Pembiayaan semula pinjaman kenderaan atau refinancing biasanya melibatkan dua jenis bentuk pinjaman iaitu pinjaman kenderaan atau pinjaman perumahan. Kebiasaannya, pembiayaan semula pinjaman seperti refinance kereta dilakukan bertujuan untuk mengurangkan beban kewangan sedia ada dan memanfaatkan tawaran kadar faedah yang lebih rendah berbanding pinjaman sebelum ini lebih-lebih lagi jika aliran kewangan individu terganggu disebabkan oleh situasi ekonomi semasa seperti hilang punca pendapatan, pemotongan gaji dan sebagainya.
Apa Itu Pembiayaan Semula Pinjaman Kenderaan atau Refinance Kereta?
Pembiayaan semula pinjaman atau refinance loan kereta merujuk kepada urusan permohonan pinjaman baharu daripada pihak bank atau institusi kewangan untuk menjelaskan baki pinjaman kereta sedia ada. Secara amnya, pembiayaan semula dilakukan bertujuan untuk mengurangkan amaun bayaran ansuran setiap bulan, menjimatkan perbelanjaan dan memperbaiki aliran tunai semasa. Ini kerana, pembiayaan semula biasanya menawarkan kadar faedah yang lebih rendah dengan tempoh masa pembayaran yang lebih lama.
Mengapa Refinance Kereta Perlu Dilakukan?
Keputusan untuk melakukan pembiayaan atau penstrukturan semula pinjaman semestinya bergantung pada keperluan individu dengan menilai aspek-aspek lain seperti kedudukan kewangan semasa, tujuan pembiayaan dilakukan dan faktor-faktor lain yang dirasakan perlu. Anda mungkin boleh mempertimbangkan perkara-perkara berikut sebelum mengambil keputusan untuk melakukan pembiayaan semula pinjaman kereta anda:
1. Kadar Faedah Pinjaman Menurun
Lazimnya, turun naik kadar faedah pinjaman bergantung sepenuhnya pada situasi ekonomi semasa. Perubahan atau penurunan kadar faedah pinjaman meskipun hanya sekitar 2 hingga 3 peratus memberi kesan penjimatan yang lebih besar terhadap pinjaman anda. Contohnya, jika jumlah pinjaman asal anda adalah sebanyak RM103,337.50, dengan mengambil kira kadar faedah sebanyak 7 peratus dengan jangka masa pinjaman 60 bulan – anda perlu membayar jumlah keseluruhan pinjaman kira-kira RM122,773.22.
Selepas setahun, baki pinjaman semasa anda adalah sekitar RM86,803.50. Namun begitu, jika anda mengambil keputusan untuk melakukan pembiayaan semula atau refinancing, anda boleh mendapatkan pinjaman baharu (berdasarkan baki semasa) dengan kadar faedah yang lebih rendah dan kompetitif dengan tempoh pembayaran yang lebih pendek. Ini bermaksud, anda akan membayar hutang pembiayaan semula baharu dengan harga bulanan yang lebih rendah sekali gus lebih menjimatkan berbanding kadar pinjaman asal.
2. Situasi Kewangan Semasa Bertambah Baik
Pihak institusi kewangan biasanya mengambil kira beberapa faktor lain sebelum menentukan kelayakan anda untuk mendapatkan pinjaman. Biasanya, kadar pinjaman ditentukan oleh faktor-faktor seperti skor kredit bagi tempoh 12 bulan terkini dan nisbah debt-to-income (DTI). Nisbah DTI biasanya dikira dengan membahagikan jumlah pendapatan bulanan dengan komitmen bulanan sedia ada anda.
Dalam erti kata lain, situasi kewangan semasa yang baik boleh membantu anda mendapatkan pembiayaan semula pada kadar yang lebih kompetitif berbanding sebelum ini. Tahap kesihatan kredit yang baik serta nisbah DTI yang rendah boleh melayakkan anda mendapatkan pembiayaan semula dengan lebih mudah.
3. Terima Tawaran Pinjaman yang Lebih Baik
Jika anda menerima tawaran pembiayaan yang lebih baik berbanding pinjaman sedia ada, anda mungkin boleh mempertimbangkan untuk melakukan pembiayaan semula pinjaman kenderaan ini. Walaupun turun naik kadar faedah atau keadaan kewangan semasa tidak meningkat dengan ketara, tawaran pinjaman dengan kadar faedah yang lebih rendah dapat menjimatkan dan mengurangkan komitmen bulanan anda.
4. Hadapi Masalah Kewangan, Pembayaran Balik Bermasalah
Sekiranya anda menghadapi masalah kewangan yang mengganggu jadual pembayaran balik anda, anda mungkin boleh pertimbangkan untuk mendapatkan pembiayaan semula pinjaman dengan kadar faedah yang lebih rendah. Jika tidak, anda juga boleh mempertimbangkan pinjaman dengan tempoh masa pembayaran yang lebih lama untuk mengurangkan amaun pembayaran bulanan anda.
Selain itu, anda juga mungkin boleh berunding dengan pihak institusi kewangan untuk melanjutkan tempoh pembayaran anda. Namun begitu, tempoh pembayaran yang lebih lama bermaksud anda terikat dengan kadar faedah yang lebih tinggi.
Artikel Berkaitan: Wajarkah Anda Keluarkan i-Sinar KWSP? – Kebaikan dan Keburukan
Cara Refinance Pinjaman Kereta Anda
Pembiayaan semula pinjaman biasanya boleh dilakukan dalam beberapa senario tertentu. Selain dapat menurunkan kadar faedah dan mengurangkan amaun pembayaran ansuran bulanan, anda juga boleh memilih sama ada ingin memendekkan atau memanjangkan tempoh masa pembayaran balik pinjaman. Carsome menyediakan cara untuk refinance pinjaman kereta anda seperti berikut untuk memudahkan anda:
1. Sediakan Dokumen Diperlukan
Sekiranya anda memutuskan bahawa membiayai semula pinjaman anda adalah pilihan yang tepat untuk anda, sediakan dokumen yang diperlukan oleh pihak institusi kewangan seperti berikut untuk melancarkan urusan permohonan anda:
-
-
- Maklumat peribadi seperti kad pengenalan dan lesen memandu anda;
- Perakuan pendapatan seperti slip gaji, surat pengesahan pekerjaan (proof of employment) atau borang penyata cukai pendapatan;
- Maklumat pendaftaran kereta seperti geran, insurans, nombor VIN, dan jarak perbatuan (mileage);
- Butiran pinjaman sedia ada – jumlah bayaran bulanan dan baki semasa, tempoh bayaran, kadar faedah pinjaman sedia ada.
-
2. Periksa Skor Kredit
Antara salah satu syarat untuk mendapatkan kadar faedah yang terbaik ialah anda perlu memiliki skor kredit yang baik. Periksa laporan kredit anda sebelum melakukan permohonan pembiayaan semula anda. Anda boleh memeriksa skor kredit anda dengan merujuk Bank Negara Malaysia, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit serta agensi-agensi lain yang berkaitan secara percuma.
Sekiranya anda mempunyai rekod pembayaran balik yang baik dan telah membuat semua pembayaran pinjaman sedia ada mengikut jadual selama satu tahun atau lebih, skor kredit anda mungkin berada dalam keadaan baik sekali gus memudahkan urusan pembiayaan semula diluluskan.
Artikel Berkaitan: Cara Daftar, Semak Status Laporan CCRIS dan CTOS Secara Online Percuma
3. Lakukan Permohonan
Selain itu, anda juga disarankan untuk memohon pembiayaan semula daripada beberapa institusi kewangan supaya anda boleh membandingkan kadar faedah dan kelebihan yang ditawarkan sekali gus membantu anda mendapatkan pembiayaan baharu dengan kadar faedah yang lebih rendah dan kompetitif. Namun begitu, anda disarankan untuk mengemukakan kesemua permohonan pembiayaan semula pinjaman anda dalam tempoh yang sama (14 hari). Ini kerana, pertanyaan serupa dalam tempoh masa yang sama biasanya dikelompokkan dan dianggap sebagai satu permohonan sekali gus mengurangkan impak pada skor kredit anda.
4. Anggarkan Nilai Semasa Kenderaan
Secara amnya, susut nilai kereta turut memainkan peranan dalam menentukan status permohonan anda sama ada diluluskan atau tidak berjaya. Kebiasaannya, ramai dalam kalangan pemilik kenderaan mendapati nilai semasa kereta adalah lebih rendah berbanding baki semasa hutang pinjaman. Jika situasi sebegini berlaku, besar kemungkinan permohonan pembiayaan semula anda akan ditolak.
Untuk memudahkan urusan, anda boleh menganggarkan kedudukan semasa atau nilai pasaran wajar kereta anda dengan menggunakan kalukalator pembiayaan semula yang tersedia secara online. Jika nilai semasa kereta lebih tinggi daripada baki hutang sedia ada, pembiayaan semula pinjaman mungkin keputusan yang sesuai untuk anda.
Artikel Berkaitan: Susut Nilai Kereta – Berapa Anggaran Nilai Semasa Kereta Anda?
5. Mengenal Pasti Tempoh Pinjaman
Selain perkara-perkara yang dinyatakan di atas, anda juga boleh mempertimbangkan aspek-aspek berikut sekiranya anda mengambil keputusan untuk melakukan refinance pinjaman kereta anda:
-
-
- Tempoh pinjaman lebih singkat – Jika anda sudah terbiasa dengan amaun bayaran tertentu, anda boleh mengekalkan amaun yang sama untuk menjelaskan baki hutang anda sekali gus menjadikan tempoh bayaran balik pinjaman yang lebih pendek. Selain itu, cara ini juga boleh menjimatkan wang anda kerana anda terikat dengan kadar faedah bank yang lebih rendah.
- Tempoh pinjaman yang lebih lama – Jika anda mempunyai bajet yang terhad, dan pembiayaan semula ini dilakukan untuk memberi ruang untuk anda ‘bernafas’, anda boleh memanjangkan tempoh pinjaman untuk mengurangkan bayaran ansuran bulanan anda. Meskipun cara ini akan menyebabkan anda terikat dengan kadar faedah yang lebih tinggi untuk jangka masa panjang, cara ini adalah lebih baik daripada merosakkan sejarah pembayaran dan skor kredit anda.
-
6. Lengkapkan Proses
Isi segala dokumen yang diperlukan dan lengkapkan permohonan dengan institusi kewangan yang dipilih, kemudian serahkan segala dokumen untuk proses selanjutnya. Setelah permohonan refinance kereta selesai, anda secara amnya terikat dengan dokumen pinjaman dan kadar faedah baharu dengan tempoh masa tertentu berdasarkan pilihan anda. Institusi kewangan yang dipilih akan menjelaskan baki pinjaman lama bagi pihak anda dan anda akan melakukan pembayaran pinjaman baharu dengan kadar yang lebih rendah.
Pembiayaan semula kereta memang tidak dinafikan dapat menjimatkan wang anda. Namun begitu, penjimatan wang tidak semestinya bermaksud ia merupakan pilihan yang terbaik untuk dilakukan. Anda disarankan untuk menangguh permohonan pembiayaan semula jika senario sebegini berlaku kepada anda:
- Anda telah melunaskan sebahagian besar jumlah pinjaman kereta anda. Ini bermaksud, pinjaman baharu akan menyebabkan anda terikat dengan kadar faedah baharu yang mungkin merugikan anda. Buat pertimbangan sewajarnya.
- Kereta anda sudah usang atau mempunyai jarak perbatuan/mileage yang tinggi. Lazimnya, kereta susut nilai dengan lebih cepat berbanding aset-aset lain. Oleh itu, kebanyakan penyedia perkhidmatan kewangan tidak menawarkan pembiayaan semula sekiranya kereta telah melepasi had perbatuan tertentu atau berusia lebih daripada tujuh tahun.
- Dalam sesetengah kes, pembiayaan semula ini boleh menyebabkan anda perlu membayar faedah tambahan selain prinsipal sedia ada. Selain itu, anda juga mungkin dikenakan yuran pembiayaan semula. Lakukan pengiraan sebelum melakukan permohonan pembiayaan semula untuk mengelakkan kerugian di pihak anda.
- Selain itu, anda juga perlu menangguhkan permohonan pembiayaan semula sekiranya anda berhasrat untuk memohon lebih banyak permohonan kredit pada masa akan datang. Pembiayaan semula boleh memberi kesan negatif kepada kedudukan kredit anda dan menjejaskan skor kredit semasa anda.
Kebaikan dan Keburukan Refinancing
Pembiayaan semula secara amnya membantu menjimatkan wang anda bergantung pada situasi kewangan semasa anda. Jika kadar faedah yang ditawarkan lebih rendah atau situasi kewangan semasa anda telah bertambah baik, anda disarankan untuk mendapatkan pinjaman dengan kadar faedah yang lebih baik. Carsome menyenaraikan kebaikan dan keburukan refinance pinjaman kereta untuk panduan anda seperti berikut:
Kelebihan Pembiayaan Semula
1. Mengurangkan faedah pinjaman
Kadar tetap dan kadar boleh ubah pinjaman sewa beli merupakan antara istilah biasa yang ditemui sekiranya anda ingin membeli kenderaan melalui pinjaman bank. Kedua-dua perubahan dalam kadar ini secara tidak langsung mempengaruhi kadar faedah pinjaman sekali gus memberi kesan kepada amaun bayaran ansuran bulanan yang perlu dibayar.
Kebiasaannya, kadar faedah adalah berbeza bergantung pada jenis bank yang dipilih. Carsome menyediakan jadual kadar tetap dan kadar boleh ubah pinjaman dengan merujuk salah satu institusi kewangan di Malaysia seperti berikut:
Jenis Kenderaan | Segmen | Kadar Pinjaman Tetap | Kadar Pinjaman Boleh Ubah |
Kenderaan Baharu | Kereta Tempatan | 2.85% rata setahun | KPA (Kadar Pinjaman Asas/Base Lending Rate) tolak 1.35% |
Kereta Bukan Model Tempatan | 2.65% rata setahun | KPA (Kadar Pinjaman Asas/Base Lending Rate) tolak 1.75% | |
Kereta Import Baharu/Terpakai | 3.00% rata setahun | KPA (Kadar Pinjaman Asas/Base Lending Rate) tolak 1.10% | |
Kenderaan Terpakai | Kereta Tempatan | 4.45% rata setahun | KPA (Kadar Pinjaman Asas/Base Lending Rate) tambah 1.70% |
Kereta Bukan Model Tempatan | 4.00% rata setahun | KPA (Kadar Pinjaman Asas/Base Lending Rate) tambah 0.95% | |
Kenderaan Komersial Baharu | BDM sehingga 7,500kg | 4.25% rata setahun | Tiada |
BDM lebih daripada 7,500kg | 4.70% rata setahun | Tiada | |
Kenderaan Komersial Terpakai | BDM sehingga 7,500kg | 7.10% rata setahun | Tiada |
BDM lebih daripada 7,500kg | 8.05% rata setahun | Tiada |
2. Mengurangkan komitmen kewangan bulanan
Pelan pembiayaan semula pinjaman ini memberi manfaat tambahan terutamanya kepada individu dengan komitmen kewangan bulanan yang tinggi. Pembiayaan semula kewangan akan menyebabkan tempoh pembayaran menjadi lebih panjang dengan amaun ansuran bulanan yang lebih kecil.
3. Pakej pembiayaan yang sesuai mengikut kemampuan
Secara amnya, pembiayaan semula memberikan pilihan kepada peminjam untuk memilih pakej pembiayaan yang sesuai mengikut kedudukan kewangan individu dan keadaan pasaran ekonomi semasa. Peminjam biasanya tertakluk pada kadar faedah yang tetap sepanjang tempoh pinjaman sekiranya memilih kadar faedah tetap. Namun begitu, jika peminjam memilih kadar faedah boleh ubah, kadar faedah yang dikenakan adalah tertakluk pada perubahan ekonomi semasa.
Keburukan Pembiayaan Semula
1. Meningkatkan bebanan hutang
Pilihan pembiayaan semula pinjaman ini merupakan satu alternatif yang tepat untuk menambah baik aliran tunai terutamanya buat individu yang berhadapan dengan masalah kewangan. Tempoh pembiayaan yang dipanjangkan secara tidak langsung menjadikan amaun ansuran bulanan yang lebih rendah. Namun begitu, sekiranya lebihan wang tidak digunakan dengan bijak, ia hanya akan menambah bebanan hutang sedia ada kerana peminjam perlu membayar jumlah keseluruhan faedah jangka masa panjang yang lebih tinggi.
2. Menanggung kos liabiliti tambahan
Selain itu, pembiayaan semula pinjaman terutamanya untuk kenderaan juga boleh dikatakan sangat berisiko. Selain perlu menanggung peningkatan kos harga petrol dan kadar tol, peminjam juga perlu berhadapan dengan liabiliti tambahan seperti kos penyelenggaraan kenderaan terutamanya selepas 3 hingga 5 tahun pemilikan. Ini kerana, kenderaan biasanya akan mula mengalami masalah selepas tempoh 4 hingga 5 tahun yang secara tidak langsung akan mempengaruhi aliran tunai pengguna.
Artikel Berkaitan: Bilakah Masa Terbaik Untuk Beli Atau Jual Kereta Terpakai?
Secara kesimpulannya, pembiayaan semula pinjaman kenderaan atau refinance kereta mempunyai kelebihan dan kelemahan yang tersendiri. Namun begitu, ia merupakan suatu alternatif yang sesuai untuk pengguna jika aspek-aspek lain seperti kedudukan kewangan semasa, tujuan pembiayaan dipertimbangkan. Selain itu, lakukan tinjauan, perbandingan dan kaji keberkesanan pembiayaan semula ini kepada pengguna untuk tempoh jangka panjang.
Selain itu, jika anda sedang mempertimbangkan untuk menjual kereta lama dan berminat untuk mendapatkan kereta terpakai baharu, layari laman web Carsome untuk info lanjut. Carsome merupakan platform jual beli kereta terpakai yang menawarkan tawaran harga terbaik dengan perkhidmatan yang mudah, cekap dan pantas.