HomeBMTerlibat dalam Kemalangan? Ini Perkara yang Anda Perlu Lakukan!

Terlibat dalam Kemalangan? Ini Perkara yang Anda Perlu Lakukan!

Walaupun anda telah mengamalkan pemanduan yang selamat dan berhati-hati, anda tetap akan terdedah kepada risiko untuk terlibat dalam kemalangan kereta. Apabila ia berlaku, anda mungkin akan berada dalam keadaan panik memikirkan apa yang patut anda lakukan seterusnya.

car accident by the road

Dengan mengambil langkah yang betul selepas terlibat dalam kemalangan, anda boleh mengelak daripada berlakunya kejadian yang tidak diingini. Berikut adalah perkara-perkara yang perlu anda lakukan jika anda terlibat dalam kemalangan kereta.

Selepas Berlakunya Kemalangan

Bertenang & Periksa Diri Anda untuk Sebarang Kecederaan

Tarik nafas dalam-dalam, tenangkan diri anda, dan cuba nilai keadaan di dalam kereta anda terlebih dahulu. Periksa sama ada terdapat sebarang kesan kecederaan pada diri anda dan juga orang lain yang berada di dalam kereta. Penting bagi anda untuk kekal tenang dalam keadaan tersebut agar anda boleh buat keputusan yang waras dengan mudah dan pantas jika diperlukan.

Alihkan Kereta Anda ke Lokasi Selamat

Jika kerosakan kereta anda tidak terlalu teruk dan ia masih boleh dipandu, hidupkan lampu kecemasan dan cuba alihkan kereta anda ke bahu jalan atau lorong kecemasan untuk mengelakkan kesesakan jalan raya atau daripada berlakunya lagi satu kemalangan.

car moved to the roadside

Periksa Bahagian Luaran Kereta Anda

Sebaik sahaja anda telah pastikan semuanya selamat, keluar dari kereta anda dan pastikan bahawa pihak lain yang terlibat dalam kemalangan tersebut juga berada dalam keadaan selamat. Jika anda dapati mereka mengalami kecederaan teruk, terus hubungi talian kecemasan untuk meminta bantuan. Setelah itu, periksa tahap kerosakan pada kereta anda dengan berjalan mengelilingi kereta anda dan melihat bahagian yang rosak.

Ambil Gambar & Saling Bertukar Maklumat Perhubungan

Sebagai bukti, ambil gambar kerosakan pada kereta anda yang diakibatkan oleh kemalangan. Selain daripada itu, jangan lupa untuk turut mengambil gambar lain seperti lokasi kemalangan dan kesan tayar pada jalan raya. Gambar-gambar ini penting dan dapat menyelamatkan diri anda jika anda dipersalahkan atas kemalangan yang bukan disebabkan oleh anda.

Jangan lupa juga untuk mencatatkan butiran pemandu dan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan tersebut. Ini termasuk:

  • Plat nombor kereta
  • Model dan warna kereta
  • Nama pemandu, alamat, dan nombor telefon
  • Nombor kad pengenalan pemandu dan nombor lesen memandu
  • Nama saksi, alamat, dan nombor telefon

Persetujuan dengan Pihak Terlibat

Bergantung kepada tahap kemalangan, anda boleh mencapai persetujuan dengan pihak lain yang terlibat dalam kemalangan untuk menyelesaikan perkara tersebut sesama sendiri, terutamanya jika ia tidak melibatkan kerosakan yang teruk. Dalam kebanyakan kemalangan kecil, pemandu biasanya akan bersetuju untuk membayar ganti rugi tanpa perlu melibatkan pihak polis.

Tetapi, perlu diambil perhatian bahawa jika kos pembaikan anda lebih rendah daripada tahap yang telah ditetapkan, anda mungkin tidak dapat membuat tuntutan insurans. Jika tahap kerosakan terlalu teruk, anda harus membuat laporan polis.

Selepas Kemalangan

Buat Laporan Polis

Anda perlu membuat laporan polis dalam masa 24 jam selepas kemalangan untuk memastikan laporan tersebut sah. Jangan lupa bawa bersama lesen memandu dan kad pengenalan anda.

Pegawai yang bertugas di balai polis akan mencatatkan butiran kemalangan dan juga butiran peribadi anda. Kemudian setelah siasatan dilakukan, pegawai polis tersebut akan membuat kesimpulan tentang siapa yang bertanggungjawab atas kemalangan tersebut dan akan mengeluarkan saman. Saman tersebut perlu dibayar dalam masa sebulan.

Tuntutan Insurans

Hubungi ejen insurans anda atau talian bantuan insurans anda secepat mungkin jika anda perlu membuat tuntutan insurans. Jika anda didapati bersalah dalam kemalangan tersebut, adalah lebih baik jika anda mengelak daripada membuat tuntutan insurans (jika kerosakan tidak teruk) kerana ia akan menjejaskan Diskaun Tanpa Tuntuan anda (No-Claim Discount – NCD).

insurance adjuster looking at car damage

Pihak insurans akan menanyakan soalan mengenai kemalangan tersebut dan akan menasihati serta membantu mengatur trak tunda untuk menghantar kereta anda ke bengkel panel yang terdekat. Kegagalan menghantar kereta anda ke bengkel panel akan menyebabkan anda tidak dapat membuat sebarang tuntutan atas kerosakan akibat kemalangan tersebut.

Mereka juga akan menghantar pelaras kerugian untuk menilai kerosakan pada kenderaan anda dan untuk mengetahui siapa yang bertanggungjawab atas kemalangan. Apabila keputusan sudah dibuat, syarikat insurans akan dimaklumkan tentang jumlah yang anda boleh tuntut daripada kemalangan itu. Tuntutan boleh dilakukan sama ada melalui syarikat insurans anda atau daripada syarikat insurans pihak yang satu lagi.

Hantar Kereta Anda ke Bengkel Panel

Jika anda bercadang untuk melakukan tuntutan insurans untuk kerosakan yang dialami oleh kereta anda, anda perlu menghantar kereta anda ke bengkel panel yang telah ditetapkan oleh syarikat insurans anda. Jika anda tidak berbuat demikian, tuntutan insurans anda mungkin tidak akan diluluskan.

Perkara yang Perlu Dielakkan jika Terlibat dalam Kemalangan Kereta

Kemalangan kereta boleh menyebabkan anda menjadi panik dan cemas, terutama sekali jika ia merupakan kali pertama anda terlibat dalam kemalangan. Anda baru sahaja diberitahu tentang perkara yang perlu anda lakukan jika terlibat dalam kemalangan, berikut pula merupakan perkara yang anda perlu elakkan.

man angry thumbs down in car

  1. Tak kira kemalangan berpunca daripada siapa, elakkan daripada membuat sebarang pengakuan tanpa berbincang dengan ejen insurans anda terlebih dahulu.
  2. Tanpa berbincang dengan ejen insuran anda, elakkan daripada menerima sebarang bayaran untuk kemalangan tersebut.
  3. Jangan tanda tangan sebarang dokumen sebelum anda membacanya atau mengesahkan dokumen tersebut adalah daripada syarikat insurans anda, walaupun pihak lain mengatakan bahawa ia datang daripada syarikat insuran anda.
  4. Jika keadaan mulai tegang, elakkan daripada memulakan pergaduhan dengan menyalahkan satu sama lain.

Amalkan Cara Pemanduan yang Selamat Apabila di Jalan Raya

Walaupun kemalangan boleh berlaku tanpa mengira masa, tempat, dan keadaan, tidak salah untuk anda mengamalkan pemanduan yang selamat agar anda tidak menjadi punca berlakunya kemalangan.

Jika anda ingin membeli kereta pramilik dengan keselamatan melebihi taraf, keselesaan sepenuhya, dan estetik yang dibaik pulih, kereta CARSOME Certified adalah pilihan terbaik untuk anda! 

Selain itu, anda juga boleh menjual kereta anda dengan mudah, pantas, dan selamat di CARSOME tanpa perlu risau tentang bebanan kertas kerja, sebarang bayaran tersembunyi, di samping dapat menikmati pembayaran yang pantas.

Haziq Asyraf
Haziq Asyraf
A self-proclaimed foodie and gamer whose passion for food and games has recently extended to cars.
RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular