HomeBMTips Kenal Pasti, Cara Semak Kereta Pernah Kemalangan

Tips Kenal Pasti, Cara Semak Kereta Pernah Kemalangan

Pembelian kereta terpakai boleh disifatkan sebagai suatu keputusan yang ekonomik, lebih-lebih lagi jika dilakukan dengan betul dan wajar. Meskipun secara umumnya kereta terpakai dijual pada harga yang lebih murah di pasaran, banyak perkara lain yang perlu dititikberatkan sebelum membeli kereta second hand seperti aspek prestasi dan kualiti kereta.

Selain itu, kebolehpercayaan atau realibility sesebuah kereta terpakai yang ingin dibeli merupakan antara perkara yang perlu dipertimbangkan. Ini bermaksud, anda perlu mempertimbangkan sama ada kereta terpakai yang ingin dibeli pernah terlibat dalam kemalangan yang serius atau tidak. Jika tersilap percaturan, ia boleh merugikan pembeli sekiranya kereta yang dibeli mempunyai masalah mekanikal atau struktur yang serius.

Secara umumnya, proses mengenal pasti kereta terpakai yang pernah terlibat dalam kemalangan boleh menjadi suatu proses yang sukar, lebih-lebih lagi jika kereta yang dibeli telah dibaiki dan kini berada dalam keadaan sempurna.

Meskipun tiada cara yang tepat untuk mengenal pastinya, CARSOME berharap perkongsian tips ini dapat membantu anda mengenal pasti status sebenar kereta yang ingin dibeli untuk mengelakkan anda daripada tertipu.

semak kereta pernah kemalangan

Nak Beli Kereta Terpakai? Elakkan Beli Kereta Terpakai Tanpa Melihat 7 Tanda Ini

Dalam artikel ini, CARSOME akan membantu anda menerangkan beberapa perkara yang perlu diberi perhatian untuk mengetahui sama ada kereta terpakai yang ingin dibeli pernah terlibat dalam kemalangan atau tidak. Kenal pasti tujuh tanda kereta pernah kemalangan berikut untuk panduan anda:

1. Periksa Bampar Kereta

Sekiranya anda memeriksa kereta terpakai mengetahui sama ada kereta yang ingin dibeli pernah mengalami kerosakan akibat kemalangan, ada kemungkinan besar pemilik sudah menggantikannya melalui proses tuntutan insurans yang dilakukan. Namun begitu, dalam sesetengah kes, ada kemungkinan pihak insurans akan menolak penggantian atau penukaran bampar kereta semasa proses pemeriksaan. Oleh itu, sekiranya anda mengesan sebarang tanda-tanda kerosakan yang nyata pada bahagian bampar kereta meskipun keseluruhan kereta tampak seperti baharu, minta penjelasan daripada pemilik kenderaan. Tanda-tanda seperti goresan, lekuk dan calar pada bahagian bampar menunjukkan cara penggunaan sebenar pemilik kereta dan petunjuk yang jelas bahawa kenderaan itu mengalami kemalangan.

2. Periksa Jurang antara Panel

Sekiranya anda tidak menemui sebarang kerosakan atau mana-mana bahagian yang mencurigakan pada bahagian bampar kereta, lakukan pemeriksaan di bahagian garis badan kenderaan (bodyline). Kebiasaannya, anda akan dapat mengesan kerosakan akibat kemalangan pada kereta terpakai di bahagian pintu atau di bahagian celah panel kereta. Periksa dengan teliti. Sekiranya anda mengesan sebarang keganjilan seperti jurang panel di suatu bahagian jauh lebih kecil berbanding bahagian lain pada kereta yang ingin dibeli, besar kemungkinan kereta tersebut pernah mengalami kemalangan dan tidak diselenggara dan dibaiki dengan betul selepas kemalangan.

Selain itu, lakukan pemeriksaan dengan membuka dan menutup semua pintu termasuk but dan bonet kereta. Sekiranya terdapat bunyi yang tidak normal seperti bunyi nyaring, mengerang atau berdecit – kemungkinan kereta ini pernah mengalami kemalangan. Biasanya, bunyi-bunyi ini berlaku kerana panel kereta tidak diselaraskan dengan betul atau disebabkan oleh kesan sampingan akibat kerosakan pada rangka kereta.

3. Periksa Cat

Selain itu, salah satu perkara utama yang perlu dilakukan untuk mengetahui sama ada kereta yang ingin dibeli pernah terlibat dalam kemalangan atau tidak ialah dengan mencari tanda-tanda pengecatan semula. Lakukan pemeriksaan di sekitar tingkap, jurang antara panel dan bahagian dalam pintu untuk mengesan sebarang indikasi semburan lampau atau overspray – semburan cat secara berlebihan yang menyebabkan pembentukan lapisan cat yang tebal dan kurang kemas. Jika anda mengesan sebarang perbezaan warna atau mendapati ada bahagian kereta yang dicat semula, tanyakan kepada pemilik atau penjual mengenai sejarah kereta yang ingin dibeli.

Anda juga disarankan untuk melakukan pemeriksaan pada waktu siang – cahaya yang terang dapat membantu anda melihat perbezaan kecil (variasi kilauan dan warna) pada bahagian yang dicat semula atau kemasan yang tidak sempurna dengan mudah. Malah, permukaan luar badan kenderaan yang dicat semula boleh menjadi petunjuk kerosakan dalaman yang mungkin memerlukan pembaikan segera.

4. Periksa Bahagian Bawah Kereta

Anda boleh membawa kereta yang ingin di beli ke mana-mana bengkel untuk melakukan pemeriksaan di bahagian bawah kereta. Namun begitu, sekiranya anda tidak dapat berbuat sedemikian, ambil lampu suluh dan lakukan tinjauan di bahagian bawah kereta. Periksa bahagian bawah badan kereta untuk mengenal pasti sama ada terdapat bahagian yang berkarat, reput dan sebagainya. Malah, anda juga boleh menggunakan tangan anda dengan menyentuh bahagian bawah kereta untuk lebih kepastian.

Selain itu, semasa memeriksa kereta terpakai, anda biasanya dapat melihat tanda-tanda kerosakan pada bahagian rangka kenderaan semasa kenderaan sedang bergerak. Jika boleh, minta penjual untuk menggerakkan kereta ke hadapan dan kebelakang dan perhatikan sama ada terdapat tanda-tanda crabbing. Crabbing secara amnya merujuk pada situasi roda di bahagian hadapan tidak berada atau tidak bergerak dalam kedudukan yang sama dengan roda di bahagian belakang. Ia juga menunjukkan kerosakan yang teruk pada rangka kenderaan yang biasanya disebabkan oleh kemalangan yang serius.

5. Semak Cermin Hadapan

Salah satu tanda lain yang boleh membantu anda untuk mengenal pasti sama ada kereta yang ingin dibeli pernah mengalami kemalangan atau tidak ialah dengan memeriksa bahagian cermin hadapan. Biasanya, cermin hadapan akan menunjukkan tanda-tanda keretakan selepas kemalangan (bergantung pada impak kemalangan) jika tidak digantikan. Namun begitu, jika anda tidak mengesan sebarang keretakan, periksa nombor siri cermin hadapan dan bandingkan dengan nombor siri yang tertera pada cermin sisi keempat-empat bahagian. Sekiranya nombor yang dipaparkan berbeza antara satu sama lain, tanyakan kepada pemilik punca utama cermin kereta digantikan.

6. Periksa Bahagian Permukaan Remuk/Ronyok (Creased)

Buka semua bahagian kereta (but, bonet, pintu kereta) dan periksa semua bahagian sendi kereta. Sekiranya anda mendapati ada permukaan yang remuk atau ronyok, ini bermaksud bahagian tersebut mungkin rosak disebabkan oleh kemalangan dan tidak dibaiki dengan baik. Anda juga boleh memeriksa sama ada skru dan bolt berada dalam keadaan yang serupa. Sekiranya beberapa skru kelihatan seperti baru digantikan berbanding skru-skru sedia ada yang lain, anda boleh bertanya kepada pemilik sebab skru ini digantikan.

7. Periksa Bahagian Enjin

Setelah selesai pemeriksaan di bahagian badan kenderaan, lakukan semakan di bahagian ruang enjin kereta pula. Sekiranya anda mengesan kerosakan di bahagian badan kenderaan, namun mendapati ruang enjin tampak seperti baharu – anda mungkin perlu mempertimbangkan semula keputusan anda. Ini kerana, pemilik mungkin telah menumpukan bahagian enjin kerana pemilik ingin menjual kereta yang dimilik secepat mungkin.

Semoga perkongsian mengenai cara untuk mengesan kemungkinan kereta yang ingin dibeli pernah mengalami kemalangan atau tidak dapat membantu anda memilih kereta yang terbaik. Anda mungkin boleh kongsikan artikel ini kepada semua kenalan atau rakan-rakan yang ingin membeli kereta terpakai untuk mengelakkan mereka daripada tertipu dan akhirnya membeli kereta yang rosak. Malah, anda juga boleh mempertimbangkan perkara berikut untuk membantu anda membuat keputusan yang tepat:

1. Bertanya pada Pemilik

Jika anda mengambil keputusan untuk membeli kereta terpakai secara terus daripada pemilik, perkara pertama yang boleh anda lakukan ialah bertanyakan status kenderaan yang ingin dibeli sama ada pernah terlibat dalam kemalangan atau ditenggelami banjir dan sebagainya. Dalam kebanyakan kes dan situasi, pemilik kenderaan biasanya tidak teragak-agak untuk berkongsi status dan kebenaran mengenai kereta yang ingin dijual. Meskipun begitu, anda masih disarankan untuk memeriksa sendiri kenderaan yang ingin dibeli sebelum membuat keputusan dan tidak mempercayai perkara yang diperkatakan pemilik 100 peratus.

2. Menyemak Sejarah Kereta

Selain itu, anda juga disarankan untuk menyemak sejarah kereta yang dibeli. Pastikan kereta yang ingin dibeli bebas kemalangan besar dan bebas banjir. Perkara ini penting untuk mengelakkan anda daripada menanggung kerugian dalam jangka masa panjang. Secara amnya, pemeriksaan untuk mengetahui sama ada kereta yang dijual pernah terlibat dalam kemalangan boleh menjadi suatu proses yang mudah asalkan anda memiliki nombor VIN kereta yang ingin dibeli.Anda boleh menggunakan info yang dimiliki untuk menyemak dengan penyedia perkhidmatan insurans sama ada terdapat sebarang tuntutan insurans yang pernah dilakukan oleh pemilik kereta sebelum ini. Namun begitu, anda sesetengah penyedia perkhidmatan insurans yang tidak membenarkan perkongsian maklumat ini dilakukan terutamanya kepada pihak ketiga.

3. Minta Bantuan Profesional

Selain memeriksa laporan sejarah kenderaan yang ingin dibeli, anda juga disarankan untuk memandu uji kereta yang ingin dibeli. Sekiranya anda mempunyai sebarang keraguan semasa memeriksa kereta terpakai yang ingin dibeli, minta nasihat daripada individu yang pakar. Lakukan pemeriksaan secara profesional sama ada di bengkel atau bawa mekanik bersama dengan anda untuk pemeriksaan. Anda disarankan untuk bertanyakan kepada penjual seberapa banyak soalan yang anda mungkin ada. Ini kerana, setelah anda membelinya, ia mungkin sudah terlambat untuk anda mempertimbangkannya.

Dengan cara ini, anda dapat mengenal pasti dan memeriksa sebarang kerosakan dari sudut pandangan pemeriksa yang berdaftar dan bertauliah. Di CARSOME misalnya, kereta terpakai yang dijual di sini telah melepasi pemeriksaan 175-titik sekali gus memastikan harga yang ditawarkan selari dengan kualitinya. Malah, pemeriksaan yang menyeluruh ini dijalankan untuk memastikan kereta yang dijual atau dibeli oleh CARSOME bebas daripada kerosakan akibat kemalangan teruk, kebakaran, dan banjir.

Selain itu, jika anda ingin membeli kereta terpakai yang selamat, berkualiti dan dipercayai, layari laman web CARSOME untuk info lanjut. CARSOME merupakan platform jual beli kereta terpakai yang menjanjikan proses jual beli kereta terpakai yang terbaik, tidak memeningkan dan tanpa kos tersembunyi.

Haziq Asyraf
Haziq Asyraf
A self-proclaimed foodie and gamer whose passion for food and games has recently extended to cars.
RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular