HomeBM5 Tanda ECU Kereta Rosak dan Punca ECU Kereta Rosak Yang Perlu...

5 Tanda ECU Kereta Rosak dan Punca ECU Kereta Rosak Yang Perlu Anda Tahu

Unit kawalan elektronik atau electronic control unit (ECU kereta) merupakan salah satu komponen terpenting dalam kebanyakan model kenderaan moden hari ini. ECU kereta atau turut dikenali sebagai modul kawalan enjin (engine control module, ECM) menghubungkan enjin dengan sistem komputer dalam kereta. Ia memainkan peranan penting dalam menguruskan kebanyakan fungsi enjin, mengawal selia kebanyakan komponen termasuk sistem dan subsistem dalam enjin kereta. ECU kereta rosak boleh menjejaskan keseluruhan fungsi kereta. Oleh sebab itu, penting untuk anda kenal pasti tanda ECU kereta rosak untuk mengelakkan risiko pembaikan yang lebih serius.

Tanda ECU kereta rosak

Apa itu ECU Kereta? Apa Fungsi ECU Kereta?

ECU kereta secara asasnya berperanan sebagai komponen elektronik utama kenderaan dan bertindak sebagai pusat kawalan atau komputer utama enjin. Fungsi ECU kereta adalah untuk mengawal prestasi dan fungsi kebolehpanduan (drivability) sesebuah kenderaan, selain menguruskan nisbah bahan api dan udara serta pemasaan enjin (timing). ECU kereta bertanggungjawab membuat pelarasan berterusan pada enjin kereta. Ia mendapatkan maklumat daripada sensor yang tersedia dalam sistem kereta dan menggunakan maklumat tersebut untuk mengira serta menala percikan dan bahan api yang sesuai bagi mengekalkan prestasi, kuasa dan kecekapan maksimum.

ECU Kereta Rosak: 5 Tanda ECU Kereta Rosak

Kebanyakan fungsi penting dalam kereta moden hari ini dikawal selia oleh ECU kereta. Jika ECU kereta rosak, ia boleh menyebabkan pelbagai risiko masalah lain. Dalam sesetengah keadaan, ECU kereta rosak boleh menyebabkan kereta tidak boleh start atau digunakan langsung. ECU kereta rosak atau tidak berfungsi dengan baik biasanya akan menunjukkan tanda-tanda tertentu sebagai amaran kepada pemandu. Carsome menyenaraikan lima (5) tanda ECU kereta rosak untuk panduan anda seperti berikut:

1. Prestasi Enjin Merosot

Masalah berkaitan prestasi enjin merupakan salah satu tanda ECU kereta rosak. Biasanya, isu prestasi enjin yang semakin merosot dikaitkan dengan ECU kereta. ECU kereta yang bermasalah boleh menjejaskan pemasaan enjin sekali gus menyebabkan kecekapan kuasa semasa proses pembakaran dalaman berkurangan berbanding kebiasaan. Ia sekali gus menjejaskan keupayaan kereta anda untuk memecut dengan baik. Jika anda mengesan sebarang masalah semasa memecut, besar kemungkinan ia disebabkan oleh ECU kereta yang rosak.

2. Enjin Kereta Tersedu-sedu, Semput

Selain prestasi enjin yang lemah, enjin kereta tersedu-sedu atau enjin semput semasa tekan pedal minyak juga salah satu simptom lain yang menandakan kemungkinan ECU kereta rosak atau tidak berfungsi dengan baik. Unit kawalan elektronik kereta yang rosak boleh menjejaskan prestasi enjin kereta dan menyebabkan enjin kereta tersedu-sedu atau semput (stalling atau misfiring). Biasanya, masalah ini berlaku secara tidak tetap – ia boleh tersedu-sedu atau semput secara tiba-tiba dan kembali normal pada bila-bila masa. Jika anda mengesan tanda ini pada kereta anda, bawa kereta anda ke bengkel dengan segera untuk pemeriksaan lanjut.

3. Lampu Amaran Check Engine Menyala

Petunjuk lain yang paling jelas menunjukkan masalah pada ECU kereta anda ialah lampu amaran Check Engine menyala pada dashboard kereta. Lampu Check Engine biasanya akan berkelip-kelip atau menyala (berwarna merah) sekiranya sistem komputer mengesan sebarang potensi masalah pada enjin sama ada kerosakan sensor atau litar dalam kereta. Meskipun begitu, ada situasi lampu Check Engine menyala meskipun tiada kerosakan atau masalah pada ECU kereta. Anda disarankan untuk mendiagnosis sistem komputer kereta untuk mengenal pasti isu pada kereta anda sama ada ECU kereta rosak atau kerosakan komponen lain dalam kereta anda.

Diagnosis ECU Kereta

Sistem komputer kereta akan didiagnosis untuk mengenal pasti isu pada kereta. Ia biasanya dilakukan dengan menyambungkan OBD reader ke port diagnostik. OBD reader (atau turut dikenali sebagai pengimbas diagnostik atau alat pengimbas) ialah sejenis peranti yang digunakan untuk membaca memori ralat dan data yang direkodkan pada sistem kenderaan anda. Dengan menggunakan peranti ini, anda boleh mengetahui sama ada sistem komputer kereta menghasilkan sebarang kod ralat. Kod P0600 merupakan antara kod ralat yang biasa ditemui semasa diagnosis ECU kereta dilakukan:

    • Kod P0600 – Biasanya menandakan terdapat masalah dengan salah satu sensor yang disambungkan ke ECU kereta anda. Ia juga menunjukkan kemungkinan ralat pada sistem pendawaian.

4. Peningkatan Penggunaan Bahan Api

Unit kawalan elektronik kereta yang rosak boleh menyebabkan masalah pada komponen enjin kereta. ECU kereta rosak boleh menjejaskan kadar kecekapan bahan api kereta – enjin berdepan masalah kesukaran untuk mengetahui jumlah bahan api yang sesuai untuk dihantar ke proses pembakaran dalaman. Kerosakan ECU kereta ini sekali gus menyebabkan enjin membakar lebih banyak bahan api daripada kebiasaan untuk mengekalkan keperluan pemanduan biasa. Dalam erti kata lain, anda perlu mengeluarkan lebih banyak kos untuk mengisi petrol setiap bulan hanya untuk mengekalkan prestasi pemanduan biasa.

5. Kereta Tak Boleh Start

Kereta tak boleh start atau sukar dihidupkan merupakan salah satu tanda ECU kereta rosak. Jika kereta tidak hidup tanpa anda mengetahui puncanya, besar kemungkinan ia disebabkan oleh unit kawalan elektronik kereta yang telah rosak atau tidak berfungsi. ECU kereta yang rosak akan menjejaskan kawalan enjin dan menyebabkan kereta tidak boleh start seperti biasa. Selain itu, anda mungkin berdepan situasi kereta tak boleh start bunyi crank – situasi ini berlaku disebabkan ECU kereta tidak dapat menghantar input elektronik kepada enjin seperti biasa. Tanda ini juga boleh disebabkan oleh pelbagai masalah lain – anda disarankan untuk dapatkan diagnosis lengkap daripada mekanik profesional untuk mengetahui punca tepat.

Artikel Berkaitan: Kereta Tak Boleh Start? Jangan Panik, 5 Punca Kereta Tak Boleh Start Yang Perlu Anda Tahu

Punca ECU kereta rosak

ECU Kereta Rosak: 5 Punca ECU Kereta Rosak

Secara amnya, ECU kereta memainkan fungsi yang sama seperti CPU dalam komputer. Electronic Control Unit atau Unit Kawalan Elektronik berfungsi mengawal ciri-ciri dan sistem tertentu dalam kenderaan seperti enjin kereta, stereng kereta, tingkap kuasa, kunci kereta termasuk beg udara dan sistem keselamatan asas seperti brek kecemasan automatik. ECU kereta juga terdedah kepada risiko kerosakan – Carsome menyenaraikan lima (5) punca ECU kereta rosak untuk panduan anda seperti berikut:

1. Bateri Kereta Kong

Bateri kereta dilengkapi dengan sel elektronik yang perlu berfungsi secara optimum bagi memastikan ECU kereta sentiasa berada dalam keadaan baik. Jika mana-mana sel dalam bateri kereta kong atau mati, lama-kelamaan ia akan menjejaskan prestasi ECU kereta. Ia sekali gus menyebabkan ECU kereta rosak dan meningkatkan risiko kereta tak boleh start. Sentiasa pastikan bateri kereta berada dalam keadaan baik untuk mengurangkan risiko kerosakan ECU kereta.

Artikel Berkaitan: Tanda Bateri Kereta Kong, Tip Penjagaan Bateri Kereta Anda Perlu Tahu

2. Kakisan, Kehausan

ECU kereta biasanya dilengkapi dengan penutup kedap atau seal di sekelilingnya yang berfungsi menghalang kelembapan udara luar daripada masuk ke dalam ECU. Meskipun begitu, penutup kedap ini masih terdedah kepada risiko kerosakan seperti haus. Penutup kedap yang haus boleh menyebabkan kelembapan udara luar memasuki ruang dalam ECU. Udara yang lembap boleh menyebabkan kakisan terbentuk dalam ECU dan jika tidak dibersihkan, ia boleh menyebabkan ECU kereta rosak dan tidak berfungsi dengan optimum.

3. Voltan ECU Rendah

Secara asasnya, purata voltan terbaik untuk ECU kereta mestilah sekurang-kurangnya minimum 9 volt hingga 12 volt. Anda boleh memeriksa jumlah voltan ECU anda dengan menyambungkan tolok voltmeter atau voltmeter gauge (sejenis alat yang digunakan untuk mengukur voltan) pada ECU. Peranti ini akan mengesan jumlah voltan yang mengalir pada ECU kereta. Jika voltan ECU rendah sekitar 6 volt atau kurang, ia boleh menyebabkan masalah pada ECU kereta anda.

4. Cara Jumper Kereta yang Tidak Betul

Proses jumper kereta yang tidak dilakukan dengan betul juga meningkatkan risiko kerosakan pada ECU kereta. Oleh sebab itu, anda disarankan untuk memastikan kabel jumper bateri kereta dipasang dengan betul setiap kali proses jumper kereta dilakukan. Jika tidak pasti, anda boleh rujuk artikel Cara Jumper Kereta yang Betul untuk panduan anda. Kabel jumper bateri kereta yang tidak dipasang dengan betul boleh memendekkan jangka hayat ECU kereta anda. Malah, anda juga terdedah pada kos pembaikan yang lebih tinggi untuk sekiranya perlu membaiki atau tukar ECU kereta.

5. Starter Kereta Rosak

Starter kereta kebanyakan model kereta moden hari ini dilengkapi dengan pelbagai jenis sensor tertentu – salah satunya berfungsi mengawal jumlah voltan yang diterima oleh ECU. Jika sensor ini rosak, ia boleh menyebabkan ketidakstabilan jumlah voltan yang diterima oleh ECU. Malah, ia juga mungkin boleh menyebabkan risiko kerosakan lain pada kereta anda. Selain itu, penggantian starter kereta juga boleh menyebabkan kerosakan pada ECU kereta sekiranya starter kereta yang baharu tidak serasi dengan ECU kereta anda. Oleh sebab itu, anda perlu pastikan starter kereta baharu sesuai dengan kereta anda untuk mengelakkan kerosakan pada ECU kereta.

ECU Kereta Rosak: Anggaran Kos Tukar ECU Kereta

Secara asasnya, harga tukar ECU kereta boleh menelan kos yang agak tinggi. Komponen ECU kereta Myvi misalnya, dijual secara dalam talian pada harga sekitar RM350 hingga RM1,200. Namun begitu, kos penggantian ECU kereta biasanya berbeza bergantung pada jenama dan model kereta anda. Dalam kebanyakan kes, ECU kereta rosak boleh dibaiki dan diprogramkan semula (ECU refurbished) sekali gus membolehkan penjimatan dengan lebih baik. ECU terpakai biasanya boleh didapati pada harga yang lebih murah iaitu sekitar RM300 hingga RM500. Harga ECU terpakai ini mungkin berbeza bergantung pada tahap kerosakan, kualiti kerja yang dilakukan dan jenis ECU kereta anda.

Selain itu, sekiranya anda ingin beli kereta terpakai yang selamat dan berkualiti, layari laman web Carsome untuk info lanjut. Carsome merupakan platform jual beli kereta terpakai yang menawarkan rangkaian pilihan kereta terpakai yang berkualiti, terbaik dan selamat dengan harga yang berpatutan.

Haziq Asyraf
Haziq Asyraf
A self-proclaimed foodie and gamer whose passion for food and games has recently extended to cars.
RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular