HomeAutomotiveJangan Simpan Barang Ini Dalam Kereta!

Jangan Simpan Barang Ini Dalam Kereta!

Kereta biasanya digunakan sebagai kenderaan untuk membawa manusia daripada titik A ke titik B. Ada juga yang gunakan kereta untuk pikat perempuan (terutama pemilik kereta model H). Tapi ada pemilik kereta yang suka simpan barang dalam kereta. 

Macam-macam barang yang disimpannya. Daripada barang keperluan sampailah kepada dokumen kerja. Kenapa jadi begini? Senang, sebabnya mereka ini malas nak angkut barang daripada kereta ke rumah mereka. 

Ataupun, ada juga yang malas nak bawa barang- mereka jika mereka singgah di mana-mana. Mungkin baru lepas habis kerja dan mereka teringin nak melepak kat mana-mana tapi malas nak angkut beg kerja sekali. 

Kalau anda selalu buat begini, kami nasihat anda jangan amalkan perbuatan ini lagi. Itupun kalau anda sayangkan kereta dan nyawa anda sendiri. Ada banyak bahaya yang boleh terjadi jika kita gemar menyimpan barangan di dalam kereta. 

Ini merupakan antara contoh barang yang jangan sesekali anda simpan dalam kereta anda: 

1. Beg Galas 

Zaman sekarang, orang lebih suka membawa beg galas ke mana-mana termasuklah ke tempat kerja. Dalam beg galas itulah yang diisi dengan pelbagai barangan seperti komputer riba dan gajet lain seperti pemacu memori keras (hard drive). 

Jika beg galas ini ditinggalkan di dalam kereta dan tidak disorokkan, ia boleh menarik perhatian pencuri. Pencuri sanggup buat apa saja, termasuklah memecahkan cermin kereta anda untuk mencuri beg yang ditinggalkan. 

Walaupun beg yang ditinggalkan itu tidak mengandungi barangan berharga, ia tetap akan menarik perhatian pencuri. Jadi apa yang boleh anda buat? Sorokkan di bawah tempat duduk atau simpan di dalam but kereta atau bawa saja beg galas anda jika anda mahu singgah di mana-mana. 

Tetapi kalau kereta anda memiliki but terbuka yang boleh dilihat daripada luar seperti Perodua Kembara, anda bawa sajalah beg galas anda ke mana saja anda pergi.  

2. Minuman Tin 

Kenapa anda tak patut simpan minuman tin dalam kereta? Kerana ia boleh meletup dan mengotorkan kerusi dan bahagian dalaman kereta. 

Lagi-lagi ketika pada hari yang panas, suhu akan jadi sangat tinggi dalam kereta. Peningkatan suhu ini boleh menyebabkan tekanan dalam tin minuman menjadi tinggi dan seterusnya meletup! Ia mungkin tidak akan menyebabkan kerosakan yang teruk tetapi anda tak nak kerusi kereta anda belengas dan melekit. 

3. Pemetik Api & Tin Gas Pemetik

Sama juga seperti minuman tin, pemetik api dan juga tin gas isian semula tidak sepatutnya ditinggalkan dalam kereta. Terutama sekali jika ditinggalkan di tengah panas. Suhu persekitaran yang tinggi boleh menyebabkan tekanan dalam tin atau bekas menjadi tinggi dan menyebabkan letupan. 

Tak seperti minuman tin yang hanya boleh menyebabkan kerosakan kecil dan mengotorkan kereta jika ia meletup. Kalau pemetik api atau tin gas pemetik api ini yang meletup, kereta anda pun boleh terbakar sekali! 

@carsomemy

Sebelum keluar kereta, pastikan 5 benda yang bahaya ini tidak ditinggalkan. Nak tahu apa 5 benda tu? Jom layan video kami! #CARSOMEMY #FYP #CarTips

♬ original sound – CARSOMEMY – CARSOMEMY

Artikel berkaitan: Kereta Terbakar? Punca dan Cara Elakkan Kebakaran Kereta

Kalau diparkir dalam tempat parkir awam terbuka, kebakaran kereta merebak ke kereta lain dan boleh menyebabkan bencana yang sangat teruk! 

4. Beg Tangan 

Beg tangan merupakan ‘teman baik’ semua wanita. Semua benda termasuklah dompet  akan diletakkan di dalam beg tangan. Beg tangan ini juga menjadi sasaran mudah pencuri walaupun ia berada di dalam kereta. 

Sama seperti beg galas, jika beg tangan tidak disorokkan dengan betul di dalam kereta, kereta anda akan jadi sasaran mudah untuk dipecahkan oleh pencuri. Sekalipun beg tangan anda itu kosong, kereta anda berisiko tinggi untuk dipecahkan oleh pencuri kerana pencuri ini tidak pedulikan undang-undang. Asalkan mereka dapat apa yang mereka nak. 

5. Ubat-ubatan 

Ubat-ubatan ini dikira sebagai objek yang sangat sensitif dengan suhu. Disebabkan itulah ubat-ubatan ini tidak sesuai ditinggalkan dalam kereta. Jika didedahkan kepada suhu yang terlalu sejuk atau terlalu panas, ia boleh merosakkan ubat dan mengurangkan keberkesanan ubat. 

Kalau anda tak sengaja meninggalkan ubat dalam kereta terutama semasa cuaca panas terik, kami nasihatkan untuk anda buang dan dapatkan ubat baharu. 

Anda tentu tak nak terkena keracunan ubat dan menyebabkan sakit anda bertambah parah! 

6. Gajet Elektronik

Selain daripada berisiko untuk menjadi sasaran pencuri, gajet adalah sangat-sangat tidak selamat untuk disimpan di dalam kereta. Terutama jika kereta diparkir di kawasan yang panas terik. 

Gajet yang disimpan mungkin boleh menjadi terlalu panas dan boleh merosakkan komponen sensitif seperti litar dan sebagainya. Suhu tinggi juga boleh menyebabkan kemampuan bateri gajet berkurangan. 

Yang paling teruk? Gajet anda terutama sekali yang menggunakan bateri ion litium (Li-Ion) boleh meletup dalam kereta kerana terlalu panas. Dah terlalu banyak kejadian gajet meletup dalam kereta seperti kejadian ini yang berlaku di Malaysia. 

7. Makanan Dan Minuman 

Kalau nak memandu jauh, makanan dan minuman ni wajib ada. Tapi ada orang yang suka tinggalkan makanan dan minuman yang dibawa. Mungkin mereka lupa yang makanan dan minuman ini cepat rosak dan boleh menarik perhatian serangga seperti lipas. Siapa saja yang suka naik kereta bersama lipas? Bayangkan kalau ada lipas terbang semasa anda memandu! 

Makanan apabila rosak, ia akan mengeluarkan aroma dan bauan yang tidak menyenangkan dan busuk. Bau busuk ini boleh meresap masuk ke dalam kerusi kereta anda. Bauan yang dah meresap masuk ke dalam kerusi sangat susah untuk dihilangkan! 

Ini termasuklah bekas yang mengandungi sisa makanan. Untuk itu, kumpulkan sampah yang ada dan buangkan semua sampah sekali gus selepas selesai perjalanan.

Artikel Berkaitan: Tersangkut Dalam Kesesakan Jalan Raya Masa Nak Berbuka? Ini Apa Yang Anda Boleh Buat

8. Patung Berbentuk Manusia 

Betul. Anda tak salah baca. Ada orang memiliki patung manusia untuk pelbagai tujuan, daripada untuk perniagaan hinggalah kepada pembelajaran (perubatan) dan juga hiburan (props penggambaran). 

Jika anda memiliki patung manusia untuk apa saja tujuan, jangan simpan patung anda dalam kereta terutama di bahagian penumpang! Nanti esok akan tular kes ada warga yang meninggal dunia kerana sakit jantung selepas melihat patung dalam kereta yang disangkanya hantu! 

Jangan balut patung itu dengan kain putih. Itu langsung tak membantu! Ceraikan bahagian patung dan simpan di bahagian but atau tutup dengan kain yang bukan berwarna putih. Anda juga boleh letakkan barangan lain untuk cuba sorokkan patung tersebut daripada penglihatan. 

Kenapa Anda Tak Patut Simpan Banyak Barang Dalam Kereta Anda! 

Anda tak sepatutnya menjadikan kereta anda sebagai tempat simpan barang. Selain daripada bahaya boleh dicuri, barangan seperti botol air yang mudah bergolek berisiko boleh tersangkut pada pedal brek seandainya ia tidak disimpan dengan kemas. 

Pedal brek yang dihalang adalah resipi paling bahaya untuk kemalangan maut! 

Artikel berkaitan: Terlibat dalam Kemalangan? Ini Perkara yang Anda Perlu Lakukan!

Selain itu, barangan yang disimpan dan dikumpulkan boleh memberatkan kereta. Ia akan menyebabkan kereta menggunakan lebih banyak bahan api untuk bergerak. Jadi, jangan biasakan diri anda menyimpan pelbagai barangan yang tak perlu dalam kereta. 

Jika perlu untuk anda simpan juga barangan sensitif seperti gajet, simpan dalam ruang papan pemuka. Beg galas dan beg tangan pula anda boleh sorokkan di bawah kerusi atau disimpan di dalam butt. Nak lagi selamat? Bawa sekali dengan anda jika anda mahu ke mana-mana.

Kereta anda bukanlah dibeli dengan harga yang murah. Ramai dalam kalangan kita masih diikat dengan pinjaman yang masih bertahun lagi lamanya untuk habis. Jadi jagalah kereta anda sebaiknya. Jangan jadikan kereta anda sebagai stor tempat menyimpan barangan. 

Jadi, diharapkan tips ini boleh membantu anda dalam menjaga kereta anda dengan lebih baik dan anda boleh kongsikan tips ini kepada mereka yang suka simpan barang dalam kereta. 

Haziq Asyraf
Haziq Asyraf
A self-proclaimed foodie and gamer whose passion for food and games has recently extended to cars.
RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular