HomeBMWajarkah Anda Keluarkan i-Sinar KWSP? – Kebaikan dan Keburukan

Wajarkah Anda Keluarkan i-Sinar KWSP? – Kebaikan dan Keburukan

Penafian – Kenyataan dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis, ia bukan panduan atau rujukan profesional dan tidak mencerminkan padangan Carsome.

Kerajaan Malaysia membenarkan pengeluaran simpanan daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk semua pencarum KWSP yang terjejas semasa pandemik Covid-19. Pengumuman ini dibuat semasa Pembentangan Belanjawan 2021 November tahun lalu bagi membantu pencarum meneruskan kelangsungan hidup. Kemudahan i-Sinar KWSP membolehkan semua pencarum yang layak untuk mengeluarkan simpanan daripada Akaun 1 KWSP sebanyak 10% dengan syarat mempunyai baki minimum sekurang-kurangnya RM150 selepas pengeluaran.

kumpulan wang simpanan pekerja

i-Sinar, Pengeluaran Wang KWSP Akaun 1

Jika anda menghadapi masalah kewangan disebabkan oleh pandemik Covid-19, anda boleh mempertimbangkan untuk mengeluarkan wang caruman menerusi kemudahan i-Sinar. Pengeluaran caruman daripada Akaun 1 dijangka dapat memanfaatkan ahli dengan pendapatan terjejas ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Pengeluaran Akaun 1 ini juga kini diperluas kepada semua 14 juta ahli KWSP yang berdaftar. Ahli KWSP bakal menikmati pengeluaran i-Sinar tanpa syarat dan permohonan akan diluluskan secara automatik tidak lama lagi.

Meskipun inisiatif ini memberi manfaat terutamanya kepada rakyat Malaysia yang hilang sumber pendapatan, mengganggur atau mengalami pemotongan gaji – tanpa garis panduan, penilaian risiko dan pengurusan kewangan yang betul boleh memberi kesan negatif kepada ahli kelak.

Wang Tunai Segera vs Simpanan Masa Depan

Kedua-dua pilihan ini bukanlah pilihan dan keputusan yang mudah untuk dilakukan. Ini kerana kedua-duanya mempunyai kelebihan dan kekurangan yang tersendiri. Sama seperti dalam situasi anda hanya mempunyai baki wang sebanyak RM20 pada hujung bulan sebelum gaji. Anda mempunyai pilihan sama ada ingin menggunakannya untuk mengisi minyak kereta untuk ke tempat kerja atau makan tengah hari bagi mengisi perut. Jika digunakan untuk makan, besar kemungkinan kereta kehabisan minyak; jika digunakan untuk mengisi minyak kereta, perut pula yang lapar.

Ramai rakyat Malaysia yang terkesan dengan ketidakstabilan ekonomi negara yang berpunca daripada pandemik Covid-19 ini. Jika anda terbeban dengan hutang dan memerlukan wang tunai segera, pengeluaran wang caruman ini mungkin penyelesaian sementara untuk anda. Kemudahan i-Sinar dapat membantu meringankan beban perbelanjaan terutamanya bagi anda yang mengalami masalah aliran tunai atau wang simpanan yang tidak mencukupi. Menurut Bank Dunia, Malaysia merekodkan kadar simpanan isi rumah terendah di dunia.

i-Sinar KWSP untuk Bantu Langsaikan Hutang?

Jika anda mempunyai beberapa komitmen atau pinjaman yang tertunggak, anda mungkin boleh mempertimbangkan pengeluaran wang caruman ini untuk melangsaikannya. Sebagai contoh, jika anda memiliki Perodua Myvi 1.3L G automatik dengan bayaran ansuran sebanyak RM489* sebulan, anda boleh menggunakan wang ini untuk menjelaskan hutang tertunggak. Dalam kes-kes tertentu, anda juga boleh menggunakan wang ini sebagai bayaran in advance untuk tempoh sekurang-kurangnya sehingga 10 bulan.

RM10,000 / 10 Bulan (RM489) = RM9,780 – Lebihan RM220

*pengiraan berdasarkan tempoh pinjaman 9 tahun, bayaran pendahuluan sebanyak 10% dan kadar faedah 3.5%

pengiraan bayaran ansurans bulanan

Selain itu, kerajaan juga telah menawarkan program bantuan khusus untuk peminjam daripada golongan B40, M40 dan syarikat industri kecil dan sederhana menerusi Belanjawan 2021. Lanjutan moratorium dan moratorium bersasar membolehkan peminjam untuk menangguhkan ansuran bulanan selama tiga bulan atau mengurangkan ansuran bulanan sebanyak 50% untuk tempoh masa enam bulan.

Wang tunai segera yang diperolehi ini boleh digunakan untuk melangsaikan baki hutang sedia ada atau hutang kereta tertunggak untuk tempoh sekurang-kurangnya enam hingga sepuluh bulan bergantung pada amaun pinjaman. Dengan cara ini, anda boleh mengurangkan beban komitmen sedia ada buat sementara waktu. Malah, anda juga boleh mengelakkan penurunan skor kredit disebabkan tunggakan bayaran balik pinjaman. Apa yang bakal berlaku sekiranya anda mempunyai tunggakan bayaran balik pinjaman?

Risiko Kehilangan Aset

Aset yang dibeli melalui pinjaman boleh ditarik balik oleh pihak bank jika anda lewat membayar balik pinjaman atau tidak membuat bayaran balik dalam tempoh masa tertentu. Anda boleh mempertimbangkan kemudahan i-Sinar untuk membayar balik tunggakan pinjaman untuk mengelakkan aset anda daripada ditarik balik. Jika anda lewat membayar balik pinjaman, anda akan dikenakan caj tambahan dan perlu menangggung kos tambahan jika kereta anda ditarik oleh pihak bank. Malah, anda juga terpaksa menunggu surat pengesahan dari bank sebelum anda boleh menuntut kembali kereta anda setelah anda melangsaikannya. Ia bukan sahaja meningkatkan kos anda, malah membazirkan masa anda.

Akses Permohonan Pinjaman Akan Datang Lebih Sukar

Kegagalan anda membayar balik pinjaman anda boleh menyukarkan anda untuk memohon pinjaman kewangan lain pada masa akan datang. Corak pembayaran anda akan direkodkan dalam skor kredit yang akan dijadikan panduan atau rujukan oleh pihak bank sebelum meluluskan permohonan pinjaman anda. Untuk mengelakkan ini daripada berlaku, anda boleh menggunakan kemudahan i-Sinar KWSP untuk menjelaskan hutang sedia ada. Ia secara tidak langsung dapat mengelakkan anda daripada mempunyai rekod kewangan yang buruk.

Impak Skor Kredit Akibat Corak Pembayaran Tidak Baik

Berikut merupakan impak terhadap skor kredit jika corak pembayaran balik pinjaman tidak baik:

        • Pihak bank akan mengenakan kadar faedah yang lebih tinggi;
        • Permohonan pinjaman akan datang berpotensi untuk ditolak.

Menunda pembayaran balik pinjaman kereta boleh menjejaskan skor kredit anda. Rekod tunggakan anda akan dicatatkan dalam laporan kredit sekali gus menjejaskan skor kredit anda. Skor kredit yang baik meningkatkan kebolehpercayaan pihak bank dalam meluluskan pinjaman dan permohonan kredit. Jika anda mempunyai rekod yang tidak baik sebelum ini, anda masih boleh meningkatkan skor kredit anda dari semasa ke semasa. Namun begitu, ia mengambil sedikit masa.

Langkah Meningkatkan Skor Kredit

Berikut merupakan langkah untuk meningkatkan skor kredit anda:

        • Semak Laporan MyCTOS Score anda yang terkini. Anda boleh melihat skor kredit serta laporan CCRIS untuk tempoh 12 bulan yang lalu;
        • Langsaikan semua bayaran bulanan yang tertunggak. Bayar semua amaun yang tertunggak dan pastikan pembayaran secara konsisten untuk setiap bulan yang akan datang;
        • Minta bantuan Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK) jika anda menghadapi kesukaran dalam pengurusan kewangan. AKPK menyediakan perkhidmatan kauseling kewangan secara percuma.

Selain itu, bagi anda yang sedang mempertimbangkan untuk menjual kereta lama anda bagi mendapatkan duit tambahan, anda bolehlah menggunakan kemudahan i-Sinar anda untuk memperbaiki sebarang kerosakan pada mana-mana komponen kereta. Kereta yang berada dalam keadaan baik terutamanya pada bahagian enjin, interior dan rupa luaran kereta semasa penilaian boleh dijual ada harga yang lebih tinggi.

Artikel Berkaitan: Cara Mark Up Harga Kereta Terpakai

Kategori 1 dan Kategori 2 i-Sinar KWSP

Kemudahan i-Sinar KWSP terbahagi kepada dua kategori iaitu kategori 1 dan kategori 2. Bagi kategori 1, tiada dokumen sokongan diperlukan dan kelulusan akan dilakukan secara automatik berdasarkan data dalaman KWSP. Namun begitu, ahli yang layak perlu melakukan permohonan secara dalam talian melalui isinar.kwsp.gov.my mulai 21 Disember 2020.

Belanjawan 2021 - Skim i-sinar KWSP
Kredit: Laman Khas Belanjawan 2021

Bagi kategori 2 pula, KWSP memerlukan dokumen sokongan daripada ahli seperti slip gaji sebelum dan selepas pengurangan, notis pemberhentian atau pemotongan elaun/tuntutan kerja lebih masa, penyata bank atau surat pengesahan majikan. Bagi kategori ini, permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui isinar.kwsp.gov.my mulai 11 Januari 2021.

Kemas Kini: Pengeluaran i-Sinar Tanpa Syarat, Permohonan Dibuka Selepas 8 Mac 2021

Kategori 1

    1. Ahli yang bekerja di sektor formal, bekerja sendiri, bekerja dalam sektor ekonomi gig;
    2. Ahli yang sudah lama tidak mencarum, hilang pekerjaan;
    3. Suri rumah, ahli yang diberi notis cuti tanpa gaji atau tidak mencarum KWSP sekurang-kurangnya selama 2 bulan berturut-turut semasa permohonan;
    4. Ahli yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan gaji pokok sebanyak 30% dan ke atas selepas Mac 2020.

Kategori 2

    1. Ahli yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30 peratus dan ke atas (termasuk pengurangan gaji dan elaun atau pemotongan tuntutan kerja lebih masa) selepas Mac 2020 – pengurangan dikenal pasti melalui dokumen yang dikemukakan.
permohonan i-sinar kwsp
Kredit: Astro Awani

Amaun Kelayakan i-Sinar KWSP

Kelayakan adalah tertakluk pada baki simpanan Akaun 1 ahli berdasarkan butiran terkini seperti berikut:

    • Ahli yang mempunyai baki RM100,000 dan ke bawah dalam Akaun 1 boleh membuat pengeluaran sehingga jumlah maksimum RM10,000. Pembayaran dilakukan secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan. Bayaran pertama adalah sebanyak RM5,000, diikuti RM1,000 untuk 5 bulan berikutnya.
    • Ahli yang mempunyai baki lebih daripada RM100,000 dalam Akaun 1 boleh membuat pengeluaran maksimum 10% atau RM60,000 (mana-mana yang lebih rendah) daripada Akaun 1. Pembayaran dilakukan secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sebanyak RM10,000.

Jika anda mengambil keputusan untuk mengeluarkan wang caruman, anda mungkin akan tergoda dengan wang tambahan yang akan anda nikmati. Dari satu sudut, pengeluaran i-Sinar KWSP merupakan suatu alternatif dan pilihan yang lebih selamat berbanding saluran yang berisiko seperti ceti haram, pinjaman ah long dan sebagainya. Manakala, dari perspektif lain, mengeluarkan wang simpanan yang akan digunakan semasa hari tua anda boleh memberi impak negatif kepada anda jika tidak diuruskan dengan betul.

Fahami Risiko, Kenal Pasti Kelebihan dan Kekurangan – Buat Keputusan Bijak

Celik kewangan terutamanya dari aspek penyimpanan dan pengurusan wang dilihat semakin penting lebih-lebih lagi dalam situasi pandemik ini. Oleh itu, anda disarankan untuk menguruskan wang i-Sinar KWSP anda dengan telus, berhati-hati dan berjimat cermat. Buat pilihan yang tepat mengikut situasi dan kemampuan anda. Kita tidak mahu dana persaraan disalahgunakan sehingga mendedahkan anda kepada kemiskinan di hari tua. Tidak dinafikan bahawa pengeluaran wang segera ini boleh membantu merancakkan ekonomi negara, namun penyimpanan wang di KWSP jika tidak dikeluarkan boleh membantu anda pada hari tua.

Jika dibandingkan dengan pelaburan lain, penyimpanan wang di KWSP boleh dikatakan agak kompetitif dan berisiko rendah berbanding simpanan atau pelaburan di mana-mana portfolio pelaburan lain. Ini kerana, jangkaan keuntungan KWSP adalah sekitar 4.0 hingga 5.5 peratus setahun. Dengan kadar keuntungan 5 peratus setahun, wang i-Sinar KWSP jika tidak dikeluarkan boleh digandakan menjadi RM26,532 dalam tempoh 20 tahun. Ini bermakna, keuntungan yang dijangka akan diperoleh adalah sebanyak RM16,532.

Nota: Jika anda mempertimbangkan untuk membeli kereta terpakai atau menjual kereta lama anda, layari laman web Carsome untuk info lanjut. Carsome merupakan platform jual beli kereta terpakai terbaik di Malaysia.

RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular