HomeAutomotiveBahasa Pomen yang Anda Kena Tahu Kalau Tak Nak Kena Tipu

Bahasa Pomen yang Anda Kena Tahu Kalau Tak Nak Kena Tipu

Bayangkan masa anda tengah seronok pandu kereta, tiba-tiba terdengar pula bunyi pelik dari bahagian enjin. Tanpa membuang masa, anda terus bawa kereta ke bengkel yang anda dah biasa pergi untuk kenal pasti apa yang rosak.

Woman checking broken down car

Sampai di bengkel, anda serahkan kereta kepada pomen dan selepas selesai pemeriksaan, pomen anda pun beritahu apa yang tak kena dengan kereta. Tapi, malangnya anda cuma boleh faham beberapa patah perkataan sahaja yang keluar daripada mulut pomen tersebut.

Ini adalah situasi yang biasa dialami oleh semua orang, lebih-lebih lagi mereka yang kurang pengetahuan dalam bidang automotif. Tanpa pengetahuan yang betul, anda mungkin akan ditipu oleh mereka yang tidak bertanggungjawab apabila menghantar kereta untuk dibaiki, jadi penting sebenarnya untuk anda ambil tahu istilah-istilah yang biasa digunakan oleh para pomen.

mechanic and woman looking at car engine bay and pointing

Berikut adalah antara perkataan yang anda akan dengar daripada pomen apabila menghantar kereta untuk dibaiki.

Kong (Rosak)

Yang ini kami pasti ramai dah biasa dengar. Perkataan ‘kong’ selalunya digunakan oleh pomen untuk merujuk kepada komponen kereta yang sudah rosak atau tak boleh digunakan lagi dan perlu diganti.

spark plug kereta rosak

“Bateri dah kong.”, “Mentol lampu dah kong.”, “Palam pencucuh dah kong.” adalah antara beberapa contoh yang anda akan dengar daripada pomen anda. Kalau dah kena macam ni, alamatnya anda kena kena sediakan duit lebih untuk baiki komponen-komponen yang rosak tu.

Recon (Reconditioned)

Kalau pomen anda ada menyebut recon, mereka mungkin merujuk kepada alat ganti recon – alat ganti lama yang dah rosak, tetapi dibaik pulih dengan menggantikan bahagian yang rosak dan dibersihkan agar nampak macam alat ganti baharu.

Pomen selalunya akan mencadangkan alat ganti recon kalau anda tak ada bajet yang banyak untuk membaiki kereta kerana harga alat ganti recon lebih rendah berbanding dengan alat ganti original ataupun alat ganti OEM.

Tapi, anda perlu berhati-hati apabila menggunakan alat ganti recon kerana kualitinya yang tidak terjamin dan ia juga mungkin tak tahan lama.

Hapkat (Half Cut)

Hapkat pula selalunya merujuk kepada alat ganti yang diambil daripada kereta potong. Kereta potong merupakan kereta yang tidak boleh digunakan lagi lalu dijual kepada kedai potong kereta kerana pernah terlibat dalam kemalangan teruk, cukai jalannya terlalu mahal untuk diperbaharui, ataupun kereta dari luar negara yang memerlukan kos yang sangat tinggi untuk dibaiki.

Ada beberapa alat ganti yang boleh diambil daripada kereta potong, antaranya seperti:

  • Enjin
  • Kotak gear
  • Tempat duduk
  • Bahagian badan kereta – lampu, pintu, sunroof, bonet, hud, dan lain-lain.

Hanya alat ganti yang masih berfungsi dengan baik sahaja yang akan diambil daripada kereta potong. Walaupun begitu, ada banyak risiko yang perlu anda ambil kira jika anda mahu menggunakan alat ganti daripada kereta potong – seperti kualiti dan ketahanannya – jadi lebih baik anda dapatkan alat ganti berkualiti yang sesuai dengan bajet anda.

Obohol / Turun Enjin (Overhaul)

Ini pula antara perkataan yang paling orang takut dengar daripada mulut pomen. Obohol atau turun enjin ni merujuk kepada proses meleraikan enjin kereta agar pomen boleh kenal pasti komponen yang bermasalah dalam enjin untuk buat pembaikan menyeluruh.

Kos untuk turun enjin ni sangat mahal kerana ia sangat rumit, memerlukan perhatian yang sepenuhnya daripada mekanik, dan memakan masa yang lama. Selain itu, kalau terdapat sebarang kesilapan semasa proses turun enjin, ia boleh menyebabkan kerosakan enjin yang lebih teruk!

Antara tanda-tanda enjin anda perlu menjalani proses turun enjin adalah suhu kereta naik melebihi paras normal, asap keluar daripada enjin, enjin bergegar atau berbunyi terlampau kuat, prestasi enjin yang lemah dan macam-macam lagi. Ada dua jenis proses turun enjin yang boleh dilakukan, bergantung kepada jenis kerosakan yang dialami enjin anda:

  • Top overhaul – Hanya bahagian kepala silinder dibuka dan ia hanya melibatkan beberapa komponen seperti silinder, piston, piston ring, gasket, dan sebagainya.
  • Full overhaul – Enjin akan diangkat keluar daripada kereta dan akan dileraikan sepenuhnya.

Artikel berkaitan: Tanda-tanda Enjin Kereta Anda Mungkin Perlu Overhaul

Tulang Anjing (Rear Control Arm)

Tengah dengar penjelasan kenapa tayar anda senget, tiba-tiba pomen anda sebut tulang anjing pula. Sebenarnya bukan tulang binatang yang dimaksudkan, tapi ia merujuk kepada komponen yang dikenali sebagai rear control arm yang termasuk dalam sistem suspensi kereta anda.

Ia berfungsi untuk memastikan tayar kereta berada dalam kedudukan yang betul, menstabilkan kereta apabila anda membelok semasa memandu, serta memastikan kedua-dua tayar dapat berpusing pada kadar sama.

Rear control arm atau tulang anjing. Sumber: http://jajazack.blogspot.com/

Antara tanda-tanda tulang anjing kereta anda perlu ditukar adalah:

  • Bahagian tayar kereta anda menghasilkan bunyi yang kuat apabila anda melalui jalan yang tidak rata.
  • Kereta anda tidak mampu bergerak dengan lurus dan stereng kereta sukar dikawal.
  • Tayar kereta haus tidak sekata.

Artikel berkaitan: Suspension Kereta: Tanda Absorber Rosak, Tanda Mounting Absorber Rosak

Sarang Semut (Valve Body)

Jangan terkejut kalau pomen anda tiba-tiba sebut tentang sarang semut bila tengah jelaskan kerosakan yang ada pada kereta anda. Sarang semut yang dimaksudkan mungkin merujuk kepada valve body yang berada di bahagian kotak gear kereta anda.

Valve body atau sarang semut. Sumber: Facebook Ezy Auto Transmission

Ia adalah komponen penting yang dilengkapi dengan injap yang menghantar minyak transmisi ke kawasan yang diperlukan untuk membolehkan gear ditukar. Jika komponen ini tersumbat, ia boleh menyebabkan pertukaran gear yang kasar dan kereta anda akan tersentap apabila dipandu.

Antara sebab berlaku kerosakan pada sarang semut adalah kebocoran minyak transmisi dan kegagalan menukar penapis minyak transmisi. Kalau dibiarkan, ia akan merosakkan kotak gear kereta dan lebih banyak belanja akan diperlukan untuk membaikinya.

Artikel berkaitan: Masalah Gearbox Kereta: Tanda Gearbox Kereta Auto Rosak yang Perlu Anda Tahu

Inilah antara contoh-contoh istilah automotif yang selalu digunakan oleh para pomen bila anda berurusan dengan mereka. Yang penting, kalau anda tak faham sesuatu mengenai kerosakan kereta dan proses pembaikan yang pomen akan buat, jangan takut untuk bertanya dan dapatkan maklumat lanjut mengenainya.

Pomen yang profesional akan cuba untuk memberi jalan penyelesaian yang terbaik semasa membaiki kereta anda. Mereka juga akan mengambil kira bajet dan keperluan anda jika anda berkomunikasi dengan mereka sebelum proses pembaikan dimulakan.

Artikel berkaitan: Jangan Kena Tipu! Cara Tak Nak Kena Tipu Di Bengkel Kereta

Servis Kereta Anda di Pusat Servis CARSOME Untuk Jaminan Kualiti

Kalau anda tengah cari tempat untuk baiki atau servis kereta anda, apa kata anda pergi ke Pusat Servis CARSOME? Mekanik kami yang terlatih akan memastikan kereta anda dibaiki dan diservis dengan cermat dan kami juga hanya menggunakan alat ganti yang dijamin berkualiti untuk memastikan ketenangan jiwa anda.

Jom ke Pusat Servis CARSOME atau layari laman web Pusat Servis CARSOME untuk servis dan baiki kereta anda pada harga yang berpatutan! Atau anda boleh klik SINI untuk menempah slot servis di Pusat Servis CARSOME.

Alamat Pusat Servis CARSOME:

Pusat Servis CARSOME (Ampang)

Tambahan, Lot 1322, Kawasan Kilang,

Jln 11, Kampung Baru Ampang,

68000 Ampang, Selangor.

Atau anda boleh klik SINI untuk lokasi.

 

Pusat Servis CARSOME (Petaling Jaya)

No. 2, Lorong 51 A/227C, Seksyen 51A,

46100 Petaling Jaya, Selangor.

Atau anda boleh klik SINI untuk lokasi.

Haziq Asyraf
Haziq Asyraf
A self-proclaimed foodie and gamer whose passion for food and games has recently extended to cars.
RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular