HomeBMPerkara Yang Anda Perlu Lakukan Sekiranya Kereta Terjunam Ke Dalam Air

Perkara Yang Anda Perlu Lakukan Sekiranya Kereta Terjunam Ke Dalam Air

Tragedi kereta pacuan empat roda yang terjunam ke dalam air di Pangkalan Feri Triso, Maludam, Sarawak yang meragut sembilan nyawa baru-baru ini bukanlah insiden pertama sebegini yang berlaku di Malaysia. Pada 2017, seorang tenaga pengajar Kolej Vokasional Besut maut selepas kereta yang dinaiki terjunam ke dalam parit dan mangsa disyaki lemas kerana terperangkap di dalam kereta. Selain itu, pada 2019, sebuah kenderaan SUV Mazda CX-5 terhumban ke dalam laut di Jambatan Pulau Pinang. Malah, lebih memilukan mangsa masih berada di tempat duduk pemandu dan memakai tali pinggang keledar semasa dijumpai.

tip panduan jika kereta terjunam ke dalam air sungai

Sudah semestinya, tiada sesiapa pun yang mahu terperangkap atau berada dalam situasi sebegini apatah lagi sehingga boleh meragut nyawa. Malah, mungkin ramai yang tidak mengetahui perkara yang perlu dilakukan sekiranya anda berada dalam situasi sebegini. Ikuti 3 tip yang Carsome kongsikan di bawah untuk panduan anda.

Panduan Keselamatan Jika Kereta Terjunam ke Dalam Air

Berikut merupakan tip yang boleh membantu anda sekiranya kereta anda terjunam ke dalam air:

1. Jangan Panik

Masa dan kecekapan anda untuk bertindak adalah kunci untuk selamat sekiranya anda berada dalam situasi sebegini. Kereta yang terjunam ke dalam air tidak kira sama ada laut, tasik atau pun sungai mengambil masa untuk tenggelam dan tidak akan tenggelam serta-merta. Kekal tenang – ia memberi anda ruang untuk berfikir dan bertindak untuk menyelamatkan diri.

2. Tanggalkan Tali Pinggang Keledar, Buka Tingkap

Jangan buka pintu kereta anda. Ia akan menyebabkan lebih banyak air masuk ke dalam kereta dan menyebabkan kereta anda tenggelam dengan lebih cepat. Sebaliknya, buka tingkap, tanggalkan tali pinggang keledar dan keluar dari kereta anda secepat mungkin. Jika anda lambat bertindak, tekanan air akan menyebabkan tingkap dan pintu anda tidak boleh dibuka dan anda perlu memecahkan cermin kereta untuk keluar. Namun begitu, anda tidak disarankan untuk memecahkan cermin hadapan kerana cermin hadapan dicipta untuk menahan impak dan tekanan – sukar untuk dipecahkan dan memakan masa.

Sebaliknya, pecahkan cermin di bahagian sebelah pemandu atau penumpang. Gunakan kaki anda untuk menendang di bahagian atas cermin atau anda juga boleh tanggalkan headrest daripada tempat duduk anda dan ketuk di bahagian ruang antara cermin dan pintu. Anda juga boleh menggunakan steering lock atau tukul cermin pelbagai fungsi (jika ada) untuk memecahkan tingkap. Aksesori ini boleh didapati secara dalam talian atau di mana-mana kedai aksesori.

tukul cermin pelbagai guna | Multifunctional Car Safety Escape Hammer

Aksesori seperti ini sangat berguna ketika kecemasan. Ia boleh disimpan di bahagian kompartmen hadapan kereta anda. Malah, dalam kes tertentu sekiranya tali pinggang keledar anda tersangkut dan tidak boleh ditanggalkan, alatan ini juga boleh digunakan untuk memotong tali pinggang keledar.

3. Keluar dari Kereta Secepat Mungkin

Selepas pecahkan cermin, tarik nafas sedalam-dalamnya dan berenang keluar ke kawasan yang selamat. Sekiranya anda bingung dan tidak tahu arah yang perlu dituju, cari buih atau gelembung udara dan ikut arah gelembung tersebut.

Perkara Yang Perlu Dielakkan Ketika Kenderaan Sedang Tenggelam

  1. Jangan gunakan telefon bimbit untuk membuat panggilan kecemasan. Ini merupakan kesilapan yang biasa dilakukan semasa berada dalam situasi sebegini. Malangnya, ini bukanlah masa yang sesuai untuk membuat panggilan kecemasan kerana pasukan kecemasan mungkin mengambil masa yang agak lama untuk tiba ke lokasi kejadian sekali gus meningkatkan risiko kecelakaan kepada anda. Menurut kajian, anda hanya ada 30 hingga 60 saat sahaja untuk menyelamatkan diri dari kenderaan yang sedang tenggelam.
  2. Jangan buka pintu kereta anda. Arus air akan masuk dengan lebih cepat ke dalam kereta sekali gus menyebabkan kereta anda tenggelam dengan lebih cepat. Malah, arus air yang lebih deras yang memasuki ruang kabin kereta juga akan menyukarkan anda untuk keluar dari kereta. Sebaliknya, buka tingkap dan segera keluar.
  3. Jangan tunggu kereta tenggelam sepenuhnya (untuk menyamakan tekanan air di bahagian dalam dan luar kereta). Ia merupakan salah faham yang perlu dielakkan kerana di saat tekanan air di bahagian dalam dan luar kereta adalah sama, ia mungkin sudah terlewat dan terlambat untuk menyelamatkan diri. Malah, rasa panik secara tidak langsung memendekkan masa anda menahan nafas di dalam air.

Window of Opportunity | 30-60 Saat untuk Keluar dari Kereta yang Tenggelam

Berdasarkan ujian keselamatan yang dilakukan oleh sekumpulan penganalisis, purata masa yang diperlukan oleh seseorang yang berada di dalam kenderaan yang sedang tenggelam untuk menyelamatkan diri ialah antara 30 hingga 60 saat.

  1. Buka tali pinggang keledar;
  2. Turunkan tingkap;
  3. Keluar dari kenderaan.

Melalui ujian yang dilakukan menggunakan sebuah kenderaan dengan empat orang penumpang termasuk pemandu, masa yang diambil untuk kesemua penumpang menyelamatkan diri adalah kira-kira 20 saat selepas ‘bertarung’ dengan arus deras yang masuk melalui tingkap kereta.

Kereta dengan Penumpang | Apa yang Perlu Dilakukan dan Siapa yang Perlu Diselamatkan?

Menyelamatkan diri sendiri dari kenderaan yang sedang tenggelam amatlah sukar, apatah lagi jika ia turut melibatkan penumpang yang lain. Perkara pertama yang boleh anda lakukan jika berada dalam situasi sebegini ialah pastikan penumpang kekal tenang, terkawal dan terangkan kepada mereka perkara yang perlu dilakukan. Jika kenderaan anda mempunyai penumpang kanak-kanak, selamatkan kanak-kanak yang paling tua terlebih dahulu dahulu diikuti dengan kanak-kanak paling muda. Prosedur ini dapat meningkatkan peluang untuk selamat bagi kesemua penumpang dalam kereta. Jika ada anak kecil, tarik mereka ke hadapan dan tolak keluar melalui tingkap hadapan diikuti oleh anda.

Teori dan cara yang disenaraikan mungkin tidak semudah yang disangka terutamanya jika kita berada dalam situasi kecemasan. Namun begitu, tindakan yang betul pada masa yang sesuai mungkin boleh menyelamatkan nyawa anda dan orang tersayang. Kekal selamat dan pastikan anda dan kenderaan anda berada dalam keadaan baik terutamanya semasa musim hujan dan banjir ini.

RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular