HomeBMJangan Elak Bayar Tol Kalau Anda Tak Nak Menyesal

Jangan Elak Bayar Tol Kalau Anda Tak Nak Menyesal

Baru-baru ini tular ciapan yang dimuat naik daripada akaun Twitter Prolintas AKLEH (@AKLEHtrafik) di mana mereka telah berjaya menahan beberapa penceroboh tol yang kerap culas membayar tol semasa menggunakan lebuh raya.

Mereka juga mengumumkan bahawa mereka kini sedang giat menjalankan operasi untuk mengesan penceroboh tol yang semakin berleluasa untuk melunaskan tunggakan bayaran tol mereka.

Penceroboh Tol? Apa Tu?

Penceroboh tol merujuk kepada pemandu yang menggunakan lebuh raya tanpa membayar tol yang telah dikenakan ke atas kenderaan mereka. 

Walaupun sebelum ini ada banyak rakaman dashcam mengenai kejadian pencerobohan tol yang tular, kita jarang mendengar jika ada sebarang tindakan yang diambil ke atas mereka.

myvi avoid toll
Sumber: Channel Youtube mypromoMY

Di sini kami ingin menjelaskan lebih lanjut tentang cara untuk kenal pasti jika anda sedang berhadapan dengan penceroboh tol, macam mana nak laporkan penceroboh tol kepada pihak yang berwajib, dan apa hukuman yang bakal diterima oleh penceroboh tol.

Artikel berkaitan: Kadar Bayaran Tol Malaysia 2021: Kadar Tol PLUS, Kadar Tol LPT dan Cara Semak Kadar Tol

Cara Nak Kenal Pasti Penceroboh Tol

Ada beberapa cara untuk kenal pasti kalau anda sedang diekori penceroboh tol semasa melalui plaza tol.

Cucuk Rapat Sangat

car tailgating too close
Sumber: Channel Youtube Ragam Pengguna Jalan Raya

Bila nak lalu plaza tol, cuba perhatikan kenderaan di belakang anda. Kalau kenderaan tersebut mengikut belakang kereta anda dengan terlampau rapat, besar kemungkinan pemandu tu sedang cuba nak elak daripada membayar tol. 

Pecut Laju Semasa Keluar Tol

Selain daripada mencucuk rapat, penceroboh tol juga akan memecut laju semasa keluar daripada plaza tol. Selalunya palang tol akan mengambil sedikit masa sebelum diturunkan, ini kerana ia mempunyai sensor yang akan memberitahu palang untuk turun sepenuhnya hanya selepas sesebuah objek melepasi tol tersebut.

honda jazz speeding out of toll plaza
Sumber: Channel Youtube Viral Entertainment 2018

Apabila pemandu di belakang mengekori dengan rapat sambil memecut laju, sensor palang akan menganggap bahawa ada satu objek yang sedang melalui tol, dan ini memberi peluang kepada penceroboh tol untuk lolos dari plaza tol tanpa perlu membayar tol.

Apa Perlu Buat Bila Jumpa Penceroboh Tol

Hubungi Pihak Lebuh Raya

Jika anda terserempak penceroboh tol di plaza tol atau pernah menjadi mangsa mereka, anda disarankan untuk menghubungi pihak lebuh raya untuk melaporkan kejadian tersebut.

Anda boleh mendapatkan nombor-nombor bagi lebuh raya yang berkenaan di laman web Lembaga Lebuhraya Malaysia di sini.

Untuk membuat laporan, anda perlu memberikan butiran berikut bagi membantu semakan oleh pihak lebuh raya:

  • Nombor pendaftaran kereta
  • Masa
  • Tarikh 
  • Lokasi

Hantar Rakaman Dashcam

Lebih senang kalau nak buat laporan mengenai penceroboh tol kalau anda ada pasang dashcam di dalam kereta. Rakaman dashcam boleh dijadikan sebagai bahan bukti mengenai kejadian tersebut dan anda juga boleh mendapatkan butiran kereta pelaku melalui rakaman yang anda ada.

Artikel berkaitan: 4 Jenama Dashcam Terbaik di Malaysia & Cara Untuk Pilih Yang Sesuai Untuk Anda

Hukuman Bagi Penceroboh Tol

Pada ketika ini, mereka yang melakukan pencerobohan tol dan mengelak daripada membayar tol boleh didakwa bawah Seksyen 8 Akta Jalan Persekutuan 1984 (Pengurusan Persendirian), yang akan mengenakan hukuman denda antara RM2,000 dan RM5,000 jika disabitkan kesalahan.

Tambahan pula, berdasarkan laporan daripada paultan.org, mengelak daripada membayar tol bakal menjadi kesalahan jenayah apabila kerajaan mula menggunakan sistem tol tanpa palang dengan Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) pada tahun 2025 nanti.

person in jail holding the bars

Sistem MLFF ini akan menggunakan gantri yang akan mengutip bayaran melalui sistem identifikasi frekuensi radio (RFID), yang berfungsi bersama sistem pengecaman plat nombor automatik (ANPR) selain dilengkapi dengan kamera untuk membaca nombor pendaftaran kereta dan juga mengenal pasti muka pemandu di dalam kenderaan.

Setakat ini, masih belum ada lagi berita lanjut mengenai undang-undang baharu ini. Tetapi anda harus sentiasa peka semasa merancang perjalanan anda untuk memastikan pemanduan yang lebih lancar dan selesa.

Artikel berkaitan: Cara Check Saman Polis, Semak Saman JPJ Secara Online yang Perlu Anda Tahu

Sentiasa pastikan kad Touch n’ Go atau akaun RFID anda mempunyai baki yang mencukupi sebelum memulakan perjalanan. Kebanyakan lebuh raya kini tidak lagi membenarkan perkhidmatan tambah nilai dilakukan di mana-mana lorong plaza tol.

Dengan ini kami harap anda dapat menjadi pengguna lebuh raya yang berhemah. Bila nak guna lebuh raya, kenalah bayar tol.

Artikel berkaitan: Cara Bayar Tol Malaysia: Guna Kad Touch ‘n Go, Smart Tag Touch ‘n Go atau Kad RFID?

Haziq Asyraf
Haziq Asyraf
A self-proclaimed foodie and gamer whose passion for food and games has recently extended to cars.
RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular