HomeBMProton Persona, Iriz Facelift Baharu 2022: Harga Bermula Serendah RM40,000

Proton Persona, Iriz Facelift Baharu 2022: Harga Bermula Serendah RM40,000

Proton hari ini melancarkan model facelift baharu, Proton Persona dan Iriz 2022 dengan menampilkan beberapa perubahan dan naik taraf menarik terutamanya dari aspek reka bentuk luaran, dalaman dan teknikal. Kedua-dua model facelift baharu ini menampilkan reka bentuk terkini dengan pengenalan warna yang lebih terkini, ruang kabin yang lebih luas dan selesa serta ciri keselamatan yang dipertingkatkan. Proton Iriz dan Proton Persona 2022 kini boleh dibuka untuk tempahan secara dalam talian melalui laman web rasmi Proton.

Proton Iriz 2022
Kredit: Facebook

Proton Iriz 2022: 3 Varian Baharu, Lebih Garang

Proton Iriz hatchback versi facelift baharu menampilkan tiga pilihan varian – 1.3L Standard, 1.6L Executive dan 1.6L Active (varian baharu). Secara amnya, tiada perubahan teknikal diberikan terhadap model facelift ini. Iriz Standard dikuasakan oleh enjin 1.3 liter VVT yang berupaya menjana 95 PS pada 5,750 rpm dengan tork maksimum 120 Nm pada 4,000 rpm. Manakala, varian 1.6 Executive dan Active dijana oleh enjin 1.6 liter yang berkuasa menghasilkan 109 PS pada 5,750 rpm dengan tork maksimum 150 Nm pada 4,000 rpm. Malah, pihak Proton juga mengambil keputusan untuk menggugurkan pilihan transmisi manual pada model 1.3L Standard.

Spesifikasi Keselamatan, Kuasa dan Harga

Proton Iriz 2022 baharu telah menerima penarafan 5 bintang ASEAN NCAP selain turut dilengkapi dengan ciri keselamatan yang lebih baik. Antaranya, Iriz 2022 ini tampil lebih kukuh dan kuat dengan kerangka HPF atau Hot Press Forming. Malah, ia turut dilengkapi dengan ciri keselamatan lain seperti Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) dan Bantuan Mula Mendaki (HHA).

Selain itu, Proton juga turut merombak perisian sistem rangkaian kuasa – Iriz 2022 kini menerima butang mod pemanduan ECO berbanding lampu petunjuk ECO sebelum ini sekali gus menjanjikan pengalaman pemanduan yang lebih baik. Butang ini akan membantu mengawal talaan enjin yang lebih efisien yang secara tidak langsung membantu menjimatkan penggunaan bahan api. Berikut merupakan senarai harga atas jalan selepas pengecualian cukai jualan (SST) untuk ketiga-tiga varian baharu Proton Iriz 2022 tidak termasuk insurans:

  • 1.3L Standard–RM40,300
  • 1.6L Executive–RM47,100
  • 1.6L Active–RM54,000

Reka Bentuk Luaran, Ciri Standard

Bahagian luar Proton Iriz baharu ini menampilkan reka bentuk hadapan yang sama seperti Proton Persona–berkongsi lampu, bampar dan gril Infinite Weave yang sama. Malah, kedua-dua model baharu ini turut menampilkan badge terkini versi bulat yang pertama kali digunakan sebelum ini pada model Proton X70 pemasangan tempatan awal tahun lepas. Meskipun berkongsi reka bentuk hadapan yang sama, Proton Iriz 2022 menampilkan jalur di bahagian atas dengan kemasan hitam glos dan bahagian bawah berwarna merah sama seperti Proton X50.

Harga Proton Iriz 2022 Baharu
Kredit: Facebook

Selain itu, bahagian bawah Proton Iriz turut menampilkan rekaan semula bampar yang baharu dengan gril bawah yang lebih luas, tempat masuk udara dengan saiz yang lebih ideal yang turut menempatkan lampu pencahayaan siang LED (untuk varian Executive dan Active). Malah, bibir hadapan kelabu sedikit sebanyak turut menambahkan lagi ciri agresif model facelift ini. Meskipun terdapat perubahan yang ketara pada bahagian hadapan, Iriz 2022 masih lagi mengekalkan bampar belakang dan tailgate berwarna hitam daripada versi facelift 2019–perubahan kecil pada jalur bampar kini berwarna merah (sebelum ini berwarna krom).

Model Iriz Active pula merupakan versi pengeluaran sebenar model konsep Proton yang didedahkan pada tahun 2014. Ia menampilkan beberapa kemasan tambahan pada bahagian luaran sekali gus menyerlahkan reka bentuk yang lebih lasak seperti sebuah SUV. Iriz Active atau versi X50 yang lebih kecil ini turut menampilkan ciri menarik–sambungan fender pada setiap pada ruang roda yang memberi ilusi seperti dilekatkan dengan bolt Allen sama seperti Satria GTI. Selain itu, Iriz Active turut menampilkan lampu LED baharu dalam kemasan yang lebih gelap berbanding Persona 1.6 Premium. Proton Iriz Active juga menampilkan ruang bumbung berwarna hitam dan rel bumbung berwarna perak untuk menyerlahkan lagi rekaannya.

Reka Bentuk Dalaman, Perbandingan Varian Iriz 2022

Iriz baharu juga menerima perubahan yang ketara pada bahagian dalaman kabin. Ia menampilkan papan pemuka yang lebih moden dengan freestanding skrin infotainmen di bahagian atas, lubang penyaman udara di bahagian bawah bersama-sama dengan butang buka/kunci pintu dan lampu amaran bahaya atau hazard light. Bagi varian Executive dan Active, kedua-dua varian ini menerima skrin yang bersaiz lebih besar. Meskipun nampak sama, ia menerima sistem yang berlainan.

  • Iriz Executive–beroperasi dengan sistem infotainmen biasa
  • Iriz Active–menerima sistem Geely Key User Interface (GKUI) dan eSIM sekali gus membolehkan navigasi secara online, penstriman muzik, sambungan WiFi dan sistem kawalan suara Hi Proton.
  • Sistem kawalan suara Hi Proton turut ditambah baik berbanding model Iriz Premium terdahulu yang terhad kepada fungsi skrin infotainmen sahaja, kini juga boleh mengawal tingkap dan penyaman udara.
Bahagian dalaman Iriz 2022 baharu
Kredit: Facebook

Berikut merupakan perbandingan antara varian Iriz 2022 baharu untuk panduan dan rujukan anda:

1.3L Standard CVT 1.6L Executive CVT 1.6L Active CVT
Spesifikasi Asas

  1. Enjin 1.3L VVT
  2. Transmisi CVT
  3. 4 beg udara SRS
  4. Lampu hadapan halogen
  5. Rim aloi 15 inci
  6. Tempat duduk fabrik
  7. Armrest dengan ruang konsol
  8. Suis Mod ECO
  9. Penapis Kabin N95
  10. Audio standard
  11. 6 port USB
Naik Taraf daripada Standard

  1. Enjin 1.6L VVT
  2. 6 beg udara SRS
  3. Lampu Pencahayaan Siang LED
  4. Rim aloi 16 inci
  5. Spoiler belakang
  6. Intelligent Entry dengan butang Push Start
  7. Tempat duduk kulit tiruan
  8. Unit kepala infotainment 8 inci
  9. Kamera undur
Naik Taraf daripada Executive

  1. Lampu hadapan LED
  2. All-round body moulding
  3. Bumbung hitam dengan rel bumbung
  4. Tempat duduk separuh kulit
  5. Sulaman ACTIVE pada bahagian dalam
  6. Sistem kawalan suara
  7. Navigasi dalam talian
  8. Pedal sukan

Proton Persona 2022 Facelift Baharu: 3 Varian Baharu, Lebih Eksklusif

Selain Iriz, Proton turut melancarkan Persona 2022 baharu hari ini. Model facelift baharu ini turut menampilkan tiga pilihan varian – 1.6L Standard, Persona Executive dan Persona Premium. Sama seperti Iriz, Proton Persona masih lagi mengekalkan enjin 1.6 liter VVT empat silinder. Enjin ini berkuasa menghasilkan 107 kuasa kuda pada 5,750 rpm dan 150 Nm tork pada 4,000 rpm.

Proton Iriz, Persona 2022
Kredit: Facebook

Spesifikasi Keselamatan, Kuasa dan Harga

Berdasarkan protokol ujian terkini, Proton Persona 2022 telah menerima penarafan 5 bintang ASEAN NCAP–ia dilengkapi dengan enam beg udara, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) dan Bantuan Mula Mendaki (HHA). Berikut merupakan senarai harga atas jalan selepas pengecualian cukai jualan (SST) untuk ketiga-tiga varian baharu Proton Persona 2022 tidak termasuk insurans:

  • Standard–RM45,200
  • Executive–RM50,100
  • Premium–RM54,900

Proton Persona facelift baharu juga turut dilengkapi dengan ciri penapis kabin N95, Intelligent Entry dengan butang Push Start, mod ECO dan cermin sisi elektrik dengan teknologi lipatan automatik. Ciri-ciri terbaharu ini sekali gus menjadikannya sebuah sedan yang lebih praktikal dan bersesuaian dengan kecanggihan teknologi semasa ketika ini. Selain itu, ia turut dilengkapi dengan enam port USB–tiga di bahagian tempat duduk hadapan, dua di bahagian tempat duduk belakang dan satu di bahagian cermin pandang belakang untuk kegunaan dash cam.

  • Empat (4) beg udara (Enam (6) beg udara–hadapan, belakang dan curtain untuk Premium)
  • ABS dengan EBD dan bantuan brek
  • Kawalan kestabilan
  • Kawalan cengkaman
  • Bantuan mula mendaki
  • Cangkuk ISOFIX
  • Sensor parking belakang (sensor hadapan untuk Executive dan Premium)

Reka Bentuk Luaran, Ciri Standard dan Perbandingan Varian Persona 2022

Persona 2022 menampilkan beberapa perubahan pada reka bentuk luaran. Bahagian hadapan tampil lebih menarik dengan rekaan semula gril hadapan, selain dilengkapi dengan badge baharu Proton. Varian paling atas, Premium dan Executive menampilkan rim aloi 16 inci dengan ukuran tayar 185/55 sekali gus menyerlahkan sisi garang dan sporty. Varian Standard pula menampilkan rim aloi 15 inci dengan tayar bersaiz yang sama 185/55.

Berikut merupakan perbandingan ciri standard antara varian Persona 2022 baharu untuk panduan dan rujukan anda:

Standard CVT Executive CVT Premium CVT
Spesifikasi Asas

  1. Enjin 1.6L VVT
  2. Transmisi CVT
  3. 4 beg udara SRS
  4. Lampu hadapan halogen
  5. Rim aloi 15 inci
  6. Tempat duduk fabrik
  7. Armrest dengan ruang konsol
  8. Suis Mod ECO
  9. Penapis Kabin N95
  10. Audio standard
  11. 6 port USB
Naik Taraf daripada Standard

  1. Lampu Pencahayaan Siang LED
  2. Rim aloi 16 inci
  3. Intelligent Entry dengan butang Push Start
  4. Unit kepala infotainment 8 inci
  5. Kamera undur
Naik Taraf daripada Executive

  1. 6 beg udara SRS
  2. Lampu hadapan LED
  3. Bumbung hitam
  4. Tempat duduk kulit tiruan
  5. Sulaman ACTIVE pada bahagian dalam
  6. Sistem kawalan suara
  7. Navigasi dalam talian

Reka Bentuk Dalaman Persona Facelift 2022

Secara amnya, perubahan paling ketara boleh dilihat pada bahagian dalaman ruang kabin. Ia menampilkan paparan skrin infotainmen terapung dengan saiz yang lebih besar untuk kualiti paparan yang lebih baik dan jelas. Sama seperti Proton Iriz, versi Persona facelift ini juga turut menampilkan sistem kawalan suara Hi Proton yang turut ditambah baik–kini boleh mengawal tingkap dan penyaman udara. Selain itu, varian Standard dan Executive menerima kemasan kerusi balutan fabrik, manakala varian Premium tampil lebih eksklusif dengan menyuntik elemen mewah dengan kerusi balutan kulit dengan rona warna coklat cerah.

interior persona baharu 2022 facelift
Kredit: Facebook

Selain itu, sistem yang diketengahkan untuk Persona terbaharu ini juga turut ditambah baik berbanding versi lain sebelum ini. Jika sebelum ini fungsi kawalan suara, sistem navigasi, penstriman muzik, sambungan WiFi hanya eksklusif untuk pengguna model premium seperti Proton X50 dan X70, kini ia diwariskan kepada model yang lebih mampu milik dan berpatutan seperti Persona. Ia secara tidak langsung mampu menarik minat pengguna untuk memiliki model dengan ciri premium pada harga yang lebih murah dan mesra pengguna.

Selain itu, jika anda berminat untuk mendapatkan mana-mana model kereta Proton terpakai yang lain, layari laman web Carsome untuk info lanjut. Carsome merupakan platform jual beli kereta terpakai yang menawarkan pilihan kereta yang terbaik, berkualiti dan selamat.

Haziq Asyraf
Haziq Asyraf
A self-proclaimed foodie and gamer whose passion for food and games has recently extended to cars.
RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular