HomeBMKisah Kejayaan Kereta Nasional Yang Ramai Tak Tahu!

Kisah Kejayaan Kereta Nasional Yang Ramai Tak Tahu!

Pernah dengar cerita tentang Proton Wira yang ‘terjun’ di Kutub Utara? Atau tahu tak kereta buatan Malaysia sebenarnya dah menjuarai banyak kejuaraan rali antarabangsa? Ini dan banyak lagi kisah dan cerita tentang kereta buatan Malaysia yang menjadi tumpuan dunia! 

Bersempena Bulan Kemerdekaan sepanjang Ogos dan September ini, kami membawakan kisah dan cerita kereta-kereta yang telah mengharumkan nama negara di persada antarabangsa atau yang telah meraih perhatian warga dunia. 

Mungkin ada antara cerita ini anda pernah baca atau dengar, atau ada yang anda baru saja ketahui. Apapun, moh kita tengok! 

*pasang lagu Standing In The Eyes of The World oleh Ella 

Artikel berkaitan: Apa Pandangan Rakyat Malaysia Mengenai Kereta Nasional?

1. Proton Wira ‘Terjun’ di Kutub Utara 

Pada tahun 1998, ada satu idea tak masuk akal yang cuba untuk direalisasikan oleh kerajaan Malaysia. Idea apa itu? 

Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Mahathir Mohamad telah melancarkan satu ekspedisi ke Kutub Utara. Bukan untuk buat kajian saintifik, tetapi ia merupakan ekspedisi terjunan udara yang melibatkan Persekutuan Payung Terjun Malaysia. Antara peserta yang terlibat termasuklah anggota pasukan tindakan khas seperti VAT69 dan komando Grup Gerak Khas (GGK). 

Apa yang paling gila dan tak masuk akal adalah, bagi ekspedisi ini sebuah Proton Wira turut ‘terjun’ sekali bersama penerjun-penerjun udara Malaysia. Ya, anda tak silap baca. 

ADA KERETA PROTON WIRA ‘TERJUN’ SEKALI DARI KETINGGIAN 600 METER DI KUTUB UTARA! 

Mujurlah Proton Wira yang dijatuhkan itu mendarat dengan selamat beserta semua penerjun yang terlibat dan aksi itu kekal antara aksi ‘berani mati’ yang diusahakan oleh kerajaan Malaysia ketika mana negara masih terkesan dengan Krisis Ekonomi 1998. 

Yang menariknya, Proton Wira tersebut masih lagi ada dan dipamerkan di PROTON Centre of Excellence, Kelana Jaya. 

Dikatakan bermula daripada acara inilah, slogan ‘Malaysia Boleh’ mula popular dan diguna pakai dalam apa saja acara yang melibatkan Malaysia di peringkat antarabangsa. 

2. Proton Satria Sang Juara 

Ramai yang mungkin tidak tahu tetapi sebenarnya, Proton pernah menyertai sukan permotoran dan turut menang dalam beberapa perlumbaan kereta peringkat antarabangsa! 

Memperkenalkan, Satria Neo S2000. Sang juara yang pernah menjuarai beberapa perlumbaan rali dan ‘endurance’ peringkat antarabangsa. 

Sumber: Mekanika

Proton Satria S2000 ini merupakan keluaran khas Mellors Elliot Motorsport (MEM) untuk Proton Motorsports’ British. Ia dibangunkan pada tahun 2009 bagi siri Super 2000. 

Walaupun menggunakan casis yang sama seperti model standard Satria Neo, tetapi kereta ini telah dipertingkatkan lagi dengan beberapa ubah suai seperti: 

  • Sangkar keselamatan 
  • Pedal boleh laras 
  • Tempat duduk ditempatkan ke belakang sedikit untuk agihan berat yang lebih baik
  • Enjin Renault 1.8 yang ditala supaya menepati piawaian Super S2000
  • Transmisi pacuan empat roda dengan gear sequential enam kelajuan
  • Brek Alcon dengan angkup 4-piston buatan khas 

Proton Satria Neo S2000 ini juga telah berjaya memenangi beberapa perlumbaan seperti: 

  • Rali APRC China 2010 
  • Rali S-WRC Sweden 2012
  • Rali S-WRC Finland 2012 

Siapa kata jentera lokal tak hebat? 

3. Kelisa Pusing Satu Dunia 

Kalau nak berjalan jauh terutama kalau nak pusing satu dunia, anda mesti akan pilih kenderaan yang bersesuaian, bukan? Antara kenderaan yang boleh dipilih adalah seperti karavan. Karavan ini memang dibina khas bagi menempuhi perjalanan jauh. 

Tapi pernah tak anda terfikir ada orang yang akan ada pergi mengelilingi dunia menaiki kereta kompak. Tak lain tak bukan kereta nasional buatan Malaysia iaitu Perodua Kelisa. Tak, kami tak bergurau ya! Ini sungguh tau, ada orang pusing satu dunia dengan hanya naik Kelisa (kereta, bukan ikan). 

Sumber: Harian Metro

Nursulhi Ramli, seorang kontraktor warga tempatan telah berjaya mengelilingi dunia, menjelajah 23 buah negara. Hanya menaiki kereta Perodua Kelisa miliknya saja. Beliau mengambil masa kira-kira empat bulan bagi pengembaraannya itu. 

Perjalanannya bermula 4 November 2019 dan tamat pada 18 Mac 2020 melalui laluan darat dari Malaysia merentasi Thailand, Myanmar, India, Pakistan, Iran, Turkiye, Bulgaria, Romania, Hungary, Slovenia, Austria, Jerman, Belanda, Denmark, Sweden, Norway, Belgium, Perancis, Switzerland, Itali, Greece dan kembali ke Turkiye. Jumlah keseluruhan perjalanan yang ditempuhinya? 40,000 km.

Artikel berkaitan: Bawa Kereta Sendiri Ke Thailand. Apa Prosedurnya?

Perjalanan Nursulhi itu ditemani oleh anak sulungnya yang berusia 18 tahun pada ketika itu. 

4. Kereta Saga Buat Cameo Dalam Mr. Bean 

Malam itu malam Ahad. Anda mungkin baru saja lepas siapkan (atau tak) kerja rumah untuk sekolah esok. Bagi menghabiskan sisa-sisa terakhir hujung minggu anda sebelum mula bersekolah esoknya, anda menonton rancangan Mr. Bean, mungkin di saluran TV3. 

Pada satu babak, anda terus terkejut kerana ternampak sesuatu. Sesuatu yang anda takkan mungkin nampak dalam rancangan terbitan luar negara. Apa itu? Sebuah kereta nasional iaitu Proton Saga. 

Betul. Apa yang anda nampak itu tak salah. Ia sememangnya sebuah Proton Saga. 

Buat pengetahuan anda, model kereta nasional seperti Proton Saga ini pernah diimport ke England. Malah, ada sebuah pusat pameran Proton yang dibuka di London. Bukan hanya Proton Saga, namun model Proton Wira turut dibawa masuk ke dalam pasaran di sana. 

Nak tahu satu fakta menarik tak? Nama Saga dalam Proton Saga sebenarnya satu akronim bagi: 

S – Safety, Stability 

A – Achievement 

G – Greatness 

A – Ability 

Nama ini merupakan cetusan idea seorang anggota tentera, Sarjan Ismail Jaafar. Beliau menyusun nama ini mengikut bahasa Inggeris dan terhasillah nama Saga yang kita ketahui hingga ke hari ini. 

Ia adalah sesuatu yang boleh dibanggakan apabila ada produk jenama tempatan yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa!  

Berasa Bangga Jadi Rakyat Malaysia! 

Sebenarnya banyak lagi kejayaan yang telah ditempa oleh industri otomotif negara yang masih tidak diketahui oleh kebanyakan rakyat Malaysia. Disebabkan itulah, anda tak perlu berada rendah diri apabila anda hanya mampu menggunakan kereta jenama nasional ini. 

Ini membuktikan bahawa kereta buatan tempatan ini sebenarnya sangat berkualiti dan berpatutan. Berbanding 20-30 tahun yang lepas, teknologi otomotif tempatan kini lebih maju dengan pelbagai model canggih yang dilancarkan seiring dengan perkembangan terkini teknologi. 

Anda ada tak kereta nasional model lama? Mungkin Saga lama atau Wira lama yang masih berfungsi? Ada tak kisah menarik anda bersama kereta itu? Kongsilah dengan kami kisah anda di ruangan komen! 

CARSOME mengucapkan selamat menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-66!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular