HomeBMScam Jalan Raya Malaysia Yang Patut Anda Tahu Untuk Kekal Selamat

Scam Jalan Raya Malaysia Yang Patut Anda Tahu Untuk Kekal Selamat

Apabila anda memandu di jalan raya, bukan hanya anda terdedah dengan risiko kemalangan jalan raya tetapi juga kita berisiko untuk ditipu oleh pengguna jalan raya lain yang cuba mengambil kesempatan terhadap anda. 

Orang kita sangat kreatif tetapi malangnya kreatifnya itu tak kena tempat dan digunakan untuk mengambil kesempatan daripada orang yang tak berdosa seperti anda dan juga saya. Macam-macam jenis scam jalan raya yang dibuat oleh mereka ini untuk dapatkan duit mudah! 

Apa kata kita kenal satu persatu kes scam dan penipuan jalan raya yang pernah dan biasa berlaku di Malaysia: 

1. Longkai 

Anda baru saja mengalami kemalangan dan kereta anda dah rosak dan tidak boleh dipandu lagi. Tiba-tiba, ada orang datang kepada anda dengan cepat, kononnya boleh tolong anda selesaikan masalah ini. 

Mereka ini datang siap dengan lori tunda. Siapa mereka? Merekalah yang dipanggil longkai, gelaran untuk pemandu trak tunda. Selalu juga mereka ini bekerja atas arahan callman. Asalnya, tugas mereka hanya menunda kereta yang rosak ke bengkel tempat mereka bekerja supaya kereta yang rosak boleh dibaiki. 

Sumber: Berita Harian

Walau bagaimanapun, ada juga longkai yang cuba mengambil kesempatan. Ada banyak kes melaporkan yang longkai membawa kereta yang rosak ke bengkel kereta untuk dibaiki terus dengan harga yang tak masuk akal. Jika anda tak mahu membayar kos pembaikan, kereta anda akan ditahan dan anda akan diugut. 

Carilah cerita tentang longkai ini di media sosial, anda akan terjumpa puluhan perkongsian daripada pengguna jalan raya yang lain tentang penipuan yang mereka lakukan. Ada antara mereka ini yang sanggup menuang minyak dan menabur paku ke atas jalan raya supaya mereka ini sentiasa ada job

2. Scam Kemalangan 

Ini paling biasa kita nampak. Sama ada anda dengar cerita daripada orang lain ataupun anda sendiri yang mengalaminya. Scam kemalangan ini ada beberapa taktik yang sering dibuat oleh penipu durjana ini. Ini merupakan antaranya: 

I. Pejalan kaki buat-buat kena langgar 

Penipuan ini sering dibuat oleh mereka yang mahukan duit cepat. Penipu akan menyasarkan di jalan-jalan bandar yang kurang sesak. Mereka akan bergerak menyusur jalan, memilih kereta, dan terus melompat ke arah kereta yang bergerak perlahan. 

Kadang-kadang, kereta anda cuma tersentuh sedikit dengan badan penipu tetapi mereka bertindak balas seolah-olah dia telah dirempuh dengan kuat. Siap aksi bergolek dan berguling atas jalan disusuli dengan bunyi mengaduh seolah hampir mati.

Kemudian si penipu ini akan mula membuat kecoh menyalahkan anda kerana telah melanggar dia. Apa yang mereka mahukan sebenarnya? Duit anda. Mereka akan meminta duit dari anda kononnya untuk merawat kecederaan yang mereka alami setelah ‘dilanggar’ oleh anda. Jika tidak, mereka akan menimbulkan kekecohan untuk menarik perhatian orang ramai. Lagi menakutkan, kadang-kadang tiba-tiba ada saja orang (rakan sejenayah) yang jadi saksi kononnya anda yang melanggar motor tersebut. 

II. Motosikal 

Ini pun antara yang pernah terjadi. Biasanya penipuan ini berlaku di lampu isyarat di mana kebiasaannya penunggang motosikal akan parkir di hadapan kereta sementara menunggu lampu hijau. 

Apa yang berlaku? Penunggang penipu ini kononnya akan memandang ke arah kereta anda dan memandang ke arah belakang motornya berkali-kali seperti anda melanggar motosikalnya. 

@nicolasgoldhoffer

kegagalan seekor scammer #foryoupage #fypシ #malaysiaboleh

♬ Horror atmosphere piano & SE. – Kohrogi

Seterusnya, apabila lampu dan bertukar hijau, penunggang motor ini akan buat-buat jatuh seolah-olah anda yang melanggarnya dari belakang. 

Sudah tentu si penipu akan menuduh anda yang sengaja melanggar belakang motornya dan dia akan meminta ganti rugi, biasanya dalam bentuk wang tunai. Jika anda tidak mahu, mereka akan mula bertindak agresif untuk menarik perhatian pengguna jalan raya yang lain. 

3. Penutup Minyak Tidak Dikatup 

Kalau anda sedang memandu dan ternampak ada orang tunjukkan ke arah tangki minyak kereta anda, tak kisah apa yang anda nak buat tapi yang penting JANGAN BERHENTI! Ini merupakan antara taktik penjenayah untuk mencari mangsa. 

Apa yang akan jadi jika anda berhenti pada masa itu juga? Berkemungkinan besar anda akan menjadi mangsa rompakan. Penjenayah menunjukkan ke arah tangki minyak kereta anda hanya semata-mata untuk anda berhenti ke tepi jalan. Apabila anda turun untuk memeriksa, penjenayah akan datang dari belakang dan merompak anda!

Ini biasanya terjadi jika anda melalui jalan-jalan yang sunyi kerana tiada orang yang akan mengesyaki tindakan penjenayah. 

Kalau anda ditegur oleh pengguna jalan raya lain yang menunjukkan ke arah tangki minyak kereta anda, jangan berhenti pada ketika itu juga! Berhenti di kawasan yang ada ramai orang seperti di stesen minyak atau kawasan kedai. 

4. Kereta Rosak Tepi Jalan

Orang Malaysia ini memang sangat baik. Asal ada orang susah, kita akan sentiasa cuba untuk membantu mereka. Tetapi, kadang-kadang sikap pemurah ini boleh membawa padah kepada diri sendiri.

Kadang-kadang, apabila melalui jalan raya anda akan ternampak kereta rosak dan ada orang yang cuba menahan apa-apa kenderaan untuk membantu mereka. Nasihat kami? JANGAN BERHENTI UNTUK BANTU MEREKA! 


Sudah ada beberapa kes di mana pengguna jalan raya dirompak oleh mereka yang menyamar sebagai pemandu yang keretanya rosak dan tersadai di tepi jalan. Ini sebabnya mengapa anda wajib sentiasa berhati-hati apabila ingin membantu orang lain di atas jalan raya. 

5. Tayar Berasap Atau Pancit 

Ingat tak poin penutup tangki tak dikatup tadi? Kali ini, modus operasinya lebih kurang sama tetapi penjenayah menunjukkan ke arah tayar belakang. Kononnya tayar belakang kereta anda bermasalah seperti pancit atau berasap. 

Apabila anda memberhentikan kereta untuk memeriksa bahagian yang kononnya rosak, pada ketika itulah penjenayah akan mengambil kesempatan dengan merompak anda. Biasanya kegiatan ini boleh terjadi jika anda melalui kawasan atau jalan yang sunyi jauh daripada orang ramai.

6. Brek Kecemasan 

Taktik membrek kecemasan ini merupakan antara cara yang digunakan oleh segelintir pengguna jalan raya yang tidak bertanggungjawab untuk mendapatkan wang mudah dan cepat dengan mengambil kesempatan daripada orang lain. 

Macam mana penipuan brek kecemasan ini dibuat? Kebiasaannya, akan ada sebuah kereta yang akan memotong anda terlebih dahulu. Setelah memotong, kereta ini akan menekan brek banyak kali sampai ke satu tahap, kereta anda akan ‘tercium’ dengan kereta yang di hadapan. 

Sumber: Oh Media

Apabila dah ‘tercium’ ini, biasalah mesti akan ada kerosakan. Maka, yang dilanggar tadi akan keluar kereta dan mendakwa anda sengaja melanggar kereta mereka walhal mereka yang menekan brek dengan sengaja yang menyebabkan anda terlanggar kenderaan mereka.

Seterusnya, mereka akan menuntut ganti rugi dengan jumlah yang langsung tak masuk akal. Kalau anda tak nak membayar, mereka akan buat kecoh. Apabila diajak buat laporan polis pun mereka tak mahu. Mereka cuma ingin memeras anda untuk mendapatkan wang mudah. 

Nasihat kami? Tak perlu layan. Cuba (paksa) untuk bawa hal ini ke balai polis untuk untuk insurans kereta anda. Jika masih berdegil, hubungi saja polis atau petugas lebuh raya. 

7. Bangkai Monyet 

Ini merupakan sesuatu yang baru saja terjadi. Ceritanya agak panjang tapi ini merupakan ringkasan daripada pengalaman mangsa. 

Semasa mangsa sedang memandu, dia terlanggar seekor monyet yang menyebabkan keretanya rosak dan tidak boleh dipandu lagi. Mangsa kemudiannya menghubungi petugas lebuh raya yang datang tak lama kemudian untuk membantu mangsa. 

Tak lama kemudian, mangsa didatangi oleh seorang lelaki yang mengaku sebagai ‘mekanik’ yang kononnya boleh membantu membaiki kereta. Mangsa menolak dengan baik dan mekanik tersebut terus beransur. Tak lama kemudian, lelaki tersebut datang kembali dan mendakwa monyet yang dilanggar mangsa merupakan milik kawannya dan meminta ganti rugi. Mangsa mahu bercakap dengan ‘kawannya’ dan berkeras tidak mahu membayar ganti rugi. 

Sumber: Merdeka.com

Mangsa cuba merakam semua yang telah berlaku tetapi dikasari oleh lelaki tersebut. Telefon bimbitnya juga telah dirampas dan lelaki tersebut cuba untuk memindahkan baki dalam aplikasi Touch n’ Go ke akaun lain namun gagal. 

Petugas lebuh raya datang untuk meleraikan kekecohan dan memulangkan kembali telefon milik mangsa. Lelaki tersebut beredar daripada situ. Beberapa ketika kemudian, petugas lebuh raya beredar dan lelaki itu kembali buat kali ketiga. Petugas lebih raya dihubungi kembali. Kali ini, mangsa dibawa oleh ahli keluarga lain keluar daripada situ. 

Anda boleh baca kisah lebih lanjut DI SINI

Apa Yang Boleh Anda Buat Jika Anda Terjumpa Dengan Scam Jalan Raya? 

Kita selalu membaca kisah-kisah bagaimana orang boleh terkena dengan penipu dan scam jalan raya ini dan tak mustahil anda pun boleh menjadi salah seorang mangsa! 

Tapi anda jangan risau, ini apa yang anda boleh buat seandainya anda terlibat dalam situasi seperti ini: 

1. Bertenang 

Ini yang paling susah sekali untuk dibuat tetapi ini merupakan antara langkah yang paling penting kalau nak selesaikan apa-apa isu dan masalah iaitu kekal tenang. Apabila terlibat dalam situasi yang tegang, kita cenderung untuk terus gelabah dan gabra. Apabila si penipu nampak anda gelabah, ia adalah peluang untuk mereka mengambil kesempatan dengan mudah. 

Walau seteruk mana pun anda digertak, anda harus kekal tenang. Jangan sesekali termakan dengan provokasi si penipu. Anda gelabah, anda kalah. Tarik nafas dalam-dalam, dan fikirkan solusi terbaik untuk anda. 

2. Kekal Dalam Kereta 

Kereta anda adalah tempat berlindung terbaik seandainya terjadi apa-apa. Pastikan pintu kereta telah dikunci sebagai langkah keselamatan. Jika anda berlindung di dalam kereta, sekurang-kurangnya anda boleh selamat sekiranya penjenayah bertindak agresif. 

pinjaman untuk pesara, the elderly gang goes for a ride

3. Pasang Kamera Papan Pemuka (Dash Cam

Boleh dikatakan ini merupakan antara aksesori wajib pasang untuk semua kereta pada zaman sekarang. Tak kisahlah kereta baharu ataupun kereta lama, kamera papan pemuka ini boleh selamatkan anda satu hari nanti. 

Dengan adanya kamera papan pemuka ini, segala yang belaku di sekeliling kereta anda boleh dirakam. Rakaman inilah yang boleh membuktikan anda tak bersalah sebagai contoh dalam kes pejalan kaki yang berpura-pura dilanggar oleh kereta ataupun kejadian kereta yang membrek kecemasan. 

dashcam

Bukan hanya menyelamatkan anda, rakaman daripada kereta anda juga mungkin boleh boleh menyelamatkan orang lain juga. Kamera papan pemuka ini bukannya mahal pun! Anda boleh rujuk DI SINI untuk jenama yang kami sarankan. Harga pun ‘mur-mur’! 

4. ‘Jom cerita kat balai!’ 

Kami pernah kongsikan apa yang perlu dibuat jika anda terlibat dalam pelanggaran dengan kereta lain DI SINI, antara langkah paling penting adalah bawa kedua-dua kereta terus ke balai polis untuk membuat laporan polis. 

Dengan laporan polis ini, maka mudahlah untuk menuntut insurans daripada mana-mana pihak. Tetapi jika pemilik kenderaan yang anda telah langgar tadi tidak mahu pergi ke balai untuk membuat laporan, ada sesuatu yang tak kena di situ. Lagi-lagi jika ada bukti daripada rakaman kamera papan pemuka. 

Jadi, apa-apa yang berlaku, terus ‘cerita kat balai’. Ini juga membolehkan anda dilindungi oleh sebarang bahaya yang boleh dicetuskan oleh penipu dan penjenayah. 

5. Hubungi Polis atau Penguat Kuasa Berkaitan 

Jika anda sendiri tidak boleh berunding dan si penipu pun tak mahu ke balai polis, anda hubungi saja polis terus atau jika anda berada di lebuh raya, peronda lebuh raya. Dengan kehadiran polis, si penipu ini tidak akan berani lagi untuk bertindak agresif. 

Apabila polis tiba di tempat anda, ceritakan apa yang terjadi beserta dengan sebarang bukti video atau gambar kepada pegawai tersebut. Anda mungkin perlu ke balai polis untuk membuat laporan bagi melindungi diri anda. 

6. Simpan Penyembur Lada dan Kunci Stereng 

Sebagai langkah keselamatan, anda boleh simpan beberapa peralatan dan gajet mempertahankan diri. Antara yang paling popular ialah penyembur lada. Sila rujuk balai polis terdekat untuk mengetahui tentang kebenaran membelinya. 

Selain daripada penyembur lada, kunci stereng juga boleh digunakan bagi mempertahankan diri anda. Simpan kunci stereng di tempat yang mudah untuk anda capai seperti di bawah kerusi penumpang hadapan. 

Anda kena ingat, peralatan ini hanya boleh digunakan untuk MEMPERTAHANKAN DIRI anda atau menakutkan penjenayah/penipu sahaja! Jangan gunakan untuk tujuan yang boleh memberi mudarat kepada orang lain yang tidak bersalah. 

7. Hubungi Trak Tunda Insurans

Apa saja kemalangan yang terjadi hingga menyebabkan kereta anda tidak boleh dipandu, jangan sesekali percaya kepada callman atau longkai. Mereka ini hanya berniat untuk cari duit saja. 

Kalau perlukan khidmat trak tunda, hubungi saja insurans anda. Pihak insurans akan menghantarkan trak tunda untuk menunda kereta anda ke balai polis terdekat atau bengkel panel yang boleh dipercayai.

Buat apa mahal premium mahal-mahal tapi tidak digunakan, betul tak? Lagipun, ia lebih terjamin dan anda tak perlu risau anda dibawa ke mana-mana bengkel yang meragukan. 

Jaga Diri Semasa Memandu!

Orang yang berniat jahat ini ada banyak di atas dunia. Hari ini anda membacanya dalam berita, esok lusa mungkin anda sendiri yang menjadi mangsa. Walau apapun yang terjadi, sentiasa ingat akan tips dan panduan yang telah kami kongsikan ini agar keselamatan anda sentiasa terjamin. 

pinjaman untuk pesara, happy elder man in car driving

 

Hati-hati memandu!

Haziq Asyraf
Haziq Asyraf
A self-proclaimed foodie and gamer whose passion for food and games has recently extended to cars.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular