HomeAutomotiveBawa Kereta Sendiri Ke Thailand. Apa Prosedurnya?

Bawa Kereta Sendiri Ke Thailand. Apa Prosedurnya?

Sejak pintu sempadan Malaysia-Thailand mula dibuka bermula April 2022, rakyat Malaysia mula berpusu-pusu untuk memasuki Thailand menggunakan jalan darat. Yalah, setelah dua tahun sempadan ditutup, mereka yang kaki bercuti ni tak nak lepaskan peluang untuk kembali melakukan rutin tahunan mereka masuk Thailand untuk berlibur. 

Untuk masuk ke Thailand, ada beberapa cara seperti menggunakan tren ETS, kapal terbang, bas, dan lain-lain. Yang biasa dibuat adalah menggunakan tren dan bas kerana ia lebih mudah. Tetapi ada juga rakyat Malaysia yang pilih untuk pandu kereta masuk Thailand. 

Dengan pandu kereta masuk Thailand, ia lebih mudah kerana anda tak perlu bergantung kepada pengangkutan awam dan anda bebas untuk bergerak tanpa perlu menunggu. Anda juga boleh membawa lebih banyak keperluan seperti baju tanpa perlu memikul atau menarik beg yang berat. 

Tetapi macam mana nak pandu kereta masuk Thailand ? Apa dokumen nak kena sediakan sebelum masuk Thailand? Susah ke prosedurnya? Di sini kami akan kongsikan caranya untuk masuk ke Thailand menggunakan kereta anda sendiri. 

Pintu Masuk Ke Thailand 

Ada beberapa pintu sempadan untuk pandu masuk ke Thailand. Bergantung kepada ke mana anda nak pergi, anda boleh pilih mana-mana pintu yang anda nak. 

  • Wang Kelian – Perlis
  • Padang Besar – Perlis
  • Bukit Kayu Hitam – Kedah
  • Bukit Berapit – Perak 
  • Rantau Panjang – Kelantan

Anda boleh pilih mana-mana pintu masuk yang anda suka tetapi untuk mereka yang nak pergi ke Hat Yai, boleh pilih untuk masuk menggunakan pintu Bukit Kayu Hitam. Kebanyakan pintu sempadan dibuka setiap hari dari 6:00 pagi hingga 10:00 malam. 

Dokumen Yang Diperlukan 

1. Pasport 

Ini dokumen wajib kalau nak masuk mana-mana negara asing. Kalau tak ada pasport, boleh buat dulu di mana-mana pejabat imigresen Malaysia. Dengan buku merah keramat ini, anda dah boleh keluar masuk mana-mana negara yang anda suka. 

Bagi yang dah ada pasport, tahniah! Tapi sebelum nak masuk negara orang, pastikan pasport anda masih lagi aktif dan belum tamat tempoh. Bala besar kalau anda dah sampai di pintu sempadan tapi pasport dah tamat tempoh. Tak pasal-pasal kena ‘cancel’ percutian anda. 

2. Sijil Pemilikan Kenderaan 

Sijil pemilikan kenderaan atau dalam bahasa mudahnya geran kereta ni wajib untuk dilampirkan sekali semasa anda nak masuk ke Thailand. Kalau tak ada geran, boleh pergi ke mana-mana pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk cetak salinan geran kereta anda. 

Artikel berkaitan: Permohonan Geran Kereta Original Hilang dan Cara Dapatkan Geran Baharu

Tapi macam mana kalau anda pandu kereta yang bukan milik anda? Mudah saja! Pastikan juga ada geran dan surat akuan sumpah yang sah yang ditandatangan oleh pemilik kereta tu sendiri. Kalau tak, kereta mungkin akan disita! Nanti tak pasal-pasal kena jalan kaki nak balik Kuala Lumpur.

3. Insurans Kereta Thailand 

Nak masuk Thailand, anda kena beli insurans kereta Thailand. Jangan nak memandai-mandai guna insurans kereta negara Malaysia ya. Takut kena halau balik nanti. 

Insurans ini boleh dibeli daripada agensi pelancongan yang ada di sepanjang jalan menuju ke pintu sempadan seperti di Changlun atau Rantau Panjang. Kalau ada apa-apa masalah, anda boleh tanya agensi pelancongan ni. Jadi jangan malu tau. Malu bertanya sesat jalan! 

Insurans ni juga boleh dibeli di kaunter ketika anda nak isi borang pengisytiharan di kaunter imigresen. Anda boleh beli untuk enam bulan, setahun atau seminggu. Kalau untuk seminggu, harganya cuma RM20.

Artikel berkaitan: Beli Kereta Baru Tapi Tak Tahu Cara Pilih Insurans Kereta Terbaik? Info Lengkap Insurans Kereta Di Sini

Cara Nak Masuk Ke Negara Thailand 

Seperti biasa, anda akan melepasi dua imigresen iaitu imigresen Malaysia dan juga imigresen Thailand. Proses yang mudah di imigresen Malaysia tetapi sedikit sukar di imigresen Thailand. Ada beberapa borang penting yang wajib anda isi iaitu borang pengisytiharan selain daripada dokumen-dokumen di atas kalau anda nak bawa masuk kenderaan sendiri ke Thailand. 

Borang dimaksudkan ialah simplified custom declaration dan borang ketibaan. Bonus untuk anda, ada agensi pelancongan yang turut memberikan servis mengisi borang ini sebelum masuk ke sempadan jadi ia lebih mudah untuk anda. 

Proses ini akan mengambil masa jika anda merupakan pengunjung yang kali pertama nak masuk ke Thailand. Ini disebabkan mereka akan memasukkan data anda ke dalam sistem. Jadi, jangkakan kelewatan sedikit ketika di fasa ini. 

Sebelum mengesahkan kemasukan, pegawai imigresen akan meminta anda untuk mengesahkan kenderaan anda yang mana satu. Setelah selesai, barulah pasport dan borang anda akan dicop dan anda boleh nikmati masa anda di Thailand! 

Peringatan Mesra! 

Ini kami senaraikan beberapa peringatan mesra untuk anda yang baru nak berjinak-jinak mengembara ke negara gajah putih ini: 

1. Vaksin Covid-19

Antara dokumen lain yang perlu anda sertakan ialah borang vaksin Covid-19 anda. Ini anda boleh muat turun daripada aplikasi MySejahtera. 

Bermula 1 Julai 2022, Thailand telah memansuhkan keperluan insurans $10,000 jadi anda tak perlu dah nak beli insurans yang mahal sebelum masuk ke Thailand. Tiada ujian saringan Covid-19 juga diperlukan untuk masuk ke Thailand tetapi sebagai langkah berjaga-jaga, buatlah saringan sendiri menggunakan kit ujian RTK. 

2. Penantian di Kaunter Imigresen

Proses di imigresen Thailand mungkin akan mengambil masa sedikit lama lagi-lagi jika anda pertama kali nak masuk Thailand menggunakan kenderaan Malaysia. Jadi, kalau anda ada penumpang, pastikan anda dah maklumkan awal-awal. Kalau ada anak kecil, pastikan mereka ini selesa sepanjang proses menunggu. 

SUVs are the preferred choice for families

3. Jangan Lupa Pulangkan Borang Kastam

Ingat tak borang kastam yang anda dah isi di kaunter imigresen Thailand semasa nak masuk? Anda kena pulangkan satu lagi salinan sebelum anda masuk Malaysia semula. Kalau anda tak pulangkan semua, anda mungkin akan didenda ikut jumlah hari anda berada di Thailand dan prosesnya akan jadi lagi susah bila nak masuk semua ke Thailand lagi selepas ini. 

4. Pandu Seperti Manusia di Thailand

Sebagai manusia yang berakal, anda seharusnya memandu mengikut peraturan yang telah ditetapkan tak kiralah di mana anda berada. Peraturan jalan raya wujud kerana satu tujuan saja, untuk pastikan anda selamat semasa memandu atau menggunakan jalan raya, tak kira di mana anda berada. 

The Station Wagon was once a popular choice prior to the arrival of SUV's

Peraturan di Thailand mungkin sedikit berbeza tetapi kebanyakan masih sama. Kalau anda disaman dan saman itu tak dibayar, anda mungkin tak boleh atau susah nak masuk ke Thailand lagi selepas ini. 

Diharapkan dengan tips ini anda boleh tahu tentang proses untuk membawa masuk kenderaan anda sendiri ke Thailand. Jangan lupa untuk jaga diri anda dan pandu selamat sepanjang anda berada di sana! 

Haziq Asyraf
Haziq Asyraf
A self-proclaimed foodie and gamer whose passion for food and games has recently extended to cars.
RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular