HomeBMCara Daftar, Semak Status Laporan CCRIS dan CTOS Secara Online Percuma

Cara Daftar, Semak Status Laporan CCRIS dan CTOS Secara Online Percuma

CCRIS dan CTOS merupakan antara istilah yang biasa didengari semasa proses pemohonan pinjaman kewangan atau kredit. Namun begitu, kedua-dua istilah ini mungkin kedengaran asing di telinga anda terutamanya jika anda baru pertama kali terlibat dalam urusan pinjaman bank. Secara amnya, laporan CCRIS dan CTOS memainkan peranan penting lebih-lebih lagi jika anda ingin memohon pinjaman untuk pembelian kereta atau pinjaman perumahan. Mengapa laporan CCRIS dan CTOS penting untuk pinjaman bank? Bagaimana skor kredit atau credit score berfungsi dan mempengaruhi kemampuan peminjam untuk mendapatkan pinjaman? Carsome menyenaraikan maklumat-maklumat berkaitan CCRIS dan CTOS seperti berikut untuk panduan anda.

permohonan pinjaman kereta | proses permohonan loan kereta

Apa itu Laporan CCRIS?

Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat atau Central Credit Reference Information System (CCRIS) merupakan platform perkhidmatan yang menyediakan Laporan Kredit Peribadi mengenai peminjam atau bakal peminjam ke dalam Laporan Kredit Standard. Sistem bank individu diintergrasikan secara terus ke dalam sistem CCRIS dan mengeluarkan laporan kredit entiti atau individu secara automatik semasa proses kelulusan kredit. CCRIS mengumpulkan maklumat kredit peminjam daripada pengendali pelbagai perkhidmatan kewangan yang mengambil bahagian di Malaysia.

Maklumat-maklumat ini boleh diakses oleh institusi kewangan seperti bank, syarikat insurans, penyedia pinjaman kredit, agensi kerajaan dan syarikat utiliti swasta atau individu berdasarkan permintaan. Institusi-institusi kewangan ini juga akan mengemaskini laporan kelakuan kredit peminjam ke dalam sistem pusat ini secara berkala:

  1. Profil peminjam (nama, nombor kad pengenalan/nombor pendaftaran perniagaan, tarikh lahir/pendaftaran, alamat, dan lain-lain);
  2. Maklumat permohonan kredit (jumlah pinjaman, tarikh permohonan, jenis kemudahan);
  3. Maklumat akaun kredit (jenis kemudahan kredit, had kredit, baki hutang, jumlah ansuran, pengendalian akaun dan status tindakan undang-undang, jika ada).

Semua maklumat ini kemudiannya dikumpulkan menjadi laporan kredit yang boleh diakses oleh insitusi kewangan untuk mendapatkan maklumat kelakuan kredit anda (pinjaman tertunggak, saman dan status muflis seseorang individu). Dalam erti kata lain, laporan CCRIS membolehkan pihak bank mengakses maklumat untuk mengetahui kemampuan untuk membayar balik pinjaman baharu atau mengenal pasti sejarah pembayaran pinjaman sebelum ini.

Apakah Maklumat yang Disediakan dalam Laporan CCRIS?

Laporan CCRIS mengandungi 3 maklumat kategori utama seperti berikut:

      1. Tunggakan Kredit/Outstanding Credit – Laporan ini menunjukkan kemudahan kredit belum selesai yang dimiliki oleh peminjam termasuk semua maklumat kredit peribadi, perniagaan atau sekiranya peminjam merupakan sebahagian daripada mana-mana pemilikan syarikat atau badan profesional;
      2. Akaun Perhatian Khas/Special Attention Accounts – Bahagian laporan ini menunjukkan kemudahan kredit peminjam yang tertunggak dalam pantauan ketat institusi kewangan Bank Negara Malaysia (BNM) yang mengambil bahagian. Ia termasuk pinjaman tidak berbayar atau Non Performing Loan (NPL) atau peminjam di bawah jadual pengurusan hutang khas Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK);
      3. Permohonan Kredit/Credit Application – Menunjukkan laporan permohonan pinjaman atau kredit yang diluluskan atau dilakukan dalam tempoh 12 bulan terkini.

Namun begitu, laporan CCRIS tidak hanya memaparkan maklumat kredit peminjam yang negatif semata-mata. Laporan ini turut menunjukkan maklumat positif seperti kelulusan kredit dan sejarah pembayaran balik yang mengikut jadual. Ramai peminjam yang beranggapan bahawa CCRIS akan menyenarai hitam peminjam sekiranya peminjam mempunyai corak pembayaran yang buruk. Ini  merupakan suatu tanggapan atau persepsi yang salah kerana CCRIS hanya menyediakan data yang akan digunakan oleh institusi kewangan, tidak memberikan sebarang pendapat atau menyenarai hitam mana-mana individu.

Senarai Hitam/Blacklist Laporan CCRIS
Kredit: banknegaramalaysia

Bagaimana Anda Boleh Memohon Laporan CCRIS?

Laporan CCRIS boleh didapati secara online percuma melalui tiga cara popular berikut:

1. Kiosk Bank Negara Malaysia

Lawati mana-mana cawangan Bank Negara Malaysia untuk mendapatkan laporan CCRIS secara percuma. Bawa bersama kad pengenalan (MyKad) untuk pengesahan.

2. Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)

AKPK juga menyediakan perkhidmatan untuk mendapatkan laporan CCRIS secara percuma. Bawa kad pengenalan (MyKad) dan dokumen sokongan berkaitan ke mana-mana cawangan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk mendapatkan laporan ini.

3. eCCRIS Bank Negara Malaysia

Selain itu, anda juga boleh mendapatkan laporan CCRIS melalui portal dalam talian eCCRIS. Namun begitu, anda perlu berdaftar dengan Bank Negara Malaysia atau AKPK terlebih dahulu. Kunjungi mana-mana kiosk CCRIS untuk mendapatkan nombor PIN enam digit. Kemudian, log masuk ke dalam portal eCCRIS untuk mendapatkan laporan kredit anda secara percuma. Senarai penuh lokasi kiosk CCRIS boleh didapati di sini.

Cara Dapatkan Laporan CCRIS Secara Online Melalui eCCRIS
          1. Layari laman web eCCRIS, kemudian log masuk ke dalam portal eCCRIS;
          2. Jika anda pengguna kali pertama, klik Log Masuk Kali Pertama/First Time Login;
          3. Kemudian, isi maklumat dan nombor PIN yang diperlukan dan klik Hantar/Submit;
          4. Ikuti arahan selanjutnya untuk melengkapkan proses pendaftaran;
          5. Setelah selesai pendaftaran, log masuk ke dalam portal eCCRIS dan pilih Pertanyaan/Enquiry untuk mendapatkan laporan CCRIS anda.
Cara Dapatkan Laporan CCRIS
Kredit: Bank Negara Malaysia | Central Bank of Malaysia (Official)

Apa itu Laporan CTOS?

Sama seperti CCRIS, CTOS juga turut menyediakan laporan kredit yang digunakan secara meluas oleh institusi kewangan untuk menentukan kelayakan kredit pemohon. Secara amnya, CTOS merupakan salah satu Agensi Pelaporan Kredit (CRA) swasta di bawah Akta Agensi Pelaporan Kredit 2010. Lazimnya, institusi kewangan di Malaysia menggunakan lebih daripada satu laporan kredit untuk mengetahui tahap kesihatan kredit pemohon. Maklumat-maklumat yang dipaparkan dalam laporan kredit CTOS diperoleh daripada pelbagai sumber awam seperti berikut:

  1. Jabatan Pendaftaran Negara;
  2. Pendaftar Pertubuhan;
  3. Jabatan Insolvensi Malaysia;
  4. Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM);
  5. Penerbitan prosiding undang-undang dan notis pemberitahuan di surat khabar atau warta kerajaan.

Apakah Maklumat yang Disediakan dalam Laporan CTOS?

Laporan CTOS menyediakan laporan lengkap berkaitan seperti status kebankrapan peminjam, tindakan undang-undang dan kes-kes mahkamah yang sedang berlansung atas nama peminjam. Selain itu, ia juga menyediakan maklumat berkaitan perniagaan individu, pemilikan perniagaan (jika ada), penglibatan dalam aktiviti kewangan perniagaan dan sebagainya. Sama seperti CCRIS, CTOS tidak memberikan sebarang ulasan, pendapat atau menyenarai hitam mana-mana individu.

Bagaimana Anda Boleh Memohon Laporan CTOS?

Anda boleh mendapatkan laporan lengkap CTOS melalui portal dalam talian. Anda hanya perlu mendaftar sebagai pengguna untuk mendapatkan ID Pengguna portal ini. Setelah ID diaktifkan, anda boleh mengakses laporan CTOS pada bila-bila masa sama ada melalui portal CTOS atau aplikasi CTOS yang boleh dimuat turun ke telefon pintar anda melalui Google Play Store dan Apple App Store.

Cara Dapatkan Laporan CTOS Secara Online
          1. Layari laman web CTOS, kemudian masukkan segala maklumat yang diperlukan;
          2. Anda akan terima Kod Pengesahan/Verification Code, masukkan dan klik Teruskan/Continue;
          3. Ikuti arahan selanjutnya untuk melengkapkan proses pendaftaran;
          4. Setelah pendaftaran selesai, laporan CTOS akan dihantar melalui e-mel anda. Pastikan anda memasukkan emel yang sah dan aktif semasa pendaftaran.

Apa itu Skor Kredit atau Credit Score CTOS?

Secara amnya, skor CTOS diwakili oleh nombor 3 digit yang menunjukkan kelayakan kredit semasa peminjam. Dalam erti kata lain, skor kredit merujuk pada penilaian sejarah kredit individu dan kemampuan individu untuk membayar balik pinjaman kewangan. Semakin tinggi skor kredit, semakin tinggi peluang anda untuk mendapatkan pinjaman. Berdasarkan garis panduan standard CTOS, skor CTOS yang baik adalah antara 697 hingga 850. Memiliki skor kredit yang tinggi semestinya memberi kelebihan buat bakal peminjam. Ini kerana institusi kewangan mempercayai kredibiliti anda sebagai peminjam berdasarkan kelakuan kredit anda sebelum ini.

Selain itu, skor kredit yang tinggi meningkatkan peluang anda untuk mendapatkan pinjaman, kelulusan pinjaman yang lebih cepat dan kadar faedah yang lebih baik. Namun begitu, ini tidak bermaksud memiliki skor CTOS yang lebih rendah tidak melayakkan anda untuk mendapatkan pinjaman. Kebiasaannya, pihak bank atau institusi kewangan akan turut menilai aspek lain selain skor kredit sebelum meluluskan atau menolak permohonan pinjaman atau kredit baharu.

 

Skor Kredit CTOS | CTOS Credit Score
Kredit: Utusan Malaysia

Bagaimana Skor Kredit atau Credit Score CTOS dikira?

Skor CTOS dikira berdasarkan maklumat kredit daripada data yang dikumpulkan daripada CCRIS dan CTOS. Berikut merupakan 5 faktor yang mempengaruhi Skor CTOS anda:

      1. Sejarah Pembayaran/Payment History (45%) – sama ada bayaran hutang pinjaman dilakukan mengikut jadual atau ada tunggakan/bayaran lewat;
      2. Jumlah Hutang/Amounts Owed (20%) – jumlah kemudahan kredit dan amaun dipinjam daripada bank, bank cenderung untuk memberi persepsi negatif jika kemudahan kredit atau pinjaman berada pada tahap maksimum;
      3. Tempoh Sejarah Kredit/Credit History Length (7%) – tempoh pemilikan kemudahan kredit seperti kad kredit atau pinjaman lain, semakin lama sejarah penggunaan kemudahan kredit, semakin baik skor kredit anda;
      4. Campuran Kredit/Credit Mix (14%) – bank turut menilai jenis pinjaman yang dimiliki seperti pinjaman dengan jaminan (pinjaman kereta, rumah) vs pinjaman tanpa jaminan (kad kredit, pinjaman peribadi);
      5. Kredit Baharu/New Credit (14%) – status permohonan baharu sebelum ini (diluluskan/ditolak).

Selain itu, ketiadaan sejarah pinjaman kredit boleh menjejaskan peluang anda untuk mendapatkan pinjaman. Dalam kebanyakan kes, pihak bank tidak akan menawarkan margin kewangan penuh kepada individu dengan profil kredit yang kosong. Oleh itu, anda disarankan untuk memiliki sekurang-kurangnya satu kemudahan kredit aktif (seperti kad kredit) yang dibayar mengikut jadual untuk memudahkan urusan anda membuat pinjaman kelak.

Mengapa Bank Memerlukan Laporan CCRIS dan CTOS?

Laporan kredit ini secara tidak langsung membuktikan kecekapan anda mentadbir urus kewangan dan kemampuan anda untuk membayar balik hutang pinjaman dengan baik tanpa sebarang masalah. Selain itu, bank memerlukan kedua-dua laporan ini untuk membantu penilaian skor kredit akhir sebelum membuat keputusan untuk memberi pinjaman kepada anda. Meskipun laporan CCRIS dan CTOS memberi maklumat lengkap mengenai sejarah dan pengurusan kewangan, kedua-dua laporan ini bukanlah skor kredit akhir anda.

Skor kredit akhir biasanya ditentukan sepenuhnya oleh institusi kewangan yang memproses permohonan pinjaman anda. Setiap bank dan institusi kewangan mengamalkan cara yang berbeza untuk menilai skor kredit akhir anda. Oleh itu, buat permohonan pinjaman ke beberapa bank untuk pertimbangan penilaian.

Cara Daftar Akaun CTOS
Kredit: CTOS

Apakah Perbezaan Antara Laporan CCRIS dan CTOS?

Secara amnya, CCRIS dan CTOS menyediakan laporan kredit, namun berbeza daripada aspek pemerolehan maklumat kredit. Oleh sebab itu, Carsome menyenaraikan perbezaan berikut untuk rujukan anda:

📌 CCRIS diuruskan oleh Biro Kredit Bank Negara Malaysia, manakala CTOS diuruskan oleh syarikat persendirian;

📌 Maklumat laporan CCRIS diperoleh daripada institusi kewangan yang mengambil bahagian. CTOS pula mendapatkan maklumat berkaitan kredit daripada sumber awam;

📌 CCRIS menyediakan maklumat berkaitan kelakuan pembayaran balik pinjaman dalam tempoh 12 bulan terkini berdasarkan laporan bulanan oleh institusi kewangan;

📌 CTOS pula menyediakan maklumat tambahan yang tidak boleh ditemui dalam laporan CCRIS seperti status kebankrapan, tindakan undang-undang dan status kes berkaitan yang sedang berlangsung. Data ini biasanya disimpan untuk jangka masa yang tidak terhad;

📌 Laporan CCRIS memaparkan maklumat berkaitan tunggakan bayaran, akaun perhatian khas dan status permohonan pinjaman yang dilakukan oleh individu. Namun begitu, laporan CTOS pula antara lain turut menyediakan maklumat berkaitan penglibatan individu dalam perniagaan dan syarikat;

📌 Maklumat kredit CCRIS bertujuan untuk menjejaki kelakuan bayaran balik pinjaman, manakala maklumat CTOS bertujuan untuk mengetahui tahap kesihatan kredit peribadi peminjam.

Apakah Kepentingan CCRIS dan CTOS?

Laporan CCRIS dan CTOS membolehkan pihak bank menyemak sejarah kredit anda terlebih dahulu sebelum memproses permohonan pinjaman anda. Dalam erti kata lain, laporan kredit ini digunakan oleh pihak bank untuk menilai kemampuan dan keupayaan untuk membayar balik pinjaman yang dilakukan. Pihak bank biasanya akan meluluskan atau menolak permohonan anda bergantung pada maklumat yang dipaparkan dalam laporan kredit anda. Selain itu, pihak bank juga akan mengira dan menentukan Nisbah Khidmat Hutang atau Debt Service Ratio berdasarkan laporan kredit individu ini.

Secara amnya, pihak bank mengambil risiko bagi setiap permohonan yang diluluskan. Oleh itu, mereka perlu menilai dengan teliti berdasarkan rekod kredit CCRIS dan CTOS ini sebelum membuat keputusan. Laporan CCRIS dan CTOS boleh dianggap sebagai rekod dalam sistem navigasi kereta anda, namun dalam versi yang tidak boleh diubah atau dipadam. Ia merupakan rekod kekal yang menunjukkan sejarah pembayaran kredit sebelum ini dan komitmen kewangan semasa yang ditanggung. Oleh itu, anda perlu memastikan laporan kredit ini berada dalam keadaan baik untuk mengelakkan permohonan pinjaman anda daripada ditolak.

Tips Menambah Baik Rekod Laporan CCRIS dan CTOS

Jika laporan CCRIS dan CTOS anda tidak disukai oleh pihak bank, ia mungkin boleh menyukarkan anda untuk mendapatkan pinjaman. Carsome menyenaraikan tips berikut untuk membantu anda menambah baik rekod laporan CCRIS dan CTOS untuk memudahkan urusan permohonan pinjaman anda:

  1. Sekiranya anda mempunyai had penggunaan kredit yang tinggi, bayar sebahagian daripada kredit anda sebelum mengemukakan permohonan pinjaman baharu;
  2. Pastikan baki hutang sentiasa rendah dan bayar semua hutang kad kredit setelah berbelanja;
  3. Berunding dengan pihak bank untuk menunda tarikh kitaran bil anda sekiranya tarikh akhir pembayaran lebih awal daripada hari pembayaran anda;
  4. Bayar semua bil tepat pada masanya, gunakan kemudahan debit automatik untuk mengelakkan pembayaran melebihi masa yang ditetapkan;
  5. Jika anda menyedari ada rekod pembayaran lewat, tunggu selama 12 bulan daripada rekod pembayaran lewat terakhir sebelum mengemukakan permohonan pinjaman baharu;
  6. Hadkan jumlah permohonan pinjaman dan kredit anda. Berbeza dengan amalan popular, terlalu banyak permohonan pinjaman atau kredit boleh menyebabkan anda kehilangan peluang untuk mendapatkan tawaran yang terbaik.

Laporan kredit CCRIS dan CTOS yang baik

Pengetahuan mengenai cara bank menilai kredibiliti kewangan peminjam adalah penting untuk membantu anda sekiranya anda ingin mendapatkan kereta pertama melalui pinjaman bank. Malah, pengetahuan mengenai kesihatan kredit ini juga penting untuk mengelakkan permohonan anda daripada ditolak disebabkan oleh skor kredit yang rendah.

Selain itu, jika anda sedang mempertimbangkan untuk menjual kereta lama dan berminat untuk mendapatkan kereta terpakai baharu, layari laman web Carsome untuk info lanjut. Carsome merupakan platform jual beli kereta terpakai yang menawarkan tawaran harga terbaik dengan perkhidmatan yang mudah, cekap dan pantas.

RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular