil pendaftaran perniagaan – untuk kenderaan berdaftar syarikat;
        11. Dokumen-dokumen tambahan lain (bergantung pada situasi).
b. Kerosakan Sendiri Tanpa Kesalahan (OD-KFK)
        1. Borang tuntutan yang diisi dengan lengkap – maklumat adalah tepat dan betul;
        2. Salinan asal laporan polis yang disahkan;
        3. Salinan kad pengenalan, lesen memandu orang yang diinsuranskan dan pemandu semasa kemalangan berlaku;
        4. Butiran anggaran kos pembaikan kenderaan sendiri oleh panel yang dilantik;
        5. Salinan Perjanjian Sewa Beli (jika ada);
        6. Permit kenderaan – untuk kenderaan komersial;
        7. Lesen Memandu Kenderaan Barangan (GDL) atau Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) – untuk kenderaan komersial;
        8. Sijil Pemilikan Kenderaan/Perakuan Pendaftaran Kenderaan yang dikeluarkan oleh JPJ (salinan);
        9. Laporan siasatan polis (bukti pihak lain penyebab kemalangan);
        10. Pelan rajah dan pelan punca polis;
        11. Butiran penginsurans dan salinan laporan polis pihak lain;
        12. Pengisytiharan bersetuju kehilangan Diskaun Tanpa Tuntutan sekiranya tuntutan tidak memenuhi syarat Tuntutan OD-KFK.
c. Tuntutan atau Claim Cermin Hadapan
        1. Borang tuntutan yang diisi dengan lengkap – maklumat adalah tepat dan betul;
        2. Salinan kad pengenalan orang yang diinsuranskan dan pemandu semasa kemalangan berlaku;
        3. Bil pembaikan/invois cukai;
        4. Salinan asal laporan polis yang disahkan (jika tidak digantikan/dibaiki di bengkel panel);
        5. Sijil Pemilikan Kenderaan/Perakuan Pendaftaran Kenderaan yang dikeluarkan oleh JPJ (salinan).
d. Kecurian
        1. Borang tuntutan yang diisi dengan lengkap – maklumat adalah tepat dan betul;
        2. Salinan kad pengenalan, lesen memandu orang yang diinsuranskan dan pemandu/penunggang semasa kecurian berlaku;
        3. Butiran anggaran kos pembaikan kenderaan sendiri oleh panel yang dilantik;
        4. Salinan Perjanjian Sewa Beli (jika ada);
        5. Permit kenderaan – untuk kenderaan komersial;
        6. Sijil Pemilikan Kenderaan/Perakuan Pendaftaran Kenderaan yang dikeluarkan oleh JPJ (salinan);
        7. Salinan asal laporan polis yang disahkan;
        8. Lesen Memandu Kenderaan Barangan (GDL) atau Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) – untuk kenderaan komersial;
        9. Salinan sijil pendaftaran perniagaan – untuk kenderaan berdaftar syarikat;
        10. Salinan permit AP – untuk kenderaan diimport/kenderaan dipulihkan;
        11. Dokumen-dokumen tambahan lain (bergantung pada situasi).
e. Kerosakan Harta Benda Pihak Ketiga (TPPD)
        1. Surat permintaan dengan butiran amaun tuntutan;
        2. Salinan asal laporan polis yang disahkan untuk orang yang diinsuranskan dan pihak ketiga yang terlibat dalam kemalangan;
        3. Laporan siasatan polis dan pelan rajah;
        4. Gambar kejadian kemalangan dan gambar (daripada) polis;
        5. Salinan kad pengenalan, lesen memandu orang yang diinsuranskan dan pemandu semasa kemalangan berlaku;
        6. Laporan adjuster;
        7. Butiran anggaran kos pembaikan kenderaan sendiri oleh panel yang dilantik;
        8. Salinan polisi insurans pihak ketiga;
        9. Perjanjian sewa kereta daripada syarikat berdaftar untuk tuntutan LOU;
        10. Sijil Pemilikan Kenderaan/Perakuan Pendaftaran Kenderaan yang dikeluarkan oleh JPJ (salinan);
        11. Dokumen-dokumen tambahan lain (bergantung pada situasi).
7. Sekiranya cermin hadapan kereta saya pecah, bolehkah saya membuat tuntutan?

Sekiranya ada anda membeli perlindungan tambahan kerosakan cermin hadapan, anda boleh menuntut penggantian cermin hadapan tanpa menjejaskan NCD. Sebaliknya, anda akan kehilangan NCD jika membuat Tuntutan Kerosakan Sendiri. Selain itu, anda juga disarankan untuk membeli semula perlindungan cermin hadapan setelah tuntutan dibuat kerana tuntutan ini hanya boleh dibuat sekali bagi setiap pembelian. Rujuk syarikat insurans anda untuk maklumat lanjut.

8. Siapakah yang boleh membuat Tuntutan Kerosakan Sendiri Tanpa Kesalahan? 

Semua pemegang polisi kereta persendirian komprehensif boleh membuat tuntutan ini.

9. Apa itu Tuntutan Kerosakan Sendiri Tanpa Kesalahan? 

Secara amnya, ia hampir sama seperti Tuntutan Kerosakan Sendiri. Namun begitu, NCD tidak akan terjejas meskipun pemegang polisi menuntutnya dengan syarat kemalangan tersebut bukan disebabkan oleh kesalahan anda dan anda tidak disaman oleh pihak polis.

10. Bagaimana NCD akan terjejas jika saya membuat tuntutan?

Tuntutan Kerosakan Sendiri, tuntutan kecurian, tuntutan cermin hadapan atau pihak ketiga membuat tuntutan terhadap polisi insurans anda akan menyebabkan diskaun tanpa tuntutan atau NCD anda dikurangkan menjadi sifar. Namun begitu, NCD sedia ada tidak akan terjejas sekiranya anda membeli perlindungan tambahan seperti endorsmen 89 (cermin hadapan) dan endorsmen 111 (kereta persendirian). NCD untuk tuntutan kecurian akan dilupuskan tanpa mengira perlindungan tambahan yang dibeli.

11. Adakah saya akan kehilangan NCD jika saya membuat tuntutan?

Anda tidak akan kehilangan hak NCD anda jika anda membuat Tuntutan Kerosakan Sendiri Tanpa Kesalahan.

insurans kemalangan jalan raya terbaik

Perkongsian ini diharap dapat membantu anda sekiranya anda terlibat dalam kemalangan. Anda digalakkan untuk mendapatkan polisi insurans kereta yang terbaik dan komprehensif untuk melindungi diri, keluarga dan kenderaan anda dengan lebih baik sekiranya berlaku kemalangan atau perkara yang tidak diingini. Selain itu, jika anda merancang untuk menjual kereta lama anda, layari laman web CARSOME untuk info lanjut. CARSOME menawarkan perkhidmatan jual beli kereta terpakai yang professional, telus dan pantas dengan tawaran harga yang terbaik.