HomeAutomotiveKereta Anda Dirosakkan Di Tempat Parking? Siapa Yang Bersalah?

Kereta Anda Dirosakkan Di Tempat Parking? Siapa Yang Bersalah?

“Parkir Di Atas Tanggungjawab Sendiri” 

“Pihak Pengurusan Tidak Akan Bertanggungjawab Untuk Sebarang Kerosakan dan Kehilangan Kenderaan Anda” 

Di mana anda biasa jumpa ayat macam ini? 

Sumber: Ujana Muallim

Mestilah di kawasan parkir persendirian contohnya di pasar raya, pusat membeli belah, bangunan persendirian, dan juga kawasan parkir terbuka. 

Kenyataan ini namanya fasal ketakmasukan/pengecualian ataupun exclusion clause. Fasal pengecualian ini seperti disalah guna oleh syarikat penyedia servis parkir untuk tidak bertanggungjawab walaupun anda sebagai pengguna telah pun membayar untuk parkir di situ. 

Artikel berkaitan: Hati-hati! Kereta Sewa Murah Kini Jadi Sasaran Pencuri Kereta. Axia Pun Dah Tak Selamat!

Jadi, andai kata anda dah parkir di situ dan katakanlah kereta anda dirosakkan atau dicuri semasa diparkir di situ, maknanya pengurusan parkir tidak akan bertanggungjawab untuk sebarang kerosakan yang telah berlaku terhadap kereta anda. 

Tapi bergunakah fasal pengecualian ini dalam melindungi tempat parkir daripada bertanggungjawab terhadap kereta yang diletakkan di premis mereka? Tak juga. 

Tahukah anda bahawa sebenarnya sudah ada kes tuntutan daripada syarikat penyedia parkir daripada mangsa yang keretanya dicuri? 

Kes ini pun dah berlaku lama dahulu, pada tahun 2016. Di antara sebuah syarikat sewa kereta (plaintif) dan juga syarikat penyedia parkir (defendan). 

Kronologi Kes 

Ini bermula apabila seorang warga Perancis menyewa sebuah kereta daripada syarikat sewa kereta dan kereta yang disewa itu diparkir di sebuah bangunan perumahan.

Dua hari kemudian, mangsa keluar untuk beredar tetapi terkejut kerana kereta yang diparkir hilang. Sudah tentu mangsa akan kaget kerana kereta yang dipandu itu bukan miliknya tetapi kereta yang cuma disewa. 

Bagaimana kereta tersebut boleh melepasi palang yang ada di pintu keluar? Selepas melihat rakaman CCTV, kereta tersebut melepasi palang dengan mengikut rapat kereta lain yang keluar daripada kawasan parkir. Palang keselamatan juga turun terlalu perlahan sehingga pencuri berjaya melepasi palang dengan kereta mangsa. 

Disebabkan pihak pengurusan bangunan tidak mahu bertanggungjawab dengan kehilangan ini, syarikat kereta sewa bertindak menyaman pengurusan tempat parkir kerana mengabaikan aspek keselamatan hingga menyebabkan ada kereta yang dicuri. 

Fasal Pengecualian ‘Lesen’ Nak Larikan Diri

Jadi, apa kesudahan kes ini? 

Setelah lebih setahun, mahkamah akhirnya membuat keputusan mengarahkan defendan untuk membayar sejumlah ganti rugi kepada plaintif. Hujahnya? Agak panjang tapi apa yang boleh kami ringkaskan adalah: 

  1. Mahkamah mengabaikan fasal pengecualian kerana ia tidak adil kepada pengguna. Pelanggan plaintif juga tidak perasan akan fasal ini menyebabkan fasal ini tidak sah.
  2. Palang keselamatan yang mengambil masa untuk tertutup menyebabkan pencuri berjaya lari. Ini berpunca daripada kecuaian defendan. 
  3. Telah wujudnya hubungan bailor-baili di mana baili (syarikat pengurusan) wajib menjaga harta milik bailor (syarikat kereta sewa) hingga ia dituntut kembali oleh bailor. 
  4. Tiada bukti menunjukkan bahawa bailor tidak lalai dalam memastikan keselamatan tempat parkir. 

Atas sebab hujah-hujah ini, mahkamah telah membuktikan bahawa adanya kecuaian daripada pihak syarikat pengurusan dan fasal pengecualian bukan lagi pilihan yang ada untuk mereka lari daripada tanggungjawab. 

Peraturan Yang Langgar Akta Pengguna?

Tak kiralah apa yang terjadi, sama ada kereta anda dirosakkan (oleh orang atau disebabkan bencana alam) atau hilang semasa diparkir di kawasan parkir persendirian, frasa pengecualian ini tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk pengusaha tempat parkir untuk lepas tangan selepas apa yang terjadi. 

Ingat lagi lapan hak pengguna? Ia merupakan hak yang boleh dituntut oleh pengguna apabila mendapatkan perkhidmatan atau membeli sesuatu barangan. Rujuk kepada hak kedua di mana: 

Pengguna berhak untuk dilindungi daripada barangan, proses pengeluaran dan perkhidmatan yang boleh membahayakan kesihatan atau kehidupan.’

Hak ini termaktub berdasarkan Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang memperuntukkan bahawa mana-mana syarikat yang menawarkan perkhidmatan kepada pengguna hendaklah memastikan keselamatan yang munasabah kepada pengguna, jika tidak pihak tersebut boleh didenda dan terdedah kepada tindakan saman sivil oleh pengguna. 

Artikel berkaitan: Wanita Jangan Keluar Rumah Atau Memandu Kalau Tak Buat Perkara Ini!

Hak ini juga menjamin pengguna daripada menjadi mangsa ‘buli’ kepada perniagaan atau syarikat yang cuba untuk lari daripada tanggungjawab memastikan pengguna berasa selamat sepanjang mendapatkan atau menggunakan sebarang servis atau produk. 

Jika ada kejadian seperti kecurian atau kerosakan kereta di tempat parkir persendirian, jangan berdiam diri! Minta nasihat guaman daripada mana-mana peguam ataupun daripada Jabatan Bantuan Guaman Malaysia. Anda juga boleh buat tuntutan daripada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia jika nilai tuntutan anda kurang daripada RM50,000. 

Cara Untuk Jaga Kereta Sepanjang Diparkir 

Kita tak boleh bergantung sepenuhnya kepada pengurusan parkir untuk menjaga kenderaan anda. Jadi, apa yang anda boleh buat? Nampak gayanya anda kena adakan inisiatif sendiri untuk pastikan kereta anda selamat di mana saja ia diparkir. 

Apa yang boleh anda buat? Anda boleh ikuti langkah ini: 

1. Pasang Peranti Penjejak 

Peranti penjejak boleh digunakan untuk menjejak di mana kenderaan anda berada. Harganya bergantung kepada keperluan anda. Ada yang dijual serendah RM10 seunit di laman Shopee. Ada juga yang lebih canggih di mana ia bukan saja boleh menjejak keduduk kenderaan anda, malah ia boleh memberitahu anda sekiranya kenderaan anda dihidupkan tanpa kunci anda. 

Antara peranti penjejak yang popular? Apple Airtag (bukan ditaja). Harganya juga agak berpatutan dengan ciri yang mudah untuk digunakan. 

Kalau tak mampu, beli saja yang murah dan letakkan di bahagian kereta yang sukar untuk dicapai. Jangan risau, kebanyakan alat penjejak ini tidak memerlukan bateri untuk berfungsi. Asalkan ia bersambung dengan telefon pintar anda, anda boleh mengesan kenderaan anda di mana-mana saja pada bila-bila masa. 

2. Sorokkan Barangan Berharga 

Sama ada anda akan parkir lama atau sekejap, jangan tinggalkan barangan berharga seperti komputer riba atau beg tangan di dalam kereta sehingga ia kelihatan daripada tingkap kereta. Bawa sekali dengan anda sekalipun anda ingin singgah sekejap. 

Ia mungkin akan menarik perhatian pencuri. Nanti tak pasal-pasal tingkap anda berlubang dan pecah dan semua barang berharga yang anda simpan dirembat oleh pencuri! 

 

Anda boleh letakkannya di bahagian yang tersorok seperti di bawah kerusi ataupun di dalam but kereta. Yang penting, jangan letakkan di bahagian tempat duduk sehingga ia boleh kelihatan daripada tingkap kereta.

3. Pasang Tint Tingkap

Selain daripada mengurangkan suhu kereta, tint tingkap juga sebenarnya boleh mengelakkan kejadian pecah kereta daripada berlaku. Selain menjadikan tingkap tidak boleh dilihat tembus, tint tingkap juga sebenarnya boleh mengukuhkan cermin tingkap kereta. 

Cermin tingkap kereta akan jadi lebih susah untuk dipecahkan kerana telah diperkuat oleh tint tingkap. Sudah tentu jenis tint tingkap juga memainkan peranan. Kalau anda pasang tint tingkap berjenama dan premium, jaminan perlindungan itu akan ada. Tapi kalau anda pasang tint tingkap yang berharga RM30 untuk empat tingkap, jangan mimpilah ia akan bertahan lama. 

4. Pastikan Insurans Kereta Anda Turut Lindungi Kejadian Kecurian

Periksa kembali premium insurans kereta anda. Pastikan ia turut melindungi kereta anda sekiranya ia dicuri (yang bukan disebabkan kecuaian anda). Jika belum, jika anda ingin perbaharui insurans kereta yang baharu, pastikan anda tambahkan sekali. 

Walaupun mungkin premium insurans anda akan jadi sedikit mahal, sekurang-kurangnya ia boleh menyelamatkan anda sekiranya kereta anda dicuri. 

5. Parkir di Tempat Yang Cerah Dan Elakkan Kawasan Yang Tersorok 

Pilih tempat parkir anda dengan betul. Jangan parkir di tempat yang agak jauh dan gelap. Anda seperti memudahkan kerja pencuri atau sesiapa saja yang berniat buruk untuk merosakkan atau mencuri kereta anda. 

Mungkin agak susah jika anda nak pilih parkir lagi-lagi ketika waktu puncak tetapi anda boleh ikuti tips-tips di atas jika anda terpaksa untuk parkir di tempat yang agak tersorok dan gelap. 

Jangan Abaikan Keselamatan Kereta Anda! 

Kereta yang anda beli itu bukannya murah. Dengan bayaran bulanan dan juga insurans yang mahal, anda semestinya nak pastikan ia sentiasa dijaga dengan baik. Bayangkan kereta yang anda sayang itu dicuri atau dirosakkan, ia akan menyusahkan anda nanti. 

Artikel berkaitan: Kereta Kena Langgar Dari Belakang? Jangan Panik Dan Ikuti Langkah Ini

Anda tak boleh bergantung sepenuhnya kepada pihak pengurusan parkir untuk menjaga kereta anda. Anda sendiri kena usahakan inisiatif sendiri untuk pastikan kereta anda selamat sepanjang diparkir di situ. 

Diharapkan tips-tips ini boleh membantu anda di masa-masa yang diperlukan! 

Haziq Asyraf
Haziq Asyraf
A self-proclaimed foodie and gamer whose passion for food and games has recently extended to cars.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular