HomeBMPanduan Pandu Uji Kereta Yang Patut Anda Tahu

Panduan Pandu Uji Kereta Yang Patut Anda Tahu

Membeli kereta, tak kiralah sama ada yang baharu ataupun yang terpakai, merupakan satu proses yang memerlukan komitmen bagi menyelidik dan juga membuat keputusan. Disebabkan anda akan memiliki kereta ini untuk beberapa tahun, anda mestilah nak kereta yang dibeli memenuhi keperluan dan kehendak anda. 

Kerana itulah pandu uji sangat penting sebelum membeli kereta untuk mengetahui sama ada kereta tersebut sesuai untuk anda. Untuk memastikan anda boleh mendapat manfaat sepenuhnya semasa sesi pandu uji, ini panduan untuk segalanya yang anda patut tahu mengenai pandu uji. 

Senarai Kandungan

Kenapa Kena Pandu Uji Kereta? 

Apabila ingin membeli kereta, anda boleh memilih untuk memandu uji. Ketika inilah anda boleh merasai pengalaman memandu kereta tersebut. Penjual akan semestinya berada bersama anda sepanjang sesi pandu uji dan semasa anda memandu uji kereta, anda boleh tanya soalan-soalan supaya anda faham segalanya tentang kereta tersebut serta sebarang kemusykilan yang anda ada. 

test driving a car

Anda boleh tahu bermacam perkara semasa sesi pandu uji terutamanya ketika memandu pada kelajuan yang pelbagai di permukaan jalan yang berbeza, atau memasuki simpang, dan sebagainya. Ini dua sebab mengapa anda wajib memandu uji kereta: 

  1. Memastikan kereta sesuai dengan gaya hidup anda: Disebabkan kereta ini merupakan antara komitmen kewangan terbesar yang anda akan buat, anda semestinya mahukan kereta yang sesuai dengan anda. Ketika sesi pandu uji, anda berpeluang untuk faham dan merasai pengalaman memandu kereta tersebut. Anda juga boleh memeriksa ciri seperti ruang but, bilangan tempat duduk, dan lain-lain. 
  2. Periksa keadaan dan prestasi kereta: Memandu kereta dengan meninjau kereta adalah pengalaman yang sangat berbeza. Ada beberapa perkara yang anda tidak akan perasan ketika meninjau kerana masalah seperti bunyi pelik ketika memandu ataupun masalah pengendalian stereng hanya akan muncul ketika pandu uji. Ini sangat penting terutamanya ketika anda membeli kereta terpakai kerana ada penjual yang mungkin tidak memberitahu bahagian kereta mana yang telah rosak. 

Disebabkan itulah, anda sepatutnya menjangkakan kereta yang anda beli berbaloi dengan harga yang ditawarkan. Dengan pandu uji, anda berpeluang mengetahui dan merasai dengan memandu sendiri kereta yang anda ingin beli. 

Artikel Berkaitan: Panduan Lengkap Loan Kereta: Apa yang Anda Perlu Tahu Tentang Pinjaman Kereta

Nak tahu apa yang anda sepatutnya buat sebelum pergi ke pusat jualan untuk pandu uji? Ini apa yang anda boleh buat: 

Soalan yang Sepatutnya Anda Tanya Sebelum Pandu Uji 

Sebelum membeli kereta, ini soalan-soalan yang anda perlu tanya diri anda sendiri dahulu. 

  1. Adakah Kereta Ini Sesuai Dengan Gaya Dan Keperluan Hidup Saya?

Apabila membeli kereta (baharu atau terpakai), penting untuk anda tahu dulu untuk apa kereta anda akan digunakan – adalah ia akan digunakan untuk seisi keluarga, mengambil anak daripada sekolah, untuk membawa haiwan peliharaan, aktiviti luar, atau lain-lain? Pandu uji boleh menjawab semua soalan ini. 

  1. Cukup Ke Ruang Untuk Tempat Duduk Kanak-kanak Atau Untuk Anak-anak Duduk? 

Jika anda berkeluarga, kereta yang dibeli sepatutnya cukup selesa untuk penumpang hadapan dan juga penumpang belakang. Kalau boleh, bawa sekali keluarga anda untuk sesi pandu uji. Dan periksa juga ada tak ruang mencukupi untuk tempat duduk kanak-kanak. Pastikan semua orang dapat duduk dengan selesa dengan ruang kaki yang mencukupi sebab anda tak nak rasa tak selesa kerana lutut penumpang belakang menekan kerusi pemandu dan dirasai oleh anda. 

  1. Macam Mana Dengan Prestasi Kereta? 

Apabila anda memandu uji, pandulah melalui pelbagai permukaan jalan termasuklah lebuh raya. Perhatikan pengendalian kereta, pertukaran gear, pecutan, dan juga brek serta bagaimana ia membelok. 

Anda juga patut tanya tentang penggunaan minyak kereta. Contohnya, berapa banyak minyak diperlukan untuk memandu sejauh 100km. Kebiasaannya, lima hingga lapan liter untuk setiap 100km sudah cukup tetapi kalau melebihi 12 liter untuk setiap 100km, penggunaan minyak boleh dianggap tidak cekap. 

  1. Kereta Senang Diparkir? 

Setiap perjalanan dimulakan dan berakhir dengan parkir. Membeli kereta yang mudah diparkir boleh menjimatkan banyak masa dan boleh mengelakkan rasa kecewa nanti. Jadi, pertimbangkan faktor ini termasuklah keperluan untuk parkir di tempat kerja dan rumah anda. Kereta baharu kini dilengkapi dengan ciri canggih seperti sistem bantu parkir yang boleh membantu anda memarkir dengan betul dengan bantuan kamera beserta pengesan. 

  1. Ciri Yang Anda Tak Suka? 

Setelah selesai pandu uji, fikirkan apa yang anda tak suka tentang kereta tersebut. Butiran kecil seperti mudah tak nak keluar masuk kereta (terutama jika anda seorang yang tinggi atau memerlukan bantuan) atau keselesaan kerusi mungkin boleh diambil kira nanti. 

Senarai Semak Apa Yang Patut Anda Buat Sebelum, Semasa, & Selepas Pandu Uji

Membeli kereta lebih-lebih lagi kereta terpakai boleh jadi perkara yang menyeronokkan atau menakutkan. Ini merupakan senarai semak yang boleh membantu anda semasa pandu uji dan segalanya yang perlu anda buat sebelum, semasa, dan selepas pandu uji. 

Artikel Berkaitan: 4 Cara Mudah Untuk Kenal Pasti Kereta Terpakai yang Terbaik Bagi Pembeli Kali Pertama

Sebelum Memilih Kereta 

Selidik dahulu kereta yang anda nak beli sebelum melawat ke pusat jualan. Anda boleh baca ulasan dalam talian, menyertai ruang perbincangan, dan mencari panduan membeli bagi kereta yang anda ingini untuk dapatkan maklumat tentang kereta yang anda mahukan. 

Sebelum Masuk Ke Dalam Kereta 

Anda sepatutnya periksa: 

  • Jika ada sebarang kesan karat di bawah kereta, lingkungan tayar, dan juga badan kereta. 
  • Jika ada sebarang kesan lekukan dan calar. 
  • Jika keadaan paip ekzos dipasang dengan betul dan kuat. 
  • Warna asap kereta yang keluar daripada ekzos. 
  • Jika semua lampu dan lampu isyarat kereta berfungsi. 
  • Keadaan tayar. Adakah ia sudah haus? Jika bunga tayar kurang daripada 3mm, ia perlu ditukar. 
  • Bahagian enjin dengan minyak enjin perlu diisi pada tahap yang betul atau jika ada sebarang kesan karat atau bocor. 
  • Sebarang kesan merekah pada hos dan tali sawat. 
  • Laporan servis dan pemeriksaan kereta untuk mengetahui tentang keadaan kereta. 
  • Dokumen yang lengkap untuk kereta (cukai jalan, insurans, dsb). 

Sebelum Menghidupkan Enjin

  • Pastikan sistem maklumat hibur termasuklah audio berfungsi dengan baik. Dengarkan sebarang bunyi yang tenggelam atau tidak jelas yang menjadi tanda audio yang telah rosak. 
  • Periksa perbatuan. Adakah perbatuan yang direkodkan rasional dengan keadaan kereta? 
  • Periksa jika pendingin hawa, tingkap, sistem kunci, bilah pengelap cermin, dan cermin sisi berfungsi dengan sempurna. 
  • Periksa juga untuk lampu amaran. Ada yang mati sejurus enjin dihidupkan? Ada yang hidup semasa pemanduan? 

Semasa Pandu Uji

  • Adakah kereta memecut apabila anda menekan pedal minyak? 
  • Adakah stereng berpusing dengan lancar? Jika kereta melencong ke satu sisi semasa anda memandu, ia mungkin disebabkan tekanan tayar tak sekata atau masalah pada suspensi. 
  • Perhatikan tolok suhu untuk sebarang tanda peningkatan suhu. 
  • Bagi kereta manual, adakah cekam (clutch) boleh ditekan? Bolehkah anda menukar gear dengan senang dan adakah kereta menyentak semasa pertukaran gear? 
  • Untuk kereta automatik, adakah tuil gear berada pada kedudukan yang betul atau anda perlu membetulkannya secara manual? 
  • Apabila membrek, adakah kereta berhenti sepenuhnya atau anda perlu menekan pedal brek dengan kuat barulah kereta berhenti? Ada dengar sebarang bunyi pelik semasa anda membrek? 
  • Uji brek tangan, sebaiknya di bukit. 
  • Pandu di atas bonggol kelajuan untuk merasai pemanduan di atas permukaan jalan tak rata. Dengarkan juga untuk sebarang bunyi ketukan atau dentangan. 

Selepas Pandu Uji 

  • Tunggu beberapa minit sebelum mematikan kereta dan hidupkan semula sementara enjin masih lagi panas. Jika ia tidak hidup, pasti ada masalah yang serius yang anda nak elak kerana ia mungkin berpunca daripada pemancit bahan api. 
  • Adakah ia sesi pemanduan yang selesa? Adakah ia sesuai dengan keperluan harian anda? Adakah cukup ruang kaki bagi semua penumpang yang akan menaiki kereta anda? 
  • Jangan buat keputusan terus. Yang terbaik adalah untuk memandu uji kereta sebanyak tiga kali bagi membiasakan diri anda dengan kereta dan memastikan anda sentiasa ada pilihan yang lain. 

Kesilapan yang Mahu Dielakkan Semasa Pandu Uji 

Ini merupakan antara kesilapan yang anda mahu elakkan semasa anda memandu uji kereta. 

  • Bertemu Dengan Pemilik/Berkunjung Ke Pusat jualan tanpa perancangan 

Sebelum bertemu dengan pemilik atau berkunjung ke pusat jualan, selidik dahulu kereta yang anda ingin beli. Ketahui berapa harga kereta, berapa banyak anda boleh bayar untuk kereta serta pembaikan yang ada dan kenal pasti mengapa anda nak membeli kereta tersebut. Jangan termakan dengan pujuk rayu jurujual untuk membeli kereta yang lain. 

  • Tidak Membuat Bajet Yang Betul 

Ketika menyediakan bajet bagi kereta baharu anda, selain daripada mengambil tahu tentang harga pasaran dan jumlah pinjaman, anda juga sepatutnya buat kira-kira bagi penyelenggaraan kereta dan juga untuk sebarang  kerosakan yang mungkin berlaku. 

  • Tidak Mempertimbangkan Dengan Sebaiknya Kereta Yang Ingin Dibeli

Apa saja yang anda nak beli, jangan terlalu terburu-buru untuk membuat keputusan. Tak perlulah pandu uji setiap kereta yang dijual tetapi yang penting ialah anda mengambil masa untuk mempertimbangkan sebelum membuat keputusan untuk membeli. 

Berapa Lama & Di Mana Nak Pandu Uji? 

Inilah masanya untuk menilai kereta yang anda pilih dan anda boleh mengesan sebarang masalah dengan rangkaian pemacu (drivetrain), pemanduan, suspensi, brek, atau lain-lain bahagian penting pada kereta. Berkenaan berapa lama sepatutnya anda memandu uji kereta, anda sepatutnya memandu seberapa lama yang boleh dan di beberapa jenis permukaan jalan dan juga keadaan memandu yang berbeza. 

Kebanyakan pusat jualan mempunyai laluan yang telah ditetapkan dan mereka akan cadangkan kepada anda laluan ini yang kebiasaannya mengambil masa 15 hingga 30 minit. Tetapi jangan takut untuk meminta untuk memanjangkan sesi pandu uji jika anda perlukannya. 

Jadi, di mana anda mahu pandu uji kereta? Jika anda tinggal dan bekerja di bandar, anda semestinya akan memandu di pelbagai keadaan jalan sepanjang hari. Jadi, jika anda ingin  memandu uji, anda sepatutnya memandu di dalam kawasan bandar, di atas lebuh raya, dan juga di jalan luar bandar/kampung. Uji pengendalian kereta pada pelbagai kelajuan dan jangan lupa  untuk menguji kecekapan brek. 

Ketika Anda Memandu Di Atas Jalan Dengan Trafik Tak Menentu

  • Pastikan untuk perhatikan sensasi brek apabila anda berhenti. 
  • Dengarkan untuk sebarang bunyi berkeriut atau berdecit yang menjadi tanda pad brek yang telah haus.
  • Bagaimana pemanduan melalui lubang jalan dan jalan tak rata? Anda sepatutnya memandu perlahan dan mendengar untuk sebarang bunyi berdentang atau ketukan yang menandakan masalah pada stereng. 
  • Keadaan kereta ketika membelok selekoh tajam? Adakah ia bergerak dengan lancar tanpa bergoyang? Sebarang rintangan atau sentakan mungkin petanda masalah pada suspensi. 

Ketika Memandu Di Lebuh Raya Di Mana Anda Boleh Memecut: 

  • Adakah kereta anda memecut dengan laju dan bergerak lancar daripada gear ke gear? Jika kereta menyentak ketika bertukar gear, itu merupakan petanda masalah enjin. 
  • Menukar laluan dengan berhati-hati beberapa kali untuk mengetahui tindak balas kereta pada kelajuan yang berbeza. 
  • Dengar untuk sebarang bunyi berdecit, bising di sebalik bunyi enjin. Ia mungkin tanda tali sawat yang rosak atau pad brek. 
  • Mendaki bukit untuk memeriksa brek. 

Ketika Anda Parkir Sisi 

  • Pertukaran kepada gear undur yang lancar. Jika kereta tersentak atau mengeluarkan bunyi berdentang ketika menukar gear, ia mungkin tanda masalah transmisi. 
  • Bagaimana dengan tindak balas kereta? Ketika kereta dalam gear undur, adakah pedal minyak dan brek terasa ‘lain’? 
  • Muat ke kereta dalam ruang parkir biasa? 

Sekarang anda pun dah tahu apa yang perlu dibuat sebelum, semasa, dan selepas pandu uji dna juga di mana anda boleh pandu uji kereta, jadi anda kini boleh membezakan antara kereta terpakai yang bagus dan juga kereta terpakai berisiko tinggi. Ini caranya untuk anda mengelakkan daripada terbeli kereta berisiko tinggi. 

Bagaimana Untuk Elakkan Terbeli Kereta Berisiko Tinggi? 

Nak Tahu Tanda-tanda Kereta Berisiko Tinggi? Ini Tanda-tandanya: 

  • Periksa untuk tanda-tanda jika kereta anda pernah mengalami kebakaran. Fius yang terbakar lebih daripada sekali ialah tanda bahawa komponen elektrik yang telah rosak. 
  • Tumpahan minyak pada bahagian enjin daripada gasket yang bocor. 
  • Ada kebocoran cecair di bawah kereta. 
  • Anda boleh terbau petrol bukan pada masa mengisi minyak. 
  • Ada perubahan langsung pada tahap minyak, tahap petrol, dan suhu enjin. 
  • Hos enjin yang longgar atau rosak. 
  • Bau plastik atau getah terbakar ketika anda memasuki kereta. 
  • Wayar elektrik yang merekah atau longgar mendedahkan besi di dalam wayar. 

Tanda-tanda Kereta Yang Anda Uji Pernah Ditenggelami Banjir 

  • Bau hapak dan pengap ketika memasuki kereta 
  • Minyak enjin yang berwarna pucat dan menjadi melekit. 
  • Kotoran seperti debu, lumpur, pasir, dan selut memenuhi beberapa tempat seperti dalam kotak simpanan papan pemuka, di antara enjin, di dalam but, di bawah tayar simpanan, di celah tempat duduk, dan di bawah papan pemuka. 
  • Sebarang karat atau hakisan pada bahagian besi (skru, engsel pintu, spring hud, bingkai badan luaran). 
  • Lampu amaran yang berkabut daripada air yang masih terperangkap di dalamnya. 
  • Ada gelembung muncul pada cat kereta menandakan ia dicat dengan tidak kemas untuk menutup kesan karat. 

Macam Mana Nak Tahu Kereta Yang Dibeli Pernah Mengalami Kemalangan Teruk? Ini Caranya: 

  • Periksa cat kereta untuk kesan cat yang tak rata menunjukkan ada usaha untuk menutup kesan kemalangan. 
  • Periksa untuk sebarang alat ganti pihak ketiga atau yang tak sepadan di bawah hud yang mungkin digunakan untuk pembaikan yang murah. 
  • Ada sebarang ruang sela di antara pintu? Anda terpaksa menolak pintu dengan kuat bagi menutup pintu atau anda boleh masukkan jari di antara dapra (fender) dan pintu apabila pintu tertutup? Memandangkan ada bahagian yang boleh tercabut selepas kemalangan, memasangnya kembali bukanlah kerja yang mudah. 
  • Kereta yang tidak bergerak lurus ketika memandu? Itu mungkin tanda kerosakan jajaran kereta. 
  • Periksa tayar untuk kehausan tayar yang tak sekata. 
  • Nampak sebarang kesan kimpalan pada bahagian badan kereta?

Jika ada tanda-tanda ini pada kereta yang anda pandu uji, elakkan daripada membelinya kerana kos untuk membaiki kereta sebegini sangat mahal. 

Artikel berkaitan: Kesilapan Biasa Yang Pembeli Selalu Buat Semasa Pandu Uji

Pandu Milik Kereta CARSOME Certified

Kenapa ramai yang memilih CARSOME? Kerana semua proses daripada menempah pandu uji hinggalah kepada membeli kereta CARSOME Certified telah dimudahkan supaya anda tidak mengalami sebarang kerumitan! Tempahan pandu boleh dibuat melalui laman web CARSOME dan juga melalui aplikasi mudah alih CARSOME.  Kalau anda berpuas hati dan nak teruskan pembelian kereta, kami juga akan menguruskan segala kertas kerja. Pilih untuk ambil sendiri kereta anda atau boleh juga anda minta untuk dihantarkan terus ke rumah anda. 

Apabila dah dapat kereta, anda boleh sambung pandu ikut keselesaan sendiri ke mana-mana anda mahu. Kalau anda berubah fikiran, anda boleh pulangkannya dalam masa lima hari dan dapatkan pulangan wang tunai untuk ketenangan jiwa dan minda anda.

Untuk memastikan ketenangan jiwa dan minda, kesemua kereta CARSOME Certified telah melepasi pemeriksaan 175-titik yang ketat untuk memastikan ia tidak pernah ditenggelami banjir atau mengalami kemalangan yang teruk. Selain itu, kereta CARSOME Certified telah dibaik pulih secara profesional untuk memastikan keselamatan melebihi taraf, keselesaan sepenuhnya dan juga estetik yang telah dibaik pulih. 

Kesemua kereta CARSOME Certified turut disertakan dengan jaminan berikut: 

  • Harga tetap: Harga yang anda lihat di CARSOME merupakan harga sebenar kereta tanpa bayaran tersembunyi jadi anda tahu berapa yang anda bayar. 
  • Jaminan pulangan tunai dalam lima hari: Jika anda membeli kereta CARSOME Certified dan ingin mengubah fikiran, anda boleh mengembalikannya dalam masa lima hari untuk dapatkan pulangan balik tunai. Tiada soalan akan ditanya!
  • Waranti satu tahun: Kesemua kereta CARSOME Certified mempunyai waranti lanjutan satu tahun dengan perlindungan menyeluruh, sokongan profesional, dan proses tuntutan yang mudah. 

Kami harapkan panduan ini boleh membantu anda untuk membeli kereta yang anda mahukan berdasarkan keperluan anda. 

Haziq Asyraf
Haziq Asyraf
A self-proclaimed foodie and gamer whose passion for food and games has recently extended to cars.
RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular