HomeBMWanita Jangan Keluar Rumah Atau Memandu Kalau Tak Buat Perkara Ini!

Wanita Jangan Keluar Rumah Atau Memandu Kalau Tak Buat Perkara Ini!

Anda ingat lagi tak kes Canny Ong? Seorang wanita yang dirogol dan dibunuh dengan kejam pada tahun Jun 2003 oleh seorang lelaki psikopat. Bukan hanya dirogol dan dibunuh, mayat mendiang juga dibakar untuk menghapuskan bukti. Kejamnya! 

Nak tahu sesuatu yang lebih menakutkan? 

Lebih 45,000 kes jenayah yang melibatkan mangsa wanita direkodkan sepanjang tahun 2018 hingga 2021. Jenayah yang termasuk dalam statistik ini antaranya seperti rogol yang boleh berlaku kepada mana-mana wanita di mana-mana saja dan pada bila-bila masa! 

Wanita terutamanya sering terdedah dengan pelbagai cabaran dan juga ancaman bahaya apabila berada di luar. Mereka mangsa yang mudah menjadi sasaran kerana fizikal yang lemah dengan saiz badan yang lebih kecil daripada pemangsa. 

Artikel berkaitan: Hati-hati! Kereta Sewa Murah Kini Jadi Sasaran Pencuri Kereta. Axia Pun Dah Tak Selamat!

Kerana itulah sis-sis sekalian! Kalau anda tak nak menjadi mangsa kepada penjenayah yang menyasarkan wanita, ini masanya untuk didik diri anda dengan tips-tips ini. Nampak macam mudah tapi sebenarnya tips ini boleh menyelamatkan anda nanti!

1. Jangan Mekap Dulu! Pastikan Kunci Pintu Dulu!

Adik-adik dan kakak-kakak sekalian, apabila anda masuk saja ke dalam kereta, apa yang anda akan buat dulu? 

  1. Betulkan tudung dan pakaian anda? 
  2. Touch up solekan yang dah rosak? 
  3. Susun beg-beg yang anda bawa di tempat duduk penumpang? 

Kalau anda ada buat mana-mana tabiat seperti di atas, kami mohon untuk ubah sekarang kerana anda sebenarnya mendedahkan diri anda kepada bahaya! 

Sepatutnya, perkara pertama yang anda patut buat apabila anda masuk ke dalam kereta adalah menutup dan mengunci pintu kereta. Ini untuk mengelakkan mana-mana individu tak dikenali boleh memecah masuk ke dalam kereta anda semasa anda sedang leka membetulkan solekan anda. 

Penjenayah sebenarnya sudah menyasarkan anda semenjak anda keluar daripada kereta lagi dan akan mula bertindak setelah anda masuk ke dalam kereta. Mungkin mereka juga sudah merisik dan menghendap anda berhari-hari sebelum bertindak! 

Oleh itu, apabila dah masuk kereta, jangan betulkan solekan dulu, kunci terus kereta anda! 

2. Letakkan Beg Tangan di Tempat Duduk Penumpang? Jangan! 

Baik, anda dah masuk kereta dan dah kunci kereta anda. Bagus! Kemudian anda terus letakkan beg tangan anda di tempat duduk penumpang hadapan. Mungkin selepas ini, anda mungkin tak akan ulang rutin yang ini apabila anda masuk ke dalam kereta. 

“Tapi kenapa? Kan saya berada di dalam kereta. Macam mana pencuri boleh masuk?” 

Tingkap kereta tetap boleh dipecahkan. Sekalipun telah dipasang dengan tint, ia tetap boleh dipecahkan jika menggunakan peralatan yang betul dan menggunakan tenaga yang cukup kuat.

Apa yang boleh anda buat adalah meletakkan beg tangan anda tersebut di bawah kerusi untuk melindungi daripada dilihat mereka yang berniat jahat dan menjadi sasaran pencuri. Terutamanya bagi anda yang tidak memasang tint tingkap. 

Artikel Berkaitan: Jangan Simpan Barang Ini Dalam Kereta!

Kalau anda nak selamat. Letakkan saja beg di bawah kerusi kerana ia tidak mudah kelihatan daripada luar kereta.

3. Ikut Rutin Yang Berlainan Setiap Hari 

Kebiasaannya, kita semua sudah mempunyai rutin harian yang kita akan ikut untuk setiap hari. Kita pergi kerja ikut laluan apa, makan sarapan kat mana, kereta apa, pukul berapa anda keluar rumah, balik kerja pukul berapa, dan lain-lain lagi rutin. 

Apa kata, terutamanya bagi wanita, anda ubah sedikit rutin harian anda. Tapi, kenapa kena ubah rutin yang kita semua dah selesa? 

Kebanyakan penjenayah terutama sekali penghendap, mereka akan merisik dan mengikuti mangsa. Mereka sudah tahu mangsa tinggal di mana, pakai kereta apa atau naik kenderaan awam apa, sehinggakan mereka tahu laluan pergi dan balik kerja mangsa. 

Disebabkan itulah, jangan kekal dengan satu rutin saja. Rangka beberapa rutin dan gilirkan rutin-rutin tersebut ikut kesesuaian. Mungkin dua hari ikut rutin A kemudiannya amalkan pula rutin B untuk tiga hari dan seterusnya. Yang penting, jangan konsisten! Pastikan rutin tersebut rawak supaya yang mengekori anda jadi keliru. 

4. Elakkan Kongsi Lokasi di Media Sosial 

Anda sedang bercuti dan baru saja tiba di tempat liburan anda. Seronoknya! Anda buka laman media sosial – Instagram contohnya, anda ambil gambar untuk buat IG story dan letakan tag lokasi terkini anda supaya mereka yang mengikuti anda tahu bahawa anda sedang bercuti. 

Tak kira lelaki ataupun perempuan, ramai yang tak tahu betapa bahayanya berkongsi lokasi terkini anda di media sosial. Ia seolah-olah memberitahu kepada semua orang termasuklah kepada mereka yang berniat jahat bahawa anda berada jauh daripada rumah anda dan anda tidak dilindungi. Betapa mudahnya untuk penjenayah ini mendapatkan lokasi terkini anda – anda sendiri yang memberitahunya! 

Selain itu, pabila ada berkongsikan lokasi terkini, anda juga dah memberitahu kepada semua orang yang rumah anda sedang kosong. Ini boleh menyebabkan rumah anda menjadi sasaran pencuri yang telah lama memerhatikan anda. 

Artikel Berkaitan: Takut Kena Buli? Ini Cara Untuk Berdepan Dengan Pembuli Jalan Raya

Bukannya tak boleh nak kongsi lokasi tetapi anda harus tunggu sehingga anda beredar dari lokasi tersebut, barulah anda boleh letakkan lokasi tersebut pada mana-mana hantaran media sosial anda. Nampak seperti tak menyeronokkan, kan? Tapi demi keselamatan anda, ia perlu dibuat. 

5. Periksa Tempat Duduk Belakang 

Ini yang mungkin ramai lupa nak buat terutama sekali jika anda cuma singgah sebentar di sesuatu tempat seperti di stesen minyak ataupun di mesin teler automatik (ATM) atau di masa-masa anda keluar daripada kereta seketika tanpa  menguncinya. 

Sebelum memulakan perjalanan atau lebih tepat sebelum anda masuk ke dalam kereta, periksa dahulu tempat duduk belakang untuk memastikan tiada siapa yang menumpang sekali dalam kereta anda.

Ini kerana, jika anda terlupa untuk mengunci kereta setelah keluar untuk selesaikan urusan, mungkin ada yang mengambil kesempatan dan menyelinap masuk ke dalam kereta anda. Semestinya, yang menyelinap masuk ini memiliki niat jahat kepada anda nanti! 

Jadi, pastikan hanya anda saja yang berada di dalam kereta sebelum menyambung semula perjalanan. 

Nak Selamat Lagi? Dapatkan Alat-alat Ini 

Selain daripada mengamalkan tips-tips yang telah disenaraikan seperti di atas, adalah lebih baik jika anda boleh melengkapkan diri anda dengan beberapa alat keselamatan. Alat-alat ini mudah didapati dan boleh dibeli pada harga yang murah. 

Kalau anda nak jamin keselamatan sepanjang berada di luar, anda boleh dapatkan alat-alat ini: 

1. Penyembur Lada 

Ini ialah alat paling banyak dimiliki oleh orang ramai. Ia juga mudah untuk didapati, mudah untuk digunakan, dan juga mudah untuk disimpan di dalam beg tangan atau digantung pada beg. 

Walau bagaimanapun, anda perlu tahu cara menggunakannya kerana setiap model penyembur lada mempunyai cara guna yang berbeza. Jadi, pastikan anda sudah tahu bagaimana penyembur lada yang anda beli berfungsi. 

Kalau anda tak tahu menggunakan penyembur lada, ia akan menjadi situasi senjata makan tuan. Kalau salah sembur, anda sendiri mungkin terhidu udara yang mengandungi bahan kimia daripada penyembur lada yang boleh menyebabkan gangguan pernafasan sementara yang teruk!     

2. Wisel Keselamatan 

Nampak macam kelakar tapi sebenarnya wisel ini sangat berguna untuk memberi amaran kepada orang di sekeliling anda bahawa anda sedang dalam bahaya. 

Nak gunakannya pun cukup mudah dan anda boleh membelinya dalam kuantiti yang banyak pada harga yang murah serta boleh dibeli di mana-mana kedai serbaneka atau kedai mainan. 

3. Rantai Kunci Penggera 

Alat ini sama seperti wisel tetapi apa yang anda perlu buat cuma perlu menekan butang dan ia akan mengeluarkan bunyi penggera yang sangat kuat untuk memberi amaran kepada orang ramai bahawa anda sedang berada dalam bahaya. 

Daripada jauh, ia kelihatan seperti rantai kunci perhiasan tetapi ia mempunyai butang dan boleh ditekan menggunakan sebelah tangan dan sebelah tangan lagi, bolehlah anda capai penyembur lada dan bersedia untuk menyerang jika penjenayah masih lagi mendekati anda. 

Sediakan Payung Sebelum Hujan 

Malang tak berbau. Kerana itulah anda harus sentiasa bersedia untuk sebarang kemungkinan yang mungkin akan melibatkan nyawa anda. Bukan hanya wanita, lelaki juga harus berjaga-jaga dengan sekeliling mereka memandangkan keganasan boleh terjadi kepada sesiapa saja! 

Jadi, jaga diri anda dan manfaatkan semua tips yang telah diberikan ini. Semoga anda sentiasa selamat dan dihindari daripada orang yang berniat jahat kepada anda!

Haziq Asyraf
Haziq Asyraf
A self-proclaimed foodie and gamer whose passion for food and games has recently extended to cars.
RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular